Sebelum ini, pernah viral di media sosial tentang seorang petugas wanita APM dengan selamba menangkap dan memegang ular sawa sebelum menerima bantuan daripada pusat kawalan APM. Kagum dan cukup bangga. Bukan biasa-biasa nie sebab sebelum ini kebanyakkan yang kita tengok anggota lelaki sahaja yang berani dengan binatang seperti ini.
Dalam kesibukannya ini, MW sempat menemubual beliau, walaupun pada masa itu, Diana Kasman sibuk dengan tugas PKP yang dipertangungjawab olehnya. Beliau sempat bercerita tentang kejadian itu.
“Pada hari tersebut, saya dihantar oleh suami untuk ke tempat kerja melalui jalan yang biasa kami lalu. Semasa berhenti kerana lampu isyarat merah di satu simpang, saya terpandang simpang kecil yang mana ada sebuah treler berhenti dan sebuah motosikal di sebalik treler tu.
“Sangkaan suami, mungkin treler itu rosak, saya pula fikir ada kemalangan sebab ada motosikal kat situ. Dalam masa menunggu lampu isyarat bertukar, tiba-tiba saya nampak seorang lelaki dok angkat dahan kayu di belakang treler tu. Bila lampu isyarat hijau, saya toleh ke belakang dan beritahu suami ada ular sawa.
Nampak Panik
“Pada masa itu, saya nampak keadaan agak panik, jadi minta suami pusing dan berikan bantuan sebab masa tu orang dah ramai. Saya turun dan tangkap ular sawa itu, manakala suami tolong tangkap di bahagian ekor. saya tangkap tanpa menggunakan PPE, maklumlah, baru nak ke tempat kerja.
“Adalah rasa sedikit geli sebab sentuhan terus dengan ular. Tapi memikirkan tanggungjawab sebagai anggota APM yang berpengalaman dan ada sedikit ilmu untuk menangkap binatang liar, segala rasa geli tu tolak tepi.
15 Minit Pegang Ular
“Selepas itu, suami cuba hubungi pusat kawalan APM dan kebetulan jarak dengan tempat kerja hanya 2 km saja lagi. Suami maklumkan bantuan lambat sampai kerana anggota dan kenderaan telah digunakan untuk respon kes lain. Nak tak nak, suami terus ke pusat kawalan untuk dapatkan bantuan.
“Lebih kurang 15 minit jugalah saya pegang kepala ular itu. Dalam tempoh menunggu bantuan, saya ada meminta tolong orang awam untuk pegang bahagian ekor sahaja kerana saya tidak boleh bagi pegang bahagian kepala kerana hanya orang yang ada ilmu dan tahu cara sahaja boleh pegang kepala ular. Tapi tak ada seorang pun yang berani.
“Tangan pegang kepala ular, kaki pijak bahagian ekor supaya ular itu tidak melilit. Memang nampak sempoi bila tengok gambar saya pegang tapi sebenarnya agak letih kerana ular itu sangat kuat dan perlu melawan dengan kekuatannya.
Itulah cerita di sebalik gambar viral anggota wanita APM memegang ular sawa.
Bertugas Semasa PKP
Sebenarnya, Diana Kasman juga adalah salah seorang anggota yang bertugas untuk Covid-19. Dia dipertanggungjawabkan untuk menjaga pusat kuarantin di Hotel Impiana iaitu kawasan Red Zone.
“Saya berkhidmat di APM hampir tujuh tahun dan sebelum PKP, tugas saya seperti biasa. Cuma, ia agak berbeza sekarang ini. Semasa minggu pertama, saya hanya ditugaskan untuk menghantar makanan di pusat kuarantin yang masa itu hanya dua pusat sahaja dibuka. Rutin waktu itu agak sibuk dan saya sendiri tidak sempat makan kerana perlu menghantar makanan dan jaraknya agak jauh antara pusat kuarantin tu.
Ads
“Bila PKP disambung, saya diarahkan untuk menjaga bahagian pusat kuarantin yang dibuka di Hotel Impiana. Kat sini memang sibuk dengan kemasukan banyak siri dan perlu bawa tetamu turun dari satu tingkat ke satu tingkat untuk membuat pemeriksaan saringan.
Bergilir Jaga Anak
Oleh kerana, suami beliau juga slah seorang anggota bomba, jadi masing-masing sibuk. Suami di pusat kawalan dan beliau sendiri di pusat PKP. Masa memang agak terhad, sementelah mempunyai anak kecil yang berusia 10 bulan.
Ads
“Suami bergilir-gilir menjaga anak tetapi apabila dia bertugas, mak saya akan jaga anak.
Tugasan Diana yang bermula jam 7 pagi dan berakhir jam 12 tengah malam. Sebagai langkah keselamatan diri dan keluarga, apabila suami datang menjemputnya, dia akan sembur dettol dalam kereta dan Diana akan tukar pakaian terlebih dahulu sebelum pulang.
Ads
Inilah tanggungjawab dan pengorbanan yang dilakukan oleh frontliner negara untuk memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia untuk perangi Covid-19.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mingguan Wanita pernah paparkan kisah Puan Dhuha Rashidi, pengasas Khaliframe dan penulis khat wanita yang alami pengalaman berpantang begitu menakutkan.
Bacalah perkongsian beliau, semoga menjadi panduan buat ibu-ibu yang sedang berpantang dan alami masalah seumpamanya. Sungguh buat jantung anda berdebar, nafas turun naik seram.
Cepatnya Naik Angin, Tapi Entah Siapa Yang Dimarahkan
Ada yang pm, mereka ada pengalaman ngeri waktu berpantang. Selalu terkena gangguan makhluk halus waktu kahwin. Bila waktu pantang makin menjadi.
Ada yang bujang pun selalu ditimpa masalah gangguan bertahun – tahun. Di ganggu makhluk halus. Ada bisikan. Rasa stress. Rasa sedih. Sakit-sakit badan.
Lepas tu jadi suka marah tak tentu pasal. Mudah marah anak. Jadi cepat je naik angin. Rasa tak puas hati je memanjang. Tapi diri sendiri tak tahu , marahkan siapa. Tertanya-tanya kenapa diri jadi macam tu.
Ada yang minta saya share apa nak buat.
Ada yang meluahkan rasa. Mereka selalu diminta berfikir positif dan cuba ubah diri. Suami cakap selalu ingat Allah. Ada yang usaha pergi kelas motivasi, seminar bisnes tak bisnes dah try, jumpa ustaz rawatan Islam berkali-kali.
Akhirnya rasa macam malas nak buat apa dah. Serik nak pergi jumpa sapa-sapa dah sebab katanya TAK JUGA ADA PERUBAHAN. Perubahan itu sebenarnya dimana ?
Baik, ini topik hari tu yang sahabat follower tertunggu-tunggu.
Ini Jawapan Kenapa Dulu Allah Uji
Aku cerita berdasarkan pengalaman aku saja dan apa saya buat sampai perlahan lahan beransur pergi dan jadi sembuh. Alhamdulillah. Hari ni pun aku dapat jawapan lagi, kenapa dulu Allah uji.
Pernah jatuh sakit dan kemurungan akibat penyakit misteri ditambah lagi dengan masalah yang menimpa. Banyak peristiwa sepanjang sakit itu (yang orang nampak normal tu) aku tak ingat apa berlaku.
Contohnya bila adik bagitahu kau dulu sakit kau pergi sini, situ sana buat ini buat itu. Tapi aku kata, “eh ada ke?” Jadi tak boleh ingat. Teruknya rasa masa tu memang tahap macam mayat hidup je rasa. Melalui rutin tanpa rasa.
Kita ni manusia biasa. Turun naik dalam kehidupan itu yang kita kena selalu hadap. Kehidupan ini begitu. Tidak boleh terlalu tinggi. Tak boleh terlalu rendah. Tidak boleh juga sentiasa berada di tengah-tengah. Ia umpama satu gelombang yang yang bergerak-gerak. Barulah ‘hidup’ namanya.
Apa Sebenarnya Yang Bawa Seseorang Kepada Kesembuhan Dari Gangguan Jin Syaitan
Ini kisah sendiri yang dah masak dengan selok belok misteri ni lebih 10 tahun. Pengalaman yang berbagai ini membawa kebaikan akhirnya.
Dulu. Hari-hari nak tidur rasa takut.
“Waktu sekolah asrama dulu , bila masuk waktu maghrib aku akan jadi takut sangat. Setiap malam kena kacau. Aku tak boleh tidur. Tak pernah pulak aku bagitahu kawan-kawan perasaan takut tu. Setiap hari aku takut. Fikiran aku takut. Tindakan aku juga takut. Dalam tak sedar umpama aku melatih diri menjadi seorang penakut.
“Lepas habis sekolah ni pun aku dah mula diganggu dengan sakit-sakit badan. Berubatlah dengan ustaz sana sini. Ada yang tunjuk kuasa ajaib dia lah. Ada yang kata aku ni kena ganggu dek jin jenis itu ini, macam-macam.
“Disebabkan aku nak kan kesembuhan. Aku tak sanggup rasa derita. Aku mencari-cari mana ustaz yang boleh sembuhkan sakit ni. Orang pun bagitahu aku ustaz ni bagus ustaz tu teror tangkap jin. Ustaz tu teror ubat dari jauh lah apalah. Memang aku pergi. Sebab nak sembuh.
“Pengalaman aku jumpa macam-macam perawat Islam, ada yang betul ada yang tak betul. Serius. Kau jangan ingat atas nama perawat Islam semuanya betul. Ada garis panduan kalau nak tahu mana perawat yang menepati syariat.
“Ada yang suruh aku buat bukan-bukan. Balik rumah tampal duit kat dinding lah apa. Lagi aku terkilan bila berani pulak perawat bagitahu orang yang sihir kau ni ialah sekian sekian. Orang dengki kat kau ni dia dengki sebab sekian-sekian.
“Lama-lama aku rasa dah tak betul ni. Sebab , kenyataan yang macam ni boleh porak peranda kan hubungan. Seolah olah mencetuskan lagi api permusuhan. Sejak aku rasa tak sedap tu lah aku stop jumpa ustaz yang kononnya boleh tahu benda ghaib.”
Makhluk Berbulu Hitam Bertenggek Atas Almari Dekat Kepala
“Kejap aku sakit kejap sihat. Pernah satu tempoh yang panjang aku sentiasa sakit 24 jam. Bayangkan, bila duduk rasa sakit macam duduk atas paku. Bila baring rasa tercekik. Bila bangun rasa panas terbakar. Semua keadaan serba tak kena. Lama-lama otak aku jadi tak betul. Kosong. Sengsara weh! Hilang deria.
“Sakit aku ni memang pernah sampai tahap teruk. Satu malam tu aku tidur berpasangkan lampu tidur yang samar-samar. Kau jangan seram pulak. Nanti habis semua lampu kau bukak bila nak tidur.
“Tiba-tiba, dalam keadaan aku baring tu, aku nampak seekor makhluk berbulu hitam bertenggek diatas almari di kepala aku. Kira macam dalam separa mimpi la ni. Pastu kan, benda hitam ni pergi masuk dalam kepala aku.
“Aku tak boleh nak halang waktu tu. Dengan izin Allah jua aku ter-memaksa hadapinya. Aku terjaga. Aku jadi sangat takut. Kepala aku lepas tu jadi sakit sangat. Apa tu?
“Pernah satu masa, aku tengah baca buku. Bijik mata segar bugar je lagi. Tiba – tiba aku jadi tak dapat kawal rasa ngantuk yang teramat sangat. Lepas aku terlelap je. Benda tu serang. Melawan lah pulak. Lepas sedar. Jadi tak boleh tidur.”
Rasa Salur Darah Ini Macam Dimakan Ulat
Pernah aku nampak, dia datang serang sendiri-sendiri. Lepas tu dia ajak pulak segerombolan makhluk yang hitam coklat botak kuku panjang muka hodoh semua cukup. Depa pukul badan aku. Tendang perut aku. Depa cucuk badan aku. Ya Allah deritanya usah kata. Sepanjang hari berulang ulang sakit tak pernah hilang.
Aku juga pernah rasa dalam salur darah ni macam ulat makan-makan semua kat dalam. Sampai aku cakap waktu tu, “Ya Allah, aku sakit sangat ya Allah. Aku menderita sakit ni lama dah ya Allah. Aku redho ya Allah.”
Selama ni aku asyik marah. Aku asyik tanya Engkau kenapa aku diuji. Selama ni aku asyik tak puas hati kenapa aku tak sembuh lagi. Selama ni aku sedih dengan kesakitan aku. Aku lebih percaya kata ustaz dari peringatan yang Engkau nak beri.
Jadi, setiap kali sakit aku pandang je tangan aku. Aku rasai sakit tu.
Waktu ni baru aku tersedar kawan. Aku cuba bangkit lagi dan lagi. Aku sentiasa cuba ubah diri.
Paling dahsyat waktu aku baca Quran surah Baqarah waktu tu, aku rasa aku yang nak mengamuk. Aku yang takut. Dan aku yang marah. Aku rasa aku ada dua orang. Iaitu aku yang nak berubah dan aku yang marah.
Pernah Tertidur, Rasa Dicekik Bagai Nak Mati
Ujian tu tak berhenti lagi. Bila tidur je aku mesti kena sesuatu. Satu hari tu, aku tertidur dan terus aku kena cekik sampai aku rasa nak mati. Sampai aku rasa lah tangan aku ni melawan cekikan tu. Seram oi. Bila dapat rasa bulu-bulu tangannya. Eww.. Datang lagi sekali memang aku penampo jer. Seram oi.
Aku memang tak tahu apa semua ni. Dan sepanjang proses kesembuhan aku dari masalah ini aku mendidik diri aku untuk tidak fikir kan SIAPAKAH GANGGUAN YANG DATANG INI.
Aku tak tanya kat Allah lagi kenapa aku kena uji. Jadi aku mula mendidik hati aku untuk fikir APA HIKMAH ALLAH NAK BAGI. Aku hanya lalui saja benda ni setiap hari.
Sampai kemuncak, aku dah tahap perlukan bantuan ustaz yang betul. Allah temukan aku dengan Ustaz Basri. Aku membuat rawatan dengan ustaz ni berkali kali.
Pernah aku histeria. Menjerit jerit dibacakan ayat kursi. Mengamuk tendang semua perawat yang bantu ustaz masa tu. Banyaaakkkk sangat pengalaman yang mampu aku ingat dalam hal ni.
Akhir sekali Ustaz bantu buangkan segala apa yang ada bertempek di dalam badan. Buang energi negatif dan buruk dalam diri. Ia sangat seksa dan menakutkan sampai kawan, kakak dan abang pun menangis tengok keadaan aku yang macam nyawa ikan.
Lepas tu aku rasa tersedar. Ustaz panggil nama. “Dhuha. Dhuha.” Ustaz suruh aku mengucap syahadah. Suruh aku solat taubat. Aku menangis semahunya waktu tu.
Sebab mula dari tu lah aku fikir Allah bagi aku sesuatu untuk aku bantu orang lain satu masa nanti. Baiknya Allah bagi aku derita yang lama. Tapi, menjadikan aku selalu beringat-ingat.
Jangan Ditanya Siapa Yang Sihir Atau Si Pendengki
Ustaz ni pesan kat aku yang memang buatkan aku rasa amat malu dengan diri aku dan malu dengan Allah.
“Jangan tanya saya siapa sihir atau dengki, kadangkala ia memang sangat benar ada nya sihir, tapi apa sebab Allah izinkan, kadangkala ia salah, hanya Allah je tahu kenapa Dia bagi.”
“Hati – hati dengan sangkaan kita, sebab boleh jatuh jadi terburuk sangka pada benda yang tak ada apa sebenarnya.“
INI AYAT YANG BUATKAN AKU RASA TEMUI SINAR BARU bila ustaz cakap,
“Kamu sebenarnya sangat boleh sembuhkan diri kamu sendiri.“
Maka yang aku buat ialah ubah diri sendiri. Ia memang perlukan proses yang panjang.
Ingat 4 Hal Ini Bila Diri Diuji Sakit Misteri
Apa aku nak share kat sini,
1. Gangguan makhluk halus ni kadang-kadang menjadi-jadi sebab kita terlebih fikir orang aniaya kita. Syaitan mula lah mencucuk cucuk.
2. Dapatkan rawatan Islam yang betul betul boleh bawa kita kepada Allah. Bukan melagakan lagi dan menambahkan lagi perasaan sakit kita yang dah memang sakit batin itu .
3. Setiap yang Allah bagi kat kita tentu bersebab. Sebab Allah tak akan pernah bagi kita ujian tu sia sia saja. Mesti akhirnya nak bagi kita sedar sesuatu. Sedar akan KEKUASAAN ALLAH . Kadangkala Allah ajar kita dahsyat – dahsyat sebab nak jadikan kita seseorang yang kental dan boleh bantu orang lain juga.
4. Ingatlah semua yang kita terima susah dan senang adalah dari Allah. Untuk satu tujuan. KEMBALI KEPADA ALLAH. Juga, boleh jadi ini satu jalan dakwah.
5. Bila telah ‘kembali’ itu, Allah datangkan kesembuhan yang kita sendiri tak jangka, hadiah demi hadiah kita rasai atas kesabaran kita yang tidak mengeluh. Hanya untuk insan yang sabar dan terus usaha.
P/s : Alhamdulillah. Lepas pada sembuh tu. Aku jadi senang nampak benda. Berlari balik langsir la. Melepak atas almari la. Bergayut-gayut. Dah nampak tu apalagi. Aku geram aku kejooo dia sampai dapat. Pernah aku geram aku pergi flush dalam tandas.
Pastu ustaz kata tak normal. Kena tutup balik hijab. Aku pun dah tak mahu nampak tah pape lagi tah. Baik aku fokus frame khat Khaliframe ni. Bagi ramai orang pulak yang asyik nampak dia kat mana mana sahaja.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan kebenaran daripada penulis asal. Sebarang copy paste tanpa memberikan kredit link kepada Mingguan Wanita akan dilaporkan pada copyright.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selepas 11 hari melahirkan bayi secara pembedahan, isteri ini Faiqah masih ditidurkan. Bayi lelaki pramatangnya yang dikeluarkan pada usia 31 minggu itu juga masih berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) bawah pemantauan doktor.
Sebagaimana ibunya yang ketika ini sedang bertarung nyaw di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana ada jangkitan pada paru-paru dan kadar jangkitan dalam darah. Baginya juga mengalami keadaan yang sama, paru-parunya ada jangkitan.
“Hanya Allah yang Maha Mengetahui perasaan saya ketika ini sayang. Allahurobbi.. tiada kata-kata yang dapat diungkap. Hanya doa dan air mata yang sentiasa menemani.” Kongsi suaminya, Mohd Zulkifli Mohdisa lewat facebook miliknya.
Ketika ini, dia di rumah menjaga anak perempuan sulung mereka, Siti Aisyah. Mengharap dengan doa agar isteri dan ibu mereka yang masih ditidurkan itu kembali sedar.
Sebelumnya, Faiqah dijangkiti Covid-19 dan keadaannya yang tidak baik itu membuatkan dia terpaksa ditidurkan.
Isteri Masih Ditidurkan, Bergantung Alat Bantuan Pernafasan
Pada 5 Ogos lalu, kadar oksigen Faiqah turun mendadak sehingga 51 peratus. Dan memerlukan alat bantuan pernafasan seratus peratus.
Beberapa hari lalu, Mohd Zulkifli memohon agar mendoakan isteri dan anaknya. “Keadaan terkini isteri saya masih lagi ditidurkan. Masih perlukan alat bantuan pernafasan. Alhamdulillah walaupun sedikit tapi beliau menunjukkan perubahan positif.
Dan saya masih mengharapkan keajaiban dan belas ihsan dari Allah SWT untuk isteri dan anak saya pulih. Saya masih menanti perkembangan tentang anak saya.
Setakat hari ini masih tiada lagi perkembangan dari pihak hospital.
Maafkan Isteri Saya, Doakannya Dan Bayi
Maafkanlah isteri saya jika beliau ada mengguris hari sesiapa. Doa kalian masih saya harapkan. Diharap kalian semua juga sentiasa di dalam kesihatan yang baik dan di dalam lindunganNya. Stay safe, jaga diri.”
Kisah Faiqah dan bayi ini sama jalan ceritanya dengan ibu-ibu hamil yang terkesan kesihatannya selepas dijangkiti Covid-19. Buat keluarga yang sedang berdepan ujian hebat ini, semoga kalian diberi kekuatan olehNya untuk terus tabah.
Marilah sama-sama menjaga dan mengikuti pematuhan SOP. Dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar virus maut ini dapat dilenyapkan dari bumi Malaysia tercinta ini.
Keberanian, ketabahan, dan dedikasi adalah antara sifat-sifat utama yang dimiliki oleh wanita-wanita hebat seperti Datin Dr. Nor Fadilah Alias dan Raihana Rosdan. Kejayaan mereka dalam kerjaya masing-masing bukan sahaja hasil daripada usaha dan kerja keras mereka sendiri, tetapi juga berkat sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi daripada keluarga dan figura ibu dalam kehidupan mereka.
Datin Dr. Nor Fadilah Alias telah diberi penghormatan menerima Anugerah Ibu Inspirasi oleh Mingguan Wanita & NONA baru-baru ini. Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada ibu-ibu yang telah menunjukkan keberanian, ketabahan, dan dedikasi luar biasa dalam membesarkan keluarga serta memberi sumbangan yang signifikan kepada masyarakat.
Dunia Pendidikan Sebati Dalam Jiwa
Datin Dr. Nor Fadilah Alias, yang juga merupakan Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Operasi Al Kauthar Eduqids telah berjaya mengimbangi antara kerjaya yang cemerlang dengan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada empat orang cahayamata. Beliau dikenali ramai bukan sahaja kerana sumbangannya dalam bidang Pendidikan kanak-kanak tetapi juga kerana peranannya sebagai seorang ibu yang penuh inspirasi dan berdedikasi.
Sebagai ibu kepada empat orang anak, Datin Dr. Nor Fadilah sentiasa memastikan bahawa anak-anaknya mendapat pendidikan yang terbaik dan membesar dalam persekitaran yang penuh kasih sayang dan disiplin. Beliau percaya bahawa pendidikan yang baik dan sokongan moral yang kukuh adalah kunci kepada kejayaan anak-anaknya. Ketika ditemui usai Majlis Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA baru-baru ini, beliau mendedikasikan kejayaan tersebut hasil dorongan ibu tersayang.
“Perasaan saya Alhamdulillah Syukur dan bangga kerana terpilih menerima penghargaan Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA ini. Ramai ibu-ibu hebat menerima anugerah ini pada majlis ini. Mereka patut diraikan supaya mereka terus bersemangat dan memberi inspirasi kepada wanita lain,” ujarnya Ketika ditemui media selepas selesai majlis.
Dalam berkongsi kisah kegembiraan, Datin Dr Nor Fadilah tidak pernah lupa mengenang kembali kehidupannya yang lalu yang disifatkan sebagai salah satu pendorong kejayaan dirinya pada hari ini.
“Saya dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Pengorbanan ibu adalah antara faktor pendorong kejayaan saya. Sejak kecil saya diberi pendedahan tentang kehidupan apabila ibu membawa keluar berniaga di pasar secara kecil-kecilan. Alhamdulillah dari kecil saya sudah didedahkan dengan dunia perniagaan dan sebagainya.
Itu antara sebab mengapa saya berminat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Saya melihat banyak penorbanan yang ibu lakukan untuk saya. Meskipun dia hanya berpendidikan sekolah rendah dan anak yatim piatu, dia amat mementingkan pendidikan untuk anak-anak.
“Apabila saya melihat sendiri betapa sukarnya nak mencari rezeki, ada kalanya hasil jualan tidak laku dan sebagainya, saya belajar sesuatu yang berharga dalam kehidupan.”-Datin Dr Nor Fadilah Alias
Saya bersyukur kerana sebagai anak bongsu, saya dapat membalas jasa kedua orang tua dan berkongsi kejayaan ini dengan mereka,” ujar Datin Dr Nor Fadilah sebak ketika bercerita mengenai sumber inspirasinya untuk berjaya dalam kerjaya dan keluarga.
“Saya tidak akan berada di sini hari ini tanpa sokongan suami saya dan anak-anak saya. Mereka adalah sumber kekuatan dan inspirasi saya,” katanya dengan penuh emosi.
Beliau juga menekankan pentingnya peranan ibu dalam membentuk masa depan anak-anak. “Sebagai seorang ibu, tanggungjawab kita bukan sahaja membesarkan anak-anak tetapi juga membimbing mereka untuk menjadi individu yang berguna kepada masyarakat,” tambahnya.
Nada yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi penerima Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & NONA yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids baru-baru ini.
Raihana Rosdan, seorang usahawan berjaya yang telah membangunkan rangkaian tadika dan taska, juga mendapat dorongan besar daripada suami dan ibunya. Suami Raihana, Mohammad Faazil Bin Fakharazi, bukan sahaja menjadi penyokong utama dalam perniagaan mereka tetapi juga memberikan sokongan emosi dan moral yang sangat diperlukan. Kerjasama mereka dalam membina perniagaan dan menguruskan keluarga telah membolehkan Raihana mencapai kejayaan yang luar biasa.
Kuasa Wanita Luar Biasa
Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada ibu-ibu yang menunjukkan keberanian, ketabahan, dan dedikasi luar biasa dalam membesarkan keluarga serta memberi impak positif kepada masyarakat.
“Alhamdulillah dengan izin Allah atas kejayaan menjadi salah seorang penerima Ibu Inspirasi Mingguan Wanita & Majalah NONA dan Al Kauthar Eduqids ini. Saya dedikasikan anugerah ini untuk ibu, yang banyak memberi motivasi untuk diri saya,” ujar Raihana.
Menurut Raihana yang merupakan anak sulung dari tiga bersaudara, ibunya menjadi sumber inspirasi dalam hidup. Dari kecil, Raihana melihat bagaimana ibunya mengharungi pelbagai cabaran dengan tabah dan penuh dedikasi. Nilai-nilai inilah yang diterapkan oleh Raihana dalam kehidupan dan kerjayanya, menjadikannya seorang wanita yang kuat dan bersemangat.
“Antara perkara yang paling memberi kesan mendalam dalam hidup saya adalah motivasi dari ibu. Sejak kecil, ibu tidak putus-putus memberi motivasi untuk saya. Ia menjadi dorongan dan rangsangan untuk saya berjaya dalam kehidupan,” ujarnya.
Kisah kejayaan Datin Dr. Nor Fadilah Alias dan Raihana Rosdan adalah bukti bahawa sokongan daripada orang-orang tersayang, terutama suami dan ibu, adalah kunci penting dalam mencapai kejayaan. Dorongan moral, bantuan praktikal, dan inspirasi yang diberikan oleh suami dan ibu mereka telah membentuk asas yang kukuh untuk mereka mengejar impian dan mencapai kejayaan dalam kerjaya masing-masing.
Anugerah Ibu Inspirasi yang diterima oleh kedua-dua wanita hebat ini adalah pengiktirafan terhadap dedikasi dan pengorbanan mereka, serta sokongan yang tidak ternilai daripada suami dan ibu mereka. Majlis yang ditaja oleh Al Kauthar Eduqids dan kerjasama Mingguan Wanita dan Majalah NONA ini telah dihadiri ramai tokoh wanita terkemuka, termasuk ahli perniagaan, selebriti, dan aktivis.
Anugerah Ibu Inspirasi ini bertujuan untuk mengiktiraf jasa ibu-ibu yang telah memberi impak besar dalam kehidupan anak-anak dan masyarakat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.