Memandangkan ramai yang buat group whatsapp sekolah di zaman teknologi serba canggih ini, mak ayah patut tahu ‘undang-undang’ cara terbaik untuk berhubung di antara satu sama lain.
Tak dinafikan apabila menggunakan WhastApp, ini memudahkan mak-mak nak buat perbincangan yang dilihat mata kasar dan menerima maklum balas dengan pantas tentang perkembangan anak atau hal berkaitan dengan sekolah.
Namun ada juga yang tersalah guna dengan kemudahan Whatsapp sampai mak ayah lain rasa rimas untuk join dalam group kelas, jadi sebelum ‘macam-macam’ eloklah baca nota daripada Ammar Kamilin ini…
Rutin Harian Mak Ayah Dalam Group Whatsapp
Esok pagi, kita boleh menjangkakan ramai ibu bapa yang akan turun menghantar anak masing-masing ke sekolah.
Kereta akan penuh diletakkan di kiri dan kanan jalan raya. Motor dan kereta bersimpang siur dalam kawasan sekolah. Kita akan jumpa segelintir manusia yang jika boleh mahu meletak kereta dalam kotak parkir guru besar.
Akan kelihatan di mana-mana sekolah, ibu bapa dan anak berpimpinan tangan melintas jalan, bapa-bapa menjinjing beg sekolah anak dan ibu-ibu memegang tupperware (baru beli) masing-masing penuh sabar di kantin menunggu waktu rehat.
Ada antara kita, esok merupakan pengalaman pertama anak sulung memasuki kelas Tahun 1 di sekolah. Tahniah!
Baik, saya mahu berkongsi satu perkara. Jika saya beritahu ini, jangan terkejut!
Duduk saja anak kita di bangku sekolah, kemungkinan besar akan diwujudkan ‘group whatsapp’ untuk kelas mereka. Lalu, sayugia dimaklumkan, bertambahlah 1 lagi group dari puluhan ‘group’ yang sudah sedia ada dalam whatsapp kita.
Ini adalah amalan biasa, terutamanya untuk anak-anak Tahun 1. Maklum saja, anak-anak ini baru ‘berpindah alam’ dan ibu bapa akan sentiasa tertanya-tanya keadaan anak mereka.
Jika tidak diwujudkan group, kita beruntung. Tidak perlu pening kepala mendengar notifikasi ‘ting, ting, ting!’ tak kira masa.
Jika tiba-tiba kita dijemput masuk (invite), maka, bersiap sedialah.
Dari pengalaman 7 tahun bergelumang dalam group whatsapp, saya kongsikan,
Bahagian 1 : 10 perkara bagus dibuat dalam group whatsapp kelas, dan
Dan bahagian 2 : 10 perkara perlu dielakkan dalam group whatsapp kelas.
BAHAGIAN 1
| 10 Perkara Bagus Dibuat Dalam Group Whatsapp Kelas |
1. Sebaik-baiknya, ibu dan bapa, kedua-duanya dimasukkan di dalam group ini. Bukan apa, bagi suami isteri yang bekerja, ada masa, kesibukan akan menyebabkan ada mesej dari guru yang tidak sempat dibaca.
Sekurang-kurangnya, salah seorang dari kita boleh maklum dan mendapat informasi sekiranya pasangan masing-masing sibuk.
Saya faham, kita mungkin terganggu dengan bunyi mesej bertalu-talu, terutamanya orang lelaki (saya memang rimas, tak pasti lelaki lain).
Apa yang boleh dibuat, letakkan notifikasi untuk group ini dalam tetapan (mode) ‘mute’. Jadi segala-galanya akan sunyi sepi. Kita hanya akan baca, apabila bersedia untuk membaca. Yang penting, maklumat sampai.
2. Kita tidak mahu cikgu-cikgu dalam group keliru, sama ada ini group ibu bapa atau group ‘Taman Haiwan’. Tengok foto profil masing-masing, ada gambar kucing, gambar arnab, gambar bunga ros, eh, macam-macamlah.
Ads
Jadi, elok ditukar foto profil whatsapp dengan wajah sebenar kita. Letak foto yang paling kredibel, bukan yang bibir juih ikat tepi. Nama yang ‘appear’ di whatsapp juga, gunakan nama sebenar yang sama dengan bin atau binti anak kita tu.
Apa-apa kecemasan berlaku di sekolah, senang cikgu nak skrol dan cari. Takdelah sampai terpaksa buat pengumuman, ‘Siapa bapa Qistina Pavlova?, Siapa ibu Syafiq Kyle?’ Kan susah tu.
Sudah-sudahlah bubuh nama seperti ‘Jejaka Korea’. Buat malu saja masa ambil ‘result’ anak nanti. Buat cikgu tertanya-tanya, ‘celah mana Koreanya?!’
3. Apabila cikgu dah buat group khas untuk maklum apa-apa tentang anak kita, itu menunjukkan cikgu tu sangat prihatin. Mana ada cikgu yang ‘serah tengkuk’ untuk diganggu 24 jam? Jadi, dah dapat cikgu kelas yang begini, kita berbudi bahasa dan berkenalanlah.
Pendek pun tak mengapa, “Assalamualaikum cikgu, saya Ammar Kamilin, bapa Zulfa, terima kasih invite.” Cukup. Cikgu pun boleh ‘save’ nombor henfon kita dengan tepat. Jangan sibuk-sibuk nak tanya, cikgu available ke tidak? Lupa ke bini kita pun dah ‘add’ dalam group tadi.
4. Ada anak kita yang jenis teliti dengar arahan. Ada kawan sekelas anak kita yang susah nak beri tumpuan. Jadi, apabila ada ibu bapa lain yang bertanya tentang tugasan sekolah dan sebagainya, bantulah mereka. Bantu jawabkan bagi pihak cikgu.
Cikgu pun tak terlarat nak jawab setiap masa. Kadang tu saya perhati, “Esok pakai baju sukan ke baju sekolah?.” Soalan macam tu pun, 10 kali orang tanya sejak pukul 7 malam sehinggalah subuh esok pagi. Sian cikgu.
Ada sesetengah parents ni pun satu hal, nak skrol pun berkira. Risau ‘thumb print’ terkikis agaknya. Susah nak ‘punch card’.
5. Dah nama pun ibu bapa, mesti lebih pandai dari anak-anak (banding anak Tahun 1). Jadi, menaip mesej di group, sebaiknya ejaan penuh, tidak kontot-kontot macam bahasa ‘Alien’.
Bukan apa, mengeja penuh boleh elak salah faham. Bukan semua orang mahir teka teki. “Ckg, esk pki bj pe?” Aduh, boleh sewel nak tafsir. ‘pki’ tu apa? macam mencarut pun ya. Eja penuh ya. Tolong.
6. Pagi-pagi sebelum 7.30, biasanya cikgu perlukan maklumat pelajar tidak hadir sekolah. Jika anak kita tidak hadir atas alasan apa sekalipun, maklumkan cikgu.
Lebih bagus, kita boleh tulis whatsapp seperti senarai, dengan tajuk, ‘Murid Tidak Hadir Hari Ini’. Jadi, mudah ibu bapa lain menyambung senarai itu (copy, paste, edit). Cikgu pun senang kerja. Sama-sama gembira.
7. Tiada siapa yang boleh mengelak sakit, begitu juga anak kita. Boleh jika mahu berkongsi berita tersebut dengan group whatsapp kelas. Sekurang-kurangnya, berita kesihatan anak kita, dapat disampaikan oleh ibu bapa lain kepada anak-anak mereka.
Ini mendidik empati pada rakan sekelas. Sebagai ibu bapa, kita doakan kesembuhan buat anak rakan kita. Rakan anak kita, anak kita juga. Begitulah semangat kekeluargaan.
Ads
8. Dalam kalangan anak-anak kita, akan ada yang terpilih mewakili sekolah dalam aktiviti luar. Kebiasaannya akan ada guru pengiring atau ibu bapa mereka yang terlibat akan ikut bersama. Tiada masalah untuk berkongsi foto aktiviti tersebut dalam group.
Kita dapat mengetahui wujudnya aktiviti luar yang disertai pihak sekolah. Ada rezeki, kita boleh sediakan anak-anak kita untuk aktiviti atau pertandingan yang sama.
9. Ada masanya, cikgu akan menampal pengumuman dari pihak sekolah dalam group whatsapp, terutamanya yang berbentuk ad hoc.
Sekiranya maklumat tersebut naik, naik, dan naik sehingga tenggelam disebabkan masuk mesej-mesej baharu, ada baiknya ibu bapa yang prihatin mengambil inisiatif menampal semula informasi tersebut untuk mengelakkan ada ibu bapa yang terlepas pengumuman itu.
10. Sekali sekala, apabila cikgu menghantar mesej atau foto aktiviti yang dijalankan di dalam kelas melibatkan anak-anak kita, sebaiknya ibu bapa dapat memberi respon dan penghargaan kepada guru tersebut. Salah seorang, sama ada ibu atau bapa pun sudah memadai.
Sekurang-kurangnya, cikgu merasai sentiasa mendapat sokongan padu dari ibu bapa anak-anak murid mereka.
BAHAGIAN II.
| 10 Perkara Perlu Dielakkan Dalam Group Whatsapp Kelas |
1. Nama pun group whatsapp kelas, jadi, kita elakkan bersembang hal politik negara dalam group ini. 2018 ni tahun pilihanraya, saya yakin, memang ada yang akan buat perangai ‘terlajak perahu’ nanti.
Kekalkan keharmonian group ini. Perkara terakhir kita mahu elakkan, ibu bapa ‘left group’ beramai-ramai kerana bergaduh hal yang tiada kena mengena dengan anak dan sekolah.
2. Elakkan menampal iklan bisnes atau cerita-cerita viral yang tiada kena mengena dengan hal ehwal persekolahan anak-anak. Saya tahu, ramai yang ada ‘part-time business’, tetapi group whatsapp ni bukan saluran yang sesuai.
Kecuali ada yang bertanya, “Mana eh nak cari tudung macamni?” Jika kita boleh membantu, boleh saja PM tepi. Lebih profesional. Cerita-cerita viral artis, politik, perkauman, jauhkan dari group ini. Tak larat nak baca, ‘dari group sebelah’. Entah sebelah mana pun kita tak tahu.
3. Whatsapp group bukan tempat ‘arah-arah’ cikgu. Ini adalah tempat kita ‘minta tolong’ dengan cikgu. Jadi, sewajarnya, ayatnya juga lebih lembut dan tidak mendesak.
“Maaf cikgu, saya terlupa beri duit belanja pada Asyraf Muslim. Mohon jasa baik cikgu pinjamkan duit dulu ya, saya pulangkan kemudian. Terima kasih cikgu.”
Sedap dibaca kan? Mohon maaf, nyatakan tujuan, akhiri dengan terima kasih. Lengkap. Cikgu pun takde rasa tertekan dan ikhlas membantu.
Ads
4. Saya selalu perasan perkara ni. Ibu bapa mesej tak kira masa. Apabila cikgu tak sempat menjawab whatsapp, mula meradang. “Eh, mana cikgu ni ek? Tak respon pun.”
Sabar ya. Cikgu pun ada kehidupan dia sendiri. Jika di sekolah, mereka ada jadual mengajar masing-masing. Mana sempat untuk buka whatsapp apabila sedang mengajar.
Jika di rumah, mereka pun ada anak seperti kita. Entah anak dia lebih ramai dari kita. Jika kita mesej jam 7.00 petang, mungkin dia sedang mandikan anak. Kita mesej jam 8.00 malam, mungkin sedang ajar anak mengaji. Mesej jam 9.00 malam, mungkin dia sedang teman suami makan. Mereka pun perlu masa.
Jika tak berjawab juga, percayalah, mereka memang benar-benar tidak sempat menjawab. Jika memang sangat kecemasan, cuba pula hubungi ibu bapa kawan anak kita. Mereka mungkin tahu.
5. “Siapa ibu Aiman Danial dalam group ni? Anak saya kata, dia curi ‘pencil box’.”
Hah, sudah! Tanda-tanda perang akan bermula. Memang ada ibu bapa yang serang ibu bapa lain dalam group whatsapp. Kalau boleh, mahu satu kelas tahu mereka sedang berkonfrontasi. Relaks ya, abah, mama. Perkara begini, elok PM tepi dan selesaikan ‘face to face’. Tidak perlu amuk dalam group.
Tunggu keesokan hari, lapor pada guru kelas di sekolah. Insya Allah, mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Sebolehnya, keharmonian group kekal terpelihara. Elok 2 famili saja terlibat, habis 1 sekolah tahu. Kool ya!
6. “Cikgu, macamana ya subjek Bahasa Inggeris anak saya ni? Dapat D.” Mengadu hal anak dalam group. Ini mungkin kurang sesuai. Ya, mungkin ada orang lain yang menghadapi masalah yang sama. Tetapi, jika dibincang dalam group, akan jadi panjang lebar dan mengganggu ibu bapa lain yang melihat notifikasi tanpa henti.
Sebaiknya perbincangan tentang anak kita, dibuat dengan berjumpa guru tersebut. Apabila guru menawarkan solusi, contohnya mengadakan kelas tambahan, barulah sesuai kita iklankan dalam group whatsapp kelas supaya anak-anak lain dapat ‘join’ bersama.
7. Cikgu baru saja tampal pengumuman dan info terkini tentang apa yang anak-anak perlu sediakan esok. Tak sempat dibaca, dah ada ibu bapa yang kecoh bersembang sampai pengumuman tadi akhirnya hilang naik ke atas.
Memang boleh skrol, tapi macam saya tulis awal tadi, bukan semua rajin untuk skrol. Sebaik-baiknya ketika cikgu sedang menaip pengumuman, elak mencelah! Biarkan informasi lengkap sepenuhnya, baru diajukan pertanyaan.
8. Ibu bapa zaman moden ni, memang ramai yang positif! Rajin ‘forward’ foto dan video motivasi ke dalam group. Baguslah jadi orang positif, tetapi group whatsapp kelas ni untuk komunikasi guru dan ibu bapa, jadi kekalkanlah begitu. Hanya hal ehwal sekolah dan anak-anak.
Bab positif ni, biar kekal dalam group positif kita saja. Lagipun, foto dan video menelan ‘data’ yang banyak. Bukan semua ibu bapa ada ‘plan internet tanpa henti’ macam kita. Mereka pun mesti dah tengok foto dan video tu dalam group lain, jadi, cukuplah.
9. Anak-anak kita memang aktif di rumah. Macam-macam aktiviti mereka buat. Melukis, mewarna, menulis, dan banyak lagi. Bagi saya, cukuplah ambil foto dan simpan sebagai kenangan keluarga saja. Tidak perlu tampal dalam group whatsapp kelas.
“Cikgu, tengok, anak saya dah pandai lukis dinasour.” Ya, kami pun tumpang gembira. Tetapi bayangkan jika semua ibu bapa buat perkara sama. Berapa banyak foto kita nak tengok. Entah sempat atau tidak cikgu nak menengoknya. Tah, tah, cikgu pun sedang jadi ‘dinasour’ di rumah. Jika mahu juga, hantar ‘personal’ pada cikgu. Boleh ya.
10. Disebabkan bertukar tempat kerja, anak kita mungkin berpindah dari sekolah itu. Sebaiknya, ceritakan sedikit tentang perpindahan tersebut dalam group dan mohon izin untuk ‘left group’. Sekurang-kurangnya, ibu bapa lain yang sudah lama mengenali anak dan diri kita akan maklum dan memberikan ucapan tanda ‘selamat tinggal’. Suasananya lebih muhibbah.
Meninggalkan group tanpa memaklumkan apa-apa, seolah-olah kita ‘memutuskan’ silaturrahim yang telah diwujudkan dengan ibu bapa lain sebelum ini dan terus menghilang.
Mungkin ada perkara lain yang tidak disebut, saya buka kepada ibu bapa berpengalaman lain untuk menambah dalam ruang komen.
Sebelum ada yang bertanya, anda bebas dan digalakkan untuk SHARE dalam group whatsapp sekolah.
~Ammar Kamilin~
Certified Consultant, Group Whatsapp Kelas Anak
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Jangan buat main kalau kena sengat lipan, nak rawat sendiri sementara jumpa doktor boleh tetapi biar betul caranya dan bila rasa lain macam anda patut ke klinik berdekatan untuk elak bengkak makin melarat. Paling penting anda patut bunuh lipan yang gigit tu tadi dan terus ikut langkah yang dikongsi oleh Dr Hj Uwais Al Qorni ini…
Hari ini klinik doc dikunjungi oleh seorang anak muda berbangsa Indonesia, beliau kena sengat lipan malam tadi dalam pukul 2 pagi sewaktu sedang lena tidur. Kasihan pula doc tengok tangan dan bahunya bengkak. Lepas sengatan pertama, beliau boleh sambung tido lagi, mungkin dah terlampau kerap disengat, orang kata “alah bisa tegal biasa”. Tapi selepas disengat kali kedua, barulah beliau rasa geram nak bunuh lipan tu.
Tapi malangnya cari punya cari tak jumpa juga, rupanya lipan beliau ni pandai main sorok-sorok. Hehe. Doc pon sebenarnya tertanya-tanya juga, kebelakangan ni banyak juga pesakit doc yang kena sengat lipan. Kebanyakannya datang klinik doc awal pagi, dan sewaktu tengah tidur.
Doktor secara peribadinya memang dah terlalu banyak menangani kes disengat lipan, jadi doktor memang kalau boleh tak mahu lagi ada yang tersalah anggap mengenai makhluk Allah yang bernama lipan ini.
Antara perkara yang perlu anda tahu mengenai lipan adalah :
1. Lipan dalam bahasa inggeris dipanggil centipedes. Perkataan ini berasal daripada bahasa latin yang bermaksud “seratus kaki”. Tetapi tiada lipan yang memiliki seratus kaki kerana kaki lipan berjumlah ganjil seperti 9,11,15 dan seterusnya.
2. Sengat lipan memang berbisa, tetapi tidaklah sampai membunuh. Melalui pembacaan doc, anda perlu disengat sekurangnya lebih seribu kali sebelum boleh mati disebabkan sengat tersebut. Namun ada beberapa keadaan di mana anda perlu mengambil serius dan berjumpa doktor juga. Teruskan bacaan.
3. Sebenarnya lipan ini ada beberapa jenis, tapi yang paling berbahaya kalau di Malaysia adalah lipan bara (Scolopendridae). Ia berwarna merah dan saiznya besar serta boleh mencecah 30cm. Walaupon begitu, lipan ini sangat jarang dijumpai di kawasan yang didiami manusia, dan selalunya membesar di hutan serta kawasan bawah tanah hutan hujan tropika.
4. Tinggal di kawasan yang kotor dan lembap seperti dalam rekahan lantai bilik air, celah rak, bawah tikar getah,bawah rumput karpet dan dalam kasut. Selain itu, ia juga suka tinggal dalam selimut dan bersembunyi dalam baju terutamanya pakaian yang kerap dibiar berlonggok di lantai. Oleh itu, perhatikan setiap kawasan yang berisiko ini.
5. Binatang ini sering menyengat apabila berasa terancam. Jika anda terjumpa lipan, anda jangan lah terlalu takut,melatah,menjerit dan sebagainya.(Doc kuat melatah sebenarnya. Hahaha) Sebaliknya, dengan tenang ambil objek tumpul dan ketuk kepala lipan tersebut sampai lunyai. Doc pakai lesung batu je. Hehehe
6. Kesan sengat lipan mirip seperti gigitan ular, kerana terdapat dua bintik halus dan kemerahan . Jangan pula anda terkeliru dan pastikan anda betul-betul melihat jenis lipan tersebut, seperti saiz dan warna. Kalau berani, tangkap dan simpan lipan tersebut serta tunjukkan kepada doktor yang merawat.
7. Tidak memiliki taring atau penyengat, tetapi sebaliknya ia menggunakan dua kaki depan yang berbentuk seperti penyepit (seperti ketam dan lobsters tu!) yang dipanggil Forcipules untuk “mencubit” dan menyuntik bisanya ke badan mangsa.
8. Kebanyakan lipan tidak memiliki mata! Mereka bergerak dengan berpandukan bunyi yang dikesan oleh sesungut Antena mereka. Oleh itu selepas ini anda jangan takut-takut lagi untuk berperang dengan lipan ya! Sebab dia tak nampak anda, tapi dia boleh mendengar, jadi jangan bising-bising sangat lah ya.
Apa Patut Buat Kalau Kena Sengat Lipan Masa Tidur
Baiklah, andai kata anda sedang tidur dan tiba-tiba terasa seperti dicucuk objek tajam, anda terjaga dan terlihat lipan. Apa yang perlu anda lakukan?
1. Dengan tenang, cuba “kepung” lipan tersebut. Cari objek tumpul dan ketuk kepalanya beberapa kali sehingga beliau mati syahid. Kalau anda ingin merasa disengat sekali lagi, bolehlah biarkan ia hidup. Sebab lipan akan menyengat mangsanya berkali-kali sekiranya terasa diancam.
2. Ok, lipan sudah mati dan anda puas. Bagaimana pula dengan tempat sengatan lipan yang sakitnya amat tajam dan mencucuk itu? Segeralah basuh kawasan disengat lipan dengan sabun antibacterial beberapa kali dan bilas dengan air yang banyak.
3. Tak perlu dipicit kawasan sengat kerana bisa lipan kebiasaanya tidak merebak. Tindakan memicit kawasan sengat akan menyebabkan ia mudah dijangkiti kuman dan menyebabkan bisa masuk lebih dalam menyebabkan sakit anda lebih lambat pulih.
4. Sengatan lipan terdiri daripada protein yang boleh terurai oleh suhu panas. Sekiranya tempat sengatan anda menjadi bengkak, rendamkan kawasan tersebut dalam air panas(35-45’C) selama 30minit. Kepada mereka yang dah lama follow doc, doc memang selalu kongsi pasal rendaman air panas ni. Termasuklah kalau disengat obor-obor, ikan batu, ikan sembilang dsb.
5. Sesetengah lipan menyebabkan kawasan sengat menjadi gatal.
Oleh itu, anda boleh dapatkan krim steroid seperti Hydrocortisone untuk mengurangkan gatal dan kesan kemerahan pada kulit.
6. Haaa… tahu tak sengat lipan ni amat sakit dan terasa sehingga 48jam lamanya.
Dapatkan ubat penahan sakit jenis NSAIDs seperti tablet Diclofenac atau Ibuprofen. Pastikan anda mendapat nasihat doktor terlebih dahulu sekiranya anda baru pertama kali ingin mengambil ubat ini.
Bila anda perlu berjumpa doctor?
-Jika kesan sengat lipan tidak baik selepas beberapa hari dan semakin bengkak.
-Sejurus selepas disengat, anda dinasihatkan mengambil suntikan anti-tetanus (kancing gigi)
-Beberapa kes sengatan lipan boleh menyebabkan alahan yang teruk.(anaphylaxis reaction) Oleh itu berjumpalah doktor segera untuk penilaian lanjut sekiranya anda mengalami sesak nafas,pening kepala, sakit dada, merah seluruh badan dan sakit yang melampau.
-Anak kecil yang berusia 5 tahun ke bawah serta warga emas yang digigit lipan hendaklah dibawa berjumpa doktor dengan segera.
Tips Extra:
Ada juga pesakit doc yang pergi sapu perut lipan pula di tempat terkena sengatan lipan. Tapi nampaknya tak berkesan sebab tu terpaksa cari doc juga. Antara petua orang tua yang lucu bila doc baca antaranya ada yang sapu getah keladi dekat tempat kena sengat! (Tak melekit ke nanti?) Ada juga yang sapu cuka dan biji hitam, kemudian gaulkan dan campur pula bawang putih (Ni dah macam nak memasak pulak!). Yang sapu abu lipan pon ada (Baik buat BBQ lipan je. Nyam2). Sapu air asam jawa dan macam2 lagi lah petuanya.
Petua ni sebenanya pada pendapat doc selagi ia tidak memudaratkan, tak salah nak mencuba. Tetapi kemungkinan anda akan rugi masa dan tenaga saja jika petua tersebut tidak berkesan. Jadi, doc sarankan anda berjumpa dengan doktor terlebih dahulu atau boleh juga cuba tips yang doc kongsikan ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kebelakangan ini, banyak kereta baru dengan rekaan yang cantik lagi menarik berada dipasaran. Buat kita pun rasa teruja, mulalah pasang impian berangan nak tukar kereta baru juga.Memang seronok bila ada kereta baru ni, rasa lebih selesa dan nampak lebih bergaya, kan! Tapi sebelum nak teruskan impian dan hajat dihati tu, sebenarnya banyak aspek yang perlu diambil kira.
Buat yang masih keliru sama ada nak tukar kereta baru ke tak, sebelum nak beli tu, pertimbangkan dahulu formula yang dikongsikan oleh Azizul Azli Ahmad ini, yang juga merupakan penulis bagi tip-tip kewangan.
Berikut antara perkongian beliau;
PANDUAN BELI KERETA BARU BERGAYA
1. Kebelakangan ini makin banyak kereta baru akan dan telah keluar dipasaran.
2. Ramai yang dah terliur dan mula pasang angan angan. nak beli MYVI, Iriz, Axia, atau Bezza.
3. Mari kita ulang kaji pelajaran, kereta yang layak kita beli adalah SETAHUN gaji kita.
4. Jika gaji baru RM2,000 kereta yang kita mampu beli beharga RM24,000 sahaja.Jika tiada kereta baru, belajar naik motor dulu atau beli yang terpakai saja.
5. Bayaran kereta kita sebaiknya BAWAH15% dari gaji. Jika gaji RM3,000. Ansuran bulanan kereta mesti kurang dari RM450 sahaja.Jika lebih, jurujual kereta akan kata “padan muka jerat sudah kena”
6. Boleh juga guna formula ini; 20 : 5 : 15
20% Deposit kereta
5 Tempoh Pembiayaan
15% Dari gaji bayar kereta
7. Jika masih lagi sukar dapat jawapan nak beli kereta atau tidak, guna pulak formula ini.
Harga Kereta / 12 bulan = Gaji Layak Beli
Jika harga Axia paling murah RM24,900 / 12 = RM 2075 gaji layak beli.
Jika harga MyVi baru paling murah RM44,300 / 12 = RM3691 gaji kita baru layak beli MyVi baru yang seksi itu.
8. Memang seronok naik kereta baru, kawan opis puji tinggi sebab nak naik kereta ‘free’.
9. Belajar simpan duit dulu baru belajar nak beli kereta. lebih hebat jika beli rumah dulu baru kereta. Gegadis sangat suka sebab ada dapur IKEA.
10. Kereta terpakai bukan dosa, tak guna kereta baru jika sampai opis lewat juga.
Semoga perkongsian ini bermanfaat, kongsikan juga formula ini kepada kawan-kawan yang berhajat nak tukar kereta.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih! Meskipun mengalami masalah penglihatan pada mata kanan yang tidak berfungsi dan terpaksa melipatgandakan usaha untuk melihat menggunakan kanta pembesar, ia bukanlah halangan bagi ibu kepada 7 anak ini berjaya menghabiskan ijazah Doktor Falsafah (PhD).
6 Tahun Habiskan Pengajian
Norhayati Sambak, 52, berkata, meskipun mengambil masa selama enam tahun, beliau bersyukur dapat menghabiskan pengajiannya dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Beliau yang juga pensyarah di UiTM Kelantan berkata, anak-anak dan suami adalah pembakar semangatnya untuk menggapai PhD.
“Tipulah, jika tidak pernah ada rasa putus asa, pernah rasa mahu menjual tanah untuk membayar semula duit kerajaan (biasiswa).
“Pernah juga satu tahap, rasa macam sudah tidak nampak (hala tuju) kerana tiada hasil. Bersyukur ada penyelia yang sangat menyokong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini.
Guna Kanta Pembesar
Norhayati kini terpaksa menggunakan kanta pembesar bagi menjalani kehidupan seharian selepas mata kirinya pula menghidap lekangan retina, namun, hal itu tidak memadamkan cita-citanya untuk meraih PhD.
“Tahun lalu, selepas selesai PhD saya terpaksa lalui dua kali pembedahan mata kiri. Mata kanan tidak berfungsi sejak 10 tahun lalu, hanya menggunakan mata kiri sahaja.
“Mungkin terlalu mengharapkan mata kiri, ia terlalu tertekan sehingga jadi seperti ini (tidak nampak),” katanya yang sudah menghasilkan dua buku berkaitan kewangan.
Selepas selesai temu bual, wanita cekal itu dibantu staf UiTM bagi mendapatkan suaminya yang menunggu di pekarangan dewan memandangkan penglihatannya yang sangat minimum telah membantutkan pergerakannya.
Sementara itu, seorang pegawai polis Asisten Superintendan Abang Faisal Yaman, 54, melahirkan rasa syukur selepas penantiannya selama tujuh tahun bagi memperoleh PhD dalam pengurusan korporat akhirnya tercapai.
Selain sokongan rakan-rakan, Ketua Cawangan Pengajian Latihan Asas/Lanjutan di Pulapol Kota Kinabalu itu berkata, kemahuannya mahu memakai bonnet atau topi PhD mendorongnya untuk terus berusaha.
“Jika mahu belajar PhD perlu pandai membahagikan masa dan perlu mencari titik perubahan supaya terus bersemangat.
“Saya akan pastikan dalam masa satu hari, dua jam akan diperuntukkan untuk PhD. Jika bekerja di luar kawasan saya mesti bawa komputer riba, sebab itu nadi kita supaya kita tidak lupa,” katanya.
Bapa dua anak itu berharap kejayaannya itu memberikan galakan buat rakan dan anak-anaknya untuk terus belajar ke peringkat tertinggi.
Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana dan Sarjana Muda kepada 1,124 graduan UiTM pada hari kedua istiadat konvokesyen itu.
Mingguan Wanita:Tahniah buat wanita ini yang juga merupakan ibu kepada 7 orang anak. Dengan mempunyai masalah penglihatan, ternyata ia bukanlah perkara mudah, namun tidak mustahil untuk menggengam kejayaan. Semoga menjadi inspirasi buat wanita lain juga.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.