mangsa dera

Allahu, sayunya hati apabila mendengar berita seorang kanak-kanak perempuan 9 tahun maut, cedera organ dalaman dipercayai mangsa dera ayah mak tiri. Sampainya hati.Memetik laporan Harian Metro, Aina Nabihah adalah kanak-kanak yang maut dipercayai akibat didera ayah kandung dan mak tirinya di rumah keluarganya di Taman Vista Jaya, Lukut, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, mangsa Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, dilihat tidak sedarkan diri oleh bapanya pada 11.30 malam.

“Lelaki berusia 38 tahun cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada anak keduanya itu namun tidak berjaya. Dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor pada 12.30 tengah malam, malah pemeriksaan menemui kesan lebam di seluruh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kecederaan Organ Dalaman

Katanya, mayat mangsa diserahkan ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat dan keputusan mendapati kematian mangsa berpunca daripada kecederaan parah pada organ dalaman.

“Bedah siasat mendapati buah pinggang mangsa rosak, usus koyak, tulang rusuk kanan dan kiri patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul,” katanya.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, suspek ditahan selepas selesai bedah siasat di HTJ hari ini dan akan mendapatkan perintah reman di mahkamah, esok.

IKLAN

Zainudin berkata, sebelum ini bapa kandung mangsa pernah ditahan atas kesalahan sama pada Jun tahun lalu, susulan laporan yang dibuat bekas isteri yang melihat kesan lebam ketika mengambil anaknya daripada jagaan lelaki itu.

“Kes terbabit dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan suspek dibebaskan atas alasan ingin mendidik mangsa,” katanya.

Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali mendakwa, anaknya yang juga rakan mangsa, mendedahkan kanak-kanak itu kerap mengadu didera bapanya sebelum ini.

IKLAN

Antara luahannya, “Lama-lama nanti aku mati kena bunuh,”.Dia beritahu anak saya, selalu kena pukul malah pernah dibaling kerusi oleh bapanya itu sehingga kerusi itu patah dan dia cedera. Dia juga beritahu kalau keadaan berterusan, dia boleh mati,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan itu di sini, hari ini.

Beberapa Kali Mangsa Lebam Pada Mata

Sementara itu, seorang jiran lain, mendakwa kanak-kanak itu beberapa kali dilihat lebam pada muka, terutama pada bahagian mata.

“Mangsa agak pendiam dan jarang keluar rumah tetapi semua orang di sini tahu dia adalah kanak-kanak yang baik. Apabila saya bertanya mengenai kecederaan sebelum ini, dia memberi alasan terjatuh daripada basikal.

“Kami juga kerap mendengar suara bapanya marah-marah di dalam rumah itu dan disusuli bunyi seperti pukulan. Bapanya memang garang, tetapi mempunyai hubungan baik dengan jiran dan pernah memberitahu tidak sentuh anak-anak ketika marah,” katanya.

Jiran berkenaan turut berkata, tidak pernah mendengar kanak-kanak itu bercerita perkara buruk mengenai bapanya yang juga seorang anggota tentera berpangkat sarjan.

IKLAN

Ditanya mengenai kejadian malam tadi, dia berkata, mereka tidak menyedari bunyi mencurigakan, namun mengakui mendengar suara bapanya marah dengan kuat dari dalam rumah itu pada tengah hari, Ahad lalu.

Semoga arwah adik Aina Nabihah tenang menemui penciptaNya.Berakhir sudah segala penderitaan yang dialami selama ini. Buat mak ayah dalam mahu mendidik dan mengajar anak-anak biarlah berpada-pada, jangan terlalu mengikut perasaan amarah yang mengakibatkan kecederaan dari segi emosi dan fizikal buat mereka.

Sumber: Hmetro & Sinar Harian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI