11 Intipati Penting Belanjawan 2019, Golongan Wanita, Suri Rumah & Mak-Mak Kena Ambil Tahu!

Share

Hari ini mencatat sejarah, buat pertama kalinya Kerajaan baharu Pakatan Harapan membentangkan belanjawan negara untuk tahun 2019.Pembentangan tersebut diumumkan oleh YB Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat petang tadi bertemakan Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera.

Memetik Teks Ucapan Belanjawan 2019, Kerajaan baharu Pakatan Harapan berusaha keras meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat, memulihkan kekuatan fiskal dan melaksanakan pelbagai pembaharuan institusi bagi menambah baik ketelusan dan akauntabiliti yang penting kepada Malaysia untuk bangkit kembali sebagai ‘Harimau Asia’.Belanjawan 2019 akan memperuntukkan sejumlah RM314.5 bilion dalam perbelanjaan berbanding anggaran RM290.4 bilion peruntukan pada tahun 2018.

Ramai yang ternanti-nanti intipati belanjawan serta perubahan yang akan dibawa oleh kerajaan baru ini.Khususnya dalam menjaga kebajikan rakyat.Golongan wanita, suri rumah dan mak mak juga tidak terkecuali ingin mengetahui manfaat dan kepentingan yang bakal diperolehi.

Antara Intipati Penting Belanjawan 2019;

1. Bantuan Sara Hidup Diteruskan

Kerajaan akan meneruskan dan menambah baik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan menyalurkan peruntukan secara lebih bersasar.

  • Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.
  • Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750.
  • Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.

Kerajaan juga akan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada empat orang, kecuali anak orang kurang upaya (OKU) yang tidak dihadkan umur mereka.

Dengan kata lain, bagi golongan isi rumah dengan pendapatan RM2,000 ke bawah dan mempunyai empat orang anak, bantuan yang akan diterima secara keseluruhan ialah RM1,480.

2.Subsidi Elektrik Isi Rumah Ditingkat RM40 Ke Bawah

Kerajaan akan meningkatkan kadar subsidi bil elektrik isi rumah daripada RM20 dan ke bawah kepada RM40 dan ke bawah.Namun penyaluran subsidi itu hanya dikhususkan kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan program e-Kasih.

Kerajaan mampu meningkatkan kadar subsidi kepada RM40 sebulan dan memanfaatkan 185,000 akaun. Peruntukan sebanyak RM80 juta disediakan.

3.Subsidi Petrol RON95 Kereta & Motosikal

Subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter diberikan kepada pihak yang memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah serta motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

Subsidi itu terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dan 40 liter bagi motosikal. Ia dijangka dilaksanakan bermula suku kedua tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion.Menurutnya lagi, mekanisme subsidi itu dijangka dapat memanfaatkan seramai empat juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.

Kerajaan akan mengapungkan semula harga petrol RON95 di pasaran berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).

4.(KWSP) i-SURI Untuk Suri Rumah

Untuk golongan suri rumah di bawah program eKasih, Kerajaan telah memperkenalkan sebuah skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI.

Melalui skim ini, Kerajaan akan menyediakan geran padanan RM40 setiap bulan sebagai insentif kepada suami penyayang yang mencarum dengan kadar minimum RM5 sebulan kepada simpanan persaraan isteri.Sebanyak RM45 juta diperuntukkan untuk skim ini.

5.Cuti Tanpa Rekod 7 Hari Tunai Umrah

Kerajaan telah meluluskan kemudahan Cuti Tanpa Rekod kepada pegawai beragama Islam untuk menunaikan ibadah umrah sebanyak 7 hari sekali sepanjang tempoh perkhidmatan.

Bagi menghargai 201,600 penjawat awam yang bukan beragama Islam,Kerajaan bersetuju memanjangkan kemudahan cuti tanpa rekodyang sama bagi tujuan keagamaan.

6. Manfaat Tambahan Pegawai Lantikan Kontrak

Pegawai Lantikan Kontrak (contract of service) di dalam perkhidmatan awam, Kerajaan memperuntukkan RM10 juta setahun untuk memanjangkan kemudahan perubatan kepada ibu bapa pegawai lantikan kontrak.

Selain itu, kemudahan Cuti Kuarantin turut dipanjangkan kepada pegawai lantikan kontrak yang anaknya menghidap penyakit berjangkit bermula 12 November 2018.

7. Gaji Minimum RM1,100

Menyedari keperluan dan kepentingan untuk memastikan kadar gaji dapat menampung suasana kenaikan kos sara hidup, Kerajaan mencadangkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,100 di seluruh Malaysia mulai 1 Januari 2019.

8.Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40

Kerajaan komited membantu isi rumah untuk memperkukuh kedudukan kewangan melalui perlindungan insuran dan takaful. Kerajaan melalui usahasama dengan syarikat insurans swasta, akan memperkenalkan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40.

Skim yang akan bermula pada 1 Januari 2019 ini, akan menyediakan perlindungan percuma ke atas 4 penyakit kritikal utama sehingga RM8,000 dan maksimum 14 hari pendapatan gantian semasa rawatan hospital pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun.

9. Teruskan saringan Mamogram, Vaksinasi HPV, Pap Smear

Meneruskan program saringan percuma pengesanan kanser payudara (mamogram), program vaksinasi HPV dan ujian saringan Pap Smear di hospital dan klinik Kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta yang akan memanfaatkan seramai 70,000 wanita.

10.Premis Makanan Kawasan Larangan Merokok

Kementerian Kesihatan telah mensasarkan tahun 2045 ke arah Malaysia Bebas Asap Rokok. Oleh itu,Kementerian akan memperluaskan kawasan larangan merokok melibatkan semua restoran atau kedai makanan yang akan diwartakan mulai 1 Januari 2019.

11.Tambah 50 Taska Di Bangunan Kerajaan

Peruntukan RM10 juta disediakan untuk menambah 50 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan Kerajaan ke arah meringankan bebanan kerja ibu yang bekerja. Kerajaan juga akan terus menggalakkan dan memberi insentif kepada sektor swasta ke arah memastikan peluang pekerjaan yang saksama bagi wanita.

Semoga belanjawan 2019 memberi manfaat buat semua golongan dari segala peringkat demi kemakmuran dan keharmonian negara.

Sumber:Bharian, Utusan,Iluminasi, Laman Rasmi Belanjawan 2019

Published by
Suhaidah Abd Wahab