Sesungguhnya ajal dan maut di tangan tuhan.Pengorbanan seorang ibu tunggal mencari rezeki di perantauan, meninggalkan anak-anak tersayang di tanah air berakhir dengan tragedi.
Semalam, media melaporkan seorang wanita warganegara Malaysia dikenali sebagai Rabitah Hamed, 49, maut dalam kemalangan di Griffith, Australia tetapi tiada maklumat lanjut diperoleh mengenai kejadian berkenaan.
Keluarga kepada wanita Malaysia yang maut dalam kemalangan di Griffith, Australia semalam, berharap dapat membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di kampung halamannya di Pekan Ayer Hitam, dekat sini.
Ibu Bekerja 5 Tahun Di Griffith
Anak sulung mangsa, Rushaniena Izani, 26, berkata ibunya yang berstatus ibu tunggal, ke Griffith seorang diri pada Februari tahun lalu untuk bekerja di sana.
“Saya dimaklumkan dia bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam. Pada 21 Februari ini genap setahun dia berada di sana.
“Ibu sepatutnya berada di sana selama lima tahun dan akan pulang ke tanah air pada 2024.
“Saya dapat tahu kejadian yang menimpa ibu daripada ibu saudara yang tinggal di Lunas, Kulim. Rakan serumah ibu di sana menghubungi ibu saudara dan memaklumkan kejadian dan difahamkan kereta yang dipandu ibu terbabas sebelum dia tercampak keluar dari tingkap,” katanya.
Berharap Bawa Pulang Jenazah Ibu
Rushaniena berkata, jenazah ibunya kini berada di Hospital Sydney, Australia untuk proses bedah siasat dan dia bersama-sama dua adiknya masing-masing berumur 14 dan 19 tahun berharap jenazah dapat dibawa pulang ke Malaysia.
Ads
Katanya, pihak Wisma Putra menghubungi ibu saudaranya kira-kira jam 9.30 pagi tadi dan bertanya sama ada mahu jenazah ibunya dikebumikan di negara berkenaan atau dibawa pulang ke tanah air yang memerlukan kos sekitar RM50,000.
“Buat masa ini, tiada wakil keluarga yang ke sana. Kami sedang mengumpul dana kerana berharap dapat membawa jenazah ibu pulang untuk dikebumikan di kampung halamannya.
“Kali terakhir kami berhubung dengan ibu sekitar dua, tiga hari lalu dan ibu bersembang dan gelak seperti biasa,” katanya.
Rushaniena Izani dan dua adiknya, Ridwana Ardini (kiri) dan Rafiq Afif melihat gambar ibu mereka yang maut dalam nahas di Griffith, Australia, semalam.
Sempat Pesan Jagakan 3 Anak
Sementara itu, Rabitah juga sempat berpesan kepada abang iparnya supaya menjaga tiga anak yang ditinggalkan di tanah air. Rabitah Hamed, 49, menghubungi abang iparnya, Mukhti Mat Jusoh, 58, minggu lalu dan berkali-kali berjanji akan pulang selepas lima tahun bekerja di Australia.
Mukhti yang berkahwin dengan kakak keempat mangsa, Zarina Hamed, 55, kehairanan apabila diminta menjaga tiga anak Allahyarham sekiranya apa-apa berlaku.
Ads
“Dia juga berjanji membawa saya dan isteri menunaikan umrah apabila pulang ke tanah air. Bagi saya, apa yang dikatakannya itu agak pelik bunyinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Sutera Indah, Lunas di sini, hari ini.
Mukhti berkata, isterinya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 8 pagi semalam daripada rakan serumah Allahyarham.Katanya, Zarina kemudian menghubunginya bagi memaklumkan mengenai kejadian itu tetapi tidak memberitahu Rabitah meninggal dunia.
“Saya ada masalah jantung, jadi isteri sembunyikan berita itu tetapi saya dapat agak adik ipar saya sudah tiada,” katanya.
Rabetah Hamed,49 wanita Malaysia yang maut dalam kemalangan di Griffith, Australia.
Kos Bawa Pulang Jenazah RM50,000
Sementara itu, Zarina berkata, adiknya bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam sejak 21 Februari tahun lalu dan mengirim wang hampir setiap minggu sebagai belanja.
Katanya, anak bongsu Allahyarham, Rafiq Afif Rusman, 14, tinggal bersama beliau dan suami selepas Rabitah bercerai manakala anak keduanya, Ridwana Ardini, 19, menetap di Padang Serai dan bekerja di kedai runcit.
Ads
Beliau berkata, anak sulung Rabitah, Rushaniena Izani, 26, tinggal berasingan kerana sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.
“Dia hubungi kami seminggu sekali dan bercerita bercerita mengenai kehidupan di sana, dengan siapa dia berkawan dan apa masakan yang dimasak rakan serumah.
“Saya harap jenazah adik dapat dibawa pulang untuk dikebumi di sini,” katanya dan memaklumkan kos membawa pulang jenazah ialah RM50,000 seperti dimaklumkan wakil Wisma Putra.
MW: Salam takziah buat keluarga wanita ini. Semoga diberi kekuatan dan dipermudahkan urusan untuk membawa pulang jenazah wanita untuk dikebumikan di tanah air.
Jangan tak tahu, rupanya dating suami isteri ini amat penting dalam rumah tangga. Ini pun salah satu cara nak buat hati pasangan sentiasa bahagia dan tenang.
Diam tak diam, dah 11 tahun pasangan selebriti, pengarah dan pelakon terkenal Fauzi Nawawi, 45 dan Lisdawati, 40 mendirikan rumah tangga.
Fauzi dikurniakan 8 orang cahayamata, yang mana empat daripadanya adalah dari perkahwinannya yang terdahulu.
Sebelas tahun bukanlah satu masa yang singkat bagi sebuah perkahwinan, malah itulah tempoh matang untuk perkahwinan yang dibina.
Lesen Cinta Perlu Perbaharui Selalu
Biar masa terus berjalan, Fauzi atau nama sebenarnya, Mohd Fauzi Bin Mohd Nawawi mengakui perlunya keluar berdua-duaan dengan isteri, Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Binti Nazaruddin.
Akuinya, “Sekali sekala dating rasa macam mula bercinta. Lesen cinta perlu selalui perbaharui untuk kekal sweet.”
Memang tak dinafikan dating berdua suami isteri, walau baru atau sudah lama berkahwin masa itu tetap perlu dilakukan.
Sebab dating bukan saja nampak sweet, malah masa inilah mak ayah boleh mengimbas memori indah berdua dan memenuhi keperluan emosi masing-masing.
Nampak simple kan dating tu, tapi kesannya hebat dalam memperkuatkan rasa cinta.
Tulang Belakang Kejayaan Ku – Fauzi Nawawi
Kesabaran seorang wanita selembut dan setegas Lisdawati bukan saja menawan hati suami, malah anak-anak tirinya cukup rapat dengannya.
Dan Fauzi amat berterima kasih dengannya. “Selain daripada ibu yang melahirkan aku, dia adalah orang yang bertanggungjawab meletakkan aku di tempat yang selesa.”
“Jatuh bangunku sentiasa bersamanya, menjadi tulang belakang kejayaanku.” Luah pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama anugerah 2018 sempena meraikan hari lahir isteri lewat Disember lalu.
“Semoga Allah memberi berkah dan rahmatNya sepanjang hidupmu. I LOVE U so much. Till jannah, doakan yang terbaik untuk kami, insyaAllah,” doa Fauzi.
Banjir kilat yang berlaku di Yan, Kedah turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ini doa abah buat semua mangsa.
Bukan sedikit yang terjejas dengan kejadian banjir kilat di Yan , Kedah ini, malahan sehingga meragut nyawa dan masih hilang belum ditemui.
Ini Doa Abah Untuk Semua
Kongsinya di Facebook, “Saya mengikuti secara dekat bencana banjir kilat yang melanda beberapa buah kampung di daerah Yan, Kedah dipercayai kesan daripada fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai petang tadi (semalam).
Saya berharap kerajaan negeri Kedah serta agensi-agensi berkaitan dapat menggerakkan segera semua bentuk bantuan kepada penduduk di kampung-kampung yang terlibat dalam bencana ini. Keselamatan dan bekalan makanan perlu menjadi keutamaan ketika ini.
Saya difahamkan bahawa petugas-petugas keselamatan dan kecemasan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) serta APM telah melakukan operasi menyelamat dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan bencana terjamin.
Semoga tugas-tugas pasukan keselamatan ini dipermudah manakala penduduk yang terjejas serta terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara disediakan bantuan dan perlindungan sewajarnya, dengan selamat dan teratur terutamanya ketika dalam situasi pandemik COVID-19.” luahnya.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, turut mengesahkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang identitinya belum dikenal pasti meninggal dunia, manakala seorang lagi masih hilang susulan kejadian terbabit.
Rentetan itu, kerajaan negeri membuka pusat pemindahan sementara bagi menempatkan mangsa banjir kilat Yan yang akan dibahagikan kepada tiga kategori, membabitkan mangsa positif COVID-19, dikuarantin dan sihat.
Fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai, petang semalam, umpama ‘tsunami’ kecil ekoran keadaannya yang berombak kuat sehingga mengakibatkan pokok serta jambatan runtuh dengan sekelip mata.
Dikatakan kejadian banjir ini berpunca dari hujan lebat berterusan di kawasan Gunung Jerai dengan air mengalir laju turun ke kaki gunung dan masuk ke Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi.
Mingguan Wanita : Semoga mangsa banjir kilat di Yan, Kedah dipermudahkan urusan dan tabah melalui bencana ini. Kejadian yang berlaku sekelip mata ini bukan hanya menjejaskan harta benda, malahan juga emosi.
Mak-mak yang dalam program diet lebih berhati-hati memilih jenis makanan yang sesuai. Bimbang salah ambil boleh sebabkan kegagalan usaha nak kuruskan badan. Resepi ini sesuai untuk anda, sebabnya ia tak perlu digoreng dengan minyak
Ini perkongsian dari FB Puan Liza Love Emran yang diambilnya dari youtube dan diolah dengan menambah daun bawang agar wangi.
Katanya, “Resepi ini sesuai untuk Diet Atkins, Lowcarb, carb-cycling dan Eat Clean Diet‘
Ayam Bakar Bersumbat Bayam Dan Keju
(Baked Chicken With Spinach And Cheese)
Bahan-bahan (Untuk Seketul Dada Ayam)
Secekak daun baby bayam
Sepokok kecil daun bawang
1 1/2 keping keju cheddar
1/2 sudu kecil mentega
Secubit garam dan lada sulah (sebagai perisa)
Nota: Opps lupa.. seketul dada ayam tanpa kulit
Cara Membuat
1. Celur daun bayam sekejap. Dah layu cepat-cepat angkat dan bilas dengan air sejuk. Perah airnya. Potong-potong supaya hancur.
2. Hiris kecil daun bawang.
3. Koyakkan keju kecil-kecil.
4. Gaul semua bahan kecuali ayam. Simpan di dalam peti sejuk 20 minit.
5. Dada ayam dibuat poket. Caranya ialah cucuk mata pisau di tepi sisi dada ayam gerakkan mata pisau di dalam isi ayam hingga membentuk poket. Kalau tak tahu boleh belah dada ayam menjadi bentuk butterfly (kena pin dengan chopstick lepas dah letak inti).
6. Ambil inti yang di dalam peti sejuk tadi dan sumbat ke dalam dada ayam.
7. Bahagian luar dada ayam bolehlah diperap sebentar dengan garam, lada sulah, atau serbuk kari, atau rempah cajun atau apa-apa perapan kesukaan anda.
8. Grill sebentar (hingga berwarna perang coklat) kedua-dua bahagian dada ayam di dalam grillpan beroles butter.
9. Bakar di dalam oven yang dah dipanaskan pada suhu 180 darjah celcius selama 20 minit.