10 Kesalahan Ini Bila Mak Ayah Lakukan, Boleh Buat Anak Jauh Dari Syurga Allah

Share

Matlamat setiap mak ayah dalam mendidik anak, tentulah mahu menjadikan setiap anaknya cemerlang dunia dan akhirat. Mencapai syurga Allah dengan usaha-usaha baik yang dilakukan di dunia. Sebab itulah dalam membesarkan anak-anak berhati-hatilah. Usahakan agar mak ayah tak lakukan 10 kesalahan ini.

Perkongsian daripada Puan Nurkhomsiah Bakrim ini diperoleh semasa beliau memandu dari sekolah. Akuinya beliau dalam 20 minit pemanduan itu, Allah kurniakan rezeki ilmu mendengar ceramah Ustaz Zainal Abideen.

Biasanya dengar tazkirah apa yang PERLU DILAKUKAN dalam didikan anak. Kali ini, dengar apa yang TIDAK BOLEH DILAKUKAN dalam didikan anak. Nasihat Ustaz sangat terkesan di hati.”

Saya catatkan semula di sini mengikut pemahaman sebagai checklist serta peringatan kepada diri sendiri dan anda yang sedang membaca:

10 KESALAHAN DALAM MENDIDIK ANAK

Pertama : Salah Niat & Tujuan

Mungkin ada ibu bapa yang berniat mendidik anak kerana mahu penghargaan manusia. Contohnya, mahu dipuji hebat dan bagus dalam didikan anak.

Mungkin ada ibu bapa yang berniat mahu anak menjadi cemerlang dalam akademik untuk mendapat kesenangan dunia, mendapat jawatan tinggi dan dimuliakan oleh manusia lain.

Niat untuk mendapat penghargaan musia dan tujuan keduniaan sebegini salah.

Seharusnya:

√    Ibu bapa sentiasa muhasabah diri niat mendidik kerana Allah. Atas kesedaran anak ini amanah, maka hanya perlu mengharapkan redha Allah semata-mata.

√    Anak juga wajib dididik niat mahu menuntut ilmu kerana Allah. Berusaha untuk menjadi hamba dan khalifah Allah yang diredhai-Nya.

Maksud firman Allah:
“Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu..”
(Surah Al-‘Alaq: 1)

Kedua : Salah Memilih Sekolah

Memilih sekolah yang terkenal kerana berprestasi tinggi dan bertaraf antarabangsa tetapi mengetepikan element keislaman dalam pendidikan adalah satu kesalahan dalam proses pembesaran seorang anak.

Mungkin ada ibu bapa yang berpendapatan tinggi memilih sekolah berdasarkan populariti dan standard tetapi kurang cakna tentang falsafah pendidikan yang dipegang, bagaimana latar belakang tenaga pengajar dan rutin harian serta disiplin yang diamalkan di sekolah itu.

Seharusnya

√    Pemilihan sekolah yang terbaik ialah meletakkan asas akidah dan akhlak islamiah sebagai faktor utama.

Ketiga : Salah Kaedah Pendidikan

Mungkin ada ibu bapa yang terlalu tegas dalam mendidik sehingga si anak merasa takut dan kurang disayangi.

Lebih teruk, ada kes si anak merasa trauma kerana sikap ibu bapa yang terlalu garang serta suka memukul dan menghukum.

Mungkin ada pula ibu bapa yang terlalu lembut dengan anak sehingga segala kemahuan anak dituruti. Maka, wujud istilah.. “Bila si ibu melahirkan tuannya” atau merujuk kepada filem Melayu lama yang sangat popular, “Anakku Sazali.”

Seharusnya

√     Ibu bapa berbincang dan mengambil langkah pertengahan. Masih bertegas dalam kelembutan. Masih berlembut dalam ketegasan. Islam itu agama yang suka kepada kesederhanaan.

Keempat : Salah Memberi Motivasi

Mungkin ada ibu bapa yang meletakkan ganjaran duniawi semata-mata sebagai reward untuk memotivasikan anak melakukan kebaikan.

Contoh-contoh situasi:

Kalau Adik puasa penuh sebulan, Ayah bagi duit raya RM300”.

Kakak mesti menang pertandingan Hafazan peringkat kebangsaan. Nanti boleh masuk TV dan surat khabar.”

Abang kena target mati syahid. Nama Abang akan disebut-sebut sepanjang zaman.”

Ganjaran berupa materials dan duniawi yang berlebihan adalah merosakkan.

Seharusnya, reward berbentuk materials perlu diberi sesekali sahaja. Asas yang paling kukuh perlu ditanam dalam jiwa seorang anak ialah melakukan segalanya kerana Allah dan untuk mendapatkan redha Allah serta ganjaran di Akhirat iaitu Syurga yang kekal abadi, inshaa Allah.

Kelima : Salah Memberi Kebebasan

Anak-anak yang semakin besar boleh diberi kebebasan dan kepercayaan untuk membuat keputusan dalam kehidupan.

Namun, satu kesalahan jika ibu bapa memberi kebebasan membuat keputusan tanpa berpandukan Al-Quran & Sunnah.

Contoh-contoh situasi:

√     Anak minat menyanyi. Maka, anak diberi kebebasan membuka aurat dan menyanyi lagu-lagu yang melalaikan di hadapan khalayak ramai.

√    Anak minat melukis dan mahu menjadi fashion designer. Maka, anak diberi kebebasan mereka design baju yang kebaratan dan tidak islamic.

√     Anak minat main bola sepak dan mahu menjadi pemain bola sepak professional. Maka, anak dibiarkan sahaja berlatih dengan memakai seluar pendek dan pulang lewat ke rumah sehingga tidak sempat solat Maghrib berjemaah.

Seharusnya:

√     Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menegur dan memandu anak-anak membuat keputusan yang tepat dalam hidup berpandukan neraca Islam.

Keenam : Salah Menjadi Contoh Teladan

Mungkin ada ibu bapa yang begitu mahu anak menjadi soleh dan solehah tetapi diri sendiri masih belum layak digelar soleh dan solehah.

Contoh-contoh situasi:

√     Ibu bapa yang mahu anak rajin mengaji al-Quran tetapi diri sendiri malas mengaji al-Quran.

√     Ibu bapa mahu anak bercakap sopan tetapi diri sendiri bercakap kasar dan suka menengking.

√     Ibu bapa menyuruh anak menghormati waktu solat tetapi diri sendiri masih bersama phone ketika azan berkumandang.

Seharusnya :

√     Ibu bapa mesti menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa perlu bertindak dan mengamalkan dahulu apa yang diperkatakan. Pendidikan terbaik ialah melalui teladan.
“Actions speaks louder than words.”

Maksud Firman Allah S.W.T:
“Wahai orang-orang yang beriman,
Mengapa kamu menyuruh orang lain berbuat sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu menyatakan apa yang tidak kamu kerjakan.”

(Surah As-Shaff: 2-3)

Ketujuh : Salah Kerisauan Melampau

Mungkin ada ibu bapa yang mengalami kerisauan melampau sehingga anak-anak dikongkong ketat.

Contoh-contoh situasi:

√     Anak tidak diberi peluang langsung bermain di luar rumah dan bersosial dengan jiran-jiran.

√      Anak tidak langsung diberi peluang ‘screen time’ walaupun hanya 1 jam sehari.

√     Anak tidak dihantar ke sekolah apabila tiba masanya kerana risau dibuli.

√     Kerisauan melampau ini adalah satu kesalahan dan merosakkan pembesaran normal dan fitrah seorang anak.

Seharusnya :

√     Ibu bapa masih memberi peluang kepada anak-anak bersosial dan berhibur tetapi dalam kawalan yang sewajarnya disamping menasihati dan bertawakkal kepada Allah Yang Maha Menjaga.

Kelapan : Salah Membandingkan Anak

Mungkin ada ibu bapa yang suka membandingkan anak pertama dengan kedua dan seterusnya. Atau membandingkan anak sendiri dengan anak orang lain.

Perbandingan yang diterjemahkan melalui kata-kata dan tindakan ini melukakan hati anak dan boleh menimbulkan isu ‘pilih kasih’ dari pelbagai sudut. Anak-anak juga membesar dalam keadaan tidak harmoni dan penuh dendam.

Seharusnya :

√     Ibu bapa bersikap adil dengan menerima setiap kelebihan dan kekurangan anak seadanya dengan penuh syukur. Sedar hakikat, setiap anak itu rezeki dan mempunyai characteristics, minat dan potensi tersendiri.

Maksud Firman Allah dalam Surah Al-Ma’idah, Ayat 8,

“Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa..”

Kesembilan : Salah Menuduh Anak

Mungkin ada ibu bapa yang suka menjatuhkan hukuman kepada anak-anak secara melulu tanpa usul periksa.

Anak-anak yang selalu dituduh dengan kejahatan atau dipandang serong akan membesar dalam suasana negatif dan penuh kebencian.

Seharusnya :

√     Ibu bapa bersikap matang, teliti dan tenang dalam menjatuhkan hukuman sebagai pengajaran sekiranya anak benar-benar bersalah.

Kesepuluh : Salah Menjauh Dari Orang Soleh

Mungkin ada ibu bapa yang tidak suka membawa anak-anak pergi ke masjid, surau atau majlis-majlis ilmu agama.

Pemikiran bahawa anak-anak dirasakan mengganggu atau menyusahkan adalah satu kesalahan.

Seharusnya :

√     Anak-anak dididik untuk suka dengan rumah Allah dan taman Syurga sejak kecil. Di sini, mereka belajar bahawa mendekatkan diri dengan insan-insan soleh dapat membawa mereka lebih dekat dengan kebaikan, inshaa Allah.

TIADA IBU BAPA SEMPURNA
KITA ADA AGAMA YANG SEMPURNA

“Berilah peringatan! Sesungguhnya, peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”
.
(Surah Adz- Dzaariyat: 55)

Sumber/Foto : Nurkhomsiah Bakrim

 

Published by
Netty Ah Hiyer