Kalau sebut ‘bermadu, semua wanita tidak mahu dan minta dijauhkan. Siapa sanggup berkongsi suami kan! Namun, kalau itu sudah ditakdirkan, kita tidak mampu untuk menolaknya.
Bagi suami, mungkin ‘seronok’ tambah-tambah bila bercakap tentang poligami. Itu kelebihan lelaki yang memang tak boleh nak sangkal. Cumanya, kalau dah poligami, kenalah adil dalam memberi tanggungjawab pada isteri-isteri yang ada.
Begitu juga dengan isteri-isteri, kalau sudah ditakdirkan bermadu, terimalah dengan reda, Dia yang merancang sebaik-baiknya. Tak perlu merasakan diri kekurangan atau silap sampai suami cari yang lain tetapi percayalah semua ini ada rahmatNya.
Perkongsian daripada Khazatul Atiqah Abu Seman yang turut mempunyai ‘madu’ boleh dijadikan panduan terutamanya buat isteri-isteri yang bakal bermadu. Malah, tip ini diharap mampu memberi manfaat kepada isteri di luar sana. Bukan untuk sarankan suami berpoligami ye, tapi sekadar tip untuk bakal madu.
Hujung tahun, makin ramai yang mendirikan masjid. Ada beberapa yang PM dan bertanya, maka, ini 5 tip ringkas untuk yang bakal berpoligami. Tip ini untuk para isteri, tidak kiralah isteri nombor berapa mahupun bakal Madu. Buat Suami yang berhajat, buatlah dengan cara yang baik dan bantu isteri kalian juga ya.
1. Cari ilmu yang betul
Poligami ada ilmunya. Kena fahami dan tak boleh sembarangan. Bukan seperti yang selalu kita nampak dalam drama sinetron. Memang banyak yang gagal, namun tak kurang banyak juga yang berjaya. Carilah pengamalnya yang berjaya mengamalkan dan tuntut ilmu dari mereka. Bukan ilmu yang pelik dan guna-guna, bukan juga untuk suka-suka. Besar padahnya jika tak betul caranya. Poligami yang baik adalah sepertimana yang Nabi ajar.
Ads
2. Berkawan dengan orang yang positif dan bukan anti poligami
Kebanyakan yang ini orang buat. Jika rasa tak kuat, kena kurang bergaul dengan orang yang anti. Bagi yang nak poligami tu, kita. Maka, kita jaga lingkungan kita untuk membantu diri kita lebih positif. Biasanya di peringkat awal, ujian perasaan jadi haru bila kita dengar pandangan yang negatif dari golongan sebegini. Lagi bila tersembang masalah, makin negatif jadinya.
3. Elakkan layan perasaan
Perasaan kalau dilayan makin menjadi. Pulak tu, tengok cerita romantik dan sebagainya, kita letakkan diri kita dalam cerita tu. Sedangkan dalam Islam, romantik adalah cinta sampai Syurga. Walau monogami, nanti kita juga berMadu dengan bidadari di sana. Maka, bantu diri dengan jaga perasaan dan jangan berperasaan yang bukan-bukan. Bila mana Suami tengah baik, malah cuba menjadi lebih baik dan bertanggungjawab, jangan hambur dan tuduh yang bukan-bukan pada suami. Perasaan perlu dipandu. Rujuk dan tanya, betul ke perasaan demikian dan demikian jika perlu. Kalau sekadar kita sorang berperasaan, jangan diikut sangat. Nanti kelaut jadinya.
4. Elak periksa telefon suami
Ini sangat crucial. Kata orang, jangan cari penyakit dan cari punca bergaduh. Kena belajar letak boundary. Tak kira pada isteri mana-mana isteri pun. Ia baik buat isteri terutamanya yang mudah beremosi dan berperasaan. Letakkan hormat pada barang suami, sekalipun isteri yang dah bertahun, apatah lagi isteri baru akad nikah. Buang prasangka bukan-bukan kerana suami berhubung dengan yang halal dan yang berhak. Bukanlah kepada yang bukan muhrim. Ia sebahagian dari tanggungjawab Suami untuk berhubung dengan yang berada di bawah tanggungannya.
5. Jangan saja meninggalkan kesan pada suami dengan sengaja
Ini untuk yang dah berkahwin. Bila mana suami mendatangi mana-mana isteri, kemudian sengaja meninggalkan Love Bite pada uami dan kemudiannya ditonton pada isteri lain.
Tips 4 dan 5 adalah tips yang saya dapat dari seorang sahabat sebulan sebelum saya berjumpa calon dan menginjak alam poligami.
5 tips ini adalah teknikal sahaja sebenarnya. Atau bahasa lainnya, fancy tips. Namun yang sebenarnya, poligami mengajar kita untuk bergantung lebih pada Allah. Dari poligami kita belajar kenal diri dan kenal Pencipta kita. Kalau dulu sandaran hati adalah suami, bila berpoligami, kita belajar tawakal yang lebih tinggi dari itu, namun tetap tidak menidakkan kedudukan suami selagi mana dalam syariat. Belajar taat pada suami walau kita tidak setuju pada beberapa perkara.
Ads
Maka ada tambahan 5 tips Extra Special lagi iaitu:
1. Belajar bangun malam. Ia ubat buat hati. Keajaibannya sukar untuk digambarkan.
2. Belajar merintih dan mengadu pada Allah, bukan pada sembarangan orang. Nak menangis, masa itu jugalah.
3. Belajar perbaiki solat, perhalusi cara berdoa. Nak Allah bantu memang tiada cara lain melainkan kita betulkan solat kita. Ia adalah talian hayat utama kita.
4. Tiba-tiba timbul rasa sunyi dan keseorangan, kata pada diri, nanti aku mati juga seorang diri. Tetaplah suami juga tak masuk kubur sekali. Kalau sebelum ni suami boleh outstation atas dasar kerja duniawi, kenapa tidak atas sebab tanggungjawab yang membawa kepada akhirat, kita gundah gulana pula.
Perbanyakkanlah selawat dan zikir. Isi masa dengan perkara berfaedah. Kalau sebelum ini teringin nak ikut kelas mengaji, atau nak buat kerja sukarelawan, inilah masanya. Tengok youtube, banyakkan menonton video yang membangkitkan hati kepada ilmu Agama, perihal akhir zaman dan sebagainya. Perkara yang lagha boleh mematikan Hati. Maka, berhati-hatilah.
Ads
5. Sebelum persoal orang lain, persoal diri sendiri dulu. Ia membantu kita untuk kenal diri kita. Aku nak kahwin atas niat apa sebenarnya. Suami itu jambatan menuju akhirat. Suami juga pinjaman dari Allah. Apa jua kesenangan mahupun kesusahan, penghujungnya Allah mahu kita dekat dan ingat padaNya sebelum kita menghadapNya. Allah nak kita sedar, di sebalik semua ini, Allah jualah semuanya.
Maka, ujian dari suami atau madu, susah mahupun senang, jangan lepaskan Allah. Manusia takkan pernah sempurna, semua dari kita adalah hamba. Maka santuni satu persatu dengan penuh sabar dan berhikmah selagi ada umur Allah pinjamkan di dunia.
Perkahwinan itu satu ibadah dan satu bentuk kasih sayang. Ia adalah separuh kesempurnaan dalam beragama. Suburkan rasa kasih, cinta dan sayang. Jangan letakkan perasaan yang tidak sihat di dalamnya. Bagi yang nampak salah dan kurang suami, doakan kesalahannya.
Perkahwinan monogami juga boleh bertolak ansur dan berlebih kurang, maka poligami juga sama.
Semoga bermanfaat buat yang memerlukan.
TiQa Ummimerahjambu,
semuanya Allah punya
MW: kalau itulah yang ditakdirkan oleh kita untuk hidup bermadu, boleh guna tip ini sebagai panduan.
Sebaik pasangan meninggal dunia terutamanya suami, perkara yang paling menjadi perbualan dan perbincangan adalah hak isteri dan anak-anak tentang harta sepencarian dan pusaka. Mungkin fahaman orang luar, harta sepencarian hanyalah boleh dituntut apabila suami isteri bekerja sahaja. Bagaimana pula dengan isteri yang tidak bekerja? Mungkin itu yang menjadi persoalan.
Ada beranggapan, isteri tidak berhak tuntut dan hanya boleh tuntut pembahagian pusaka, hasil peninggalan suami sahaja. Walaupun, perkahwinan yang dibina itu hanya setahun atrau dua tahun, isteri masih berhak untuk menuntutnya.
Ikuti perkongsian daripada Fahmi Ramli, Peguam Syarie Kedah, Penang, Perlis dan Perak tentang isu yang digempar gempurkan di media sosial sebelum ini.
Bukan Sahaja Pusaka, Harta Sepencarian Juga Boleh Dituntut Jika Kematian Suami
Hari ini bertiup kencang kembali isu berkaitan dengan harta arwah Abam (Semoga Allah tempatkan bersama orang beriman) yang katanya disaman oleh balu arwah terhadap bekas adik iparnya. Rentetan itu, ada yang bertanya kepada saya, saman apa tu tuan?
Jawapannya, saya tak tahu sebab saya bukan peguamnya dan media hanya sebut saman.
Walau apa jua saman yang dibuat tersebut, perlu kita ingat. Ini perkara biasa sebab nak dapatkan perintah Mahkamah, nak jumpa Hakim, perlulah buat saman. Apa yang saya boleh katakan, bila sahaja kematian suami, isteri bukan sahaja berhak tuntut Pusaka, bahkan isteri berhak untuk tuntut Harta Sepencarian.
Ini adalah hak yang boleh dikira sebagai hutang si mati kepada isterinya sebelum diselesaikan pembahagian pusaka. Setelah selesai pembahagian harta sepencarian, barulah diselesaikan pusaka.
Isteri yang bercerai hidup dengan apa jua jenis perceraian sama ada secara baik, fasakh, tebus talak dan lain-lain tetap berhak untuk tuntut Harta Sepencarian meskipun isteri tersebut disabitkan Nusyuz oleh Mahkamah Syariah.
POLIGAMI
Jika suami berpoligami, isteri berhak untuk tuntut Harta Sepencarian. Sebab itu penting untuk isteri pertama ke Mahkamah Syariah untuk tuntut hak harta sepencarian terus jika suami mohon poligami supaya mendapat terus perintah daripada Hakim.
KEMATIAN
Jika suami meninggal dunia, isteri berhak untuk tuntut Harta Sepencarian yang dibeli oleh suami dalam tempoh perkahwinan. Suami juga boleh tuntut Harta Sepencarian yang dibeli oleh isterinya jika isteri yang meninggal.
Siapa Jadi Defendan?
Bagi kes pihak-pihak yang masih hidup, tuntutan harta sepencarian akan melibatkan bekas suami dan bekas isteri sahaja. Tetapi bagi suami atau isteri yang mati, pihak yang kena tuntut (Defendan) adalah ahli-ahli waris Si mati termasuklah anak-anak si mati yang mungkin masih kecil.
HARTA YANG BOLEH DITUNTUT
Semua harta yang dibeli dan diperolehi oleh suami seperti rumah, kereta, saham, syarikat, dan apa sahaja harta lain yang bernilai. Namun, jika harta tersebut diperolehi melalui pusaka atau hibah, harta tersebut tak boleh dituntut sebagai Harta Sepencarian. Ini termasuklah harta yang dibeli sebelum kahwin.
HARTA MASIH DALAM HUTANG
Jika harta yang dituntut itu telah diisytiharkan sebagai Harta Sepencarian, pastinya, harta tersebut akan diperintahkan untuk dijual dan dibahagikan mengikut bahagian yang telah ditetapkan setelah ditolak segala hutang harta tersebut.
SUAMI BELI, TANPA ISTERI KELUAR DUIT
Tak ada masalah sebab isteri tetap berhak untuk tuntut dengan alasan sumbangan tidak langsung. Contohnya membuat kerja-kerja rumah, menjaga anak dan lain-lain.
Kesimpulannya, tak ada isu pun kalau balu nak tuntut Harta Sepencarian sebelum selesaikan pusaka. Lambat laun perkara ini pasti perlu dilalui. Banyak yang timbul isu pergaduhan keluarga bila masing-masing tak faham tentang hak yang telah ditetapkan Syarak dan Undang-undang.
Semoga penulisan ini membantu wanita-wanita lain yang kebuntuan mengenai haknya. Rileks, baru terima saman. Bukannya dah habis ruang keadilan. Semoga kes mereka dapat selesai dengan cara baik. Amin.
MW: Walau macam mana pun, isteri tetap ada hak atas harta peninggalan suami. Itu tak boleh pertikaikan untuk anak-anak dan kelangsungan hidup.
Sumber: Fahmi Ramli
Peguam Syarie Kedah, Penang, Perlis & Perak
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ketentuan jodoh tu memang rahsia Allah.Pernah tak melihat pasangan suami isteri yang memiliki wajah seakan-akan sama? Lebih-lebih lagi, yang dah lama berkahwin.
Walaupun tak sama 100 peratus tapi iras, bentuk wajah seakan sama serupa dan punya aura yang sama.Macam nampak rupa adik beradik pun ada.
Mungkin hanya suatu kebetulan,namun biasanya orang kata jika muka pasangan nampak seakan-akan sama, lebih serasi dan jodohnya panjang.Betul ke? Dari aspek psikologi,sebenarnya ada 4 sebab yang menjadikan wajah suami isteri ini boleh jadi seiras.
1. Banyak menghabiskan waktu bersama
Mengikut kajian psikologi yang dilakukan oleh Newheathadvisor(dot)com, semakin kerap pasangan menghabiskan waktu bersama-sama, semakin mirip rupa mereka antara satu sama lain. Ini kerana cara hidup mereka sudah bersatu dan mempengaruhi satu sama lain.
Sebagai pasangan suami isteri pasti ada banyak pengalaman dan kenangan yang dilakukan bersama-sama.Daripada melakukan rutin harian, membuat pelbagai aktiviti dan pelbagai perkara lain. Tanpa disedari, pengalaman-pengalaman inilah yang mampu mengubah diri pasangan sedikit demi sedikit.
2. Emosi boleh mengubah karakter wajah
Psikologi Sosial, Robert Zajonc mencetuskan soal konsep Sosial Facilitation pada tahun 1965. Menurut beliau, konsep itulah yang jadi jawapan kenapa banyak suami isteri yang wajahnya boleh mirip satu sama lain.
Sosial Facilitation adalah tindakan menunjukkan emosi atau reaksi yang berbeza antara waktu seseorang bersendirian dan sewaktu bersama orang lain. Ini kerana manusia mempunyai perasaan empati, dan biasanya emosi dan reaksi yang ditunjukkan disesuaikan dengan orang berada dekat dengannya.
Dalam pada itu, otot-otot tubuh berkembang atau berubah mengikut kegunaannya. Sebagai contoh, pasangan yang sering ketawa bersama akan memiliki kedutan yang sama di wajahnya. Kalau sama-sama suka berbual, maka struktur pipi mereka akan ikut berubah.
3. Meniru kebiasaan dan kesukaan pasangannya
Faktor ini terbukti dengan foto pasangan suami isteri yang sudah 25 tahun menikah dan wajah mereka nampak sangat mirip. Para psikologi dari Yale University juga mengungkapkan jika pasangan suami isteri akan saling meniru kebiasaan pasangannya tanpa sengaja dan menyukai apa yang pasangannya sukai.
4. Dari awal memang tertarik dan mencari wajah yang mirip
Sebenarnya, tanpa kita sedari sewaktu mencari pasangan, kita mencari pasangan atau seseorang yang memiliki sedikit sebanyak persamaan dengan diri sendiri, termasuk selera berpakaian, hobi atau minat dan juga keterampilan.
Bahkan, ada juga sesetengah wanita yang mencari pasangan yang mirip dengan ayah mereka. Kalau dari awal sudah bertemu orang yang mirip, sudah tentu apabila menjadi suami isteri persamaan itu akan menjadi semakin jelas.
Sumber: vemale, tribunnews
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak mengamuk memang boleh buat mak ayah serba tak kena. Puas dipujuk, tetap tak berjaya juga. Mengamuk pula di khalayak ramai. Aduh, tebal muka dibuatnya!
“Uwaaaa….” Terdengar teriakan si kecil yang amat menarik perhatian. Mengapakah agaknya? Apa kesakitan yang dialaminya?
Yang Menanggung
Bak kata pepatah; berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Amat sukar untuk dibaca apakah sebenarnya kehendak anak kecil yang masih belum tahu menyatakan perasaannya. Jika kita yang memandang daripada jauh pun merasakan kesukaran apatah lagi ibu bapa yang sedang berusaha menenangkannya.
Begitulah sahabat pembaca yang dihormati, bagi yang sudah berpengalaman dengan anak-anak sudah pasti tersenyum dengan situasi ini. Inilah lumrah kehidupan yang kita harus tempuhi dan pelajari. Semuanya tiada jalan mudah.
Jaga Emosi Anak
Anak-anak adalah permata keluarga. Apabila diberikan jolokan itu maknanya, dirinya tiada tolok bandingnya, amat bernilai di mata ibu ayah dan keluarga. Adat bagi sebentuk permata dijaga dengan rapi dan diperhatikan segala keperluannya untuk dia kekal sentiasa bersinar dan cantik berkilauan.
Jika itu yang kita inginkan untuk anak-anak kita. Keperluan emosinya bagi tujuh tahun pertama harus dijaga dengan baik. Apabila dikatakan emosi, ia sangat terkait dengan suka, duka, geram, marah dan sebagainya. Anak-anak yang sihat emosinya sentiasa ceria dan melalui proses pertumbuhan yang baik.
Cara Rasulullah Layan Cucu Baginda
Bagaimana menjaga emosinya? Rasulullah s.a.w sudah pun menunjukkan contoh tauladan yang amat jelas untuk kita contohi. Saya pasti, rakan pembaca juga sudah acap kali menerima contoh ini. Rasulullah s.a.w melayan cucu-cucunya yang masih kecil dengan sangat baik sehinggakan Nabi s.a.w terpaksa sujud dalam tempoh waktu yang lama kerana memberikan peluang bagi cucunya untuk bermain di atas belakang badannya. Baginda tidak memaksa cucunya untuk turun malah membiarkannya sahaja sehingga cucu baginda sendiri turun daripada belakangnya. Dua sifat yang diajarkan Baginda di sini adalah sabar dan tidak memaksa.
Sejajar dengan perkembangan minda mereka yang masih belum sepenuhnya sempurna sebagaimana orang dewasa, sudah pasti patah percakapan kita tidak difahami sepenuhnya sebagaimana faham orang dewasa. Jadi sabar dan tidak memaksa adalah contoh yang amat tepat bagi memenuhi keperluan emosi mereka pada ketika ini.
Ajakan Lakukan Kebaikan
Tingkah laku baginda Rasul s.a.w yang begitu sabar itu adalah biasan daripada kasih sayang baginda yang amat mendalam kepada cucu-cucu baginda. Riwayat menceritakan Baginda s.a.w sering kali melawat cucu-cucu baginda, memeluk dan mencium mereka. Riwayat yang lain pula menceritakan Nabi s.a.w tidak pernah mengesampingkan anak-anak kecil yang berada di samping baginda s.a.w, sering mengusap rambut mereka, wanginya tangan baginda sehingga kanak-kanak lain boleh mengetahui bahawa anak ini telah diusap kepalanya oleh Nabi s.a.w.
Syariat Islam juga jelas menunjukkan bahawa pendidikan bagi anak-anak yang berumur tujuh tahun ke bawah ini adalah ajakan untuk melakukan sesuatu kebaikan. Ia jelas dalam sabda Nabi s.a.w tentang pendidikan solat.
Pukul Jika Anak Tak Solat
Nabi s.a.w menyatakan suruhlah anak bersolat pada umur tujuh tahun dan pukullah mereka jika masih tidak melakukannya apabila umurnya menjangkau 10 tahun. Jadi, amatlah tidak wajar jika kita memaksa mereka dan memberikan hukuman sebelum sampai masanya seperti yang dianjurkan.
Malah bagi tujuh tahun ke bawah, ajakan bersolat berjemaah adalah yang terbaik kerana keadaan ini menyediakan persekitaran pembelajaran untuk dia bersolat. Begitu juga dengan ajakan untuk melakukan kebaikan yang lainnya seharusnya ajak mereka melakukannya bersama-sama dengan kita. Perbuatan kita ini bukan sahaja menggalakkan anak untuk melakukan perkara yang baik malah turut mencipta hubungan kasih sayang yang erat antara kita dengan anak-anak.
Inginkan Perhatian
Hakikatnya, anak-anak kita yang masih kecil hanya inginkan perhatian ibu dan ayahnya malah mungkin juga orang lain dalam persekitarannya. Keadaan-keadaan yang mereka hadapi kadang-kadang memaksa mereka untuk bertindak berlebihan seperti mengamuk, menangis sekuat hati dan sebagainya. Keadaan-keadaan ini seperti berasa terancam, sakit dan sebagainya. Jika keadaan seperti ini berlaku yang pertamanya kita harus sabar dan tidak memaksanya.
Tunjukkan kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bagi untuknya dengan cara pelukan, usapan dan sebagainya. Jika perlu, bawa dia ke tempat lain di mana hanya kita dan dia sahaja yang ada. Kemudian pujuklah dia dan cuba terangkan apa yang perlu kepada dirinya. Insya-Allah, moga diberikan kemudahan dan kefahaman yang banyak asbab daripada kita ingin mencari jalan yang terbaik untuk menjalankan amanah Allah ini. Semoga kita diberikan taufik dan hidayah daripada Allah untuk menjalankan tanggungjawab keibubapaan dengan sebaik mungkin insya-Allah. Wallahualam..
Wah enaknya, Ayam Rendang Terangkat, Rasa Melekat. Beberapa hari saja umat Islam akan menyambut Syawal. Istimewa hari ini, Mak Empal Masak Apa Hari Ini?...