13 Tahun 3 Majalah, Duit Pun Tak Dapat Beli Pengalaman Wanita Ini

Share

Pejam celik sudah hampir 13 tahun saya menjadi seorang wartawan. Dari bulan Mei 2005 sehinggalah sekarang, Alhamdullilah rezeki masih di Karangkraf. Bermula dengan menjadi wartawan untuk majalah kanak-kanak Bintang Kecil dengan tagline ‘Untuk Kita-kita Je’ menjadi titik mula saya terlibat secara serius dalam bidang kewartawanan.

Tujuh tahun menjadi wartawan di Majalah Bintang Kecil, iaitu majalah untuk kanak-kanak perempuan berumur 7-12 tahun, saya dan team banyak bergaul dengan ibu-ibu dan ‘gegurl’ yang sedang meningkat dewasa. Konsep majalah ni pun santai-santai sahaja, tentang lifestyle Anak gadis di usia tersebut, pembesaran mereka dan sebagainya. Satu pengalaman yang cukup menyeronokkan bagi saya. Sering membuat event-event seperti G2G Party, 9 To 5 dan banyak lagi. Semuanya ‘Untuk Kita-kita Je’.

Selepas tujuh tahun saya rasa nak ubah angin kebetulan ada kekosongan tempat di majalah Pa&Ma. Syukur saya diberi peluang mencuba perkara yang baru. Dari majalah Kanak-kanak saya ke Majalah keibubapaan pula. Kali ini lain pula genrenya. Kalau dulu penulisannya agak santai kerana targetnya untuk gadis-gadis muda di sekolah rendah, kali ini lebih serius kerana bermain dengak fakta.

Banyak saya belajar dengan majalah ini, info-info dari mengandung Sampailah untuk anak berumur 6 tahun, info tentang ilmu parenting boleh didapati dalam majalah Pa&Ma. Kali ini pendekatannya lain pula, saya perlu menemubual doktor-doktor pakar sakit puan, doktor pakar kanak-kanak, pakar pemakanan, bidan dan banyak lagi.

Selain itu, Pa&Ma juga aktif dengan event-event. Kalau ada sahaja ekspo baby, adalah kami kat situ. Orang lain jual barang baby kami jual majalah dan buat stage event. Time ni pun seronok juga, sambil bekerja saya dan team dapat berjumpa ramai orang, mak ayah yang bawa anak-anak mereka join pertandingan, ibu-ibu hamil, parents yang muda-muda dan ramai lagi. Kalau time event macam-macam gelagat mak-mak yang datang bawa anak mereka yang comel-comel. Penat pun hilang bila dapat tengok si kecil yang comel datang join event kami.

Lima tahun dekat Pa&Ma, tahun 2017 saya ditugaskan pula ke majalah Wanita no 1 di Malaysia, iaitu Majalah Mingguan Wanita. Daripada majalah bulanan saya perlu buat mingguan, memang agak mencabar untuk saya pada mulanya, tapi saya positifkan diri cuba buat yang terbaik. Orang kata tak cuba tak tahu kan. Alhamdullilah Sudah masuk tahun kedua saya di majalah ini. Cara penulisan di majalah ini juga berbeza dari yang sebelumnya. Mungkin ada sedikit persamaan dari segi info tentang Wanita hamil, tapi kandungan untuk majalah MW lebih kepada penceritaan tentang kisah masyarakat, gaya hidup wanita-wanita hebat seperti ‘businesswoman’, Ibu tunggal yang berjaya, VIP dan banyak lagi.

Bila di MW juga saya banyak belajar benda baru, banyak dapat peluang menemubual dan berkenalan dengan orang hebat. Pendek kata orang yang Penuh dengan inspirasi untuk berjaya. Itu satu pengalaman yang tak dapat saya beli dengan wang ringgit. Priceless!

Apa yang saya sedar bila ditukarkan ke majalah MW, saya rasa penulisan saya ada perubahannya, semakin bernyawa dari sebelum ini. Mungkin bermain dengan emosi dan perasaan orang yang pernah saya temubual menjadikan penulisan saya lebih kreatif dari yang sebelumnya. Setiap perubahan dan perpindahan majalah yang saya lalui memang mematangkan saya bukan baik dari segi emosi dan juga penulisan.

Saya percaya setiap kerjaya ada cabaran yang tersendiri, begitu juga dengan wartawan. Tapi alah bisa tegal biasa, lama-kelamaan cabaran itu jadi satu peluang untuk kita belajar perkara baru. Saya sendiri tak sangka akan jadi wartawan, tak pernah terlintas sekalipun untuk bergelar wartawan masa kecil dulu, tapi kini saya dah 13 tahun berada dalam bidang ini.

Pada 11 April baru-baru ini, PM Dato’ Seri Najib Tun Razak umumkan Hari Wartawan Nasional yang akan disambut pada 29 Mei setiap tahun. Jadi saya rasa saya patut bangga sebab sekarang dah ada Hari wartawan Nasional yang akan disambut setiap tahun. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Wartawan kepada semua rakan-rakan wartawan yang ada di Malaysia. Semoga kita terus menyampaikan berita yang baik untuk semua!

Published by
Shahrina Azlin