Rezeki setiap orang berbeza-beza mengikut keperluannya. Bila mana, doktor ini, Dr Afiq Rahim terserempak dengan kenderaan motosikal roda tiga penuh barang yang dipandu perlahan oleh seorang pakcik di tengah malam, hatinya jadi tertanya-tanya.
Lagi terkejut, bila mana dua anak kecil sedang bergerak-gerak berhimpit dengan longgokan barang atas motosikal tersebut. Mengundang rasa sebak di hati dan apa yang doktor ini lakukan seterusnya wajar dipuji.
Doktor Terkejut Semasa Memandu Pada Waktu Malam
Saya dalam perjalanan pulang ke rumah. Jam sudah menunjukkan hampir larut malam. Cuaca agak dingin selepas disimbah hujan lewat petang tadi.
Dalam perjalanan yang agak sepi, trafik saya tiba-tiba menjadi perlahan.
Selepas 5 minit perjalanan, trafik masih lagi perlahan.
“Traktor barangkali di hadapan,” bisik hati.
Saya melihat satu persatu kenderaan mula memotong sejenis kenderaan yang saya tidak dapat kenal pasti dalam kepekatan malam.
Apabila menghampiri simpang empat yang diterangi lampu jalan, barulah saya boleh melihat kenderaan yang memperlahankan lalu lintas.
Eh! Apa Yang Bergerak Belakang Tu..
Sebuah motosikal beroda tiga yang dibonceng oleh seorang pakcik tua.
Disebelahnya penuh dengan barang-barang seperti kerusi plastik dan besi. Selebihnya tidak jelas kerna kesamaran di malam hari.
“Kasihan…” bisik hati lagi melihat keadaan pakcik tersebut.
Kami menunggu dengan sabar lampu merah di simpang empat itu. Juga saya meneliti jika ada peluang untuk saya memintas pakcik itu semasa lampu hijau.
Kemudian saya terlihat sesuatu sedang bergerak di bahagian barang sebelah motorsikal pakcik.
“Eh apa itu?”
“Apa yang sedang bergerak di belakang tu?” saya kehairanan.
Saya mengamati dengan teliti pergerakan yang sedikit tetapi kerap di belakang longgokan barang di motorsikal pakcik.
“La ilaha illallah, budak rupanya,” saya terkejut.
Doktor Terdetik Hati Mahu Bantu Pakcik
Dua orang kanak-kanak sedang berhimpitan di belakang longgokan barang-barang pakcik.
Ads
Mereka bergerak barangkali menyesuaikan posisi badan dalam kesempitan ruang yang ada.
Kemudian lampu jalan sudah kembali hijau.
Saya mengambil peluang memintas motorsikal pakcik tersebut. Sempat yang menoleh melihat raut wajah pakcik.
Alahai, wajah yang sangat kepenatan.
Barangkali penat membanting tulang mencari rezeki.
Dalam saya menekan minyak memintas motorsikalnya, hati terdetik “Mungkin aku boleh bantu sedikit pakcik ini,”
Kemudian hati bertanya lagi “Bila? Sekarang kau sedang berada di atas jalanraya.”
“Tidak, mungkin tuhan sedang berikan aku satu peluang untuk beramal,” saya mempositifkan diri.
Lalu saya berhenti dalam 150 meter di hadapan pakcik dan menunggunya di tepi jalan.
Saya melambai dan menahan pakcik tersebut.
Belakang Barang Ini Cucu-cucu Pakcik..
“Assalamualaikum pakcik, apa khabar? Nak ke mana tu?” saya memulakan bicara.
“Waalaikumusalam, pakcik nak balik rumah, nak. Baru habis cari rezeki,” balas beliau.
“Oh begitu. Saya nak tanya, saya nampak macam ada orang di belakang barang tu?” saya menunjukkan arahya kepada pakcik.
Ads
“Oh cucu-cucu pakcik tu. Mereka tolong pakcik tadi,” balas beliau.
Saya ke bahagian belakang motornya. Dua orang kanak-kanak, lelaki dan perempuan dalam lingkungan umur 8-10 tahun sedang tidur keletihan di bahagian yang sempit di belakang kenderaan itu.
“Maaflah nak, pakcik nak gerak dulu ye,” maklum pakcik kepada saya.
“Oh kejap pakcik, ini ada sedikit wang untuk pakcik dan cucu-cucu pakcik,” saya menghulurkan sedikit wang untuknya.
“Eh takpala nak. Simpanlah duit tu,” beliau menolak.
“Tak mengapa pakcik. Ambillah. Saya sedekah.” lalu saya bersalam dan menyelitkan duit ke tangannya.
“Terima kasih banyak-banyaklah nak. Tuhan sahaja boleh membalasnya.” kemudian pakcik tersebut memejamkan mata dan menggenggam rezekinya sambil berdoa.
Wajah Keletihan Seorang Tua Usai Mencari Rezeki
Bunyi bising kenderaan yang lalu lalang ditepi kami membataskan saya untuk mendengar apa yang sedang didoakan oleh pakcik ketika itu.
Namun beliau kelihatan sangat bersyukur dengan pemberian tersebut.
“Pakcik boleh saya ambil gambar pakcik.” saya meminta kepada beliau.
“Boleh nak,” balas beliau.
Ads
Usai saya mengambil gambarnya dan cucu-cucunya, pakcik meminta diri untuk beransur pergi.
Langit malam kembali mendung. Angin sejuk menggeletarkan badan kami.
Pakcik ingin segera pulang ke rumah. Barangkali bimbang diri, cucu-cucunya dan barang mereka dibasahi hujan.
Saya tidak sempat bertanya di manakah beliau tinggal, apakah pekerjaan beliau dan apakah anak-anak tersebut bersekolah dan beberapa soalan lain.
Barangnya pula seperti peralatan berniaga di pasar malam.
Banyak lagi ingin ditanya supaya dapat saya membantu serba sedikit namun apakan daya, raut wajahnya membayangkan keletihan yang amat.
Maka kami berpisah pada malam itu.
Bersyukurlah Walau Untuk Sekecil-kecil Nikmat
Saya berehat seketika di dalam kereta mengenang detik tersebut.
Mata sedikit berkaca ketika itu.
Betapa kita manusia perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada.
Hatta kita perlu bersyukur dengan sekecil-kecil nikmat yang tuhan berikan.
Ada orang diberi rezeki bekerja di dalam tempat berhawa dingin.
Dan ada orang terpaksa membanting tulang memerah keringat mencari rezeki di bawah terik matahari.
Ada orang dikurniakan wang yang sedikit tetapi direzekikan anak-anak yang ramai.
Ada orang dikurniakan wang yang banyak tetapi hidupnya sepi.
Pakcik itu juga mengajar kita untuk jangan meminta-minta.
Selagi ada kudrat, berusahalah mencari rezeki yang halal.
Aduh banyak sebenarnya pengajaran saya dapat bila bertemu pakcik malam tadi.
Jika saudara – saudari yang membaca kisah syahdu ini mempunyai mesej lain yang tersirat, maka kongsikan dengan kami di bawah ini.
Mudah-mudahan membantu sahabat-sahabat lain yang membacanya.
Terima kasih Allah atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami.
Alhamdulillah….
**Update:
1. Saya tidak sempat bertanya nombor akaun pakcik kerana pakcik kalut hendak pulang ke rumah.
2. Lokasi kami bertemu berdekatan simpang empat Jalan Bayam, Kota Bharu.
Wawa Zainal selamat bersalin anak keempat akui proses bersalin kali ini lebih menyakitkan dan mencabar.
Benarlah pengalaman melahirkan setiap anak itu berbeza jalan ceritanya. Begitu juga yang dilalui pelakon, Wawa Zainal yang telah selamat melahirkan anak keempatnya.
Hasil perkahwinan bersama Aeril Zafrel, pasangan ini turut dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 7, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 5, dan Ayya Soffya yang kini berusia setahun.
Wawa Zainal Selamat Bersalin Anak Keempat
Bersyukur selamat melalui proses bersalin namun dirinya akui kali ini prosesnya agak mencabar dan lebih menyakitkan berbanding sebelum ini.
“Alhamdulillah, selamat melahirkan pagi tadi. Pukul 2 pagi menahan sakit tak sampai hati nak kejut Aeril.
“Tunggu la sampai 5 pagi, sampai-sampai hospital dah sembilan sentimeter (bukaan). Lain macam sakit dia walaupun anak keempat dah. Belum ada nama, ada cadangan ke?” luahnya menerusi perkongsian di Instagram.
Pada perkongsian yang sama Wawa juga menyatakan jantina bayi keempatnya itu.
Aeril Zafrel Mohon Doakan Kesejahteraan Isteri
Pada masa yang sama, suami Wawa Zainal yang juga pelakon dan usahawan berjaya, Aeril Zafrel mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat yang mendoakan kesejahteraan isterinya.
“Assalamualaikum anakku. Terima kasih semua atas doanya,” luahnya.
Dimarahi Wawa Sedang Menahan Kesakitan
Menerusi hantaran berbeza juga, Aeril turut berkongsi video dirinya dimarahi Wawa yang sedang menahan kesakitan.
“Waktu ini saya kena marah sebab puji dia. ‘Sakit-sakit pun cantik’… salah ke puji macam tu,” katanya.
Catatan kes harian jangkitan Covid-19 cukup membimbangkan. Ramai mak ayah bimbang untuk hantar anak ke sekolah.Berbanding sebelum ini, hanya murid di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu belajar di rumah, terkini diumumkan semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga 5 di sekolah menengah perlu mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari ini.
Persekolahan Bersemuka, Hanya Calon Peperiksaan Utama
Keputusan terbaharu itu selepas mengambil kira jumlah kes jangkitan Covid-19 hari ini yang mencecah angka 4,000 dan trend kes jangkitan yang semakin meningkat.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula 20 Januari ini di seluruh negara hanya melibatkan calon peperiksaan utama termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020.
Kebenaran itu juga melibatkan calon yang menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) serta peperiksaan antarabangsa yang setara.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Radzi Md. Jidin
Sebelum ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr. Radzi Md. Jidin berkata, semua murid tingkatan satu, empat dan enam serta murid tahun satu hingga enam dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di negeri dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan ke sekolah bermula 20 Januari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, murid-murid tingkatan dua dan tiga di negeri terbabit hanya dibenarkan ke sekolah pada 8 Mac depan.
MW:Mak ayah yang dah buat persiapan masuk sekolah untuk anak-anak, jangan rasa terkilan iya. Bersabarlah..pasti ada hikmahnya. Buat masa ini keselamatan anak-anak yang paling utama.
Cukup tragis apabila tahu penuntut kolej Nur Alya Damia ditemui mati di bulan yang mulia dengan kesan dijerut di leher di kawasan yang tak disangka. Berita sedih ini diketahui selepas rakannya Ain Zulaika Zamuri, 19, keluar mencari arwah bersama rakan yang lain dan ditemui di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, di Port Dickson, semalam.
“Ketika itu, kami hanya melaungkan Allahuakbar dan menangis sekuat hati,” luahnya.
Pada kejadian jam 10.30 malam itu, mayat Nur Alya Damia Hairi, 19, yang juga penuntut Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) ditemui oleh orang awam yang kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak berkuasa.
Cerita rakan arwah, Ain Zulaika Zamuri, 19, sebelum kejadian, Nur Alya Damia yang juga rakan sekelas dan sebiliknya itu keluar dari asrama kolej pada jam 9 malam dan memaklumkan nak bertemu teman lelakinya di kawasan berhampiran.
Rasa Tak Sedap Hati
Penuntut Diploma Rangkaian Komputer itu berkata, berikutan tidak sedap hati, dia menghubungi teman lelaki mangsa dan terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu tidak bertemu Nur Alya Damia.
“Saya bersama dua rakan sebilik yang lain mencarinya dengan menunggang motosikal. Sebaik tiba di Taman PD Permata, kami ternampak anggota polis dan orang ramai berkumpul tepi jalan. Saya pergi kawasan itu dan terkejut apabila tengok mayatnya (Nur Alya Damia).”
“Tak disangka perkenalan kami begitu singkat kerana kami masih berada di semester pertama,” katanya.
Ain Zulaika berkata, mangsa adalah anak sulung daripada tiga beradik dan berasal dari Klang, Selangor.
Dari Pihak Yang Jumpa Mayat
Sementara itu, saksi kejadian Izwan Mustaffa, 30 berkata, dia menemui mayat mangsa ketika mahu membuang sampah di depan rumahnya.
Dia yang ketakutan kemudian memaklumkan jiran sebelum panggilan dibuat terhadap pihak polis.
Juruteknik kilang itu berkata, dia terkejut apabila pihak polis yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan remaja itu sudah meninggal dunia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, sepasukan anggota forensik bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan orang awam.
Katanya, pemeriksaan menemui kesan jerut pada leher mangsa dan remaja itu dipercayai dibunuh.
“Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.
Dari pihak Mingguan Wanita, ucapan takziah buat keluarga mangsa, semoga Allah permudahkan segala urusan dan tabah berdepan dengan ujian Allah di bulan Ramadan.
Al-Fatihah.
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!