12 Tahun Ibu Ini Jadi Guru Di NASOM, Selepas Anaknya Sendiri Disahkan Autisme

Share

Dengar pesanan ibu usia 49 tahun ini. Yusni Binti Mintol yang dikurniakan anak autisme. Demi anaknya, ibu ini rela menjadi guru pada anak-anak autisme yang lain selama 12 tahun di National Autism Society of Malaysia (NASOM).

Hayati perjalanan inspirasi ibu yang kini anak autismenya yang dijaga dari kecil itu sudahpun berusia 24 tahun.

Yang mana, anak ini sedang belajar membaca dan menghafal Al-Quran di Akademi Faqeh yang juga merupakan Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi anak istimewa.

 

Usia 6 Bulan Anak Diserang Sawan

Ketika anak autismenya dilahirkan, maklumat berkaitan autisme amat berkurangan. Sungguh pun sumber rujukannya terhad, ibu ini cukup tabah dan kental semangatnya membesarkan anak autismenya, Dinie Edry Bin Badrul Hisham.

Kami telah menerima seadanya keadaan Dinie. Ketika berusia enam bulan, Dinie diserang sawan. Sejak itu dia kerap keluar masuk di hospital. Disebabkan sering kena sawan itulah, kami mula lihat perbezaan kesihatan Dinie.

Doktor beritahu, dia mengesyaki anak kami itu mengalami masalah disebabkan tingkah lakunya yang hiper.

Akhirnya kamu rujukkan pada doktor pakar. Pemeriksaan MRI dilakukan dan hasilnya, Dinie disahkan alami masalah austisme sejak umur dua tahun setengah,” ujar Yusni memulakan perbualan dengan wartawan Mingguan Wanita.

Mengetahui anak mengalami masalah autisme dan ADHD menjadi satu cabaran baru pada Yusni dan suaminya Badrul Hisham pada ketika itu.

Ketika itu kelengkapan dan maklumat mengenai austisme masih kurang. Kami mendiagnosis Dinie pada usia awal tetapi kami tak dapat intervensi di kawasan tempat tinggal kami di Seremban.

Jadi kami daftarkan Dinie dengan National Autism Society of Malaysia (NASOM) di Seremban. Umur dia enam tahun barulah Dinie dapat masuk.

Waktu itu memang sukar mencari maklumat. Demi Dinie saya putuskan untuk berhenti kerja sebagai technical assistant. Saya beritahu suami, biarlah saya jaga Dinie sendiri. Saya sedar, sukar untuk mencari orang untuk menjaga anak istimewa sebegini.

Sukar sebenarnya membesar dan mendidik anak autisme pada ketika itu. Saya tak tahu dekat mana hendak belajar mengenai autisme.

Menguruskan Dinie agak sukar kerana dia tidak pandai bercakap. Dia hanya menggunakan gerakan (gesture) sahaja jika mahukan sesuatu. Saya tidak pernah dengar dia mengucapkan perkataan ‘Mama’ atau ‘Papa’ pada ketika itu.

Macam-macam dah kami tuturkan dekat dia tetapi tidak ada bunyi yang keluar daripada mulutnya.

“Hanya setelah diterima masuk ke NASOM, banyak perubahan telah berlaku pada Dinie. Dia sudah boleh bercakap dan saya bersyukur dengan perubahan tersebut,” tambah Yusni penuh kesyukuran.

 

Guru Sementara NASOM Yang Bertahan 12 Tahun

Keputusan menghantar Dinie belajar di NASOM juga membuka peluang baru dalam hidup Yusni. Peluang di hadapan mata diterima dengan tangan yang terbuka.

Hendak dijadikan cerita, pada ketika itu NASOM mencari guru sementara. Saya tanya, bolehkah saya memohon. Setelah ahli lembaga bersetuju, saya telah diterima masuk menjadi guru sementara di NASOM Seremban.

Jadi guru di sana amat bagus kerana saya dapat tahu cara berkomunikasi dengan Dinie. Saya boleh nampak perkembangan Dinie di depan mata. Tetapi saya tidak mengharap sangat dia mampu melakukan lebih daripada kemampuannya.

Saya tidak letakkan sasaran tinggi pada Dinie. Cukuplah sekadar dia dapat menguasai kemahiran yang diperlukan dalam menjalani kehidupan seharian.

Saya juga sering memberikan kesedaran dan cara bagaimana menguruskan Dinie kerana jika ditakdirkan kami telah ada di dunia ini, ada orang yang boleh menjaganya.”

Yusni bekerja selama 12 tahun di NASOM dan baru empat tahun dia berhenti kerja.

Kini dengan masa yang ada dia menggunakan ilmu yang dipelajari dahulu untuk terus mendidik dan menguruskan anak keduanya itu selagi hayat dikandung badan.

Sekarang saya buat ‘freelance talk’ untuk ibu bapa yang baru sahaja mengetahui anak mereka didiagnosis mengalami masalah autisme.

Kami juga mempunyai grup Whatsapp ibu bapa anak istimewa autisme di Negeri Sembilan. Tugas saya banyak membantu dari segi apa yang perlu dibuat, persediaan sebelum masuk sekolah dan juga memberi motivasi.”

 

Layan Dia Sama Macam Orang Normal

Akui Yusni, dia sentiasa melibatkan Dinie dalam apa sahaja aktiviti keluarga.

Kami tidak akan meninggalkan Dinie di rumah seorang diri. Kami juga sering cuba berkomunikasi dengan dia. Walau dia tidak tahu bercakap, Dinie akan cuba memberikan tindak balas.

Dinie tidak duduk di sudut bermain sendirian. Sebaliknya dia bermain dengan adik-beradiknya juga. Pada mulanya adik-beradiknya sukar menerima keadaan Dinie. Namun lama-kelamaan mereka juga menganggap Dinie itu normal.

Saya sering menasihati anak-anak lain jangan anggap Dinie itu istimewa. Layan dia seperti orang normal. Saya juga menasihatkan anak-anak agar jangan malu dengan orang kerana Dinie. Saya bersyukur anak dapat faham.”

Susah Sebenarnya Nak Educate Orang Ramai

Sebagai ibu yang berpengalaman dalam membesar dan mendidik anak autisme, Yusni berharap masyarakat lebih menerima kelainan upaya autisme dalam komuniti.

Memang susah hendak educate people but insya-Allah jika dengan usaha yang tidak mudah putus asa, mungkin akan boleh juga.

Nasihat saya kepada ibu bapa yang baru ada anak autisme, agar jangan bersedih lama-lama. Jangan denial lama-lama

.

Jangan hendak mencari silap dan juga jangan mencari alternatif yang merugikan masa serta wang kita sebab ini akan melambatkan proses intervensi anak kita.

Sekarang zaman amat canggih, tidak seperti zaman anak saya. Tiada sumber untuk dirujuk. Carilah terapi yang sesuai untuk anak, jika tidak dapat yang percuma, usaha untuk yang berbayar.

Insya-Allah akan ada rezeki untuk kita. Jika tidak juga mampu, google dan carilah cara-cara home schooling untuk anak tersebut, jangan tunggu peluang datang tapi cari peluang yang ada.

Lebih Cepat kita mulakan intervensi, insya-Allah lebih banyak perubahan anak kita akan nampak walau segala terapi tidak akan mengubah autisme pada diri anak kita.

Tapi sekurang-kurangnya kita dapat cover tiga masalah autisme iaitu dari segi komunikasi, tingkah laku dan juga sosial.”

Yusni berbangga walaupun Dinie tidak cemerlang dalam akademik tetapi dia boleh menghafal dan mengingat terutama perkara berbentuk muzik.

Lagu pertama dia hafal dengan hanya mendengar adalah nasyid kumpulan Raihan walau sebutan tidak berapa jelas sebab Dinie adalah non verbal sebelum usia enam tahun.

Foto: Yusni Mintol

 

Published by
Julie Roshana