Wajah dan rambut si kecil usia tiga tahun ini diselaputi debu. Selimut kerajang melindungi tubuh halus itu selepas 65 jam terperangkap dalam runtuhan bangunan. Yang diakibatkan oleh gempa bumi yang melanda pantai Aegean Turki.
Tak dapat dibayangkan, anak kecil bernama Elif Perincek ini melalui saat sukar lagi cemas selepas bangunan di diami keluarganya runtuh. Hampir tiga hari Elif bertarung nyawa. Terperangkap dalam bangunan runtuh di Bayrakali di wilayah barat Izmir sebelum diselamatkan Isninnya.
Tiga Hari Terperangkap Dalam Runtuhan Bangunan
“Shif saya bermula 10.30 malam. Petang semalam saya bekerja dengan 14 rakan penyelamat.Ditempat yang sama, kami sudah mengeluarkan ibu Elif dan adik-beradiknya.
Dari lokasi itu, kami meneruskan pencarian. Menuju ke ruang bilik dimaklumkan Elif berada. Sebaik sampai, kami nampak ada satu ruang yang teramat kecil, tak mungkin Elif mampu melepasinya apatah lagi terselamat.
Kami tebuk laluan dengan penukul untuk sampai ke ruangan itu. Dan di situlah kami menemui Elif. Besi bahagian atas kami potong dan bersihkan beberapa ruang. Segera saya minta selimut dari rakan penyelamat, nampaknya tiada pergerakan dikesan dari anak kecil itu.
Wajahnya penuh dengan serpihan konkrit.. saya mahu membersih wajah itu. Sebaik saya mahu menyentuhnya, Elif menarik ibu jari saya. Dia pegang tangan saya.. kuat seakan tak mahu lepas. Saya tergamam, begitu juga rakan penyelamat yang lain. Dan akhirnya kami menangis bersama-sama.” Sebak kongsi penyelamat Elif, Muammer Celik.
Ibu Dan Adik-Beradik Kembar Elif Diselamatkan
Sebelumnya, selepas 23 jam gempa bumi melanda penempatan itu, ibu Elif, Seher Dereli Perincek dan adik-beradik kembarnya yang berusia 10 tahun, Ezel dan Elzem Perincek berjaya ditarik keluar dari runtuhan.
Begitu juga dengan saudara lelakinya, Umut Perince, 7 dapat dikeluarkan. Namun, Umut kehilangan nyawanya. Sehingga saat ini, ahli keluarga Elif yang diselamatkan masih dalam rawatan.
Elif adalah mangsa ke 106 yang ditemui masih bernyawa dan berjaya diselamatkan daripada kawasan runtuhan. Dia yang mengalami kecederaan kemudiannya dikejarkan ke hospital.
Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca memaklumkan Elif sudah pun sedar dan tidak mengalami patah tulang mahupun kecederaan yang serius. Bagaimanapun, Elif masih dalam pemantauan rapi memandangkan anak ini terperangkap dalam runtuhan dan tidak dapat bergerak untuk jangka masa yang panjang.
Adik beradik Elif juga dikhabarkan dalam keadaan yang baik.
Bencana Gempa Bumi Di Turki
Sebelumnya, kira-kira 58 jam selepas gempa seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun, Idil Sirin dapat diselamatkan di Bayrakli.
Bencana ini mengakibatkan hampir 1,000 orang cedera dan sekurang-kurangnya 150 orang masih dirawat di hospital.
Gempa dengan kekuatan 6.6 skala Ritcher mengakibatkan bencana, memusnahkan bangunan-bangunan di Turki dan Greece pada petang Jumaat lalu.
Malah, pihak berkuasa Turki memaklumkan terdapat 1,323 gempa susulan sehingga malam Isnin. Dengan 43 daripadanya bermagnitud lebih daripada empat.
Pihaknya juga melancarkan siasatan, menyiasat punca 58 bangunan yang runtuh dan rosak teruk.
Sumber/Foto : Harian Metro, Daily Sabah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI