Bagi yang mengikut perkembangan kedua-dua pelakon ini dan pernah menonton filem-filem lakonan seperti Ali Setan pada tahun 1980-an, panggilan Ali dan Asmidar begitu sebati dalam diri mereka. Turut terkesan dengan berita pemergian bekas pelakon Azmil Mustapha ini, pastinya pelakon Ogy Ahmad Daud yang sering menjadi heroin gandingan beliau didalam lakonan satu ketika dahulu.
“Lepas ini, tiada lagi panggilan Asmidar dan Ali,” luah pelakon terkenal, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau lebih popular di sapa sebagai Ogy Ahmad Daud.
Menurutnya, panggilan tersebut sememangnya digunapakai olehnya dan Azmil Mustapha sejak membintangi filem yang sekali gus mencipta fenomena tersendiri, Ali Setan.
“Dia menggelarkan diri sebagai Ali, malah turut memanggil saya dengan Asmidar. Panggilan itu terus ‘lekat’ sampai hari ini,” kata pelakon ini.
Akibat Komplikasi Jantung
Azmil meninggal dunia akibat komplikasi jantung di kediaman keluarganya di Seksyen 9, Shah Alam, kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi.Bintang filem Mekanik itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 65 tahun.Menurut adik kepada Allahyarham, Aziq Mustapha berkata, arwah difahamkan meninggal dunia sewaktu tidur kerana tidak terjaga ketika dikejutkan.
“Kali akhir saya dapat bercakap dengan dia adalah pada tahun ini. Ketika itu saya mengundang dia untuk datang ke program Huru Hara.
“Tapi, dia menolak kerana katanya ini bukan masa yang sesuai. Lagipun, dia kata dah lama tak tengok TV.
“Sebab itu, saya agak terkejut dengar berita pemergiannya. Badan saya pun menggigil,” katanya.
Pemergian Dipermudahkan
Bagaimanapun, bintang filem Langit Cinta ini bersyukur kerana pemergian Azmil dipermudahkan.
“Alhamdulillah, dia mendapat keredaan ALLAH SWT malah dia pergi juga dengan mudah dan tenang,” katanya.
Bukan sahaja menjadi sahabat baik dan rakan lakon, aktres berusia 56 tahun ini turut menganggap Azmil sebagai abang.
“Dia menjaga saya seperti adik terutama ketika kami sama-sama menjalani penggambaran filem Ali Setan.
“Saya juga tak pernah dengar dia bercakap buruk pasal orang, semuanya baik-baik sahaja. Dia seorang yang sangat selesa untuk berkawan dan berbual,” katanya lagi.
Paling Kuat Beri Sokongan
Malah, katanya, Azmil adalah individu yang paling kuat memberi sokongan terhadap apa sahaja yang dilakukannya.
“Masa saya mula-mula berhijrah, dia orang pertama datang ketuk pintu rumah saya dan bagi sokongan.
“Masa saya pilih untuk kembali berlakon selepas berhijrah, dia juga sokong dan katakan itu adalah ketentuan ALLAH.
“Dia juga nasihatkan saya agar jangan melupakan-NYA dalam setiap apa yang lakukan,” katanya.
Jenazah allahyarham dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz, Shah Alam untuk urusan serta solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.
Info Ekstra!
- Ustaz Azmil Mustapha adalah seorang pelakon dan penceramah lelaki Malaysia yang pernah menjadi fenomena pada lewat tahun 1980-an di Malaysia. Bermula dengan filem yang mencecah kutipan Box Office iaitu filem Mekanik (1983) yang turut dibintangi Lagenda bola sepak tanah air iaitu Dato’ Mokhtar Dahari sebagai pemain undangan.
- Antara filem yang turut melonjakkan nama beliau adalah Ali Setan (1985),Ali Setan 2 (1986) dan Suara Kekasih (1986). Gandingan paling ideal pada era tersebut adalah antara beliau dan Fauziah Ahmad Daud. Selain itu antara filem-filem yang turut mendapat sambutan adalah seperti Driving School (1990), Iman Alone (1998) dan Fifty Cent (1991).
Azmil merupakan bekas mahasiswa dari Universiti Indianna, Bloomington, Amerika Syarikat. Menuntut selama lima tahun di Universiti Indiana dengan membawa pulang segulung Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Filem, Radio dan Televisyen ketika kembali ke Malaysia pada tahun 1979.
- Memenangi anugerah Aktor Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-6 (1986) – Filem Ali Setan.
- Beliau bersara ketika nama beliau di kemuncak kerjaya sekitar 1980-an, Namun beliau tidak pernah kesal dengan keputusan yang diambil. Beliau menumpukan hidup beliau dengan memberi ceramah-ceramah agama.
- Sebelum ini Azmil pernah dua kali mendirikan rumah tangga, namun kedua-duanya tidak kekal lama. Melalui perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Shamira. Manakala dengan isteri kedua pula, dia kurniakan empat anak iaitu Nur Azalea Arifah, Nur Amalia Batrisha, Muhammad Bazli Zhafri, dan Nur Alia Iman.
- Perubahan yang berlaku dalam hidup ayah tunggal kepada lima orang anak dan datuk kepada seorang cucu, Alexandria Carina itu disifatkan sebagai satu nikmat yang terlalu indah buatnya.
Team Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga Azmil Mustapha, semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang soleh dan beriman. Amin
Al Fatihah
Sumber: Sinar Online & Wikipedia
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI