Ajal maut di tangan tuhan. Allahu, beratnya ujian yang terpaksa ditanggung bagi seorang ibu yang masih sedang dalam tempoh berpantang apabila kehilangan anak yang baru sahaja berusia 25 hari, disamping suami dan ibu tersayang sekelip mata. Lebih menyayat hati, kemalangan tersebut berlaku dalam perjalanan pulang selepas melakukan pemeriksaan kesihatan bayi di hospital.
Sinar Harian melaporkan tiga sekeluarga termasuk seorang bayi lelaki berusia 25 hari maut dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Bota di sini, kira-kira jam 4 petang semalam.
Mereka yang maut adalah pemandu Proton Wira, Zamzainal Ahmad Kusharay, 49; ibu mentuanya, Salmah Abdul Manap, 65, dan anaknya, Mior Muhammad Qalish Zamzainal yang berusia 25 hari.
Isteri mangsa, Nor Iashah Abd Rani, 32, dan anaknya, Mior Mohamad Harraz Zamzainal, 3, dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang di sini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kemalangan itu berpunca apabila kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu terbabas sendiri di lokasi kejadian.
“Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Lumut menuju ke Ipoh.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang berada di laluan kanan dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar pengadang besi jalan sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari.
Beliau berkata, kesemua mayat dan mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang.
Ads
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Kereta terbabas yang mengorbankan suami, ibu dan anak tersayang. Foto PDRM
Kenal Kereta Abang
Sementara itu menurut adik mangsa yang kebetulan melalui kawasan kejadian terkejut apabila mengenali kereta jenis Proton Wira biru itu adalah milik mangsa, Zamzainal Ahmad Kusharay, 49.
“Chor… bangun chor,” jerit Ismawati Ahmad Khusaray, 41, apabila melihat jenazah abangnya dibawa keluar oleh pasukan bomba dari kenderaan yang remuk akibat terbabas di Kilometer 47, Jalan Ipoh – Lumut di sini hari ini.
“Dari jauh saya dan suami nampak pasukan penyelamat menjalankan operasi. Terdetik dalam hati teruk kemalangan ini tetapi, apabila lihat kereta warna biru, saya tahu itu kereta abang saya.
“Kami berhenti dan luluh hati lihat sekujur tubuh yang tersepit itu abang saya. Saya tahu dia dah tiada tapi saya jerit panggil dia berulang kali,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik, Hospital Changkat Melintang d sini.
Ads
Nahas itu turut mengorbankan ibu mentua Zamzainal, Salmah Abdul Manap, 65, dan bayi lelakinya, Mior Muhammad Qalish Zamzainal yang baru berusia 25 hari.Isteri mangsa, Nor Iashah Abd Rani, 32, dan anaknya, Mior Mohamad Harraz Zamzainal, 3, dilaporkan masih menerima rawatan di hospital sama.
Mior Muhammad Qalish Zamzainal yang baru berusia 25 hari turut terkorban dalam kemalangan ini.
Balik Pemeriksaan Hospital
Ismawati berkata, walaupun jarang bertemu, abang sulungnya yang dipanggil Chor itu sangat baik terhadap 12 adiknya.
“Mereka difahamkan baru pulang dari Hospital Seri Manjung untuk pemeriksaan kesihatan bayi mereka sebab kakak ipar masih dalam pantang.
“Setiap kali pemeriksaan, mereka akan bawa bersama ibu mentuanya sekali. Kali ini, mereka tidak bawa dua anak mereka yang berusia lapan dan enam tahun kerana bersekolah,” katanya.
Katanya, kakak iparnya menerima rawatan di wad kecemasan reda dengan pemergian suami dan ibunya dalam kejadian itu.
Ads
“Ketika mula sedar dia mencari suaminya dan kami memaklumkan keadaan sebenar. Mulanya dia menangis tapi lama-lama dia mula reda,” katanya.
Jenazah kedua-dua beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pisang, Bota Kiri, pagi esok.
Jenazah Salmah dibawa keluar untuk dikebumikan di Tanjung Dedalu.
Tak Sangka Ibu Terbabit Kemalangan
Sementara itu, anak sulung kepada arwah Salmah, Rosli Abd Rani, 41, tidak menyangka ibunya turut terbabit dalam kejadian itu.
“Adik telefon beritahu mak dah tiada tetapi saya tidak percaya tapi saya tetap bergegas pulang dari Bidor.
“Saya sempat melihat adik, Nor Iashah di wad kecemasan dan dia menerima jahitan di lidah dan anaknya berusia tiga tahun akan dirujuk ke Hospital Seri Manjung kerana penyakit asma,” katanya.
Katanya, jenazah ibunya dibawa pulang ke kampung halaman dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Dedalu, Parit.
MW: Salam Takziah buat keluarga mangsa. Semoga wanita ini diberi kekuatan dan reda dalam menghadapi ujian yang ditakdirkan. Al Fatihah.
Arwah ibu Achey dijemput Ilahi dalam bulan Ramadan, pada 10 malam terakhir Ramadan dan direzekikan kubur bersebelahan arwah suami.
Jam 12.46 pagi Isnin, pelawak Achey menerima berita pemergian ibu ketika berada di atas motosikal. Ketika itu dia dalam perjalanan pulang.
Mendengar perkhabaran duka, beberapa kali Achey terpaksa memberhentikan motosikalnya. Menangis tiada henti. Tuhan saja yang tahu hiba hatinya ketika itu.
“Bagaikan melayang jiwa atas pemergian ‘syurga’ saya.” Namun, tuhan lebih menyayangi arwah ibu Achey, Allahyarham Hajah Ngaisah Bte Hassan.
Dijemput hambaNya pulang ke perkampungan abadi pada 10 malam terakhir Ramadan pada usia 74 tahun. Ketika umat Islam memburu malam Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil.
“Saya dan keluarga redha. Arwah meninggal dunia pada bulan baik.” Mengenangkan akan hal ini membuatkan hatinya jadi lebih tenang.
Menurut Achey, hatinya sedikit terkilan kerana tidak dapat berada di sisi ibu ketika di penghujung hayatnya. Waktu itu, dia pulang sebentar ke Kuala Lumpur.
Bagaimana pun rasa terkilannya itu terubat bila mana impian arwah ibu dapat ditunaikan oleh anak-anaknya. Arwah ibunya pernah berpesan, mahu dikebumikan bersebelahan kubur arwah ayahnya.
“Allah makbulkan impian arwah apabila ada tapak kosong di sebelah kubur arwah abah.” jelas Achey yang turut berkongsi gambar kubur ibu dan ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Usaha Jaya, Labis, Segamat.
“Cinta ke hujung nyawa.. Cemburu pun ada kat dua orang ni.” tulisnya sebak.
Perkongsian Achey mendapat respons daripada rakan pelawaknya, Shuib Sepahtu yang turut mendoakan arwah ibu dan ayah Achey.
“Allah Maha Hebat dalam mengatur sehala. Untungnya la hai. Sweet couple, kubur sebelah-sebelah. Aku dah tak boleh Chey sebab kubur Sarah kiri, kanan, depan, belakang dah ada orang lain. InsyaAllah semoga Allah memberi Syurga pada pasangan ini, Amin.” tulis Shuib dalam komen balasnya.
Rezeki Kakak Dapat Jaga, Berada Di Sisi Arwah Hingga Ke Akhirnya
Arwah ibu Achey menderita penyakit kanser pankreas hampir dua tahun lamanya. Dan menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, Johor.
Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah memaklumkan arwah ibunya baru saja menjalani pembedahan memasang tiub dekat saluran hati.
Usaha itu bagi membolehkan bengkak yang dialami semakin surut. Namun, tahap kesihatannya semakin merosot bila mana sel kanser mulai merebak ke seluruh badan.
Kakaknya, Nordewiyani direzekikan untuk berada di sisi ibunya sehingga ke saat akhirnya. Waktu arwah ibunya mula sakit, kakaknya itulah yang menjaga.
Abangnya yang juga jurulatih paralimpik Malaysia dan bertugas di United Kingdom juga tidak berkesempatan berada di sisi arwah ibu.
“Sudah menjadi rezeki kakak berada di sisi arwah. Adik-beradik lain juga bergilir menjaga arwah waktu di hospital. Namun, Nordewiyani lebih bertuah.
“Dapat berbakti dengan arwah hingga akhir nafas.”
Mingguan Wanita : Al-Fatihah.. semoga Allahyarham Hajah Ngaisah Bte Hassan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman di taman-taman syurga.
Ajal dan maut ketentuan tuhan. Pergi tanpa pesan dan tidak menghebohkan penyakit yang dihadapi penyanyi dan pelakon, Mya Matahari dilaporkan meninggal dunia akibat kanser tisu, hari ini.
Difahamkan Maya atau nama sebenarnya Meyanaliza Ruslee, 44, menderita penyakit tersebut sejak setahun lalu, namun merahsiakan daripada pengetahuan ramai. Sebelum ini penyanyi lagu Matahari itu pernah mendapatkan rawatan di China dalam usaha untuk mengubati penyakitnya itu.
Mya menceburi bidang seni pada pada tahun 1995 menerusi album pertamanya, Matahari. Lagu berjudul Matahari telah melonjak nama Maya yang kemudiannya terus dikenali dengan nama Maya Matahari sebelum menukar ejaan namanya kepada Mya.
Sertai Gegar Vaganza Musim Kelima
Selain itu Mya turut aktif dalam bidang lakonan dan pernah membintangi filem Gemerlapan pada tahun 1997. Diikuti dengan lakonan pentas dan beberapa sitkom televisyen.Nama Mya kembali menjadi menjadi perhatian selepas menyertai program Gegar Vaganza musim kelima dan kemudiannya bergelar penyampai radio Best FM.
Maya pernah berkahwin dengan Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz pada 26 Jun 2009, sebelum berpisah pada Ogos 2015 tanpa memiliki cahaya mata.
Luahan Rakan Rapat
Berita pemergian Mya dikongsikan beberapa rakan rapat penyanyi tersebut antaranya Haiza, Nazia Mustafa, Amyza Adnan dan Ieda Moin.Malah turut meluah rasa kesedihan atas pemergian penyanyi tersebut, sementelah mempunyai banyak kenangan manis bersama.
Antaranya pelakon Amyza Adnan;
“Al fatehah buat sahabat ku… Mya ruslee. AYA!!!!!!!! rahsia itu tetap aku simpan hingga akhir hayat mu. Amanah dari kau sahabat ku. Aku tau dia sakit ,tapi tak pernah sekali pon aku hebahkan atas dasar AMANAH. Semoga ada rezeki dan ruang untuk kami melihat jenazahmu buat kali akhir. Al fatihah.
Pelakon Nazia Mustafa;
“Innalilahiwainnalillahirajiun…. KAU PERGI JUA.
Maya, jauh didalam hati aku ni, aku rindukan kenangan lama kita, kita sama-sama susah senang kongsi segalanya, kita bergado pastu baik sebab dan kita lebih mengenali diri masing-masing sebagai sahabat, aku rindu semua tu.”
Tapi bila aku, kau @iedamoin79 @amyzaaznankaaia dah kawin. Masing-masing ada jalan hidup masing-masing. Kita jarang jumpa tapi kita masih lagi bersahabat. Tak call tak jumpa tak bermakna kita lupa bukan…. tapi kenapa kau pergi terlalu awal, sebab kita belum lagi habis bercerita tentang kita, kau hentikan cerita kita kat sini ayaaaa”
“Allahuakhbar.. Ya Allah… kau letakkan lah sahabat aku ni di syurga mu ya Allah. Allahuakhbar..Tunggu aku tau, masa aku pun akan tiba. Semoga Allah temukan kita untuk kali kedua.”
MW: Memang sedih apabila kehilangan kawan rapat yang kita miliki, apatah lagi pernah berkongsi segala kenangan suka dan duka. Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga penyanyi ini, dan mendoakan semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Al fatihah.
Di awal kehamilan, ibu-ibu hamil dinasihatkan agar tidak terlalu aktif dan banyakkan berehat demi menjaga kandungan yang masih kecil serta bagi mengelakkan keguguran.
Baru sahaja mengumumkan berita gembira sedang berbadan dua pada Mei lalu, namun Allah adalah sebaik-baik perancang. Pelakon Fasha Sandha,35 baru sebentar tadi berkongsi kesedihan di laman Instagramnya apabila mengumumkan bahawa dirinya telah mengalami keguguran.Ia merupakan kandungan anak pertama hasil perkahwinan bersama pelakon Aidil Aziz,31 yang sepatutnya dijangka lahir pada Februari tahun depan.
Terlalu Aktif
Menerusi perkongsian di Instagram, pelakon ini meminta maaf kepada suami tercinta dan kedua anaknya iaitu Rayfal dan Jemyma. Menurut Fasha lagi, keguguran tersebut mungkin berpunca kerana dirinya terlalu aktif dan sering terlupa ada bayi kecil yang sedang dikandung.
“Ibu mintak maaf suamiku tercinta , Rayfal dan Jemyma sayang.Sebelum cuti beraya, doktor dah pesan,untuk banyakkan berehat, jangan terlalu lasak-lasak”
“Ibu tak dengar cakap doktor untuk jangan banyak bergerak masa raya ni, ibu naik turun keretapi, naik turun kapal terbang, jalan laju-laju, buat kerja,sampai selalu terlupa ada baby kecil dalam perut ibu. Ibu terlalu aktif sampai lupa kandungan awal ibu perlukan ibu banyak berehat. Ibu tau ibu bukanlah ibu yang terbaik”
“To my dear followers, Thank you for all your well wishes on my pregnancy. I’m deeply saddened to tell you I’ve miscarried”
“Doakan supaya kami kuat dalam melalui ujian ini.@itsaidilaziz kita teruskan berdoa dan usaha, semoga kita ada rezeki lagi dimasa akan datang. InsyaAllah kita akan lebih kuat” #aidilfasha
“Terima kasih Allah kerana telah menumpangkan ‘Anak Syurga’ ini dalam rahimku, walaupun hanya untuk seketika.”
Terdahulu, pasangan ini telah berkahwin pada 30 Mac lalu.Ia merupakan perkahwinan pertama untuk Aidil dan kedua untuk Fasha. Sebelum ini, Fasha pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 dan bercerai pada 20 Januari 2016.Hasil perkahwinan, mereka mempunyai dua orang anak, Putra Rayfal Ramli,6 dan Putri Raysha Jemaima,5.
MW: Salam Takziah buat Fasha Sandha sekeluarga. Semoga tabah menghadapi ujian ini. Perancangan allah adalah yang terbaik. Pesanan juga buat para ibu hamil, agar lebih berhati-hati menjaga kandungan dan elakkan terlalu aktif, lebih-lebih lagi di awal kehamilan.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...