Menjadi adat kebiasaan pada hari raya, setelah sesi kunjung mengunjung dan bermaaf-maafan,anak-anak kecil akan diberikan duit raya bagi memeriahkan lagi suasana pada bulan yang mulia ini. Namun tanpa disedari, perasan tak setiap kali tibanya hari raya pasti ada dialog ini daripada mak ayah yang ada anak-anak kecil ni bagitahu anak-anak mereka;
“Pergi salam makcik tu mintak duit raya”
“Cakap kat pakcik nak duit merah, tak nak duit hijau”
“Tanya makcik tu duit raya mana?”
Tak kurang juga ada budak yang tanpa segan silu cakap;
“Pakcik, ayah cakap kalau pakcik baik hati, pakcik bagi lagi duit raya”
Padahal dah bagi sehari sebelum tu duit raya kanak-kanak tersebut dan semua adik beradiknya. Pernah tak mak-mak semua alami situasi macam ni masa hari raya?
Walaupun kadang kala dianggap hanya sebagai gurauan atau suka-suka,tapi sebagai mak ayah, tolong ada perasaan malu dan segan daripada ajar anak meminta-minta duit raya.
Meskipun tak semuanya begitu, sepatutnya sebagai Mak Ayah;
1.Jangan Sesekali Mengajar Anak Untuk Minta Duit Raya Dengan Sesiapa
Kita tak tahu macam mana keadaan kewangan seseorang. Mungkin dia mencatu makanan dan belanja beliau untuk perkara yang lebih penting. Sekali jumpa anak-anak yang dididik sebegini mungkin merunsingkan mereka.
2. Jaga Adab
Tiada sesiapa antara kita yang dah dewasa ni dididik oleh ibu bapa kita untuk minta duit raya dengan orang lain. Kenapa? Sebab agak tidak beradab sebenarnya meminta sesuatu yang belum tentu menjadi hak kita. Dan sekarang kita mendidik anak kita untuk tidak menjaga adab?
3. Jangan Samakan Kedudukan Kewangan Anda Dengan Orang Lain
Anda mungkin kerja bagus, gaji tinggi, peruntukan duit raya pun banyak. Tetapi bukan semua orang bertuah seperti anda. Tidak semua antara kita yang diberikan rezeki dari sudut kewangan seperti anda. Mungkin rezeki mereka dari sudut yang lain.
4. Jangan Ingat Semua Orang Bekerja Tu Banyak Duit
Jangan rasa kalau orang tu kerja gaji mahal sikit, anda boleh suruh anak anda minta duit raya lebih. Gaji mahal tak bermakna banyak duit. Mungkin tanggungan atau liabiliti mereka banyak. Jangan senang nilaikan kewangan orang bila anda tidak tahu.
5. Perlu Sedar Kos Sara Hidup Pada Zaman Kini
Banyak yang perlu dijimatkan sekarang. Sekiranya duit raya anak-anak anda termasuk di dalam antara yang perlu di ‘cut cost’, sila redha. Jangan mintak duit warna warni sangat.
6. Jaga Air Muka Pemberi Duit Raya
Didik anak anda untuk tidak buka sampul di depan mereka dan tidak merungut tentang amaun yang mereka terima. Malu tau kalau orang kritik hasil derma kita. Dah dapat tu bersyukur.
7. Tidak Kritik Duit Raya Yang Anak Terima
Banyak atau sikit, mak ayah tidak seharusnya mengkritik duit raya yang anak-anak peroleh. Ini secara tidak langsung mendidik mereka untuk menjadi manusia yang tidak berhemah.
8. Bersyukur Dengan Rezeki Yang Diterima
Setiap sen yang anak anda terima, anggaplah tu rezeki mereka. Bukan rezeki anda. Maka tak perlu lah demand lebih. Tak perlu minta. Anda mungkin anggap semua gurauan, orang lain? Bersyukur dan terus bersyukur. Hari raya ialah hari bahagia. Saat berkumpul bersama sanak saudara. Jangan rosakkan mood raya orang lain dengan perangai anda tu.
Ingatlah, tahun ni kita ajar anak kita, tahun depan kita tak ajar dah tapi mereka akan praktikkan lagi.Semoga ibadah puasa kita diterima dan semoga Syawal yang akan diraikan dipenuhi dengan keriangan.
Semoga Bermanfaat!
Sumber: IIUM Confession
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Dah Jatuh Cinta Kekurangan Fizikal Bukan Alasan. Semuanya Sempurna. Inilah Misteri Hati
Melihat pasangan ini sudah tentu terdetik di hati kita, bagaimanalah sang isteri menjalani kehidupannya bersama seorang lelaki yang hanya memiliki ketinggian 100 sentimeter.
Dari mata kasar, mungkin perbezaan ini terlalu ketara. Namun siapa kita untuk bersangka buruk kerana mereka juga makhluk Allah yang miliki naluri untuk merasa bahagia dan kasih sayang.
Kemesraan yang terpancar di wajah mereka dan kehadiran permata hati, Anas Wafiy, 10 bulan, melengkapkan keluarga kecil ini. Mohd Sukur Ibrahim, 35 tahun, yang berasal dari Sungai Udang, Melaka ini dilahirkan tidak normal seperti orang lain.
Perkara ini membuatkan Mohd Sukur Ibrahim, 35 tahun jadi rendah diri dan pemalu. Seringkali timbul rasa kurang yakin untuk berhadapan dengan orang luar. Tetapi persepsi itu mula berubah apabila melihat ibu ayahnya yang redha dengan ujian ini. Mereka juga tidak pernah jemu memberi dorongan kepada Sukur untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain.
Jelas Wan Nurul Syazwani atau mesra dengan panggilan Wani, dirinya mula mengenali suaminya, Sukur, sejak di zaman universiti lagi. Ketika itu Wan Nurul Syazwani menuntut di Univeristi Putra Malaysia (UPM) manakala Sukur pula menuntut di UKM. Kala itu kenal atas dasar kawan dan hanya bertukar nombor telefon.
Sebenarnya ketika itu Wani bukanlah seorang yang gemar berkawan. Dirinya selesa menyendiri. Tetapi apabila melihat keyakinan dan keberanian Sukur, dia mula mengagumi Sukur dalam diam.
Keperibadian Sukur sangat berbeza. Sukur tidak bertindak seperti rakan senasib yang lain. Dia bergaul dengan sesiapa sahaja yang dia mahukan tanpa batasan, malahan dia juga bijak membawa diri.
Kagum Dengan Sikap Sukur
Sikap berdikari itu membuatkan Wani mula selesa dan seronok untuk berkawan dengan Sukur. Pada mulanya memang tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadikan Sukur sebagai teman hidup.
“Kami berkawan dalam tempoh yang agak lama, dari zaman belajar hinggalah Sukur mula menjalankan perniagaan. Wani memang melihat jatuh, bangun dan kegagalan Sukur dalam bidang perniagaan sejak awal lagi.
“Perniagaan dan perkhidmatan pemasangan karpet ini merupakan perniagaan ke-empat yang dicuba Sukur setelah tiga pernigaannya sebelum itu gagal. Ketika dia ingin memulakan perniagaan ini, dia mengajak Wani untuk menjadi rakan kongsinya.
“Saya memang serahkan segalanya pada Allah dan saya sama sekali tidak sangka bahawa Sukur adalah jodoh saya. Saya hanya mengikut aturan Allah dengan melalui perjalanan hidup yang telah ditentukan-Nya. Oleh sebab itu ketika Sukur mengajak saya menjadi rakan kongsinya, saya terima tawaran tersebut.
“Kami mulakan bisnes bersama-sama termasuklah mendaftar perniagaan, walaupun ketika itu, saya masih berkerja. Maklumlah modal Sukur telah habis untuk perniagaan sebelum ini, jadi sayalah menjadi penyumbang modal kerana masih memiliki pekerjaan tetap.
“Walaupun pelbagai ujian yang kami lalui pada peringkat awal perniagaan, tetapi Sukur tetap sabar. Kerajinan dan usaha Sukur tanpa jemu buatkan saya terfikir dialah orangnya iaitu lelaki yang mampu menjadi kawan dan suami yang baik.
“Pernah suatu hari dia keluar bekerja jam 9 pagi dan hanya pulang pada jam 5 pagi. Kemudian keluar semula pada 9 pagi hari berikutnya, dia macam tak kenal erti penat.Kadang-kadang saya rasakan Sukur boleh dapat lebih apa yang dia ada hari ini kerana usahanya itu,” kata Wani satu-persatu.
Lama-kelamaan apabila perniagaan mereka berdua stabil, Sukur meminta Wani untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuh masa kepada perniagaan. Peluang ini memang telah lama Wani nantikan, jadi dia bersetuju.
Jodoh Bersama
Setelah berkerja bersama tanpa disangka timbul beberapa isu kerana apabila ke mana-mana, mereka perlu berdua. Apabila menghantar Sukur, dia yang perlu masuk rumah terlebih membantu Sukur membuka suis lampu dan sebagainya kerana ketika itu mereka tidak mempunyai staf.
Begitu juga apabila Sukur telah mulai dapat jemputan sebagai penceramah, menjadi masalah buat mereka apabila ke luar daerah perlu menempah dua bilik. Perkara-perkara ini membuatkan hati Wani terdetik bahawa telah tiba masanya untuk mereka berkahwin. Perkahwinan mereka akan menyelesaikan banyak masalah.
Jelas Wani, tanpa sedar selama ini dia tidak pernah membuka pintu hatinya kepada lelaki lain. Saat itu, Wani rasakan sikap Sukur membuatkan dia sangat yakin Sukur adalah orangnya. Ketika itu juga Wani hanya terfikir, dirinya ingin menjaga Sukur dan Sukur menjaganya. Jadi masing-masing meluahkan rasa untuk bernikah sahaja.
Pada mulanya, Wani memberanikan diri meluahkan hasratnya pada ibu. Alhamdulillah ibunya bersetuju namun berbeza pula dengan ayahnya. Selama ini memang kedua ibu bapanya tahu bahawa Sukur adalah kawan kepada anak mereka. Sudah tentu ayahnya tidak menjangka hubungan itu lebih dari sekadar kawan.
Empat Tahun Memujuk
“Bukan sehari dua kami memujuk ayah saya untuk benarkan kami berkahwin tetapi hampir empat tahun. Dalam tempoh itu juga pelbagai usaha saya dan Sukur lakukan untuk tambat hati ayah. Ada juga rasa putus asa, tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya.
“Sebenarnya bisnes yang menyatukan kami, bergaduh macam mana pun bisnes karpet ini akan temukan dan buatkan kami berbaik semula apabila ada klien yang ingin dapatkan perkhidmatan kami. Bisnes ini juga merupakan lambang kebangkitan Sukur.
“Kami memang tak mampu nak berpisah kerana sekiranya berpisah bagaimana perniagaan yang telah kami bina sama-sama ini. Jadi kami rasa perlu juga berusaha memujuk ayah saya. Walaupun banyak kali Sukur kecewa dengan sikap ayah saya, tetapi dia tetap juga ambil hati. Pernah Sukur datang, ayah saya tak balik-balik. Akhirnya Sukur balik begitu sahaja,” ceritanya satu-persatu.
Tambah Wani, hatinya cukup tersentuh apabila Sukur meluahkan rasa terharu apabila Wani mahu menerimanya sebagai suami. Sejujurnya Sukur tidak pernah memasang impian dan menyangka ada insan yang sudi berkahwin dengan keadaannya yang serba kekurangan. Oleh sebab itu dia tidak pernah putus asa untuk berusaha mendapatkan Wani dengan apa cara sekali pun.
“Sebenarnya apa yang Wani rasakan, ketika itu ayahnya bukanlah membenci Sukur cuba dia bimbang Sukur tidak mampu untuk menjaganya seterusnya menjaga keluarga yang bakal dibina kelak. Malahan ayahnya juga risau tentang persepsi orang sekeliling terhadap Sukur. Sudah pasti dia mahukan calon menantu terbaik untuk anak perempuannya.
“Allah Maha Besar, ketika Sukur menunaikan umrah dan meminta pendapat ustaz di sana yakni tentang cara terbaik untuk menambat hati bakal mentuanya, Allah mula membuka jalan-Nya. Malahan ketika itu Sukur juga meminta semua jemaah mendoakan dirinya agar jalannya untuk mendapatkan Wani menjadi lebih mudah,” kata Wani tentang pembuka jalan untuk mereka bersatu.
Ternyata hati ini milik Allah, ketika sambutan kelahiran Wani yang ke-28, ayahnya bersetuju dengan permintaannya. Setelah dia meluahkan rasa kecewa kerana tidak mampu bersatu dengan Sukur kerana ayahnya menghalang walaupun pelbagai cara telah dilakukan.
Sebulan selepas itu, setelah melalui empat hari orientasi, Sukur berjaya melayakkan dirinya untuk menjadi suami kepada Wani setelah dinilai. Melihat skill survive Sukur untuk uruskan hidup sendiri membuatkan keluarga Wani menerimanya. Kini pasangan ini bahagia hidup bersama.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Anak Lelaki Kahwin, Biarlah Hidup Ikut Acuannya, Mak Ayah Bantu Bukan Keruhkan
Mak ayah mana yang tidak sedih bila anak lelaki berkahwin. Jika semasa bujang, dialah tempat bergantung harap. Kini, tanggungjawabnya berubah kepada isteri dan anak-anak pula. Mahu ada sedikit rasa ralat buat mak ayah, lebih-lebih lagi kalau itu anak mak.
Namun, tak kurang juga mak ayah masih tidak lepaskan bila anak lelaki kahwin. Semua mesti ikut telunjuk mak tanpa hiraukan tentang perasaan menantu. Inolah susahnya, kalau mak ayah masih tidak ‘berharap’ pada menantu uruskan rumahtangga seperti dirinya.
Tak kiralah bila anak lelaki kahwin atau anak perempuan sekali pun, mak ayah kenalah beri peluang untuk anak-anak ini lalui kehidupan rumahtangga mengikut caranya. Jangan sesekali sekat atau mahu anak ikut arahan, seolah-olah anak itu belum berkahwin.
Kesudahannya, bila campurtangan begini, boleh timbul rasa tidak puas hati, bukan pada menantu tapi mak ayah istu sendiri. Kalau dahulu, sebelum kahwin anak lelaki tinggal bersama, jangan pula dipaksa heret menantu tinggal sebumbung. Biarlah mereka hidup rumahtangga caranya tersendiri.
Apa yang dikongsikan oleh Normaliza Mahadi ini, ada betulnya. Baik bila anak lelaki kahwin atau anak perempuan sekalipun, tak perlukan kita sebagai mak ayah menyibuk atur hidup anak dan menantu. Sekadar membantu tidak mengapa tapi jangan keruhkan keadaan.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Amalan Orang Lama Eratkan Hubungan Suami Isteri, Perkahwinan Berkekalan Hingga Hujung Usia
KESUSAHAN Dalam Perkahwinan Lain ORANG Berbeza Kisahnya, Hanya Suami & Isteri SAJA Tahu
Info Lebih Menarik Lagi DI SINI
Bila Anak Lelaki Kahwin, Jaga Hati Mak Dan Isteri
Anak lelaki yang dah kahwin, biarlah mereka hidup dengan isteri dan anak-anaknya di rumah lain. Biarlah dia kendalikan hidupnya sendiri. Biar dia mengendalikan hidup berumahtangga ikut acuan sendiri.
Jika nak anak rumah dekat boleh tapi masih berlainan rumah, dapur dan bilik air. Jangan paksa anak lelaki duduk di rumah dengan keluarganya untuk menjaga banyak perkara.
Anak lelaki ni dan anak perempuan ke, bila dah kahwin biarkan mereka hidup sendiri. Dah besar dan dDah baligh. Mereka pun dah boleh berfikir. Kita nak bantu, bantu aje dari jauh. Tapi jangan keruhkan keadaan. Jangan ugut anak kalau tak nak dengar cakap mak, akan jadi anak derhaka.
Tinggal Sebumbung
Kalau nak jugak anak duduk sekali dengan menantu, boleh. Tutup telinga. Pejamkan mata. Bisukan suara. Kalau tak boleh buat ni, jangan ajak anak menantu duduk sekali! Elakkan. Sebolehnya, jangan campur urusan mereka.
Dan anak lelaki kan ke pemimpin. Benda besar seperti rumahtangga ni patutnya boleh uruskan. Tak akan benda macam ni pun tak faham. Isteri perlukan privasi dan perlu kendalikan rumahtangga ikut cara dia. Nanti jika mak masuk campur, lagi susah dan serba salah. Jadi beritahu mak dengan baik, yang isteri dan anak mesti duduk rumah sendiri.
Ada banyak isu anak lelaki yang dah jadi suami tetapi masih lagi tak tahu apa yang perlu dan apa yang mahu. Ajak isteri tinggal rumah mak, sedangkan dah tahu mak dan isteri berkonflik. Mak dan isteri tidak sebulu. Tetapi mereka ok jika berjumpa pada waktu tertentu. Kekalkan keadaan itu.
Anak lelaki kena jaga hati mak. Hati isteri pun penting juga. Tak payah duduk tengah. Tapi gunakan kepimpinan untuk membuat keputusan.
Anak perempuan pun sama. Dah kahwin, tinggalkan rumah. Ikut suami. Kalau dari dulu tahu tak nak ikut suami, tak payah kahwin. Tinggal aje dengan mak. Ini lepas kahwin, bila suami ajak pindah tak nak. Ajak pindah ke rumah sendiri bukan rumah kongsi dengan ibu bapa.
Perkahwinan ni adalah satu institusi yang sangat tua. Tapi banyak masalah yang remeh pun masih belum lega.
Nak kahwin ni adalah komitment besar. Sangat besar. Banyak perubahan dan keputusan perlu dilakukan. Bukan setakat akad dan kemudiannya selesai.
Kepada suami dan isteri, matanglah. Perkahwinan ini adalah medan orang lelaki dan perempuan dewasa. Yang perangai macam budak kecik tu hanyalah untuk anak-anak sahaja.
by NM
Mingguan Wanita : Tak semua menantu dan mentua sekepala. Tapi bagi yang memang ‘kamcing’ dengan mentua, bertuahnya anda!
Sumber: Normaliza Mahadi
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Menantu Perempuan & Mak Mentua Bila Sama-sama ‘Keras Kepala’ Yang Jadi Mangsa Suami/Anak Lelaki
Isu menantu perempuan dan mak mentua satu ‘masalah’ yang seolah tiada kesudahan. Bila sama-sama keras kepala maka yang jadi mangsa adalah si lelaki. Situasi akan menjadi lebih buruk bila si lelaki tidak tahu memainkan peranan bagi mendamaikan antara isteri dan juga ibunya.
Kisah pergolakan antara menantu dan mak mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu mak mentua mentua dengan menantu perempuan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Menantu Perempuan & Mak Mentua Bila Sama-sama ‘Keras Kepala’
Hubungan mak mertua dan menantu perempuan seringkali tidak harmoni. Pendek kata ada-ada sahaja yang tidak kena. Hal ini bukanlah sekadar mitos. Kajian membuktikan konflik memang sering ‘tumbuh’ di antara mak mentua dan juga menantu perempuan.
Berikut perkongsian Akhtar Syamir
MENANTU BUKAN PILIHAN DAN MENTUA PEROSAK RUMAH TANGGA
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
TERLEBIH MELINDUNGI
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang Jadi Mangsa Suami/Anak Lelaki
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
Kadang-kala orang tua ini memang tidak boleh berubah. Anak perlulah memainkan peranan yang teramat penting untuk seimbangkan kembali situasi yang sentiasa tegang ini.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada mentua, insaflah. Berhenti merosakkan keluarga anak anda sendiri. Buang ego itu ke tepi, pilihan anak perlu dihormati selagi ianya tidak memudharatkan. Berhenti cuba mengawal semua benda. Janganlah memaksa anak dan menantu menjadi seperti yang anda mahukan dan menjadi keluarga yang sama seperti keluarga anda. Setiap manusia itu unik dan ada keperluan dan minat masing-masing. Biarlah anak dan pasangan mereka menentukan arah tuju keluarga mereka. Itu hak mereka sendiri, bukan anda.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Menantu perempuan dan mak mentua, usahlah sama-sama ‘keras kepala’ dan ego. Ingatlah bahawa jika persengketaan itu terus menerus berlaku yang menjadi mangsa adalah seorang lelaki yang bergelar suami dan anak.
Sumber kredit: Akhtar Syamir
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI