Kisahnya, dua pegawai polis dari Jabatan Siasatan Semasa dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor sedang membuat rondaan OP COVID 19. Sebaik sampai di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru, mereka menemukan tiga beranak ini sedang berada di taman permainan.
Mereka pun mendekati pasangan suami isteri yang ketika itu bersama anak kecilnya, kira-kira umur setahun 4 bulan. Pegawai polis itu memberikan nasihat kepada mereka, pada waktu ini sepatutnya mereka tak berada di situ.
Sebaliknya, duduk di rumah. Kerana ketika ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan. Demi mengekang penularan wabak jangkitan Covid-19 kepada orang ramai.
Isteri Menangis Tak Ada Duit Beli Makanan
Pegawai polis itu pun, mengarahkan pasangan ini pulang ke rumah mereka. Tapi tidak semena-mena, si isteri ini menangis kesedihan. Katanya, ketika itu mereka dalam kesusahan. Tiada wang ringgit malah tak ada pun bekalan makanan di rumahnya.
Tersentuh hati dengan kesusahan yang sedang dialami tiga beranak ini, kedua pegawai polis berkenaan telah membawa mereka ke kedai runcit. Dapatlah pasangan ini membeli barang keperluan dapur bagi kegunaan sepanjang PKP ini.
Bukan saja bantuan barang dapur, pegawai polis ini juga memberikan bantuan susu anak yang berumur 1 tahun 4 bulan itu.
Kerana, disebabkan ketiadaan wang tadi, mak ayah ini cuma mampu berikan anak kecil mereka minum milo bercampur gula saja. Sebak hati mendengarnya.
Tiga Beranak Cuma Sewa Bilik – Polis Johor
Kemudian, pegawai polis ini menghantar mereka sehingga tiba di kediaman mereka di Taman Tampoi Indah. Mereka cuma menyewa bilik sahaja.
Pasangan yang diuji ini menjadi semakin sukar selepas PKP. Apabila si suami telah diberhentikan kerja sambilannya di Singapura kerana ketiadaan permit kerja. Manakala, isterinya pula seorang tukang cuci di kawasan Larkin dan kini telah dicutikan.
Unsung hero yang membantu pasangan suami isteri ini adalah Pegawai Polis Koperal 150367 Mohd Hisham Mustafa dan Konstabel 204588 Mudrikah Nazirul Nordin yang baik hatinya.
‘Terima kasih’.. Sungguh, jasa dan kebaikan tuan Allah saja dapat membalasnya.
Dan menerusi perkongsian menyentuh hati dari Facebook rasmi Polis Johor ini, mereka mengharapkan agar pasangan keluarga ini terus diberikan bantuan.
Begitulah mak ayah, ujian kita tidak sama. Ada pasangan yang sangat diuji dengan kesusahan dan ketiadaan makanan sewaktu PKP ini, dan Allah kirimkan bantuan dengan cara yang tidak disangka-sangka.
MW : Janganlah terus putus harap, berdoalah terus mak ayah. Semoga Malaysia kembali aman, segera dijauhkan dari wabak Covid-19 dan rakyat dapat kembali bekerja seperti sebelumnya. Allahumma Amin.
Sumber/Foto : Polis Johor
Baca sini : COVID-19 : Perintah Kawalan Berkurung dilanjutkan sehingga 14 April ini – PM
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI