Wanita dan emosi seolah tak dapat dipisahkan. Sebagai seorang wanita, pernahkah anda merasa geram dengan karenah rakan setugas yang juga wanita kerana dia begitu emosional? Atau anda sendiri pernah ditegur kerana anda susah dibawa berbincang kerana cepat emosi?
Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training & Consultation, juga kolumnis NOTA UNTUK ISTERI di dalam Majalah MINGGUAN WANITA. FB: http://Promind Training And Consultation
Wanita Susah Nak Bawa Bincang
Jika anda sudah berkeluarga, pernahkah suami berkata ‘susah nak bincang dengan awak sebab suka ikut kata hati’ pada anda? Anak-anak mungkin cukup bersopan tetapi bayangkan derita mereka mempunyai ibu yang mudah sangat hilang daya fikir kerana mengikut perasaan?
Saya tidak kata yang lelaki tidak ada yang bersikap begini. Sudah tentu ada dan jumlahnya ramai. Tetapi oleh kerana saya menulis untuk ruangan Nota Untuk Isteri, maka saya akan berkongsi sebab kenapa ramai wanita menjadi begitu.
Betul Ke Hormon Puncanya?
Terlalu banyak sebab kenapa seseorang itu mudah beremosi. Kebanyakan sebab itu pula berlaku di luar kawalan kita. Antara yang paling biasa ialah sebab kitaran hormon.
Ads
Hormon estrogen ini membuatkan emosi wanita turun naik sepanjang tempoh ‘cuti’ sembahyang itu. Saya tahu kesan ini tetapi tidak pernah merasainya. Maka saya tidak boleh cerita banyak. Maaf!
Ingin Kesempurnaan
Kebanyakan wanita mempunyai sifat mahukan kesempurnaan dan menjadi yang terbaik. Mereka sudah belajar menjadi isteri pada ketika suami mereka dahulu mungkin masih bermain guli. Mereka belajar bersolek ketika rakan-rakan lelaki yang lain boleh keluar ke bandar dengan baju tidak bergosok.
Masalah timbul apabila mereka sendiri yang sentiasa merasa tidak menjadi yang terbaik dan tercantik. Apabila suami menegur “Eh..naik badan nampak?” maka hati pun sentap padahal itu sekadar bergurau. Sudahnya menjadi perang besar. Cuba anda duduk dengan tenang dan berfikir semula. Berbaloikah rasa begitu?
Kesan Pada Emosi
Pengalaman atau kejadian yang pernah dilalui memang memberi kesan kepada emosi kita semua. Sesetengah wanita mudah beremosi apabila tersentuh perkara-perkara yang menjadi titik hitam dalam hidup mereka.
Sebagai contoh perceraian, penderaan, kecurangan, anak cacat dan sebagainya. Kadangkala emosi ini sangat keterlaluan sehingga mempengaruhi cara berfikir sentiasa bersangka buruk kepada orang lain.
Ada beberapa pekerjaan yang memang memerlukan sentuhan perasaan. Jururawat, kaunselor, guru dan sebagainya dikatakan bagus untuk wanita. Ya, memang bagus pada perspektif orang yang menerima khidmat. Bagaimana kepada jururawat, kaunselor atau guru itu sendiri?
Ads
Wanita Dan Deria Keenam
Emosi kaunselor profesional contohnya perlu cukup untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam simpati yang tidak tamat. Seorang guru yang terlalu bersimpati dengan cabaran hidup muridnya mungkin terbawa-bawa rasa sedih sehingga ke rumah dan bilik tidur.
Kata orang, wanita mempunyai deria keenam terutama kepada ahli keluarga masing-masing. Memang betul seorang ibu atau isteri mempunyai deria itu. Namun pernahkah anda membuat komen tanpa fakta tetapi sebenarnya bergantung kepada deria itu? Sebagai contoh, satu kejadian buruk berlaku dan anda pun berkata, “Kan ibu sudah cakap dulu, tak percaya!!” dan leteran anda pun bermula.
Anda pernah lihat wajah anak anda apabila anda berkata begitu? Boleh anda lihat yang wajah mereka memberi isyarat ‘Mulalah tu…cakap ikut sedap hati sahaja!’ .
Takrifan Berbeza Antara Wanita Dan Lelaki
Lelaki juga beremosi bahkan lebih lagi sebenarnya berbanding wanita, tetapi persekitaran memberikan takrifan yang berbeza. Memang tidak adil tetapi begitulah layanan dunia ini.
Ads
Apabila perempuan maka dikatakan cerewet tetapi jika lelaki itu tandanya teliti. Bila lelaki dikatakan tegas, bila perempuan dikatakan tidak boleh dibawa berunding. Bila wanita dikatakan mudah menangis tetapi bila lelaki dikatakan prihatin.
Sebenarnya Lelaki Juga Beremosi!
Persekitaran dan masyarakat melabelkan wanita lebih beremosi namun kajian dalam Sains neuro sebenarnya menunjukkan keadaan sebaliknya. Lelaki lebih beremosi tetapi mereka lebih bijak menyembunyikan emosi mereka daripada memancut keluar.
Saya tahu nota kali ini membuatkan ramai pembaca khususnya wanita terasa hati. Mohon ampun dan maaf tetapi tolong jangan kecam saya. Saya berkongsi daripada perspektif neutral seorang lelaki. Oleh itu saya mohon jangan beremosi pada saya ya! Terima kasih.
Dalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya anaknya. Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak, sama perkembangan pembelajarannya.
Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya…
SETUJUKAH ANDA, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca?
Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.
Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?
Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.
Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.
Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.
Apa Yang Saya buat? Antaranya
Saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat
Adakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini
Adakan kelas tambahan membaca
Saya beri latih tubi membaca setiap hari
Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR.
Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik. Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.
Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.
Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.
Saya juga perasan, anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.
Kredit: rocksfull
Saya Mula Tertanya Mengapa?
Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.
Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.
Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah.
Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.
Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat beri galakan,sokongan dan dorongan untuk anak.
Kredit: muzikrbtpsikologi.blogspot.com
Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.
Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.
Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja.
Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.
Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.
Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.
Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum masuk tahun 1.
Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1. Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.
Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.
Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun
Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya. Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah.
Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin. Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.
Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.
Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.
Kredit: hyunjinmoon.com
Pendidikan Awal Anak Di Jepun
Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.
Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila nak masuk tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.
Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan.
Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.
Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), dia merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya. Bakal menduduki STPM tahun ini dan dia akan membuktikan dia bakal pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga. Satu ketika dulu, ketika di sekolah rendah dia tidak pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.
Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak.
Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
Sumber: Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner – Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Cukup membimbangkan pendedahan mengenai kehilangan 831 orang kanak-kanak dan remaja di seluruh negara sejak tahun 2010 hingga akhir bulan lalu.
Berdasarkan maklumat dalam laman web Kanak-Kanak Hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 60 daripada kanak-kanak dan remaja tersebut dikategorikan sebagai kes kehilangan terkini apabila laporan dibuat antara 10 Februari 2018 dan 26 Mei lepas.
Ramai pihak terutama mak ayah yang kini lebih risau akan keselamatan anak-anak.
Sebenarnya perkara ini boleh dielakkan, jika mak ayah tidak terlepas pandang dan ambil peduli dengan privasi anak-anak. Seperti tidak terlalu mendedahkan gambar dan maklumat penting anak-anak di media sosial.
Jemput hadam perkongsian daripada Public Health Malaysia ini;
Kajian menunjukkan, menjelang usia anak 5 tahun ibu bapa secara puratanya telah berkongsi lebih 1500 gambar anak!
Ya, semua ibu bapa memang teruja untuk berkongsi kecomelan anak masing masing, tetapi tahukah anda, bukan semua jenis gambar anak wajar dikongsi.
PDRM baru baru ini melaporkan mengenai kehilangan 831 kanak kanak yang tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini.
Berhati hati, “Predator” atau pemangsa yang berada diluar sana MUNGKIN sedang memerhatikan anak anda.
4 Perkara Yang Mak Ayah Ambil Peduli;
1.Elakkan berkongsi maklumat lengkap anak seperti lokasi sekolah, nama, identiti dan maklumat peribadi lain.Ini mungkin memudahkan “pemangsa” untuk menjejak anak anda dan memanipulasikan maklumat peribadi untuk tujuan jenayah.
2.Jangan hidangkan golongan peadophilia dengan santapan gambar gambar anak anda yang bogel atau separa bogel. Simpan momen indah tersebut untuk tatapan peribadi.
3.Selain itu, gambar yang berusur penderaan, penindasan, keganasan malah gambar yang memalukan anak juga tidak perlu dikongsi kepada umum.Ketahuilah, suatu hari nanti mereka akan meningkat dewasa.. pasti mereka enggan momen yang memalukan itu dikongsi.
4.Akhir sekali, semak tetapan privasi akaun anda dan berhati hati untuk “menerima” rakan yang tidak dikenali di media sosial.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Hati-hati iya mak ayah dalam berkongsi gambar-gambar comel anak-anak.Berpada-padalah. Jadikan pesanan ini sebagai satu peringatan, jangan jadikan anak kita mangsa mangsa seterusnya.
Bila penghujung persekolahan, tak lengkap tanpa jamuan sekolah. Inilah hari-hari terakhir penggal persekolahan sebelum naik kelas. Tak lengkap jika tiada majlis seperti ini, sekadar untuk gembirakan pelajar dan guru-guru.
Setiap sekolah pun ada cara tersendiri untuk jamuan sekolah dalam meraikan pelajar dan guru. Ada yang membuat tempahan dengna mengutip duit setiap pelajar dan tak kurang juga yang meraikan dengan membawa makanan dari rumah untuk ‘potluck’.
Tak kisah apa pun cara meraikan jamuan sekolah, paling penting ia tidak membazir dan dapat merasai banyak ‘air tangan’ dari mak masing-masing.
Namun, di sebalik keseronokan meraikan jamuan sekolah, perkongsian daripada Muhammad Ali ini cukup memberi kesan buat sesiapa saja. Hanya berbekalkan biskut kering saja untuk diberikan kepada kawan-kawan.
Setiap kali jamuan kelas, saya pasti akan teringat pelajar saya dahulu. Dia pelajar yg sangat baik tahap 1. Jarang buat hal dalam kelas, kerja sentiasa siap. Tiba hari jamuan kelas, maka ramailah anak murid saya letak makanan atas meja.
Saya akan susun biar mudah pelajar nak ambil. Tiba-tiba datang seorang pelajar ni.
“Mr.Ali, sy ada bawak makanan, boleh ke saya letak hujung sekali” sambil tunjuk makanan line last sekali walaupun ada je ruang kosong depan dia. Saya kata tak pe, cikgu letak dekat sini je, banyak ruang lagi ni. Dia kata takpe, biar dia letak dihujung sekali. Saya pun mengiyakan sahaja kalau dah itu dia nak.
Jadi bila murid mula makan, saya memang sibuk layan anak-anak. Bila majlis tamat, biasanya cikgu kelas akan pack kan lebihan makanan untuk mereka buat balik. Tiba-tiba dengan laju murid tadi datang ambil bekas dia, cepat-cepat dia masukkan dalam beg. Saya dah rasa pelik tapi saya teruskan membungkus lebihan makanan. Saya tak nampak apa yang sebenarnya terjadi waktu ni
Bila dah siap pack, seorang murid perempuan bangun dan bersuara kuat.
“Mr.Ali, makanan Adam ( adam bukan nama sebenar) tak de orang makan pun makanan dia” Lalu saya pandang wajah si Adam ni, walaupun dia masih di Tahap 1, saya nampak muka dia sedih, sambil tutup mata. Dalam hati saya dah boleh agak dia menangis dalam diam. Lalu saya tanya pelajar lain.
“Kenapa takde orang nak makan, makanan Adam?” Sebablah dalam hati saya kata dia cepat-cepat ambil makanan dia tadi. Lalu ada pelajar menjawab, “Sebab baju dia kotor, muka dia tak mandi, makanan dia macam org tua bla bla”. Macam-macam saya dengar.. dan kelas mulai bising.
Saya mula tinggikan suara untu kmengawal kelas dan minta kemaskan kelas.
Lalu baru saya panggil anak ni, dan dia bawa bekal makanan dia tadi. Saya buka bekas dia, hati saya luluh tengok ada biskut-biskut kering dipatah patahkan dan tidak terusik.
Saya hulur tisu pada Adam dan suruh dia lap air mata. Saya pujuk dia, saya makan biskut dia bawa depan dia. “Sedapnyaa biskut Adam bawak” walaupun ketika itu sayaa tak dapat membayangkan perasaan ibu atau ayahnya yang ada usaha nak bawa sesuatu ke sekolah. Murid ni murid kurang berkemampuan.
Sambil teresak- esak saya cuma dengar satu persatu perkataan yang keluar dari mulut Adam.
“Diorang tak nak makan biskut saya cikgu sebab saya miskin”. Saya pandang biskut tadi yang tidak terusik oleh sesiapa pun. Saya kata pada Adam,
“Tak mana ada orang kata awak miskin, ni cikgu makan kan biskut ni, sedap tau. cikgu ambil 1 lagi boleh? ” dia pun mula senyum dan saya suruh dia duduk.
Saya berpesan kepada murid saya, walau siapa pun bagi kita makanan, kita kena hargai. Makanan itu rezeki dan ingat juga, jangan hina orang. Kita semua sama sahaja. Tengok apa yang dah kamu buat pada Adam. Kalau kamu jadi Adam, kamu sedih tak makanan kamu bawa tiada siapa mau makan? ” satu kelas menjawab ” sedih cikguu”
Biskut cikgu makan tadi sedap sangat. Saya pun makan lagi baki biskut tadi di hadapan anak-anak ini. Maka berebutlah mereka datang ambil biskut dalam bekas tadi. Sekejap je habis. Ada yang makan dengan coklat, cicah dengan air.
Si adam tadi senyum sambil kawan-kawan dia suap makanan pada dia. Maka gugurlah air mata seorang cikgu ketika ini.
Hargai Pemberian
Saya ajar begitu supaya bila dah besar, mereka akan selalu hargai pemberian orang lain. Buat sesuatu jangan sesekali mengharapkan balasan. Walau sesedap mana makanan kita bawa, jangan expect orang lain akan bawa makanan sedap-sedap macam kita bawa.
Ada keluarga RM50 boleh buat makan seminggu, ada yang RM50 mampu beli sebiji kek..Kasut kehidupan kita takkan pernah sama.
Saya melihat Adam (bukan nama sebenar) sebagai teguran untuk saya juga. Uuntuk menjadi guru yang selalu peka dengan perasaan murid. Biasanya murid-murid akan ingat kisah pahit sewaktu kecil.
Jika dibiarkan ” luka” tersebut akan bertambah. Guru lah yang kena tolong anak-anak ni supaya lukanya tidak berpanjangan. Setiap kali jamuan kelas, saya akan selalu peka dengan semua murid yag ada. . Bila si Adam tadi dah masuk darjah 5, dan walaupun saya tak mengajar dia, dia pasti letakkan makanan jamuan kelas dia atas meja saya. Last sy makan mak dia buat kek batik. Saya ada snap gambar tu tapi tak jumpa di mana sy save. dan harini berlaku situasi lebih kurang macam ni. Ada juga rakan guru beritahu “cikgu, saya tak bawa makanan, boleh ke saya makan sekali?”
Apa yang ada di hati anak-anak ini hanya Allah sahaja tahu. Kadang-kadang ibu bapa tak tahu apa yang terjadi di sekolah, jadi gurulah yang boleh menolong memberi sedikit senyuman kepada mereka . Seorang kanak-kanak mampu memberikan kita pengajaran dalam hidup. Kadang-kadang Allah hantarkan anak ini untuk sebuah ilmu dan pengajaran. Teguran juga untuk diri saya
Kamu anak yang baik, cikgu akan ingat di setiap kisah yang cikgu lalui untuk disampaikan kepada yang lain..insyaAllah
Mingguan Wanita : Sebaknya bila baca ini. Kita sebagai mak ayah akan sedaya upaya penuhi apa yang anak inginkan. Tapi semuanya bergantung pada kemampuan juga. Tak kisah sedikit pun asalahkan ia mampu menggembirakan anak.
Nak rasa sampel biskut raya? Dapatkan KUPON BISKUT RAYA PERCUMA sekarang. Klik untuk kupon percuma: http://shorturl.at/hKOS2 atau imbas QR code pada poster.
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...