’10 Beradik Konvo UIAM’ Inilah Hebatnya Didikan Cara ‘Old School’ Mak Ayah

Share

Tular kisah hebat ini mengenai kejayaan 10 orang adik beradik yang kesemuanya graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari Kota Bharu, Selangor, Negeri Sembilan Kuantan dan Kuala Lumpur.

Sama-sama turun dan memberi kenangan terindah buat mak dan ayah mereka, sempena majlis konvokesyen adik bongsu yang ke-10. Catatan, Dr Abdul Rahman Fauzi Al Hafiz di facebook miliknya berkongsi rahsia ibu dan ayah mendidik mereka dengan style ‘old school’ hingga berjaya kesemua anaknya.

Siapa Mak Ayah Di Mata Kami

Saya tak sangka gambar kami adik beradik 10 orang memakai robe UIAM yang saya upload semalam menjadi tular dan mendapat perhatian pihak UIAM. Ramai yang mengucapkan tahniah, tak kurang juga yang minta kongsi tips bagaimana cara mak ayah kami mendidik kami.

Jadi in sha Allah saya akan cuba kongsi sedikit sebanyak tentang siapa mak ayah di mata kami.

Memandangkan saya merupakan anak kesembilan, mungkin banyak saya akan cerita berdasarkan apa yang saya tahu dan dengar daripada abang-abang dan kakak saya sahaja.

Ayah kami, Ir Haji Fauzi bin Abdullah merupakan seorang jurutera sivil graduan University of Manchester manakala mak, Wan Jamaliah binti Megat Hashim pula seorang suri rumah.”

Pertama : Ayah Didik Cara Old School

Didikan ayah memang jenis style ‘old school’ sikit. Ayah merupakan seorang yang sangat tegas, berdisiplin dan tidak boleh berkompromi terutamanya perkara-perkara berkaitan prinsip agama. Ayah awal-awal dulu tersangatlah tegas dan garang. Saya yang last-last ni tak merasa sangat zaman awal didikan ayah.

Kedua : Ayah Cukup Jaga Setiap Rezeki Yang Masuk, Tak Berhutang Elak Riba

Menurut kakak, ayah sangat mengambil berat tentang didikan agama, pergaulan, pemakaian dan pemakanan kami. Bahkan ketika zaman sistem perbankan Islam belum ada, ayah tidak pernah berhutang untuk membeli kereta atau rumah kerana ayah tidak mahu anak-anak disuap daripada hasil riba. Begitulah betapa telitinya ayah dalam membesarkan kami.

Ketiga : Anak-anak Mengaji Al Quran Di Rumah, Hafal Surah Al Kahfi

Pendidikan agama sangat ditekankan sejak dari kecil lagi. Ayah sendiri yang mengajar abang dan kakak kami untuk mengaji Al Quran di rumah dan kemudiannya diteruskan oleh kakak kami Maryam Fauzi yang akan mengetuai adik beradik lain mengaji Al Quran setiap kali selepas maghrib. Beliau siap buat jadual silibus khas untuk adik-adik yang lain capai. Ada target.

Setiap malam Jumaat pula kami akan duduk bersama-sama membaca surah Al Kahfi beramai-ramai. Dan tidak salah saya rasa kalau saya katakan adik beradik kami hafal surah Al Kahfi sejak sekolah lagi kerana amalan ini! Manakala setiap pagi hujung minggu, kami diwajibkan untuk membaca al-ma’surat beramai-ramai sampai habis.

Keempat : Anak-anak Dihantar Ke Sekolah Agama

Kami semua dihantar ke sekolah agama sejak sekolah rendah lagi kecuali abang dan kakak-kakak yang atas kerana masa tu sekolah rendah agama mungkin belum ada.

Yang lain dihantar bersekolah di Sekolah Rendah Islam Aman (bawah kelolaan MUSLEH) manakala sekolah menengah pula kami semua dihantar belajar di sekolah Maahad Muhammadi Kota Bharu, sekolah kelolaan kerajaan negeri Kelantan. 3 orang daripada kami dihantar belajar tahfiz di Darul Quran dan saya merupakan salah seorang daripadanya.

Kelima : Sejak Kecil Anak Dah Kena Berdikari

Ayah dan mak banyak mengajar kami berdikari sejak kecil. Kerja rumah, belajar dan kebersihan ayah akan selalu pantau. Kalau kat rumah ayah memang tak bagi kami membazir masa. Tidur selepas subuh pun tak boleh. Buat la apa sahaja. Baca buku, tolong buat kerja rumah, memasak dan sebagainya. Janji jangan membazir masa. Pelajaran pula ayah dan mak akan pastikan kami boleh fokus sendiri tanpa disuruh-suruh.

Keenam : Mak Ayah Jadikan Tahajud Dan Qiyamullail Rutin Harian

Ayah dengan mak memang sangat rajin beramal. Tahajud dan qiyamullail sudah menjadi rutin biasa. Pergi mana-mana, solat berjemaah subuh dan baca ma’surat memang tak pernah sekali pun tertinggal sepanjang saya kenal ayah!. Ayah akan pastikan juga untuk solat berjemaah walaupun hanya di rumah bersama keluarga.

Ayah dan mak selalu berpesan, pergi mana-mana pun, jaga imej Islam dan keluarga. Solat dan al Quran jangan pernah lupa. Hidup ini tak kekal lama. Sentiasa jadi yang terbaik dalam bidang kita dan bermanfaat pada orang, walau ke mana pun kami dicampak. Apabila tahu cerita kami tular, ayah hanya berpesan supaya gunakan platform yang Allah bagi ini untuk berdakwah kepada orang lain.

Ketujuh : Dalam Tegas, Mak Ayah Kami Sangat Penyayang

Begitulah serba sedikit tentang mak dan ayah kami. Nampak saja tegas, tapi sangat penyayang. Kami sangat-sangat bertuah kerana dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana yang mementingkan Islam sebagai cara hidup tanpa meminggirkan urusan dunia.

Ayah dan mak meninggalkan satu amanah yang besar untuk kami pikul. Agar anak cucu mak ayah, terus menerus mendidik generasi akan datang, menjadi manusia yang berguna khususnya untuk agama.

Lastly kenapa memilih UIAM bukan institusi pengajian lain? Itu kena tanya ayah. Sebab ayah rasakan UIAM yang paling terbaik untuk kami sekeluarga dan memang rezeki kami untuk belajar dan grad di sini.

 

Senarai 10 Beradik Konvo UIAM Dengan Kelulusan Masing-masing

1) Anas bin Fauzi

Bachelor of Laws, 2002

2) Maryam bt Fauzi

Bachelor of Laws, 2003

Master in Comparative Laws, 2004

3) Asiah bt Fauzi

Bachelor of Human Science, 2004

Master in Human Science (Psychology), 2012

4) Sumayyah bt Fauzi

Bachelor of Laws, 2005

Master in Comparative Laws, 2009

5) Fatimah bt Fauzi

Bachelor Bio Chemical – Bio Technology Engineering, 2009

6) Muadz bin Fauzi

Bachelor of Information Technology, 2009

7) Aishah bt Fauzi

Bachelor of Laws, 2012

Bachelor of Laws (Shari’ah), 2013

8) Asma’ bt Fauzi Al-Hafizah

Bachelor of Mathematical Science, 2011

9) Dr Abdul Rahman bin Fauzi Al-Hafiz

Bachelor of Dentistry, 2015

10) Dr Abdullah bin Fauzi Al-Hafiz

Bachelor of Medicine & Surgery, 2018

Sekian sahaja coretan daripada saya. Moga ada manfaat untuk semua. Anda boleh share je post ni tanpa minta izin ya. 🙂
ان اكرمكم عند الله اتقاكم ان الله عليم خبير

Sumber/Foto : Dr Abdul Rahman bin Fauzi Al-Hafiz, BDS IIUM, Anak Haji Fauzi dan Wan Jamaliah yang ke 9

Published by
Netty Ah Hiyer