Terlampau sakit hati, isteri nekad simbah asid ke muka suami yang curang di belakangnya. Benarlah bila emosi menguasai diri, apa saja mampu dilakukan.
Jika tidak mana mungkin seorang isteri sanggup menyimbah asid ke wajah suami sendiri. Bila emosi tak terkawal, seseorang tidak mampu membezakan yang mana baik dan mana buruk.
Terlampau Sakit Hati
Seorang wanita di Jakarta, nekad menyimbah air campuran cuka dan asid ke muka suaminya sehingga mangsa mengalami cacat kekal selepas mengetahui lelaki itu berlaku curang, lapor laman berita Tribunnews hari ini.
Suspek bernama Fitriyani, 41, dilaporkan melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Gudang Pupuk Dusun Lingga Kuamang, Kabupaten Bungo dalam wilayah Jambi.
Isteri Nekad Simbah Asid Ke Muka Suami Yang Curang
Menurut laporan polis, Fitriyani berasa marah selepas mengetahui suaminya curang dengan wanita lain dan merancang perbuatan itu dengan niat.
“Ketika disoal siasat polis, suspek berkata bahawa dia tidak sanggup menanggung rasa sakit hati kerana dicurangi dan tidak menyesal menyimbah campuran cecair itu ke muka suaminya.
“Berdasarkan pemeriksaan doktor, mangsa mengalami kesan melecur serius di bahagian mata dan wajahnya,” kata Ketua Polis Kabupaten Bungo, Asisten Komisioner Besar, Guntur Saputro. – Agensi
Ads
Mingguan Wanita : Bila rasa marah menguasai diri isteri, suami perlu berhati-hati. Jangan disangka isteri yang selama ini lemah-lembut tidak mampu berbuat sesuatu di luar jangkaan. Betul tak?
Allahu, sayunya hati apabila mendengar berita seorang kanak-kanak perempuan 9 tahun maut, cedera organ dalaman dipercayai mangsa dera ayah mak tiri. Sampainya hati.Memetik laporan Harian Metro, Aina Nabihah adalah kanak-kanak yang maut dipercayai akibat didera ayah kandung dan mak tirinya di rumah keluarganya di Taman Vista Jaya, Lukut, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, mangsa Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, dilihat tidak sedarkan diri oleh bapanya pada 11.30 malam.
“Lelaki berusia 38 tahun cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada anak keduanya itu namun tidak berjaya. Dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor pada 12.30 tengah malam, malah pemeriksaan menemui kesan lebam di seluruh badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kecederaan Organ Dalaman
Katanya, mayat mangsa diserahkan ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat dan keputusan mendapati kematian mangsa berpunca daripada kecederaan parah pada organ dalaman.
“Bedah siasat mendapati buah pinggang mangsa rosak, usus koyak, tulang rusuk kanan dan kiri patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul,” katanya.
Berikutan kejadian itu, beliau berkata, suspek ditahan selepas selesai bedah siasat di HTJ hari ini dan akan mendapatkan perintah reman di mahkamah, esok.
Zainudin berkata, sebelum ini bapa kandung mangsa pernah ditahan atas kesalahan sama pada Jun tahun lalu, susulan laporan yang dibuat bekas isteri yang melihat kesan lebam ketika mengambil anaknya daripada jagaan lelaki itu.
“Kes terbabit dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan suspek dibebaskan atas alasan ingin mendidik mangsa,” katanya.
Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali mendakwa, anaknya yang juga rakan mangsa, mendedahkan kanak-kanak itu kerap mengadu didera bapanya sebelum ini.
Antara luahannya, “Lama-lama nanti aku mati kena bunuh,”.Dia beritahu anak saya, selalu kena pukul malah pernah dibaling kerusi oleh bapanya itu sehingga kerusi itu patah dan dia cedera. Dia juga beritahu kalau keadaan berterusan, dia boleh mati,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan itu di sini, hari ini.
Beberapa Kali Mangsa Lebam Pada Mata
Sementara itu, seorang jiran lain, mendakwa kanak-kanak itu beberapa kali dilihat lebam pada muka, terutama pada bahagian mata.
“Mangsa agak pendiam dan jarang keluar rumah tetapi semua orang di sini tahu dia adalah kanak-kanak yang baik. Apabila saya bertanya mengenai kecederaan sebelum ini, dia memberi alasan terjatuh daripada basikal.
“Kami juga kerap mendengar suara bapanya marah-marah di dalam rumah itu dan disusuli bunyi seperti pukulan. Bapanya memang garang, tetapi mempunyai hubungan baik dengan jiran dan pernah memberitahu tidak sentuh anak-anak ketika marah,” katanya.
Jiran berkenaan turut berkata, tidak pernah mendengar kanak-kanak itu bercerita perkara buruk mengenai bapanya yang juga seorang anggota tentera berpangkat sarjan.
Ditanya mengenai kejadian malam tadi, dia berkata, mereka tidak menyedari bunyi mencurigakan, namun mengakui mendengar suara bapanya marah dengan kuat dari dalam rumah itu pada tengah hari, Ahad lalu.
Semoga arwah adik Aina Nabihah tenang menemui penciptaNya.Berakhir sudah segala penderitaan yang dialami selama ini. Buat mak ayah dalam mahu mendidik dan mengajar anak-anak biarlah berpada-pada, jangan terlalu mengikut perasaan amarah yang mengakibatkan kecederaan dari segi emosi dan fizikal buat mereka.
Rupanya masih ada lagi yang salah faham tentang adik beradik betul dengan adik beradik tiri. Kalau dari mak dan ayah yang sama dah tentulah ia adik beradik kandung. Tapi macam mana nak tahu adik beradik tiri pula.
Jangan ambil mudah perkara ini sebab ada kaitan dengan mahram dan bukan mahram, boleh berkahwin atau tidak boleh berkahwin.
Hayati perkongsian daripada Ustaz Azhar Idrus tentang beza adik beradik betul dengan tiri.
Dalam perkongsian video ini ustaz Azhar Idrus mengatakan ada 4 jenis adik beradik yang boleh kita bezakan.
1. Adik beradik kandung – Bila mak dan ayah yang sama.
2. Adik beradik satu ayah – Bila ayah yang sama dan mempunyai dua isteri. Hanya mak yang lain.
3. Adik beradik satu mak – Bila mak kahwin ramai..kahwin dan cerai. Setiap bekas suami ada anak.
Kesemua adik beradik (1-3) ini adalah mahram, tidak sah kahwin dan tak batal air sembahyang, tidak wajib tutup aurat (rambut).
4. Adik beradik, mak lain ayah lain – Bila mak kahwin dengan suami yang ada anak. Mak ada anak dan suami baru ada anak. Inilah yang dipanggil adik beradik tiri.
Mingguan Wanita: Baru tahu dan faham. Ingatkan adik beradik tiri bila mak kita kahwin dengan suami lain, ada adik hasil bersama suami baru, dipanggil adik beradik tiri. Salah rupanya.
Mungkin ada isteri yang dalam diam pernah dalam situasi ini; suami mengaku telah terlanjur dengan perempuan lain dan meminta izin untuk poligami. Namun, dalam Islam, apakah wajib perkahwinan itu? Bersama Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie dan juga penulis tetap ruangan Resipi Hidup Dalam Majalah Mingguan Wanita mengupas persoalan ini.
Tiada Nas Syarak
“Puan, suami minta nak kahwin lagi sebab dah terlanjur dengan perempuan tu. Masalahnya suami tak mampu. Dia kerja tak tetap, duit selalu tak ada, saya yang tanggung kami sekeluarga anak lima. Suami kata dia wajib kahwin sebab sudah terlanjur. Betul ke puan?”
Merujuk kepada penyataan si suami di dalam kes ini menyatakan; “dia wajib kahwin sebab sudah terlanjur”. Sebenarnya adalah satu penyataan yang salah. Tiada nas syarak sama ada ayat al-Quran atau hadis Rasulullah s.a.w atau fatwa ulama malah tidak juga peruntukan undang-undang yang menyatakan secara sahih bahawa pasangan yang berzina perlu berkahwin.
Sememangnya diakui, dalam kebanyakan kes tangkapan zina atau khalwat atau hamil sebelum nikah, pasangan yang terlanjur ini mengambil keputusan untuk berkahwin. Ada juga kes perkahwinan tidak berlaku, yang mewujudkan pula kes bayi yang dibuang. Namun, fakta yang penting dan ingin saya tegaskan di sini ialah tidak wajib berkahwin jika telah terlanjur. Bermaksud pasangan yang telah terlanjur boleh untuk tidak berkahwin dan boleh juga untuk berkahwin.
Tuntut Hak
Untuk makluman juga, tidak salah sekiranya si lelaki enggan berkahwin dengan si gadis atau si wanita yang ditidurinya biarpun hubungan seksual antara mereka berlaku secara rela atau suka sama suka.
Dalam situasi ini, si gadis atau si wanita tidak mempunyai sebarang hak yang boleh dituntut sama ada menggunakan hukum syarak dan undang-undang.
Realitinya, tindakan berkahwin selepas berzina adalah amalan masyarakat bagi menutup malu keluarga. Malah jika berlaku tangkapan oleh pihak penguatkuasa agama, biasanya pesalah akan dinasihatkan oleh peguam pembela atau bertindak sendiri dengan mengambil keputusan untuk berkahwin sebagai satu alasan sesungguhnya mereka yang disabitkan bersalah ini telah benar-benar insaf bagi mengurangkan hukuman yang bakal dikenakan. Syukurlah jika benar-benar insaf dan bertaubat namun ada juga kes, perkahwinan sekadar mengaburi mata Yang Arif Tuan Hakim dan selepas keputusan ditetapkan, pasangan ini kembali bertindak liar.
Keturunan
Mungkin ada yang berpendapat, lebih baiklah kahwin, dapat juga selamatkan keturunan anak yang bakal lahir. Tak perlu risau isu keturunan sebab jika perzinaan menyebabkan adanya anak dalam kandungan si wanita, anak tersebut sememangnya tidak boleh dibin atau dibintikan kepada si lelaki. Namun, ketetapan undang-undang berdasarkan fatwa ulama yang diakui dan diguna pakai di Malaysia ini menyebut; anak yang lahir selepas usia perkahwinan enam bulan qamariah hanya boleh dibin atau dibintikan kepada lelaki yang membuntingkan si ibu jika kecelaruan yang berlaku yakni hamil dulu sebelum nikah tidak diketahui umum.
Lantaran itu, jika si anak lahir selepas usia perkahwinan enam bulan, secara automatik si anak akan dibin atau dibintikan dengan si ayah yang wujud dalam daftar perkahwinan yang dibekalkan ketika proses mendaftarkan nama bayi. Sebaliknya jika anak tersebut lahir sebelum genap usia perkahwinan ibu bapanya enam bulan, maklumat si bapa akan diletakkan sebagai “tidak berkenaan”.
Fakta utama yang perlu difahami juga, walau nama si ayah diterima dalam daftar surat lahir tetapi sememangnya anda sebagai ibu dan bapa memaklumi si anak tadi adalah anak yang terhasil daripada hubungan sebelum nikah, si anak tetap tidak boleh dibin atau dibintikan kepada si ayah tersebut dalam urusan nikah anak itu pula satu masa nanti. Si anak hanya boleh dibin atau dibintikan kepada Abdullah. Si lelaki yang membuntingkan juga tidak wajib menanggung nafkah si anak malah andai tidak berlaku perkahwinan antara si lelaki dengan si ibu, si anak jika perempuan, halal berkahwin dengan si lelaki yang menyebabkan dia lahir ke dunia kerana Islam tidak mengiktiraf si lelaki sebagai ayahnya.
Hukuman menganiayai wanita? Jika itu yang bermain di fikiran anda, beristighfar dan bertaubatlah kerana Islam tidak zalim sebaliknya anda si pelaku jenayah yang menzalimi diri anda sendiri. Firman Allah SWT dalam al-Isra’ ayat 32 bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang hina.”
Ayat ini bukan saja melarang melakukan zina tetapi melarang agar tidak mendekati perkara-perkara yang boleh menjebakkan kita kepada zina. Sebabnya kesan daripada zina ini amat besar dan apabila anda telah termasuk perangkapnya, natijah yang berlaku dan anda perlu terima adalah pilihan anda sendiri, bukan kesilapan hukum lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wah enaknya, Ayam Rendang Terangkat, Rasa Melekat. Beberapa hari saja umat Islam akan menyambut Syawal. Istimewa hari ini, Mak Empal Masak Apa Hari Ini?...