Sepanjang PKP, kita hanya duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama keluarga. Jika keluar pun, hanya ketua keluarga untuk membeli barang-barang keperluan atau tugasan yang mempunyai surat kebenaran sahaja. Itu yang dibenarkan.
Tidakkah kita fikirkan bagaimana dengan pihak berkuasa barisan hadapan atau frontliner yang bertungkus lumus dalam memastikan keselamatan dan kesihatan kita bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini. Jangan kita ambil mudah tanpa memberi kerjasama pada mereka. Penat jerih mereka dalam bertugas sepanjang PKP ini tiada siapa yang tahu. Tinggalkan keluarga dan anak-anak demi memastikan semuanya berjalan lancar.
Mingguan Wanita telah berkesempatan menemubual salah seorang frontliner, pegawai wanita ASP Juliana binti Jamak, Pegawai Turus Latihan, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik yang bukan sahaja seorang isteri, ibu dan masa yang sama, seorang pelajar yang bertugas dalam menyelaras sekatan jalan raya yang bertempat di Jalan Duta.
Inilah rutin harian yang dilakukan sepanjang PKP yang tidak semua orang tahu. Jika sebelum ini, beliau hanya bekerja waktu pejabat, kini segala urusan lebih tertumpu kepada Covid-19.
Dalam tempoh bertugas yang mengambil masa 12 jam, sudah pasti, beliau memerlukan rehat yang cukup.
Menjalankan tanggungjawab selama 12 jam dalam memantau pergerakan orang awam, sudah tentu masa bersama keluarga agak terhad. Baginya, ia tidak menjadi masalah kerana inilah tanggungjawab yang diberikan kepadanya.
Satu cabaran buat dirinya, dalam menjalankan tanggungjawab kerja, beliau juga adalah pelajar tahun akhir dalam Master Of Science (Counselling) di UUM, Kuala Lumpur. Sebelum ini, beliau hanya mengambil kelas pada setiap hujung minggu.
Jadi, dalam tempoh ini hanya kelas online sahaja dan ada masanya beliau perlu bertugas pada hujung minggu juga.
Ditanya tentang perkara yang menyentuh hatinya sepanjang bertugas untuk Covid-19 ini, ASP Juliana memberitahu:
“Dalam perjalanan pulang ke Bukit Aman selepas selesai menjalankan tugas pada hari ketiga fasa pertama, kami berhenti di sebuah masjid untuk memberi bekalan makanan kepada gelandangan.
“Rupanya, salah seorang yang kami berikan makanan itu, bukanlah gelandangan tetapi dia tidak mempunyai tempat tinggal kerana bekerja mencari rezeki di sini. Dia menetap di Langkawi dan mencari rezeki untuk keluarga di sini. Ada video saya kongsikan dalam Facebook PDRM.”
https://www.facebook.com/fopdrm/videos/1037726463263570/