Isi Kandungan
ToggleRupanya ada cara mudah untuk mak-mak boleh buat sendiri rak buku di rumah dengan bajet yang sangat rendah tapi hasilnya cukup puas hati.Yang penting kena kreatif. Siapa sangka hanya menggunakan bakul yang boleh dibeli di kedai Eko pada harga RM2 seunit ini boleh hasilkan rak pelbagai guna. Menariknya bukan sahaja boleh dijadikan rak buku, malah boleh dijadikan rak untuk menyimpan baju bayi, mainan anak-anak, barangan menjahit dan sebagainya.
Berikut perkongsian oleh Puan Siti Fairuz Samsul sebagai rujukan;
“Terjebak DIY jadikan rak buku.Semua sebab join group diy barang eco dan mr.diy memang macam-macam idea boleh dapat dari group tu.Terima kasih pada yang sudi share, kredit pada tuan post idea anda saya guna pakai dan jimat.”
“Bakul tu beli dekat kedai rm2 je.Total RM18 termasuk tali nak ikat tu, tali pun ade baki boleh guna untuk rak yang lain. Terima kasih Encik Suami tolong ikatkan.”
“Macam-macam boleh simpan, buku, mainan anak-anak, barang jahit, baju-baju baby ke, atau apa-apa je la barang yang kita nak simpan dan yang ada anak-anak bulus tu, pun boleh jadi tempat tidur kucing-kucing.”
Bahan-Bahan: (Kos RM18)
Bakul (RM2 x 8 unit)
Cable tie (tali pengikat) RM2
Cara Membuat:
1.Cantumkan bakul secara bertindih seperti dalam gambar.
2.Gunakan Cable tie untuk mengikat bakul-bakul tersebut.
3.Susun secara bertindih bakul-bakul tersebut seperti dalam gambar.
4.Siap! Bolehlah susunkan buku-buku, majalah atau apa sahaja barangan yang diinginkan.
Mudah je kan cara buat rak bajet ini. Macam-macam barangan boleh disimpan dengan lebih kemas dan paling penting kosnya pun murah je dan menjimatkan!
Selamat mencuba! Semoga bermanfaat.
Sumber: Siti Fairuz Samsul
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jaga Adab & Hormati Haiwan Korban, Tunjukkan Keindahan ISLAM, Bukannya Rakam Jadikan Bahan Lawak!
Isi Kandungan
ToggleBila sebut hari raya aidiladha tentulah sekali dikaitkan dengan menyembelih haiwan korban. Ini sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana ketaatannya terhadap Allah S.W.T.
Setiap tahun pasti akan ada binatang yang akan tumbang. Kebiasaannya tentulah lembu yang dijadikan korban pada hari tersebut. Kadang-kadang, sebelum menyambut hari raya aidiladha, ada saja gambar-gambar haiwan korban yang dikongsikan atau pun aksi yang mungkin boleh mencuit hati. Ini belum lagi pada hari penyembelihan haiwan korban.
Dek kerana terlalu seronok untuk melalui momen haiwan korban itu disembelih, ada saja gambar-gambar atau video yang ditunjukkan semasa penyembelihan. Namun, tanpa kita sedar ia seolah tidak menghormati sehingga menimbulkan persepsi negatif dan tidak menunjukkan keindahan Islam.
Jadi, apa yang perlu kita buat. Inilah yang dikongsikan oleh Kisah Zakat Malaysia tentang bagaimana untuk kita menjaga adab dan menghormati haiwan korban ketika hari raya aidiladha.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Belum Buat Aqiqah BOLEH Je Qurban, Tiada HUKUM Kait & Sunat Muakkad
Tanda Kesyukuran Kelahiran, Ilmu Lengkap Bab Aqiqah Anak Mak Ayah Kena Fahamkan
Info Lebih Menarik DI SINI
Haiwan Korban, Jaga Adab & Hormati
Antara adab sebelum / sewaktu / selepas menyembelih binatang korban yang secara sengaja kita terlupa kerana sangat ‘excited’, elok-eloklah diberi perhatian…
1. Merakam dan memuatnaik gambar (selfie) dengan binatang korban
2. Merakam dan memuatnaik video keadaan binatang korban yang dalam keadaan ‘nazak’
3. Merakam dan memuatnaik gambar (selfie) dengan kepala / bahagian tertentu binatang korban yang mungkin sensitif bagi sebahagian pihak / kaum lain
4. Merakam dan memuatnaik video keadaan2 yang mengaibkan semasa proses penyembelihan
5. Merakam dan memuatnaik gambar binatang korban yang telah disembelih dalam keadaan yang ‘menyiksakan’ …dan lain2 lagi.
Jika ingin juga…
Rakam dan ambillah gambar-gambar yang bersopan & boleh menunjukkan keindahan Islam, bukan yang boleh menimbulkan salah faham dan persepsi negatif.
Kembalilah kepada tujuan dan matlamat korban itu sendiri.
Petikan dari mufti Pulau Pinang:
Jangan Viral Aksi Binatang Yang Hendak di Sembelih
Umat Islam sepatutnya tidak menjadikan haiwan korban sebagai bahan lawak jenaka, demikian tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata demikian setelah kesal melihat segelintir pengguna laman sosial ‘memviral’ gambar lembu korban sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati orang ramai.
“Saya menyeru umat Islam supaya tidak ‘memviral’ gambar gelagat haiwan korban kerana bimbang menimbulkan salah faham serta tanggapan negatif di kalangan masyarakat terutama individu yang ingin memburukkan imej Islam di mata dunia.
“Pada pandangan saya, tindakan ini amat mengecewakan dan jelas masyarakat kita suka berhibur sehingga berlebih-lebihan,” katanya.
Wan Salim berkata, tidak wajar mengambil gambar haiwan korban dengan pelbagai aksinya ketika disembelih.
“Walaupun tiada dalil yg melarang, namun tidak wajar dilakukan kerana mungkin ada yang menganggapnya sebagai perbuatan kejam.
“Di samping itu cara menyembelih yang tidak mengikut etika atau peraturan yang ditetapkan dalam syariat juga mungkin menambahkan lagi salah faham mengenai ibadat ini,” katanya.
Jelasnya lagi, antara etika penyembelihan haiwan menurut syariat hendaklah dilakukan dalam keadaan haiwan tenang dan tidak menimbulkan rasa takut atau resah.
“Justeru disarankan supaya diletakkan pengadang antara haiwan yang disembelih dengan yang menunggu giliran atau dengan cara menutup penglihatannya.
“Kita ingin menasihatkan juru sembelih supaya terlebih dahulu memahami etika sembelihan menurut syariat supaya dengan itu imej Islam sebagai agama rahmat dapat ditonjolkan kepada umum,” katanya.
Ketahui Tujuan Ibadat Korban
Ibadat korban sepatutnya dilaksanakan secara serius dan menurut etika penyembelihan yang ditetapkan dalam syariat kerana tujuannya ialah untuk menghampirkan diri kepada ALLAH SWT.
Beliau berkata, individu yang menganjurkan ibadat berkenaan hendaklah menghayati hikmahnya daripada sudut sejarah dan sosial.
“Hikmah ibadat korban daripada sudut sejarah ialah penghayatan terhadap pengorbanan Nabi dua beranak iaitu Nabi Ibrahim yg sanggup menyembelih putera kesayangannya demi mematuhi perintah ALLAH SWT.
“Manakala hikmah ibadat korban daripada sudut sosial pula ialah memberi makan kepada golongan fakir miskin supaya mereka turut bergembira di hari raya yang mulia ini,” katanya.
Wan Salim mengulas isu berkenaan setelah beberapa pengguna laman sosial yang dilihat begitu seronok memaparkan pelbagai gaya lembu korban.
Menyedihkan apabila sesetengah gambar tersebut menimbulkan rasa lucu di kalangan pengguna laman sosial dan menjadikannya sebagai bahan lawak.
Mingguan Wanita : Tak salah untuk berkongsi momen semasa hari penyembelihan tapi biarlah gambar-gambar yang tidak ‘mengaibkan’ atau tidak menjadi bahan lawak bila melihatnya.
Sumber: Kisah Zakat Malaysia
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebaknya, Hanya Susu Penyambung Hayat. Moga Ada Hamba Allah Yang Sudi Bantu Bab Beli Susu Along
Isi Kandungan
ToggleDoa tidak pernah putus kala sujud di hadapan Allah SWT malahan bibirnya tidak pernah lekang mengharapkan keajaiban terjadi! Tiada ibu yang sanggup melihat anak sulung yang dulu cukup cergas namun kini berubah 100 peratus selepas kemalangan jalan raya.
Ini sekali gus mengubah situasi si anak yang kini dirinya terpaksa diurus sepenuhnya. Semoga bulan penuh keberkatan ini memberikan sinar buat Siti Hapsiah Ismail dan anaknya itu.
Ini Kejadiannya…
Tarikh 15 Februari 2017, ibu kepada tiga anak ini dikejutkan dengan berita anak sulungnya kemalangan ketika ke sekolah. Insiden bermula apabila motosikal Mohamad Syazwan, 17 tahun bergesel dengan sebuah lagi motosikal milik kawannya sebelum kedua-duanya jatuh tersembam. Kepalang malang, belum sempat bangun, sebuah lagi motosikal yang datang dari arah belakang telah melenyek ke bahagian mukanya. Biar memakai topi keledar (helmet separuh) namun lenyekan itu telah mengakibatkan tulang kepalanya berselisih dan rahangnya patah.
“Saya dihubungi kawan sekolahnya memaklumkan Along (panggilan untuk Syazwan) kemalangan pada pagi itu. Saya sangat terperanjat kerana Along baru saja keluar dari rumah untuk ke sekolahnya di Sekolah Menengah Vokasional Kulim, Jalan Junjong kira-kira 45 minit perjalanan dari rumah di Taman Mutiara ini. Awalnya saya sangkakan hanya kemalangan kecil tetapi sama sekali saya tidak menyangka, kemalangan itu telah mengubah masa depan Along.
“Pada hari dimasukkan ke hospital, muka Along mulai membengkak. Pada malam 16 Februari, dia dimasukkan ke wad pembedahan kerana bahagian tempurung kepalanya yang cedera itu sudah mula mengumpul cecair. Sebahagian tempurung kepalanya perlu dipotong untuk mengelakkan bahaya lebih besar jika cecair itu tidak disedut keluar dengan segera. Along juga perlukan pemantuan doktor dari semasa ke semasa bagi melihat perkembangan dirinya.
Terkini
“Alhamdulillah… Sekarang sudah tiga bulan berlalu dan pemeriksaan doktor mendapati cecair itu tidak melebihi paras tempurung kepalanya. InsyaAllah pada pemeriksaan akan datang, besar kemungkinan tempurung kepalanya yang sekarang ini disimpan oleh pihak hospital dapat dipasang kembali. Doktor memberi tempoh sehingga setahun. Kata doktor tengkorak boleh mengecut akibat proses semula jadi dan andai itu berlaku, kepala Along besar kemungkinan akan melekuk seperti sekarang ini,” katanya yang sepakat dengan suami untuk memasang kembali tempurung di kepala anaknya.
Menurut Siti Hapsiah juga, akibat kemalangan dan kesan lenyekan tayar motor di kepala Along, mata anaknya tidak berhenti-henti berkedip biarpun sudah tiga bulan kemalangan itu berlaku.
“Sebab itulah saya meletakkan pita pelekat di kelopak mata Along bagi mengurangkan tekanan. Saya juga selalu bercakap-cakap dengannya biarpun tahu dia tidak mampu melakukan apa-apa buat masa ini,” katanya yang mengakui sebak setiap kali memandang wajah Syazwan yang mengambil jurusan elektrik di SM Vokasional.
Disangka Sudah Tidak Bernafas
Sebenarnya tragedi kemalangan ketika ke sekolah secara konvoi beramai-ramai dengan kawan sekolahnya tiga bulan lalu memberikan kesan yang bukan sedikit ke atas diri Mohamad Syazwan Hamidon. Selepas terjatuh akibat geselan di handle motosikalnya, kemudian kepala dilenyek oleh motosikal di belakang, keadaan Syazwan memang teruk.
Menurut ibunya, Syazwan yang terbaring kaku akibat kemalangan itu, disangkakan telah meninggal dunia oleh mereka yang berada di tempat kejadian namun sebaik dirinya dibawa masuk ke dalam ambulan dan mendapat bantuan cemasan, dia tersedar dan kembali bernafas, biarpun sebelum itu paramedik mengakui Syazwan seperti tidak bernafas ketika itu.
“Situasi anak teruk. Mukanya mulai membengkak di tempat kejadian lagi. Disebabkan nafasnya terhenti, oksigen tidak sampai ke bahagian otak sekaligus doktor mengesahkan Along sudah tidak memahami lagi situasi sekelilingnya kerana ketidakupayaan otaknya berfungsi dengan baik.
“Along bagaikan anak kecil yang perlu diuruskan 24 jam. Lehernya ditebuk bagi memudahkan dia bernafas dan di perutnya satu saluran dibuat untuk saluran susu yang akan diberikan kepadanya setiap tiga jam sekali. Sesekali kakinya akan menggeletar seolah-olah kekejangan. Saya akan menarik tapak kakinya dan memberikan urutan lembut bagi menghentikan kekejangan itu.
“Kata doktor, ia proses semulajadi bagi mereka yang terbaring lama dan saya perlu membuat latihan fisio bagi mengelak kakinya terus mengeras. Setiap hari, saya akan mengurut kakinya perlahan-lahan bagi mengelakkan sarafnya kejang jika tidak diurut,” katanya yang tidak putus berdoa agar anak itu kembali sihat dan sembuh biarpun doktor memberitahu tiada apa boleh dilakukan lagi.
“Biarpun harapan untuk Along sembuh sukar tetapi saya tidak putus harapan. Sesekali melihatkan gerakan tubuhnya hati saya sudah gembira. Tidak ada apa yang mustahil dengan izin Allah,” ujar ibu penyayang yang mempunyai tiga orang anak ini iaitu Syazwan, 17, Danial Aiman Hamidon, 15 dan Nelly Maisara, 9 tahun.
Perlukan Kos Besar
Tidak pernah terfikir, anak yang dahulunya cukup pandai mengambil hati, tidak melawan bila dimarahi dan tidak melenting biarpun ditegur, tetapi kini anak itu terbaring lesu, tanpa mampu melakukan apa-apa.
“Kita lihat tubuhnya sihat, tiada apa kekurangan tetapi kerana oksigen gagal membekal ke otaknya selama beberapa minit semasa kejadian kemalangan itu, membuatkan Along terlantar begini,” katanya dan memberitahu susu sentiasa akan dibekalkan ke tubuhnya bagi mengelakkan anaknya lapar.
“Susu Ensure ini suami beli pada harga RM74.90 untuk 800 gram. Hanya cukup untuk dua hari sahaja. Buat masa ini, kami belum mendapat apa-apa bantuan. Suami dahulu kerja kilang dan kami berniaga kecil-kecilan depan rumah. Dengan duit simpanan itulah digunakan untuk membeli susunya. Kami pernah ke pusat Zakat, tetapi pihak itu memberitahu bantuan hanya diberi sekali sahaja setahun. Alhamdulillah ada NGO yang sudi membantu dengan memberi dua tin susu sebulan.
“Tilam air yang Along tidur sekarang pun kami beli yang terpakai, dengan harga RM500. Katil dan penyedut ini diberi sementara oleh pihak hospital.
Ikutkan dengan segala keperluannya, memang tidak akan mencukupi untuk satu jangka masa panjang dan suami hanya membawa lori menjual air penapis. Dulu masa sihat, Alonglah yang bantu kami berniaga tetapi sekarang dirinya pun terpaksa diurus,” ujar Siti Hapsiah berkali-kali memberitahu, dia mengharapkan keajaiban dari Yang Maha Kuasa agar Syazwan sembuh kembali.
Bagi anda yang ingin menyalurkan sumbangan kewangan untuk meringankan bebanan keluarga ini, salurkan sumbangan itu ke akaun Bank Simpanan Nasional di akaun 02004-41-0000988-7 atas nama Siti Hapsiah Ismail. Semoga bantuan anda dapat balasan baik daripada Allah.
Doa Ibu Syazwan
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bukan Geli Cuma Alahan, Setiap Kali Makan Nasi Sakit Perut, Timbul Bintik Merah
Isi Kandungan
ToggleGadis ini tidak boleh makan nasi sejak berusia enam tahun. Dirinya bukan geli Cuma alahan. Setiap kali makan nasi akan sakit perut dan timbul bintik merah-merah.
Oleh sebab itu, gadis yang dikenali Nor Shaf Reeka Lizawardi ambil keputusan untuk elakkan makan nasi. Bimbang kesannya pada kesihatannya sendiri.
Bukan Geli Cuma Alahan
Walaupun nasi cukup sinonim sebagai makanan ruji kebanyakan masyarakat khususnya di negara ini, namun lain kisahnya bagi remaja, Nor Shaf Reeka Lizawardi, 19, yang mengalami alahan terhadap nasi.
Bercerita lanjut, Nor Shaf Reeka yang menetap di Tanah Merah, Kelantan berkata, dia mengalami alahan terhadap nasi sejak berusia enam tahun.
Menurut Nor Shaf Reeka, doktor juga mengesahkan badannya mempunyai alahan tetapi tidak menyebut khusus ia berpunca daripada nasi atau makanan tertentu.
Baca Juga Di sini:
Hamil Kedua Alahan Lebih Lama, Scha Tak Kisah Anak Lelaki Atau Perempuan
‘Tidur Dalam Tandas, Pengsan Di Istanbul..’ Teruk Alahan Ardell Sepanjang Hamil
Makan Nasi Sakit Perut, Timbul Bintik Merah
“Bukan tidak pernah makan nasi langsung cuma boleh dikira iaitu hanya dua atau tiga kali saja dalam setahun.
“Semuanya kerana alahan dialami kerana selepas makan nasi, saya akan sakit perut dan lebih teruk lagi timbulnya bintik merah pada badan.
“Sejak itu, saya cuba elakkan dan setakat ini tiada masalah menjalani hidup tanpa menjamah nasi,” katanya.
Tidak Memakan Ayam, Daging & Makanan Laut
Selain nasi, Nor Shaf Reeka yang juga anak kedua daripada empat beradik itu tidak memakan ayam, daging dan beberapa makanan laut seperti udang, ketam dan sotong.
“Bukan soal geli tetapi entah kenapa saya berasa bentuk makanan itu seperti organ manusia jadi sukar untuk menelannya.
“Alhamdulillah, keluarga memahami malah ibu (Siti Sahara Nordin, 47) yang bekerja sebagai jururawat pernah bertanya kepada doktor mengenainya.
“Namun, doktor memaklumkan tiada sebab tertentu jika bukan kerana alahan sebaliknya ia atas pilihan saya sendiri,” katanya.
Terima Kekurangan Seadanya
Mengulas mengenai kisahnya yang mula tular sejak memuat naik video pendedahan mengenai alahannya di TikTok, Nur Shaf Reeka akur dengan semua komen diberikan oleh warganet.
“Ada yang mengecam dan menganggap saya mengada-ngada kerana tidak tahu kisah di sebaliknya.
“Namun, banyak juga komen positif diterima malah ada warganet berkongsi masalah sama iaitu tidak boleh memakan makanan tertentu.
“Secara peribadi, saya tidak berasa rugi tidak dapat menjamah nasi khususnya seperti orang lain sebaliknya menerima kekurangan itu dengan seadanya kerana banyak lagi makanan lain boleh dimakan,” katanya.
MW: Tiada salahnya tidak makan nasi, apatah lagi gadis ini akan berdepan dengan sakit perut dan timbul bintik merah setiap kali menjamah nasi. Jadi sudah tentu dia memilih yang terbaik untuk menjaga kesihatannya. Semoga Nur Shaf Reeka sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik daripada Allah SWT.
Sumber: myMetro
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI