Bukan mudah nak dapat tidur malam yang lena ketika kandungan ibu hamil sudah membesar dan memasuki trimester ketiga. Bermacam cara dan ubah posisi tidur tapi tetap tak selesa. Cuba 10 tip yang disarankan Mingguan Wanita ini. Semoga tidur lena ibu boleh sampai mimpi bulan bintang.
Mata dah mengantuk tapi tak boleh nak tidur malam, itulah yang sering menjadi keluhan ibu hamil yang menunggu saat melahirkan. Perut yang membesar dan rasa tidak selesa sering mengganggu tidur nyenyak pada malam hari.
Waktu tidur yang diperlukan oleh ibu hamil adalah sekitar 7 hingga 9 jam. Ia penting kerana dapat membantu menjaga tekanan darah untuk berada pada tahap normal. Apa pula jadi kalau tidur kurang dari lima jam? Untuk ibu hamil yang tidur kurang dari jumlah jam yang disarankan berisiko untuk mengalami gangguan preeklamsia.
Preeklamsia merupakan komplikasi kehamilan serius yang bersangkut paut dengan peningkatan tekanan darah. Namun begitu, tidur malam atau siang hari terlalu banyak juga boleh mengundang masalah. Lebih dari 10 jam dalam semalam juga dapat meningkatkan risiko yang sama.
10 tip dibawah ini sesuai untuk ibu hamil amalkan bagi tidur malam yang nyenyak setiap malam:
1. Ibu Hamil Mandilah Dengan Air Suam
Mandi dengan air suam dan gunakan sabun yang dapat menimbulkan kesan relaks seperti lavender. Rasa segar yang ditimbulkan setelah mandi akan membantu ibu untuk lebih nyenyak tidur.
2. Posisi Tidur Selesa Paling Utama
Untuk membuat tidur lebih selesa ibu hamil perlu dapatkan posisi tidur yang terbaik. Posisi tidur terbaik yang disarankan ketika kehamilan adalah posisi tidur mengiring ke sisi kiri. Ini dapat membantu melancarkan pengaliran darah, oksigen dan nutrisi ke plasenta.
3. Segelas Susu Panas/Suam, Oh Nikmatnya!
Minum segelas susu panas/suam akan membantu tidur nyenyak. Susu mengandungi amino tryptophan yang meningkatkan kadar serotonin dalam otak yang akan membantu anda untuk tidur.
4. Janganlah Makan Banyak Sangat Sebelum Tidur..
Ketika hamil ibu selalu hendak makan sesuatu pada waktu malam. Hindari makan terlalu banyak dan mengenyangkan. Untuk memenuhi nafsu makan yang muncul, cukup makan makanan ringan seperti biskut atau minum segelas susu panas.
5. Praktikkan ‘Deep Breath’ Untuk Tidur Malam Yang Selesa
Latihan menarik nafas atau ‘deep breath’ dalam yang teratur dapat menolong mengurangi ketegangan otot dan membantu untuk tidur lebih baik. Carilah posisi yang selesa buat anda, duduk, berdiri ataupun berbaring, lalu tariklah nafas melalui hidung secara perlahan, tahan nafas selama 1-2 minit. Keluarkan nafas melalui mulut secara perlahan, lakukan beberapa kali.
6. Berehatlah Ibu Mengandung
Sempatkan berehat selagi ada peluang. Kenali waktu yang selalu berlaku gerakan janin yang aktif, sehingga di luar waktu tersebut ibu dapat memanfaatkannya untuk tidur malam hari yang lebih nyenyak.
7. Masa Inilah Buat Apa Yang Anda Suka
Membaca buku supaya perasaan panik dapat dipindahkan, mendengarkan muzik, atau kalau perlu lakukan hubungan intim dengan suami.
8. Menjelang Malam Elakkan Minum Air Berlebihan
Kurangkan pengambilan air minum menjelang tidur mengurangkan kekerapan ibu hamil ke bilik air. Jadi tidur ibu akan lebih nyenyak. Bayangkan kalau tiba-tiba nak buang air kecil semasa separuh masa dah lena, tentu mengganggu. Nak bangun ke bilik air sudahlah bukan semudah dulu.
9. Sokong Badan Dengan Bantal
Untuk mengurangkan rasa nyeri di bahagian belakang ibu, gunakanlah bantal yang selesa pada bahagian pinggang atau pinggul. Letakkan bantal pada peha juga boleh membuatkan tidur malam hari ibu hamil lebih selesa. Jangan perli isteri hamil ya suami di luar sana. Masa nak masuk sembilan bulan inilah, bantal memang dah jadi BFF mak mengandung. Terutama bila nak tidur malam hari.
10. Kalsium Jangan Ditinggalkan
Gangguan pada kaki (kesemutan), dapat dikurangkan dengan melakukan urutan ringan pada kaki dan cukup dengan mengambil kalsium mengikut saranan doktor. Kalsium yang lengkap juga bagus untuk ibu, Nanti selepas anak dilahirkan, ibu kurang berisiko untuk alami asteoporosis.
11. Banyakkan Berzikir Dan Berdoa
Paling utama, jangan lupa berdoa. Apa saja agama yang mak-mak anuti tuntutan berdoa itu satu hal yang disarankan. Jadi berdoalah dengan cara masing-masing agar hati jadi tenang, jiwa bertambah lapang. Sakit-sakit itu normallah.. bersabarlah ya. Bagi anda yang Muslim amalkan berzikir Ya Fattah, Ya Latif dan bacalah surah-surah Maryam atau Yusuf agar memudahkan proses bersalin. Dalam masa yang sama, bayi anda akan lebih tenang sepanjang kehamilan ini.
Semoga dengan 10 tip memudahkan ibu hamil tidur lena ini dapat membantu bakal mak-mak yang sedang sarat mengandung.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI