15 Tahun Tunggu Zuriat, Normirani & Hazaha Reda Anak Alami Sindrom Down

Ada pasangan yang dikurniakan cahaya mata tak lama selepas berkahwin. Tetapi tidak semua yang bertuah dan berjaya merealisasikan impian tersebut. Normirani Mohd Noor dan Hazaha Awang terpaksa berusaha selama 15 tahun untuk mendapatkan anak.

Sehinggalah tujuh tahun lalu, impian mereka untuk memiliki zuriat sebagai penyambung keturunan telah dikabulkan oleh Allah.

Peluang itu terbuka di hadapan mata apabila salah seorang kawan mereka telah memberitahu Normirani mengenai kaedah bayi tabung uji atau In Vitro Fertilisation (IVF) oleh  Tunku Azizah Fertility Foundation atau TAFF.

“Kawan bagi alamat TAFF dan saya terus hantar permohonan ke sana. Selepas permohonan berjaya, kami membuat rawatan di LPPKN. Tetapi sebelum permohohan diterima, banyak juga rawatan yang telah kami jalankan terlebih dahulu untuk mendapatkan anak,” ujar Normirani ketika ditemui baru-baru ini.

Sambungnya lagi, banyak rawatan yang telah dilakukan demi untuk hamil.

“Kami pernah buat rawatan IUI selama tiga kali di LPPKN. Selain rawatan moden, kami buat juga rawatan tradisional seperti homeopati. Semua usaha kami lakukan. Kami memang bergantung pada rezeki yang diberikan Tuhan.

“Fikir kami pada waktu itu, kalau ada rezeki dapat anak kami terima. Begitu juga kalau tidak dapat anak. Namun kami tidak pernah putus asa untuk mencuba. Dengar sahaja ada rawatan dan perubatan yang sesuai untuk mendapatkan anak, kami akan pergi mencuba.

“Pada tahun 2006 kami memohon untuk melakukan rawatan IVF dengan TAFF. Permohonan berjaya diterima pada tahun 2011.”

15 Tahun Tunggu Zuriat, Normirani & Hazaha Reda Anak Alami Sindrom Down
Bersama Dr Surender Singh, doktor yang dipertanggungjawabkan melakukan IVF pasangan ini.
Pengalaman Yang Mencabar

Normirani, 47, sangat bersyukur suami amat memahami keadaan dirinya. Tidak ada tekanan mahu pun desakan yang diterima daripada suami untuk mendapatkan anak.

Hazaha, 47, yang turut berada di sisi suaminya ketika temuramah ini dilakukan,  mengakui perjalananan untuk mendapatkan cahaya mata ini memang satu pengalaman yang agak mencabar. Hanya mereka yang kuat semangat dan bersabar sahaja mampu menghadapinya.

IKLAN

“Kita perlu menjaga hubungan baik suami-isteri. Kita kena saling memahami. Keluarga kami pun tidak campur dalam urusan ini. Mereka tidak memberi tekanan dalam menghadapi kesukaran kami untuk mendapatkan zuriat.

“Alhamdulillah kami bersyukur mendapat keluarga yang memahami. Cuma dari segi persekitaran, kami menghadapi cabaran-cabaran. Sebagai contohnya kawan-kawan. Mereka sebenarnya hendak kita ada cahaya mata. Tetapi cara menceritakan niat itu boleh menjatuhkan semangat,” ujarnya.

Rezeki Dan Amanah Allah Akan Dijaga

Menceritakan proses rawatan IVF yang dilakukan, Hazaha berkata sebanyak 3 benih (embrio) yang telah dimasukkan ke dalam rahim isterinya.

“Sebenarnya kami ada 5 benih. Tetapi doktor mencadangkan agar masukkan 3 benih sahaja kerana 2 benih itu tidak sihat. Kami terima cadangan doktor itu. Selepas suntikan dalam masa 2 minggu sahaja keputusan positif. Doktor mengesahkan bayi telah ada di dalam kandungan. Semasa kami terima berita itu, perasaannya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Kami teramat suka.”

Cerita Normirani pula, sepanjang tempoh kehamilan, tidak ada sebarang masalah yang serius dialaminya. Cuma katanya pada usia kandungan 7 bulan, ada berlaku sedikit pendarahan.

“Pendarahan itu mungkin disebabkan perjalanan yang jauh kerana saya balik kampung masa itu. Alhamdulillah selepas mendapat rawatan di hospital, kandungan dalam keadaan selamat. Saya bersalin secara pembedahan di Pusat Rawatan Islam Az Zahra, Bangi, Selangor.Doktor menyarankan agar bersalin secara pembedahan bagi mengelak daripada sebarang komplikasi semasa bersalin atas faktor usia.”

Bergelar ibu bapa buat pertama kali juga tidak dapat digambarkan sebaik sahaja anak yang ditunggu-tunggu itu telah dilahirkan. Hazaha mengakui dia tidak dapat menceritakan bagaimana perasaan gembiranya itu.

“Betapa bersyukurnya saya apabila mendapat anak walaupun doktor memberitahu yang anak saya itu mengalami masalah sindrom down. Tidak pernah tidak ada perasaan tidak bersyukur kepada Allah. Tidak pernah kami persoalkan kenapa kami dapat anak sebegini. Ini adalah rezeki dan amanah. Kami akan jaga amanah itu.”

“Saya berharap ibu bapa di luar sana yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan zuriat ini untuk bersabar. Bukan kita yang menentukan soal anak ini. Hanya rezeki Allah. Jadi bersabarlah. Jika ada apa jua ikhtiar, cubalah ikhtiar dengan cara apa sekalipun. Janji tuan puan sudah berusaha.

Rezeki hanya Allah menentukan. Itu sahaja nasihat kami kepada ibu bapa yang kesukaran mendapat zuriat.”

Sentiasa Berdoa Allah Beri Kekuatan Mental & Fizikal

Anak yang ditunggu selama 15  dilahirkan mengalami masalah sindrom down. Normirani dan Hazana bersyukur dan redha dengan pemberian Tuhan ini. Sebagai ibu, sudah lama Normirani menunggu saat untuk mendukung cahaya mata sendiri.  Walau Muhammad Hazim Nufail tidak normal seperti bayi lain, dia menerimanya dengan penuh kesyukuran.

“ Alhamdulillah kami dapat menerima dengan redha. Bohong lah kalau saya kata tiada perasaan sedih pada pertama kali dapat tahu anak saya adalah seorang down syndrome. Alhamdulillah suami dan keluarga yang menenangkan saya ketika itu .

“Pada masa yang sama kami kuatkan semangat dan menerima qada’ dan qadar dari Allah dan bersyukur bahawa ujian yang Allah beri untuk kami terlalu kecil kalau nak di bandingan dengan ujian yang diterima oleh insan-insan lain.

“Jadi lama-kelamaan perasaan sedih itu semakin hilang dan dalam masa yang sama kami sentiasa berdoa agar Allah memberi kekuatan mental, fizikal dan diberikan tahap kesabaran yang tinggi dalam menguruskan anak kami. Alhamdulillah di mata dan di hati kami tidak rasa pun anak kami ini adalah anak istimewa (Down Syndrome).”

Kini anak tunggal mereka berusia 7 tahun. Sesungguhnya kehadiran Wan Muhammad Hazim Nufail itu memberi sinar dalam hidup Normirani dan Hazaha.

Cucu Angkat Raja Permaisuri Agong

Normirani dan Hazaha amat berterima kasih kepada Tunku Azizah Fertility Foundation atau TAFF.

“Izinkan saya untuk memberi ucapan ribuan terima kasih kepada TAFF kerana dengan izinNya juga telah memberi ruang dan peluang kepada kami bergelar ibu dan ayah setelah 15 tahun memadu kasih. Alhamdulillah syukur ya Allah.

“Baby TAFF 81. Itulah gelaran yang diberikan kepada Muhammad Hazim Nufail Bin Hazaha. Anak saya dan anak-anak IVF lain yang dilahirkan di bawah bantuan TAFF ini dianggap sebagai cucu angkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Bagi kami sangat-sangat istimewa terutama dari segi layanan yang Tunku berikan kepada cucu- cucu yang tiada tolok bandingnya. Kami juga rasa bertuah dan bersyukur kerana dapat bersama dengan keluarga istana walaupun hanya seketika.

“Tuanku sentiasa berpesan agar jadilah ibu bapa yang terbaik kepada anak-anak. Didiklah anak-anak sebaik mungkin semoga suatu hari nanti menjadi contoh dan tauladan buat masyarakat,” ujarnya dengan penuh rasa kesyukuran.

Baby TAFF 81, itulah gelaran Muhammad Hazim Nufail Hazaha