
Isi Kandungan
ToggleSekarang bukan masa menuding jari salahkan sesiapa. Dalam keadaan yang penuh menekan, mak ayah perlu berbalik pada saranan agama dalam menyatukan kembali hati ahli keluarga yang hampir retak. Sebelum jadi parah, muhasabah diri sebentar. 10 saranan eratkan kasih sayang ini telah diberikan oleh para ulama.
10 Tip Eratkan Kasih Sayang Anak Ikut Saranan Para Ulama
- Hidupkan amalan solat berjemaah di rumah.
- Budayakan membaca Al-Quran dan kitab hadis di rumah
- Ibu bapa memberikan didikan agama sesempurna mungkin pada anak-anak.
- Sentiasa makan bersama keluarga
- Bila berada di rumah, letak di tepi seketika telefon bimbit mahupun komputer riba. Minimakan penggunaaan gajet. Berikan perhatian sepenuhnya pada komunikasi bersama ibu, ayah dan anak-anak
- Sentiasa memperuntukkan masa berkualiti apabila bersama ibu ayah dan anak-anak
- Berinteraksi dan sering menjadi pendengar setia
- Memberikan hadiah kepada ayah, ibu dan anak-anak sempena hari lahir dan seumpamanya.
- Berkomunikasi menggunakan bahasa yang lembut
- Sentiasa menghargai ibu, ayah dan anak-anak dengan menyebut “terima kasih.”
Ingatan Buat Mak Ayah!
Setiap kita adalah anak dan satu hari nanti, kita semua juga akan menjadi mak dan ayah. Maka hormatilah mak dan ayah agar apabila kita menjadi mak dan ayah kelak, kita akan turut dihormati dan disayangi oleh anak-anak kita pula. Firman Allah SWT dalam surah Al-Furqan, ayat 74 mafhumnya:
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata :”Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertaqwa”

Kredit foto : newsrescue.com
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Didik Anak Jadi ‘Manusia’, Penting Suapkan Makan, Hargai Ucap Terima Kasih!

Isi Kandungan
ToggleSetiap mak ayah pastinya mengharapkan anak-anak menjadi ‘manusia’ apabila mereka dewasa. Mengambil berat, menghargai, membalas jasa dan menjaga mak ayah ketika meningkat usia walapun tanpa dipinta.Namun untuk mendidik anak-anak sedemikian bukannya mudah.Acuan bagaimana kita terapkan pada anak-anak semenjak dari kecil, akan membentuk sikap mereka nanti.
Jika selama ini jarang sekali suapkan anak makan dan tak pernah ucap terima kasih pada mereka, sebaiknya ubahlah segera.
Perkongsian Puan Siti Suryani Yaakop mengenai salah seorang pesakitnya ketika berkerja sebagai seorang Fisioterapi di Hospital Sungai Buloh ini boleh dijadikan panduan buat kita.
Berikut perkongsian tersebut;
Satu masa tu, saya ada seorang pesakit.Makcik. Dia sakit lutut. Jadi, tak boleh berjalan dan kena tolak dengan kerusi roda. Dia dulu pernah bekerja. Jadi pembantu makmal. Lepas suami meninggal, dia duduk dengan anak bongsu dia di sini. Di Selangor. Makcik ni ada anak. 6 orang.
2 doktor.
2 jurutera.
Sorang cikgu.
Sorang meniaga sendiri.
Sukses semuanya.
Hebat kan?
Hebat!
Tapi, tu belum hebat lagi.
Ditemani Anak Berbeza
Yang lebih hebatnya ialah, setiap kali datang rawatan, makcik ni akan ditemani oleh anak yang berbeza. Minggu ni orang lain. Minggu depan lain. Lain kali lain. Esok lusa lain.
Hebat kan?
Hebat!
Tapi, tu pun tak kira hebat lagi.
Yang lebih lagi hebat dari hebat ialah, anak-anaknya semua tinggal jauh-jauh. Paling dekat pun yang bongsu. Jauh sikit tinggal di Ampang. Yang lain memang jauh sungguh. Perak. Pahang. Dari Johor 2 orang.
Tapi, tak pernah missed datang teman mak ke hospital walau tinggal jauh mana pun.
Saya memang tak adore benda lain. Saya memang adore orang yang berjaya ‘create’ manusia lain jadi manusia. Sebab itu saya tanya tips. Apa makcik buat?
Suapkan Anak
Makcik bagitahu begini. Takda la tips yang special sangat. Cumanya dulu, masa anaknya kecil dulu, setiap kali nak pergi sekolah makcik akan suapkan sarapan.
Bukan sarapan susah-susah sangat. Cuma kismis!
Makcik ambil kismis sorang 7 biji, selawat dan suapkan dalam mulut anak-anak.
Ada masa makcik bagi roti. Secubit sorang. Kadang-kadang susu. Lepas dia minum, dia suap sorang sikit dari cawan yang sama.
Hormat & Hargai Anak
Tapi selain dari tips tu, makcik ni telah tunjuk saya satu lagi tips paling penting. Mungkin dia pun tak perasan.Saya lihat makcik ni sangat respek anak dia. Sangat-sangat!
Kalau anak dia tolong tarikkan kain, dia akan cakap, “Terima kasih Along”.
Kalau anak dia tolong pimpin tangan dia bila dia berlatih berjalan, dia ucap, “Terima kasih kakak”.
Kalau saya bagi tarikh temujanji, dia akan tanya dulu anak dia sama ada boleh ke tidak untuk hadir. Kalau boleh dia akan sebut, “Alhamdulillah, terima kasih ye Ngah”.
Nanti anak-anak dia akan balas dengan senyuman dan gosokan di tangan atau tepukan di bahu.
Saya tak tahu kenapa. Bila saya nampak perbuatan begitu, saya sebak. Sebak sungguh. Bergenang airmata.
Makcik sebenarnya dah ajar dan tunjuk saya 2 tips.
Satu, berkasih sayang to the fullest.
Dan kedua, hormat!
Waima itu anak kita sekalipun.

Saya yakin dia tak mulakan benda tu sekarang. Sebab sungguh, nampak flawless sekali. Bukan dibuat-buat.Kita kadang dengan anak orang kemain baik. Dengan anak sendiri, nauzubillah. Garang!
Kita ingat kita mak, kita berkuasa ke atas dia. Kita fikir dia menumpang kasih kita. Kita lupa, kita pun lebih lagi Tuhan bagi rezeki menumpang kasih dari dia.
Saya percaya.Itulah bayaran sebuah hormat.
Kita jadi apa pun.
Ketua. Mak. Senior.
Hormat!
Sekarang memang. Kita berkuasa, kita boleh buat apa kita suka. Tak peduli apa orang lain rasa. Kadang sampai stress orang lain dibuat oleh kerasnya hati kita.
Kalau kita nak tahu apa yang kita dah semai masa kita muda dan berkuasa, tunggu bila kita tua dan dah habis tenaga.
What you give, you get back!
Siti Suryani Yaakop
Baca Di Sini: “Buat Anak Memang Mudah, Nak Menjaga & Mendidik Anak Sangat Tak Mudahnya..”
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Nak didik anak memang tak mudah. Sebagai mak ayah, rendahkan ego kita, jangan lupa untuk menghormati dan menghargai anak sendiri. Apa yang kita berikan dan terapkan buat mereka, itulah yang akan diberikan nanti.
Sumber: Siti Suryani Yaakop
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pengorbanan Tertinggi Seorang Mak, Perkongsian Daripada Anak Yang Kehilangan Ayahnya Selepas 15 Hari Dia Dilahirkan

Kalau ikutkan pengorbanan mak, tak seorang anak pun mampu membalas 100% apa yang dia pernah terima daripada wanita bergelar ibu. Yang sanggup berjaga malam demi anak, rela tahan lapar demi kenyangkan perut anak dulu, gadai harta demi sekolahkan anak, malah sanggup buat apa sahaja demi melihat anak senang. Untuk ingatkan anda pada pengorbanan mak, baca perkongsian daripada saudara Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad ini…
“Dulu dulu adik selalu tanya mana Abah, mana Abah”. Mak tak tahu nak buat apa, adik selalu tanya, Mak pun gantung gambar Abah dihujung kepala adik masa nak tidur, tapi adik kata “tak mau yang tu, mau yang ada kaki, ada tangan, boleh berjalan mai kat adik, boleh dukung adik, boleh peluk adik”.
ALLAHUAKBAR! Baru semalam Mak cerita kisah berpuluh puluh tahun dahulu, ketika Mak membesarkan aku keseorangan setelah suaminya meninggalkan dunia ini ketika baru 15 hari melahirkan aku kedunia ini.
Sungguh! Rupa paras dan tubuh badan ku tidak pernah dilihat dan disentuh oleh seorang lelaki yang dipanggil Abah, Mak melahirkan aku tanpa suaminya disisi kerana berkhidmat di Sarawak pada ketika itu.
Abah meninggal dunia di Serian Camp, Sarawak, hanya jasadnya dibawa pulang ke Kodiang Lama, Kedah, kampung halaman kelahirannya. Bermula dari saat itu lah Mak berkorban segalanya membesarkan kami 4 adik beradik.
ALLAHUAKBAR! Pengorbanan Mak yang diketika itu baru mencecah 30 an usianya adalah sesuatu yang sangat menakjubkan bagi aku dan adik beradik yang lain, Mak kerja apa saja termasuk menyemat atap daun nipah yang dijadikan bumbung rumah pada ketika itu di kampung kampung, upahnya dalam 50 sen sekeping atap, sehinggalah akhirnya Mak kerja kilang MMI dan membesarkan kami semua dengan sempurna.
Sebagai anak bongsu yang dipanggil adik, memang sungguh sangat sangat aku ini menjadi anak Mak, itulah Mak dan itulah Abah. Aku hanya dikenalkan kepada Abah dengan beberapa keping gambar yang ada, namun sebenarnya aku tidak pernah merindui seorang Abah kerana ya lah, langsung tidak pernah disentuh, apatah lagi dibelai, didukung, dipeluk dan dimanjakan. Sehinggalah semalam Mak menceritakan saat saat aku membesar dan sering mencari cari Abah.
ALLAHUAKBAR! Tak dapat aku bayangkan bagaimana kekuatan hati Mak ketika menjawab dan menggantungkan gambar Abah dihujung kepala ketika aku nak tidur itu. Kata Mak, Abah selalu kesana sini sebagai tentera dan biasa sangat kena tinggal, hanya satu saat saja Mak pasti mengalirkan air mata iaitu ketika kali pertama bergema takbir raya disetiap kali hari raya.
Selain dari tu, Mak gagah dan tunjuk gagah kepada kami adik beradik. Aku pernah diminta seseorang untuk diambil sebagai anak angkat tetapi dengan tegas dan semangat padu Mak menyatakan selama ia bernyawa dia akan pastikan dia melaksanakan amanah dari suami tercintanya.
Tulisan Abah meminta Mak jaga anak anak baik baik selamanya, aku baca didalam surat bertulis tangan itu Abah melahirkan rasa rindunya kepada Mak dan anak anak khasnya aku yang belum ditatap dan disentuhnya.
Surat itu bertarikh 24-Sep sehari sebelum Abah meninggal pada 25-Sep, kata Mak, Abah juga mengirimkan lagu di radio dan ianya disiarkan setelah Abah meninggal dunia, bayangkan ketika masih didalam pantang itu, Mak dengar radio kiriman lagu dari suami yang telah tiada.
Sungguh kuat dan tabah Mak aku ini! Ramai yang menggilai Mak, bukan calang calang yang cuba hampirinya, namun Mak nyatakan “Abah hampa tak ada ganti selamanya”, lagi pun sangat dibimbangi anak anaknya tidak diterima baik oleh ‘Pak Tiri’.
Mak sekarang dah nampak banyak uzur, mata dan pendengaran sedikit bermasalah, badan pun sedikit mengecil, kerdutan kulitnya jelas dilihat, namun masih tetap menggagah menyantuni anak menantu dan cucu cicitnya, sentiasa akan berusaha menyediakan makan minum untuk anak menantu, cucu dan cicitnya. Sentuhan dapur Mak memang tiada tandingannya, setiap kali balik kerumah Mak mesti akan masak makanan kegemaranku dan anak anak yang lainnya. Tidak lepas juga Mak akan menarik ku kedalam pelukannya dan mengucup dahi dan pipi ku dengan katanya “anak Mak dah besaq tua ni” sambil melirik senyum manisnya ketika aku bersalam untuk balik ke Kuala Lumpur.
Teringat ketika aku selesai aqad nikah, kata Mak “dah ada Pak Mentua, buatlah macam Abah sendiri, dulu kan tak dak Abah”. Mak juga sangat menyayangi isteriku Sharifah Mazrah menantu bongsunya, setiap kali bersalin Mak lah yang bertungkus lumus memasak makanan berpantang, membawanya ketingkat atas, memandikan cucu cucunya walaupun dengan kudratnya yang semakin terhakis setelah tenaganya diperah untuk membesarkan anak anak.

ALLAHUAKBAR! Beberapa minggu kebelakangan ini aku banyak menemui Pakcik Pakcik tua yang masih terpaksa bekerja, didalam FB aku menaikkan cerita seorang Pakcik tua berumur 82 tahun beranak 11 yang masih memandu teksi mencari duit belanja untuk menyara anak bongsunya yang terlantar di pembaringan sejak beberapa tahun yang lalu, aku juga menemui seorang Pakcik berusia melebihi 90 tahun yang dijaga oleh anak perempuan dan menantu, 3 anak lelakinya ada yang dah 10 tahun langsung tidak pernah menjenguknya sehinggakan ketika aku menziarahinya dia genggam erat tanganku tak dilepasnya ketika aku nak pulang, juga tiba tiba katanya ” …… ada ke tu” katanya dengar macam bunyi suara anak nya, mata Pakcik tu dah tak dapat melihat lagi.
Mak kata “baguslah walaupun tak boleh buat baik pada Abah sendiri, buat baik dan bantulah Abah Abah orang pun, nanti dapat pahala kat Abah kita juga”. Sungguh! Dalam hidup ku ini, aku sangat menyantuni bapa bapa saudara ku dari kedua belah pihak Mak dan Abah, dalam masa yang sama aku ada lelaki lelaki yang seolah Abah bagiku disudut hubungan kasih sayang yang terjalin, mereka banyak menasihati ku, membantu dan menjiwai ku. Aku ada Paksu Ali@ Haji Ali Bin Bakar, Pakcik Mat@Mohamad Bin Mahmud, Tuan Haji Hussain Bin Saat dan aku ada Paksu Duan@Haji Ridwan Bin Mat Som, mereka ini sentiasa bersama ku ketika susah dan senang, sekarang yang tinggal hanyalah Tuan Haji Hussain Bin Saat. Semoga ALLAH sentiasa merahmati mereka hendaknya.
ALLAHUAKBAR! Sungguh! Air mata ku laju membasahi baju ketika menulis ini kerana terbayang keadaan Mak ketika aku mencari Abah dan terbayangkan Ayah Ayah tua yang masih terpaksa mencari sesuap nasi walaupun beranak 11 dan bermacam macam lagi. Air mata ku juga semakin laju kerana ketika menulis ini, anak ku Syed Muhammad Abu Bakr Zuhdi sedang lena diribaan ku, sesuatu yang tidak pernah ku rasakan dari Abah ku.
Ya ALLAH, Kau rahmatilah Mak Abah aku dan semua Ibu Bapa didunia ini. Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kami masih kecil, kurniakanlah kebaikan dunia dan akhirat untuk mereka. Bagi yang mempunyai Ibu Ayah, janganlah sesekali mengabaikan mereka, tumpahkanlah sepenuh kasih sayang kepada mereka. Seandainya mereka telah meninggalkan dunia ini, jadilah kalian semua anak anak yang soleh yang sentiasa mendoa’kan mereka.
Ingatlah, siapa kita tanpa Ibu dan Ayah. Jangan lah kita abaikan peringatan dari ALLAH – Dan Tuhan mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia, dan hendaklah kamu berbuat baik pada kedua Ibu Bapa kamu dengan sebaik baiknya,jika salah seorang diantara keduanya atau kedua duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya “ah”, dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia,dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh rasa sayang dan ucapkanlah “Wahai Tuhanku kasihanilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidikku di waktu aku masih kecil” Al-Isra’ 23-24.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Isteri Yang Tiada Anak, Ini Tip Bila Disoal Tentang Zuriat

Isi Kandungan
ToggleZuriat membawa harapan dan tanggungjawab kepada pasangan suami isteri. Mereka adalah generasi penerus yang akan mewarisi nilai-nilai, tradisi, dan warisan keluarga. Oleh itu, penting untuk mendidik dan membimbing anak-anak dengan baik.
Dalam Islam, zuriat dianggap sebagai satu anugerah daripada Allah. Bagaimanapun tidak semua pasangan yang berkahwin berpeluang memiliki cahaya mata. Ada yang terpaksa menunggu sekian lama barulah berpeluang memiliki si comel. Tidak kurang juga pasangan suami isteri yang langsung tidak berpeluang bergelar ayah dan ibu. Pendek kata semuanya di luar bidang kuasa kita.
Suami Isteri Yang Tiada Anak
Andai ditakdirkan masih tiada anak walau sudah bertahun-tahun berumah tangga, terimalah ujian itu dengan penuh reda. Pujuk hati dan tenangkan pasangan dengan kata-kata manis yang boleh mengubat hati.
Melalui perkongsian Andy Sulaiman, bapa ini berkongsi tip yang boleh dijadikan panduan. Moga tip ini dapat membantu suami isteri yang masih belum lagi memiliki zuriat.
Hari tu terserempak dengan seorang kawan. Kawan lama. Sudah agak lama tidak berjumpa malah tidak berhubung.
Tengah duduk bersembang, gatal mulut ni tanya pada dia sudah ada berapa orang anak sekarang. Dia terdiam seketika. Mukanya berubah, agak berat untuk berikan jawapan.
Katanya belum ada rezeki. Sudah bermacam cara dilakukan termasuk pergi berjumpa doktor dan beberapa sesi rawatan tradisional, belum berjaya. Menyesal juga aku tanya begitu. Cepat aku minta maaf. Dia kata tak apa, sudah biasa.
Baik. Ada antara kita yang sudah berkahwin agak terbeban dengan isu ini. Sudah lama berkahwin tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Ingin menghadapi soalan masyarakat, umpama satu tamparan bagi kau orang yang belum ada kan?
Tenang. Mereka yang sudah punya anak, tidak menyedari bahawa tanpa anak, kau suami isteri juga boleh bahagia.
Ini Tip Bila Disoal Tentang Zuriat
Ini antara beberapa tip yang boleh diingat, semoga bila suami isteri down, kalian akan kembali senyum dan hidup kekal bahagia:
1. Kerja Tuhan
Ya, semua sudah maklum anak adalah urusan Tuhan. Walaupun berusaha siang malam pagi petang sampai lebam, jika Tuhan masih belum izinkan, belum lah. Jadi kenapa harus kusut sedangkan ini semua bukan urusan manusia, betul kan? Berdoa lah.
2. Rezeki
Tidak perlu letakkan diri kau bernasib malang hanya kerana tiada rezeki yang satu ini. Kau mungkin tiada anak tapi kau bahagia berdua, direzekikan kesihatan yang baik, kerja yang sedap, jauh dari masalah dan tiada gangguan dalam kehidupan seharian. Bukan kah itu juga rezeki? Kan?
3. Punya banyak waktu
Tiada anak, kau ada lebih masa untuk kau kejar cita-cita kau. Ramai orang terpaksa kuburkan impian mereka lantaran terpaksa uruskan anak-anak. Tak salah anak, ini pengorbanan. Jadi bagi kau yang belum ada anak, kejar lah cita-citamu setinggi gunung itu. Fuh!
4. Tak banyak disoal di akhirat
Huhu. Seram bab ni. Jadi ibu bapa ni, anak-anak ni tanggungjawab kita. Esok Tuhan akan tanya bagaimana kita menjaga dan mendidik amanah Dia ni. Bukan main-main bab ni. Kau kalau dipanggil Tuhan balik sebelum ada anak, kau mungkin dah terlepas bab ni.
5. Pahala percuma
Geng kepochi akan mula bercakap dan buat rumusan mereka sendiri pada golongan yang tak ada anak ni. Kata kau mandul lah, laki kau mati pucuk lah, macam-macam. Andai kata semua itu fitnah macam mana? Tidak ke dengan mudah dan percuma kau dapat pahala dari umpatan dan fitnah mereka?
6. Jauh dari ujian
Tengok orang ada anak memang seronok. Tapi kau tengok orang yang bahagia. Cuba tengok orang susah tapi anak ramai. Kesian anak tu. Tengok pulak ibu bapa yang ada anak sakit, sakit kronik pulak tu. Kusut ibu bapa dia. Jadi masa ni kau kena syukur, kau jauh dari ujian ini.
7. Allah tak kejam

Dia dengar apa kita minta. Dia tahu apa kita nak. Ada saja yang berpuluh tahun kahwin baru dapat anak. Ada. Kau mungkin belum dapat lagi sebab Tuhan tahu kemampuan kau, Dia tahu bila masa terbaik buat kau untuk ada anak. Teruskan meminta dengan Dia.
8. Keluarga
Dalam waktu begini, keluarga perlu main peranan. Ibu bapa, mertua, adik beradik, ipar duai. Keluarga. Teruskan bagi sokongan. Jangan keluarga sana kata sini tak subur, keluarga sini kata keturunan sana mandul. Memandai je. Tak habis-habis drama.
Ok tak? Ingat. Tak perlu kau rasa down dengan hidup sebab belum ada anak. Bagitahu kat isteri kau yang sedang murung itu, ceritakan pada suami kau yang berdukacita itu. Yang penting, cinta mesti terus. Begitulah.
Jangan sebab tak ada anak, hubungan suami isteri makin tawar, salah menyalah sesama sendiri dan akhirnya rumah tangga hancur. Jauhkan.
Artikel ini diolah dari artikel asal Mingguan Wanita dan Andy Sulaiman
Baca artikel lain di sini: Ziana Tak Halang Anak-Anak Jumpa Ayah Mereka
Datin Rabecca Bersyukur Kerana Dikurniakan Ramai Anak & Keluarga Bahagia
Cabaran Azharina, Bukan Mudah Besarkan Anak Disleksia
Kredit top image: Freepik
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI