11 tahun tangguh kahwin kerana urusan kerja dan kehilangan ahli keluarga, baru tiga hari tempuh bahagia akhirnya isteri meninggal dunia.
Sudah tersurat jodoh mereka hanya tiga hari, maka apa yang dapat dilakukan lagi. Sekurang-kurangnya mereka berdua dapat bergelar pasangan suami isteri yang sah sebelum wanita ini meninggal dunia walaupun hanya selama tiga hari.
Pasangan di London, yang menangguhkan perkahwinan mereka selama 11 tahun hanya sempat bergelar suami isteri selama tiga hari apabila si wanita meninggal dunia.
Ben dan Jen Cooper bertunang pada 2010, tetapi terus menangguhkan perkahwinan mereka kerana urusan kerja dan kehilangan ahli keluarga.
Bagaimanapun, mereka sudah mempunyai tiga anak. Mirror melaporkan pasangan berkenaan akhirnya berkahwin pada 17 November lalu di Hospital Severn di Telford, Shropshire.
Beberapa hari kemudian, Jen, 43, meninggal dunia kerana kanser payudara.
Sebelum ini, sejurus sebelum sekatan pergerakan, Jen yang juga guru matematik itu disahkan sekali lagi menghidap kanser.
Ibu kepada lima anak itu meninggal dunia pada 20 November lalu, dengan suami Ben, 34, di sisinya.
Ben dari Newport, Shropshire, berkata, ketika majlis perkahwinan, hanya ada mereka, ibu Jen dan dua saksi.
“Ia sempurna. Jururawat menggantung pakaian Jen di dalam biliknya supaya dia boleh melihatnya ketika berada di atas katil.
“Anak-anak teruja dengan perkahwinan ini, saya bimbang untuk pulang ke rumah dan memberitahu mereka kami sudah berkahwin. Mereka tidak dapat hadir, tetapi mereka sangat gembira untuk kami.
“Satu perkara yang menggembirakan, sepatutnya kami berkahwin pada 27 November sebelum sambutan Krismas, tetapi keadaan memaksa kami melakukannya lebih awal,” katanya.
Jen mempunyai dua anak dengan bekas suaminya, dan selepas bertemu Ben, mereka dikurniakan tiga anak.
“Saat terakhirnya ialah saya memegang tangannya. Saya beritahunya saya menyayanginya dan anak menyayanginya.
“Kemudian saya merasakan dadanya tidak bergerak dan meminta jururawat untuk memeriksa tetapi isteri saya sudah meninggal dunia,” kata Ben.
Dalam pada itu, Ben berkongsi gambar perkahwinan mereka di Twitter hanya dua hari sebelum Jen meninggal dunia.
Artikel Berkaitan:
Selepas Tiga Bulan Berkahwin ‘Baru Sedar’ Isteri Sebenarnya Seorang Lelaki
Walaupun Baru Dua Minggu Berkahwin, Wanita Ini Bersedia Dimadukan & Ikhlas Menerimanya
Baru Berkahwin Seminggu, Gara-gara Nafkah RM8.80 Sehari, Suami Ditinggalkan Isteri
Mingguan Wanita : Walaupun seketika saja, namun sudah tentu itulah momen dan saat paling bahagia buat mendiang.
Sumber : myMetro
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
Telegram Bangkit Wanita: https://t.me/bangkitwanita