perkahwinan

Apakah kiranya ujian paling berat yang pernah anda dan suami hadapi sepanjang perkahwinan? Diganggu orang ketiga, gagal dalam layanan seks, pasangan berubah panas baran, hampir muflis, ditikam musuh-musuh hingga sekarat, ditimpa sakit tenat, anak lari dari rumah, hampir mati dalam kemalangan, adik beradik memusuhi, ibu bapa atau mentua pilih kasih dan musibah-musibah lain yang seolah-olah gegaran kiamat!

Bila kiamat kecil datang ke rumah, suami isteri bertempiaran lari menyelamatkan perasaan sendiri dengan penuh amarah, tak fikir lagi pasal anak-anak dan tak sudi mencari kata sepakat. Padahal ia hanya kiamat senipis bawang saja pedihnya jika dibandingkan kiamat sebenar yang menakutkan jiwa. Pelik sungguh isteri yang katanya beriman, datang ujian sedikit habis dihempas semua barang. Semakin ditambah cubaannya bukan mencari silap diri tapi mengorek aib suami untuk dijaja ke sana sini. Semakin hari keras kepala, mati jiwa kerana cemburu buta dan hauskan harta benda. Mengapa isteri mudah lupa dengan peringatan Allah ini:

“Dan (Malaikat) yang menyertainya berkata: Inilah (catatan perbuatan) yang ada padaku. Allah berfirman: Lemparkanlah olehmu berdua ke dalam neraka jahanam semua orang yang ingkar lagi keras kepala.” (Surah Qaf ayat: 23-24)

Cuba dia bayangkan, ketika pinggan yang dilemparkan ke wajah suaminya itu menjadi dirinya yang dilemparkan malaikat ke neraka disebabkan keras kepala adakah dia ingat ayat Allah ini?

Suami pula ramai yang mengganas seolah-olah kedatangan kiamat, tertutup matanya tak sudi melihat pengorbanan isteri. Semua yang dilakukan isteri silap, menyusahkan dan menyakitkan matanya. Mata suami buta oleh hawa nafsunya pada wanita yang haram sehinggakan isteri yang halal hanya untuk dimanfaatkan demi kepentingan sendiri. Begitukah sikap suami beriman? Apakah dia lupa dengan peringatan Allah SWT tentang matanya di akhirat nanti?

Ads

“Dan ditiuplah sangkakala. Itulah hari yang diancamkan. Setiap orang akan datang bersama (malaikat) pengiring dan (malaikat) saksi. Sungguh, kamu dahulu lalai tentang (peristiwa) ini, maka Kami singkapkan penutup yang (menutupi) matamu, sehingga penglihatanmu pada hari ini sangat tajam.” (Surah Qaf ayat: 20-22)

Ayat ini seakan-akan menegur: “Matamu disingkapkan penutupnya di akhirat nanti, mengapakah tak mahu membuka mata di dunia ini untuk melihat pengorbanan isterimu? Subhanallah, ayat-ayat al-Quran begitu menyentuh perasaan! Malangnya, ramai yang leka oleh sebab disibukkan berperang dalam rumah dan mencipta kiamat sendiri dengan maksiat!

Jadi bersedialah menyambut kedatangan gegaran kiamat, apakah antara persediaan-persediaan menghadapinya supaya perkahwinan anda selamat?

Ads

1. Baca al-Quran

Pegang dan sentuh Al-Quran dengan niat Allah menyentuh hati kita, pelajari dan bertanya pada yang alim dengan niat mendapat cahaya hidayah. Jika didatangi musibah carilah jalan keluarnya di dalam kisah Nabi-Nabi yang diuji tiada henti, baca sebanyak-banyaknya satu ayat yang menginspirasi jiwa dan ulang-ulangi ayat yang boleh memberi motivasi ketika kita lemah semangat. Hayati ayat-ayat kesedihan saat kita mabuk bahagia dan hafalkan ayat khabar gembira sewaktu kita terluka. Begitulah kekuatan yang boleh kita semua miliki jika rumahtangga digoncang kiamat kecil. Kiamat boleh datang tapi iman janganlah hilang disebabkan berenggang dari Al-Quran.

2. Sibukkan jiwa

Seseorang boleh nampak sibuk tapi hakikatnya dalam jiwa kosong dan seseorang boleh kelihatan rileks tapi jiwanya sibuk memikirkan imannya. Sibuk jiwanya bermakna tak mahu berhenti memikirkan tentang Allah SWT. Sebagaimana yang dinukilkan Ibnul Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya Fawaidul fawaid: “Makhluk yang paling suci, paling bersih, paling bercahaya, paling mulia, paling tinggi zat dan kedudukannya dan paling luas adalah Arasy. Singgahsana Allah yang Maha Pengasih. Oleh itu layaklah bila Arsy menjadi tempat bersemayam bagiNya. Allah SWT menciptakan hati dan menjadikannya tempat bersemayam tiga sifat: sifat mengenal, mencinta dan mengagungkan Allah. Oleh itu hati umpama ‘Arasy atau singgahsana bagi sifat-sifat yang mulia itu.”

Ads

Mari sibukkan hati mencari Allah sampailah tiba saatnya bertemu dalam keadaan yang amat gembira kerana rindu. Hakikatnya ramai yang disibukkan mencari kenikmatan dunia, jiwa sentiasa letih dan payah menanggung derita yang tiada kepuasannya. Tetapi jika Allah sentiasa dicari, musibah apa pun tak akan bererti.

3. Bina kekuatan bersama pasangan

Kiamat yang datang ke rumah kita mesti dihadapi dengan kekuatan seolah-olah kita mahu berperang. Suami kuatkan isteri dan begitu sebaliknya, jangan saling melemahkan dan menjatuhkan. Musuh kita adalah syaitan bukan pasangan kita, bahkan dia adalah sumber kekuatan sebenar yang Allah kurniakan dalam hidup anda. Cuba bayangkan jika tiada dia di sisi, bagai burung patah sayap hendak ke mana tiada daya.

Sebenarnya banyak lagi persediaan menghadapi gegaran kiamat dalam rumah tangga, tak mungkin dikupas tuntas dalam ruangan kecil yang sederhana ini. Eloklah yang sedikit diamalkan sebelum bertemu yang banyak, semoga bermanfaat.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI