Cara mandi wajib yang betul adalah sangat penting dan sama sekali tidak boleh dipandang ringan.Ini kerana jika asas mandi wajib tidak betul, maka ibadat lain yang dilakukan juga tidak sah.Antara sebab yang diwajibkan berniat mandi ini adalah keluar air mani,selepas haid atau nifas serta selepas malakukan hubungan intim antara suami isteri.

Sebenarnya,tidak kiralah mandi menggunakan apa juga cara, sama ada air paip, air kolah, air perigi mahupun air sungai yang penting air tersebut ialah air mutlak.Tidak perlu pun mandi lama-lama, asalkan mandian itu sempurna.Untuk itu, ilmu cara mandi wajib ini perlu dipelajari.

Panduan mandi wajib ini boleh digunakan untuk kedua-dua lelaki dan perempuan yang dirujuk daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai rujukan.

Yakin Telah Mandi Wajib Dengan Betul? Ini Rujukan Dari JAKIM Sebagai Panduan

Ads

Cara-Caranya:

1. Niat ketika air sampai ke tubuh
2. Membaca “Bismillah”
3. Mencuci tangan sebanyak tiga kali
4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri
5. Membersihkan atau menyucikan tangan kiri dengan sabun
6. Berwuduk. Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa sepertimana biasa dilakukan sebelum melakukan solat. Ataupun boleh menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.
7. Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala lalu siram 3 kali dengan air.

Ini berdasarkan hadith dari ‘Aisyah (R.A) di dalam Sahih al-Bukhari yang maksudnya:

“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian mengusap rambutnya, kemudian menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua-dua tangannya”

Ketika menyiram kepala, hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) yang maksudnya:

Ads

“Baginda menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri”

Bagi wanita yang mandi untuk haid atau mandi junub, perlu melepaskan ikatan rambut tersebut. Ini pula berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) di dalam Sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haid ketika menunaikan haji. Lalu Baginda Rasulullah SAW berkata sedemikian:

“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”

8. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.

Dari ‘Aisyah (R.A): “Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci”. (Sahih Muslim)

Ads

9. Meratakan air ke seluruh tubuh badan

10. Berwuduk jika hendak mengerjakan solat fardhu. Perbezaan antara mandi wajib dengan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja. Cara kaedah mandi adalah sama.

Video Cara Mandi Wajib Yang Ringkas,penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus;

Sumber: Majalah Cahaya, Bil 106, Tahun 24, Isu 3/2012, Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI