Ramai yang guna plastik dalam kehidupan harian, terutamanya bekas makanan.
Perlu tahu juga plastik ada banyak gred untuk bermacam-macam kegunaan. Paling penting tahu kod kitaran semula dan tujuan plastik tersebut dibuat. Namun kena lebih berhati-hati kerana penggunaan plastik yang salah boleh menjejaskan kesihatan, menjadi penyebab kanser dan kecelaruan hormon.

Perkara ini didedahkan oleh Puan Faiza Mohammed Asari yang merupakan usahawan yang hampir 15 tahun terlibat dalam Industri Plastik.

Untuk faham lebih lanjut baca perkongsian tersebut;

Saya terpanggil untuk mengulas isu penggunaan plastik dalam baking ni. Sebab, saya lihat penggunaannya amat meluas hingga melibatkan cara yang salah. Salah tu tak apa lagi, salah yang boleh mendatangkan bahaya kepada kita – pembuat juga pelanggan.

Rasanya ramai yang tak tahu latar belakang saya. Keluarga saya ada sebuah kilang guni plastik yang beroperasi di Melaka. Pernah tengok gula 50kg dalam karung putih? Pernah dapat baja subsidi cap dacing? Silap-silap yang anda pernah tengok itu datangnya dari kilang kami.

Plastik Dalam Proses Masakan

Sebagai seorang usahawan yang terlibat secara langsung dalam industri plastik, saya ingin berkongsi sedikit maklumat dengan kawan-kawan.

Maafkan saya jika ada yang tersinggung, tetapi saya dapati ramai yang menggunakan plastik dalam proses masakan. Antara contoh ialah sosej homemade yang menggunakan plastik aiskrim, kek chocolate moist yang menggunakan bekas plastik untuk dikukus dan memanaskan makanan atau minuman menggunakan bekas plastik yang banyak terdapat di pasaran. Dan baru-baru ni saya terbaca bekas SQ540 digunakan dalam oven untuk buat kek marble .

Boleh Sebabkan Kanser

Bahan kimia di dalam plastik, terdiri dari antimony (Sb) dan Bisphenol A (BPA)boleh meresap ke dalam cecair di dalam bekasnya jika dibiarkan lama di dalam panas. Kajian mendapati minum atau makanan yang tercemar dengan molekul kimia plastik ini boleh menyebabkan kanser.

Secara amnya, botol dan bekas plastik dibuat dari polyethylene terephthalate (PET) yg mengandungi 190–300 mg antimony utk 1kg PET.

Apa yang bahaya sangat tentang antimony (Sb) ini? Sb diklasifikasikan sebagai salah satu punca karcinogen iaitu penyebab kanser pada sel-sel manusia oleh International Agency for Research on Cancer di Amerika Syarikat. Pendedahan yang terlalu lama kepada Sb juga dikenalpasti sebagai punca kepada kolesterol tinggi dan penurunan gula dalam darah.

Kecelaruan Hormon

Bagaimana dengan Bisphenol A (BPA)? BPA ialah bahan utama yang terdapat dalam lapisan bekas plastik & juga tin-tin makanan. BPA dikatakan boleh menyebabkan kecelaruan hormon. Bagaimana ia berlaku? BPA dikatakan boleh menyerupai estrogen dengan mengeluarkan xenoestrogens (estrogen sintetik) dan melekatkan dirinya kepada saraf-saraf penerima estrogen. Tubuh akan menagaggapnya sebagai estrogen sebenar dan ini akan mengganggu tugas hormon sebenar.

Bagaimana BPA masuk ke dalam badan? Dengan berbagai cara antaranya bekas ditinggalkan dalam keadaan panas melampau, bila dibasuh berulang kali atau bila ia berubah menjadi lembut bila dipanaskan.

IKLAN

Langkah BIJAK Penggunaan Plastik

Pun begitu, penggunaan plastik dalam kehidupan harian tidak boleh dipisahkan. Kita boleh menjadi bijak dengan mengambil langkah-langkah proaktif untuk kesejahteraan diri. Antaranya…

1. Kenalpasti Kod Kitaran Plastik

Mengurangkan penggunaan plastik. Di setiap barangan plastik, terdapat tanda 3 segi sebagai kod kitaran semula di bawahnya. Jauhi nombor 3, 6 and 7. Plastik dengan nombor 7 mengandungi BPA pada kadar yang paling tinggi.

2. Guna Bekas Kaca Simpan Makanan

Kurangkan makanan dalam tin. Gunakan bekas kaca untuk menyimpan makanan. Beri perhatian kepada penutup bekas kaca yang diperbuat dari plastik sama ada mengandungi BPA atau tidak.

3. Elak Guna Bekas Plastik Untuk Microwave

Elakkan dari menggunakan bekas plastik untuk mikrowave. Meskipun ditulis “microwave safe.” Haba tinggi melemahkan molekul kimia plastik dan melepaskannya ke dalam makanan dan minuman yang dipanaskan.Bagi yang menggunakan bekas BPA free, itu bukan bermakna boleh dipanaskan di dalam microwave.

4. Jangan Guna Waktu Makanan Masih Panas

Jangan gunakan bekas plastik untuk makanan atau minuman panas. Pastikan bahan-bahan sejuk dulu sebelum menuangkannya ke dalam bekas plastik.

5. Jangan Guna Semula Plastik Sekali Penggunaan

Jangan gunakan semula plastik yang khusus untuk sekali penggunaan. Plastik-plastik ini tidak direka untuk tahan haba & kesan basuh dengan sabun akan menyebabkan dindingnya terhakis dan bahan kimia dilepaskan. Contoh terbaik adalah botol air mineral.

Plastik Ketupat & Lemang Segera

Bagaimana dengan ketupat dan lemang segera? Bukankah diperbuat dari plastik juga?

Bahan plastik untuk ketupat itu tak sama dengan bahan untuk buat bekas plastik ya. Plastik ketupat dan lemang itu menggunakan High-density polyethylene (HDPE) iaitu salah satu jenis plastik yang dikhaskan untuk gred makanan (food grade) dan ia adalah tahan sehingga suhu 1200°C sebelum ikatan kimianya mula longgar.

Lagipun untuk ketupat, ianya hanya sekali penggunaan saja. Bukan berulang kali. Untuk pengetahuan, plastik ini ada baaaaaaanyak gred untuk bermacam-macam kegunaan.

Jangan tanya saya apakah brand-brand bekas plastik terkenal juga tidak selamat untuk digunakan?

Perbezaan Pemanasan Plastik Dalam Oven & Microwave

Plastik adalah plastik sifatnya walau apapun bentuknya. Formula mudah untuk kita ingati ialah – lihat kepada tujuan asal plastik tersebut dibuat. Adakah ianya memang dibuat untuk mengukus? Jika ya, pastikan ianya adalah high temperature food grade iaitu sesuai untuk digunakan dengan makanan panas.

Jangan anggap plastik yang selamat digunakan dalam mikrowave boleh digunakan di oven. Pemanasan oven dan mikrowave bekerja pada cara yang berbeza. Pemanasan dalam oven ialah haba berterusan dengan suhu yang stabil. Bila haba tinggi pada kadar yang lama, ikatan kimia plastik akan terurai dan meresap dalam makanan.

Pemanasan dalam mikrowave berbeza. Ketuhar gelombang mikro, sudah jelas bahawa haba dibebaskan bukan dari pemanasan tetapi melalui kaedah gelombang. 2 proses yang sgt berbeza kawan-kawan. Dalam mikrowave, haba dihasilkan pada kadar sangat cepat dan ikatan kimia bekas plastik tak sempat terurai. Sebab itu dia selamat untuk digunakan dalam mikrowave. Tetapi disarankan hanya 3-4 kali gunaan saja, lepas tu kena buang ganti baru. Bukan pakai selagi hayatnya ada.

Pesanan Bahaya Plastik

Mesti nanti saya dikecam teruk oleh seller-seller yang jual kek coklat hantu, kuih talam & kek kukus buah. Saya tidak paksa untuk menerima pendapat saya. Ini adalah sebahagian dari pesanan khidmat masyarakat dari saya untuk bantu menyedarkan kawan tentang bahaya plastik ini.

Kalau kita tengok di luar negara seperti Jepun & Australia, penggunaan plastik untuk bekas makanan telah mula berkurangan. Di Jepun misalnya, botol susu plastik pun susah nak jumpa.

Sekiranya ada yang tidak bersetuju, tidak mengapa. Saya baca artikel-artikel tersebut sebelum saya menulis post ini. Saya hanya berkongsi berdasarkan pengetahuan saya dengan pembacaan dan keterlibatan saya di dalam industri plastik ini selama hampir 15 tahun.

Semoga kita sama-sama mendapat manfaat dari sedikit pengetahuan yang saya kongsikan ini demi untuk kesejahteraan keluarga yang kita sayangi.

Boleh rujuk sini kegunaan plastik berdasarkan code yang terdapat di bahagian bawah bekas.

Rujukan:

Westerhoff, P., Prapaipong, P., Shock, E., Hillaireau, A. (2008). Antimony leaching from polyethylene terephthalate (PET) plastic used for bottled drinking water. Water Res. 42: 551–556.

World Health Organization. Water Sanitation Health: Antimony in drinking water. Accessed 1 October, 2014. 

Fan YY, Zheng JL, Ren JH, Luo J, Cui XY, Ma LQ. (2014). Effects of storage temperature and duration on release of antimony and bisphenol A from polyethylene terephthalate drinking water bottles of China. Environmental Pollution 192:113-20.

Baca Lagi Di Sini:
Teliti Bahan Plastik Yang Digunakan, Boleh Sebabkan Gangguan Hormon, Cetus Alahan & Penyebab Penyakit

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi perlu lebih bijak dan berhati-hati menggunakan plastik untuk kegunaan harian iya. Penggunaan plastik yang salah boleh menjejaskan kesihatan, menjadi penyebab kanser dan kecelaruan hormon. Paling penting tahu kod kitaran semula dan tujuan plastik tersebut dibuat.

Sumber: Faiza Mohammed Asari *Diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.