Ujian hidup manusia tak sama. Ada individu yang mendakwa bahawa kehidupannya sentiasa bahagia, senang, tidak ada sebarang masalah, lalu ia berbahagia dengan kehidupan itu. Manakala individu lain pula mendakwa bahawa kehidupannya dilanda derita, kesedihan, musibah yang berpanjangan, lalu ia bersedih dan berdukacita.
Reda Dan Syukur
Sekiranya anda diminta memilih, mana pilihan anda mahukan? Hidup yang sentiasa bahagia dan senang atau sentiasa derita dan sengsara? Ada satu pilihan lagi, reda diuji ketika dalam kesenangan serta reda dan syukur ketika dalam kesulitan.
Sirah para Nabi dan Rasul mengajar kita bahawa keseimbangan hidup berlaku apabila seseorang sedia menerima kesenangan dan kesusahan dalam hidup. Ia selari dengan fitrah kehidupan yang dilingkari kesenangan dan musibah. Dalam kesenangan ia bersyukur, dalam musibah ia reda dan sabar demi mengharap keredaan Ilahi.
Ujian Allah
Bukankah ujian itu merupakan tanda kasih sayang Tuhan kepada insan? Bukankah semakin tinggi ujian yang dilalui maka semakin tinggi darjat hamba di sisi Tuhan?
Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredaan Allah dan siapa yang tidak reda maka dia akan menerima kemurkaan Allah.”
Bagi beroleh keseimbangan hidup, seseorang harus sedia untuk diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk ujian. Bila seseorang sedang beroleh kesenangan, ia harus sedia diuji dengan kesusahan. Bila seseorang sedang beroleh kesihatan tubuh badan, ia harus sedia diuji dengan kesakitan. Bila seseorang sedang menikmati kejayaan, ia harus sedia diuji dengan kegagalan.
Ads
Begitulah juga keadaan sebaliknya. Bila seseorang sudah biasa hidup susah, ia harus sedia diuji dengan kemewahan yang boleh ditakdirkan kepadanya pada bila-bila masa. Bila seseorang sentiasa berkedudukan (jawatan, pangkat dan sebagainya) rendah, ia harus sedia diuji apabila diangkat ke kedudukan yang tinggi dan berpengaruh.
Dengan kata lain, walau di mana situasi hidup seseorang, ia harus bersedia untuk melalui situasi yang sebaliknya dengan bekalan ilmu dan iman. Maka akan lahir ketenangan diri dalam menghadapi apa jua situasi, positif atau negatif.
Perintah Syukur Dan Sabar
Bagi menjayakan keseimbangan hidup ini, Allah SWT menjadikan syukur sebagai jalan kejayaan di waktu beroleh kesenangan.Kejayaan sebesar mana sekalipun, kedudukan setinggi mana sekalipun, bila individu sentiasa bersyukur maka keredhaan Ilahi akan menaungi kehidupannya.
Melalui syukur itu maka individu akan menyempurnakan amanah dalam hidup, menggunakan nikmat pada jalan kebenaran, menyantuni sesama manusia, sentiasa menyiapkan bekalan akhirat dengan nikmat kesenangan yang dimiliki.
Ads
Sabar Penyelamat Ketika Musibah
Jika syukur menjadi penyelamat ketika berada dalam kesenangan hidup maka sabar pula menjadi penyelamat sewaktu ditimpa musibah Selagi sabar jadi pegangan, musibah dan ujian dihadapi dengan pergantungan diri kepada Ilahi, kekal atas landasan syariat Islam yang diredhai.
Sabar mendorong individu kembali kepada Ilahi melalui taubat di atas segala kesalahan lampau, menjadikan-Nya sebagai tempat mengadu dan bergantung harap, kembali meletakkan usaha, ikhtiar, doa serta tawakal pada kedudukan sebenar.
Ganjaran Di Sebalik Ujian
Justeru itu, layaklah golongan yang sabar ini beroleh ganjaran mulia di sisi Allah SWT di atas kesabaran mereka melayari bahtera kehidupan duniawi yang sifatnya sementara serta penuh tipu daya demi mengharapkan ganjaran kehidupan ukhrawi yang hakiki dan kekal abadi.
Kehidupan muslim mukmin di dunia ini ada uniknya. Sepertimana maksud hadis Rasulullah SAW bahawa semua amalan mereka menjadi baik belaka. Bila mereka dianugerah kesenangan maka mereka bersyukur. Bila mereka diuji maka mereka bersabar. Begitu indah kehidupan ini bila Allah SWT tetap menjadi sandaran hidup di saat kesenangan mahupun kesusahan.
Sumber: Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi RMJ HOLISTIC SOLUTION
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sifat tamak memang bawa banyak kerugian. Cerita tentang ruginya menjadi tamak memang banyak kita dengar. Tetapi masih ramai juga yang bersikap tamak.
Tamak Sikap Semula Jadi
Pada saya tamak adalah satu sikap semula jadi manusia. Biar siapa pun kita, sifat tamak sudah terbentuk sejak kita kecil. Cuba kita lihat anak kecil yang sedang bermain. Mereka kerap bergaduh berebutkan mainan.
Mereka bergaduh bukan kerana mereka tidak boleh bertolak ansur. Tetapi mereka bergaduh kerana wujud ketamakan tentang mainan. Mereka mahu sentiasa memiliki dan mahu sentiasa lebih daripada yang lain. Sifat tamak yang juga merupakan sifat bawaan manusia sedari kecil jika tidak dipagar, akan membesar bahkan boleh menguasai diri.
Sifat Tamak Meliputi Banyak Aspek Kehidupan
Sifat tamak meliputi kesemua aspek kehidupan. Apabila kita membicarakan hal ketamakan ia sebenarnya tidak terhad kepada pemilikan harta benda. Sifat tamak yang ada dalam diri merangkumi setiap elemen kehidupan, dari kasih sayang hinggalah kepada keilmuan.
Ada yang tamak kasih sayang hingga mereka tidak mahu orang lain merasai kasih sayang yang ada pada orang yang mereka sayangi. Ini juga terbentuk sejak dari kecil. Anak kecil cukup mudah cemburu jika ibu atau bapa mereka membelai anak orang lain biarpun belaian itu hanya seketika.
Bagi mereka kasih sayang ibu bapa mereka hanyalah milik mereka sahaja hingga wujud pergeseran antara adik beradik hanya kerana ketamakan kasih sayang. Akhirnya sehingga mereka dewasa, sifat tamak kasih sayang ini semakin menebal. Mereka tidak mahu orang yang dekat dengan mereka didekati oleh orang lain.
Orang tamak selalu rugi. Ini bukanlah hanya cerita tetapi ini adalah kebenaran. Ramai yang berkata kepada saya, tidak salah untuk tamak kerana ramai yang tamak berjaya dalam kehidupan. Tidak dinafikan ada kebenaran tetapi bab yang rugi itu tetap juga benar.
Sifat Yang Rugi Jiwa
Justeru, ada yang bertanya kepada saya apa yang sebenarnya kerugian yang mereka alami sedangkan mereka kelihatan sangat berjaya.
Pada saya, kerugian paling asas adalah kerugian jiwa. Mereka yang tamak selalu tidak perasan yang mereka bakal mengalami kerugian jiwa. Soalan seterusnya, di manakah letaknya kerugian jiwa sedangkan mereka memiliki wang yang banyak dan mampu memiliki apa sahaja yang dikehendaki.
Pada saya, rugi harta mudah untuk dinilai tetapi rugi jiwa tidak ternilai. Jiwa kita rugi kerana jiwa kita rosak atas satu perkara iaitu hilang satu anugerah Allah SWT yang sangat berharga. Tenang adalah satu anugerah Allah SWT yang pada saya sangat berharga. Orang tamak akan rugi kerana hilang tenang. Orang tamak akan sentiasa mengalami keresahan. Mereka resah kerana mereka takut hilang apa yang dimiliki dan takut tidak memiliki.
Sering Berlumba-Lumba
Lebih tidak tenang lagi kerana mereka sentiasa duduk dalam keadaan memerhati kehidupan orang lain. Mereka risau jika ada orang lain yang melebihi mereka biarpun orang tersebut bukanlah orang yang ada hubung kait kehidupan dengan mereka. Hidup mereka sentiasa berlumba-lumba. Mereka sentiasa mengejar, takut dikejar dan terkejar-kejar.
Orang yang mengejar akan pasti kelelahan. Orang yang takut dikejar akan sentiasa tidak tidur lena kerana banyak berfikir. Orang yang terkejar-kejar pasti mudah tersungkur dek kerana keputusan yang sering silap. Bukan ini semua merupakan kerugian. Kerugian jiwa yang akhirnya membawa kepada fiizikal. Manakan tidak, apabila semuanya ini berlaku, mereka akan hidup dan tekanan.
Rasa Tertekan Akibat Sifat Tamak
Mereka tertekan dan sangat tertekan jika berada di belakang orang lain, baik dari segi kasih sayang, ilmu mahupun harta. Tekanan yang wujud dalam diri mereka sebenarnya adalah hasil kerja mereka. Jawapan akhir bagi tekanan yang mereka wujudkan adalah kerosakan fizikal.
Tubuh badan yang sihat akan mula beransur-ansur sakit hingga menyebabkan umur kehiduan dan umur jasad kelihatan sangat berbeza. Mereka mungkin berumur 40 tahun tetapi elemen jasad mereka mungkin sama kuatnya seperti orang yang berumur 60 tahun.
Jaga Emosi Dan Fizikal
Justeru, marilah kita menjaga emosi serta tubuh badan kita dengan mengurangkan sifat tamak yang sememangnya wujud dalam diri manusia. Kita akan menjadi orang menghargai nikmat yang Allah SWT kurniakan jika menjaga tubuh zahir dan batin kita.
Kedua-duanya akan terjaga baik jika kita menjaga kurniaan tenang yang dianugerahkan Allah SWT kepada setiap makhluk-Nya. Biar kita hilang wang ringgit tetapi jangan kita hilang ketenangan.
Ketenangan sangat mudah untuk hilang dan sangat susah untuk menyimpannya. Orang yang tenang selalu panjang umur dan cerdas akalnya. Semoga kita menghargai ketenangan yang ada dalam diri kita. Jangan biarkan ianya tergadai dek ketamakan yang tidak dipagar.
Dato’ Dr. Azhar Hj Sarip, NLP Gold Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Lafaz doa memang di mulut, namun apakah hati kita sepenuhnya berserah dan ikhlas atas tiap patah kata doa tersebut? Jangan mulut lain di hati lain…
Doa adalah amalan yang mulia serta amat dituntut dalam Islam. Berdoa mempunyai kaedah serta adab-adab tertentu agar setiap doa diberkati oleh Allah SWT.
Antara adab yang disarankan adalah seseorang berdoa dalam keadaan melepaskannya di mulut serta melepasnya di hati. Apa maksud saranan ini?
Meluahkan Dan Lafazkan Doa
Sudah menjadi amalan rutin ketika berdoa, individu meluahkan segala permintaan melalui lidah (mulut). Individu meluahkan segala hajat tidak kira hajatnya panjang atau pendek maka semuanya diungkapkan dengan lidah secara jelas dan terperinci.
Bagi individu yang kreatif serta mampu menyusun bait-bait doa yang indah serta berkesan di hati maka gaya bahasa yang indah itu diluahkan ke hadrat Ilahi.
Amalkan Doa
Tidak kira daripada mana sumber doa yang dipilih, baik doa yang bersumberkan al-Quran dan al-hadis atau doa ciptaan sendiri, doa itu disebut atau diluahkan melalui mulut. Doa terus diamalkan sebagai suatu ibadah yang dilakukan demi memenuhi keperluan hidup sebagai hamba.
Berdoa pada tahap inilah yang dimaksudkan dengan melepaskan doa di mulut. Cakap atau sebut lah segala hajat anda ke hadrat Ilahi beserta harapan doa itu diperkenankan. Usah jemu meluahkan permintaan anda melalui kata-kata kerana Tuhan tidak pernah jemu mendengar kata-kata permohonan daripada hamba-hamba-Nya.
Sebenarnya tidak ada kesalahan pada tahap doa di mulut ini. Kita bebas menyatakan segala doa dengan sepuas hati kepada Ilahi. Cabaran berdoa adalah tentang persoalan di hati. Adakah doa itu terbit daripada hati yang pasrah dengan menyerah serta melepaskan segala-galanya kepada Ilahi?
Sesungguhnya Islam amat mengambil berat tentang hati ketika berdoa. Hati menjadi tumpuan pandangan Allah SWT. Hati menjadi penyebab bagi doa diterima atau ditolak. Keadaan hati menyumbang kepada kesungguhan serta kepasrahan ketika berdoa.
Lafaz Doa Dalam Keadaan Hati Lalai
Bagaimana dikatakan seseorang belum melepaskan di hatinya ketika dia berdoa, walau dia sudah melepaskannya di mulut? Contoh mudah, individu berdoa dalam keadaan lalai. Mulut berdoa tetapi hati dan perasaan entah ke mana. Hati tidak memahami atau menghayati apa yang diungkapkan oleh mulut.
Contoh yang lain, individu berdoa dalam keadaan hati masih ragu-ragu terhadap Tuhan. Doa diluahkan di mulut namun hati masih ragu-ragu, adakah Tuhan akan makbulkan doa itu. Hati masih ada rasa syak terhadap janji-janji Tuhan yang telah berjanji akan memperkenankan setiap permintaan hamba-Nya.
Lafaz Doa Tapi Hati Sombong
Sebagai contoh yang lain, individu yang berdoa dalam keadaan dia merasai bahawa segala yang dimiliki boleh membantunya andai hajatnya belum dipenuhi. Bagi individu yang berharta maka dia merasai hartanya boleh membantunya. Bagi individu yang berkuasa atau pengaruh maka dia merasai kuasa dan pengaruh yang ada itu boleh membantunya dalam keadaan tertentu.
Inilah gambaran berdoa tanpa melepaskannya di hati. Individu berdoa dengan kesombongan hati. Mereka berdoa sekadar melafazkan di mulut melalui kata-kata tetapi hati masih berprasangka negatif terhadap Allah SWT.
Belajar Pasrah Diri Pada Tuhan
Justeru itu, bagi mencapai maksud yang positif daripada doa yang dipanjatkan maka kita disarankan untuk berdoa dalam keadaan benar-benar pasrah diri kepada Allah SWT. Mulut melafazkan doa dan hati membenarkan kebesaran dan keagungan Ilahi.
Cuba didik hati untuk merasai bahawa diri ini tiada apa-apa (kosong). Segala yang dimiliki pada hakikatnya adalah kepunyaan Allah SWT. Selarikan apa yang diucapkan di mulut dengan rasa di hati yang menyerahkan segala urusan hidup ini ke hadrat-Nya. Mudah-mudahan hati beroleh kelapangan dan kepuasan pada setiap kali doa dipanjatkan.
“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 55)
Sumber: Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi, RMJ HOLISTIC SOLUTION
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak kiralah dengan sesiapa pun, jika mak, ayah buat salah cepat-cepat minta maaf. Beralahlah walaupun bukan kita puncanya semata-mata untuk memulihkan hubungan. Tidak salah rendahkan ego dan meminta maaf.
Hari-hari kita buat salah dengan Allah. Hari-hari pula kita merintih merayu supaya Allah ampunkan dosa kita. Tanpa rasa jemu. Tanpa rasa malu.
Namun, itu tak sesekali menjadikan kita manusia hina. Bahkan kita jadi lebih mulia. Bahkan ia mengangkat darjat dan martabat kita di sisi-Nya.
Ada kala kita buat salah dengan manusia secara spesifik. Kita kena cepat-cepat minta maaf dan mengaku salah kita. Takut nanti tak sempat. Takut nanti ada salah seorang daripada kita yang mati dulu.
Jangan dipelihara rasa sombong dan ego kita. Beralahlah walaupun ada kalanya kita bukanlah puncanya pun. Itu akan memulihkan hubungan kita yang mungkin retak jika dibiarkan berlama-lama.
Minta Maaf dan Mengaku Salah
Terkadang juga kita buat salah dengan manusia secara umum. Tambah pula kalau kita ini figura masyarakat, selebriti, ahli politik dan tokoh agama.
Usah dibelit-belit lagi jika ternyata memang ianya salah kita. Usah dicari-cari dalil dan dalih untuk membenarkan tindakan kita. Sehingga kita terpaksa berbohong ke sini dan ke sana.
Yang salah itu salah. Walau macamana caranya sekalipun kita berusaha untuk justify, ia tetap salah.
Jangan cari salah orang untuk tutup salah sendiri. Sampai tergamak tuduh orang sana sini. Hingga tak tersedar boleh jadi fitnah dan caci maki.
Jangan salah guna ayat Al-Quran untuk kepentingan diri. Tafsir dan hurai ikut sedap hati. Reka dan tokok tambah fakta ikut nafsu. Itu namanya menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah.
Jangan petik hadis Nabi Muhammad SAW untuk sokong kelemahan diri. Pusing sana, sini juga supaya kena dengan kita dan selera kita. Selongkar juga sampai tak kira sudah hadis tu apa statusnya. Ini memang perbuatan terkutuk lagi terkeji.
Mengaku salah. Minta maaf. Jangan diulang lagi. Itu saja caranya.
Orang yang suka mengaku salah, itu orang hebat. Hebat dunia, hebat akhirat.
#KAB
MW: Ternyata orang yang mengaku salah dan sering meminta maaf adalah orang yang hebat. Percayalah.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.