10 Panduan Ini Buat Mak Ayah BERTENANG, Hadapi Minggu Pertama Anak Darjah Satu

Share

Bila anak nak masuk darjah satu, kalutnya mak ayah dah bermula dari sekarang. Dup dap dup dap dalam hati tu memikirkan ‘Pandai tak nanti anak aku berdikari’,

‘Cukup tak nanti keperluan anak’, ‘boleh tak anak ambil baki dengan betul lepas membeli di kantin sekolah’, ‘Hilang tak nanti barang sekolahnya.’

Macam-macam persoalanlah berlegar-legar dalam kepala itu. Jadi sebelum kebimbangan itu jadi sesuatu yang merisaukan, mak ayah perlu ambil langkah bersiap sedia.

Panduan yang dikongsikan Abdul Muiez Ruslee untuk mak ayah persiapkan diri sememangnya cukup berguna dan perlu dihadam kemas-kemas.

Anak Masuk Darjah Satu.. Bertenanglah Mak Ayah

Ada beberapa perkara yang perlu ibu bapa siapkan sebelum anak melangkah ke tahun satu.

Pertama : Ajar Anak Cara Guna Duit

Yang ini sangat penting. Tunjukkan nilai duit kepada anak. Kalau boleh, buat praktikal di rumah supaya anak tahu berapa perlu dibayar, berapa baki yang perlu diminta dan sebagainya.

Kedua : Tak Perlu Beli Kasut Sekolah Mahal-mahal

Kasut berjenama yang makan harga sampai lebih RM60. Sebab apa? Biasanya kasut sekolah tu hayatnya tak lama.

Sebab hilang. Bila kasut mahal, lepas tu hilang pulak, mulalah mak ayah bikin ribut dalam grup WhatsApp kelas anak.

Sama juga dengan peralatan sekolah seperti pensil warna dan seangkatan dengannya. Cukuplah dengan pensil warna 12 batang. Kalau hilang pun tak ralat.

Ketiga : Jangan Lupa Tulis Nama Anak

Tulis nama anak pada beg, kasut, baju, seluar, bekas pensil dan segala harta ismit ulam raja yang anak-anak kita ada.

Kalau hilang juga, tanya elok-elok dalam grup WhatsApp kelas (kalau ada). Dan kalau tak jumpa juga, belilah baru. Kalau tak mampu, jumpa guru besar. Mungkin PIBG boleh bantu.

Keempat : Ajar Anak Minta Izin Untuk Pergi Tandas

Ada anak yang pemalu atau takut. Tu yang terlepas dalam kelas tu.

Kelima : Cara Ini Elak Anak Nangis Di Hari Pertama Sekolah

Bisikkan dekat anak setiap hari yang mereka akan mula bersekolah tahun depan. Kalau anak-anak nak pakai kasut sekolah hari-hari pun takpa. Sekadar nak mencetuskan rasa teruja. Tak adalah nanti bila sampai sekolah, menangis sepanjang hari.

Keenam : Terangkan Hakikat Sebenar Sekolah

Ceritakan dekat anak apa yang akan dia alami di sekolah. Kalau di tadika, itulah cikgunya dari pagi sampai petang. Tapi di sekolah rendah, cikgu-cikgu bertukar mengikut subjek.

Pernah anak saya cakap, “sekolah tak best.” Saya tanya, “kenapa?” Dia jawab, “cikgu ramai. Tukar-tukar pula tu. Penat nak berdiri duduk.”

Ketujuh : Minta Anak Berkawan-kawan

Suruh juga anak-anak berkawan. Antara sebab anak selalu menangis ialah dia tak jumpa kawan untuk bermain. Kalau jenis mesra alam, senang sikit. Duduk sekejap saja dah boleh ajak kawan sebelah melompat.

Kelapan : Bertenanglah Mak Ayah.. Beri Kepercayaan Pada Sekolah

Biasanya, minggu pertama sekolah ada minggu transisi. Biasanya juga, sekolah hanya benarkan mak ayah tunggu hari pertama sahaja.

Hari kedua mak ayah dah dilarang untuk menunggu sampai depan pintu kelas. Kecuali ada hal tertentu. Bincanglah dengan cikgu, kalau ada kes-kes tertentu.

Kesembilan : Hati-hati Dengan Media Sosial, Tak Semua Status Yang Di ‘Up’ Menyelesai Masalah

Kalau ada yang tak puas hati dengan pihak sekolah, maklumkan terus kepada guru besar. Jangan pula ditular dalam FB. Bayangkan kalau kita bikin masalah. Nanti yang terima akibatnya, anak kita juga. Kita jadi malu, anak-anak pula tak selesa.

Sepuluh : Pergi Sekolah Itu Wajib

Paling penting, suruh anak pergi sekolah. Undang-undang di Malaysia ini, bila anak berumur 7 tahun saja, mereka wajib pergi sekolah. Kalau tak pergi sekolah, satu kesalahan.

Selamat menempuhi alam baru terutamanya ibu bapa yang anak sulung baru masuk tahun satu dan selamat menjadi singa sebab nak kena siapkan anak awal pagi.

Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee, Cikgu Pan Asian (gelaran baru)

Published by
Netty Ah Hiyer