Waspada lah dapat bersahabat. Tak semua yang ‘indah’ di depan, begitu juga di belakang. Yang begitu memahami dan sentiasa di sisi, tak semestinya hatinya benar-benar jujur menghulurkan bantuan.
Wanita makhluk yang suka berkongsi perasaan dengan sesamanya, kadang-kadang meluahkan isi hati bersama teman-teman menjadi satu keperluan bagi mereka.
Apalagi jika suami susah memberi masa untuk mendengar keluhan-keluhan isteri, pasti isteri rasa tertekan.
Untuk apa bersama kalau hati mengambil jalan sendiri-sendiri, tidur sekatil, satu selimut pun tak guna kalau hati tidak saling berintiman dalam menjalani permasalahan hidup. Inilah punca perbalahan, kurang komunikasi, suami cepat melenting, cepat bagi komen yang negatif jika isteri cuba meluah perasaannya.
Isteri Luahkan Pada Rakan
Kadang-kadang isteri takut nak bercakap disebabkan perangai suami yang tak peduli sebegini. Akhirnya isteri mencari tempat untuk berbagi kisahnya bersama sahabat-sahabat yang mahu memahami.
Sahabat, apakah masih ada lagi orang-orang yang ikhlas bersama kita dalam susah dan senang? Kita selalunya kecewa apabila ada yang berpura-pura dalam persahabatan, ada udang di sebalik batu. Ada unsur-unsur kepentingan dunia, duit dan kedudukan yang dimahukan dari kita tanpa kita sedar.
Foto: Pexels.com.
Waspada Sahabat Yang Konon Memahami
Baiknya dia melayan sampai menangis terharu melihat kesungguhannya menyelami perasaan kita, tolong apa-apa saja yang kita minta, ada sentiasa bila kita hubungi, bagi perhatian, pandai pujuk dan puji melangit, tiba di satu titik masa tiba-tiba dia mengambil kesempatan atas kejujuran kita dalam bersahabat. Biasanya duit menjadi punca, hutang dan tipu muslihat perniagaan sebagai balasan atas persahabatannya itu.
Ada yang sampai suamipun kena kebas, sebab percayakan sahabat sendiri. Apakah salah kita? Apa yang perlu kita teliti dalam sebuah perhubungan persahabatan, apakah agama kita mengatur batas-batas dalam persahabatan?
Sahabat dunia atau akhirat
Ujilah manusia yang datang kepada kita, apakah mereka ikhlas bersahabat kerana Allah SWT ataukah melencong niat mereka kerana habuan dunia. Orang yang tujuan bersahabat kerana kebaikan untuk agama akan berusaha menjauhkan dirinya dari pergaulan yang menjurus kepada kelalaian dunia.
Kalau berjumpa tak habis-habis buka cerita mengaibkan orang, memfitnah, menghabiskan masa tiada faedah, berhibur sampai tinggalkan solat, cuba mempengaruhi diri anda sehingga membenci suami sendiri, menabur racun dalam hati, eloklah ditinggakan teman sebegini.
Besar dosa orang yang bertolong-tolongan dalam maksiat kepada Allah SWT, di dunia hatinya tak akan tenang dengan perangai jahat sebegini apatah lagi di akhirat pasti Allah SWT akan balas.
Baca artikel menarik lain di sini:
Hati-Hati Kawan Yang ‘Fake’, Depan Baik Belakang Canang Buruk Kita
Tak SALAH Berkawan, Tapi JANGAN Sampai ABAIKAN Perasaan Isteri, Anak-anak
Ikuti MINGGUAN WANITA di instagram
Waspada Sahabat Mulut Jahat
Kita akan rasa lebih sedih setelah bertemu dengan sahabat jahat mulut ini, sebab dia telah berjaya buat hati kita terganggu dengan cerita-ceritanya, risau dengan sangkaan-sangkaannya, walaupun dia pandai pujuk, puji dan puja kita tapi hati tak akan rasa puas dengan nasihatnya yang jauh dari pegangan agama.
Di akhirat telah diceritakan bagaimana manusia bertemu sahabat-sahabatnya sewaktu di dunia, Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya dalam kalangan hamba Allah ada kelompok manusia yang mereka itu bukan Nabi-Nabi dan bukan pula orang yang mati syahid. Nabi dan para syuhada berasa cemburu melihat kedudukan mereka di sisi Allah. Sahabat bertanya : Wahai Rasulullah siapakah mereka itu? Rasulullah menjawap: Mereka adalah satu kaum yang berkasih sayang kepada Allah tanpa ada pertalian darah, juga tidak ada harta yang diambil. Demi Allah muka mereka sungguh berseri-seri, mereka berada di dalam cahaya Allah, mereka tidak takut ketika manusia takut dan tidak bersedih ketika manusia bersedih.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Syarat Persahabatan
Begitulah syarat persahabatan yang ikhlas, pertama tiada pertalian darah dan yang kedua tiada zalim menzalimi dalam masalah harta benda. Sungguh susah mendapat sahabat akhirat yang akan membawa kita ke kedudukan tinggi di sisi Allah SWT. Masih adakah manusia yang jujur dan ikhlas bersahabat kerana Allah di tengah-tengah dunia yang mencabar dengan tipu muslihat ini?
Antara syarat persahabatan kekal dunia akhirat adalah memberikan hak seorang sahabat ikut batasan-batasan yang Allah aturkan. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang melepaskan orang mukmin dari satu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di dunia pasti Allah akan melepaskannya dari satu kesusahan di akhirat. Sesiapa memudahkan seseorang dari kesukaran pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutupi aib saudaranya pasti Allah akan menutupi aibnya di udnia dan akhirat. Allah akan menolong seorang hamba selama hamba tersebut menolong saudaranya. Sesiapa menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu pasti Allah akan memudahkan baginya ke syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di rumah daripada rumah-rumah Allah, membaca dan mempelajari kitab-kitab Allah diantara mereka, melainkan turun kepada mereka sakinah (Ketenangan) dan mereka diliputi rahmah serta dinaungi malaikat. Allah menyebut mereka di majlis-Nya”. (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini memberi peringatan kepada kita bahawa persahabat itu perlu dengan ilmu dan agama yang mendasarinya. Jika kita melepaskan ilmu agama jangan cuba-cuba mengikat tali persahabatan, semoga Allah merahmati kita dan sahabat-sahabat kita seperti Muhajirin dan Anshar.
Sumber: Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam, juga kolumnis di dalam Majalah MINGGUAN WANITA.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI