bahagia

Manusia ini mudah sangat merungut. Asal isteri lambat bersiap pun merungut tak sabar nak tunggu lama. Bila anak tak dengar cakap pun kita marah tak puas hati. Apabila sering tak berpuas hati dalam hidup, maka yang indah-indah takkan menjelma dalam hidup kita.

Ini panduan bagaimana kita nak jalani kehidupan dengan lebih baik dan menerima setiap apa yang tuhan berikan. Tanpa ada rasa merungut atau tak berpuas hati.

1.     Hidup setiap orang itu unik dan ujian yang tuhan beri sesuai dengan kemampuan seseorang. Jadi, janganlah nak bandingkan dengan fikiran ‘Oh dia lebih baik dari aku sebab dia anak orang kaya’, Walhal belum tentu dia dapat kasih sayang melimpah ruah seperti anda.

2.     Setiap apa yang jadi pada diri kita itu sudah tuhan tentukan tujuan dan asbabnya. Jadi bersangka baiklah dengan Allah. Walaupun, ketentuanNya kadangkala amat pahit untuk kau telan.

3.     Memaksa diri itu kerja bodoh. Sebabnya setiap manusia ini ada limitnya. Bila dah sampai masa atau tidak mampu lagi, berhentilah. Jangan terlalu lama duduk dalam situasi yang memenatkan atau menekan jiwa, bimbang kau akan terleka dan akhirnya kau stuck kat situ dan tak ke mana-mana pun.

4.     Ada ketikanya kita perlukan gelak ketawa. Carilah sesuatu yang membahagiakan. Kawan-kawan yang menggembirakan, suami yang kelakar, lihat sisi anak yang mencuit hati. Ketawa takkan bawa anda ke ambang kematian pun. Kalau terlalu serius bimbang urat ketawa anda terlalu tegang dan akhirnya terputus.. ehh!

5.     Kurang-kurangkanlah gossip kat laman Facebook tu. Sebabnya, ia cuma membuatkan anda tergolong dalam manusia yang ‘lagha’ dan sia-sia. Lebih baiklah buka al-Quran baca, ia akan menajamkan minda dan buat anda jauh lebih muda dari usia. (Andai amalkan apa yang dibaca).

IKLAN

6.     Bersihkan kolam jiwa. Jangan asyik nak kondem orang ini tak kena, itu tak kena. Anda saja yang betul. Manusia ini mana ada yang maksum. Rasulullah s.a.w seorang saja manusia maksum yang dipelihara Allah agar dapat membimbing kita-kita yang senipis kulit bawang imannya.

7.     Move on.. jangan nak fikir-fikir lagi benda menyakitkan hati yang dah terjadi. Kalau nak jadikan panduan hidup, dipersilakan. Tapi kalau sampai bawa ke mimpi dan buatkan anda tak boleh jalani kehidupan macam biasa itu dah parak namanya.

8.     Bila orang lain ada ‘harta’ atau kesenangan, kau mula makan dalam. Jangan tuan puan, setiap orang ada rezeki masing-masing yang tuhan tetapkan. Dan percayalah ‘Allah tak pernah salah alamat dalam memberi rezeki kepada hambaNya’. Bila Dia kata itu kau punya, orang dengki macam mana sekalipun, ia tetap pergi kat kau dan tidak pula rezeki itu pergi kat dia. Jadi, berdoalah moga Allah sayang kita dan rahmati kita.

9.     Nak benci orang? Janganlah… fikirlah kalau orang lain benci kita macam mana rasanya. Sakit hati kan? Lagipun siapalah kita nak benci makhluk yang diciptakan oleh Allah ini. Andai anda simpan rasa benci dalam hati, hati anda sebenarnya yang akan bernanah. Sebelum tidur, maafkanlah semua orang terutama orang yang paling anda tak suka tu. Itu adalah kejayaan paling besar yakni bila dapat memaafkan malah mendoakan orang yang anda benci. Tak percaya? Cubalah!

10.    Masa ini singkat sebenarnya, jalani kehidupan ini dengan penuh rasa bersyukur. Hargai setiap waktu dan jangan sia-siakan peluang yang tuhan berikan.

IKLAN

11.    Setiap apa yang anda jalani itu adalah pembelajaran. Suka atau tidak ia tetap meninggalkan sesuatu untuk peningkatan hidup anda. jadi, jangan berhenti belajar.

12.    Setiap kali nak tidur atau bangkit dari tidur, ucaplah rasa kesyukuran anda itu pada Yang Esa kerana masih memberikan anda nyawa dan peluang untuk beramal dan memohon keampunanNya.

13.    Kadangkala DIAM itu lebih baik daripada memberitahu kebenaran. Lebih-lebih lagi jika kebenaran yang akan didedahkan akan menyebabkan ramai orang lebih terluka hatinya. Fikirlah masak-masak sebelum berkata-kata baik di alam realiti atau di alam maya.

14.    Anggap pekerjaanmu sebagai satu ibadah. Jika ianya terlalu memeritkan, mohon agar tuhan meringankan bebanannya. Biarkan STRESS itu beransur dengan rasa bahagia yang tuhan tiupkan di dalam hati.

IKLAN

15.    Keluarga adalah segala-galanya. Jangan berlebihan dalam pekerjaan anda. Ingat, anak-anak itu amanah, suami atau isteri itu juga amanah yang perlu dijaga. Tapi jangan sampai urusan dunia ini mengatasi rasa sayang dan kasihmu pada Allah Yang Esa. Namun, memelihara amanah sebaiknya di dunia ini membolehkan kamu memperoleh bahagia di akhirat.

16.    Jujurlah dengan diri sendri. Ini yang selalu orang susah nak buat. Kita sanggup cakap, ‘takpe aku OK’ walhal kita KO. Kerana jujur itu dapat memberikan ketenangan hati yang sedamai-damainya.

17.    Ingatlah dalam susah ada senangnya. Ini bicara tuhan yang kamu perlu fahami. Setiap sesuatu yang sulit akan ada kesenangannya di kemudian hari. Anda perlu yakin kerana orang yang berusaha akan mendapat hasilnya.

18.    Andai tiba-tiba temanmu menjauhi dan kau tinggal terkontang kanting sendirian tanpa ketahui sebabnya. Jangan bersedih, kadangkala tuhan sudah tahu mereka bukan yang terbaik untuk kau menjadi lebih baik. Jadi, tabahkan hati, seperti tip no. 7, move on.. teruskan hidup dengan kental dan bahagia.

19.    Jangan sibuk-sibuk dengan hal yang bukan kau punya masalah. Membantu tak salah, tapi perlu ada limitnya. Kalau dah sampai memberi beban pada anda.. BERUNDURLAH!

via Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI