Selalu kita dengar nasihat banyak diberikan kepada anak lelaki. Kali ini, tentang anak sulung pula. Sebabnya, dialah yang menjadi harapan untuk keluarga.
Anak sulung, segalanya diletakkan dibahunya. Dialah orang yang diharapkan untuk menjadi contoh terbaik kepada adik beradiknya. Sementelah kalau dia seorang anak lelaki.
Waima, anak sulung lelaki atau perempuan sekalipun, tanggungjawabnya cukup besar pada keluarga. Jangna fikir, dia anak pertama yang menjadi penghuni rahim itu, dia perluj dimanjakan dan tak perlu buat kerja rumah, diserahkan pada adik-adiknya.
Mak ayah, jangan terlalu manjakan, tegurlah dan berilah dia rasa tanggungjawab untuk keluarga. Sebabnya, dialah menjadi role model untuk adik-adiknya dan pengganti bila mak ayah tiada nanti.
Tak boleh jelak, kena istiqamah tegur anak sulong.
Contoh macam pinggan dalam sinki ni.
Saya dah pesan banyak kali pada anak saya yang sulong ni, pinggan lepas makan kena basuh.
Kadang dia basuh, kadang dia tinggal je.
Ads
Kadang rasa tak sampai hati juga, saya tutup mata basuh je la pinggan tu.
Dalam hati kata, alah senang je tu!
Tapi bila saya fikir-fikir balik, kalau saya tak ajar dia siapa lagi nak ajar dia.
Ini soal displin, tanggungjawab dan self-manage. Hati sampai ke tak sampai, tetap kena tegur.
Lagipun anak sulung ni ibarat penanda aras kejayaan didikan ibu ayah tau.
1. Macam mana anak sulung, begitu juga la adik-adiknya akan ikut nanti.
2. Anak sulung ibarat role model cilik dalam rumah kita. Jadi contoh adik beradik.
3. Dia yang akan jaga adik-adiknya nanti pun anak yang sulong ni juga.
4. Kalau kita dah tak ada esok hari, dialah penganti kita. kalau lelaki dia lah wali mereka nanti.
5. Cara bercakap, berjalan dan bekerja anak sulung ni la yang paling mirip sekali dengan kita.
Oleh sebab ini, kita tak boleh pernah jelak tegur anak sulung ni.
Walau dia tak dengar, tegur je.
Ads
Percayalah, bila kita kerap ulang ulang tegur lama-kelamaan anak sendiri akan nampak hikmah di sebalik teguran kita tu.
Lagipun kalau bukan kita yang tegur, siapa lagi nak tegur anak kita. Huh!
Wallahu A’lam,
Mingguan Wanita : Besar tanggungjawabnya. Jadi contoh pada adik-adik.
Zaman dulu, orang kata, susah nak jaga anak perempuan berbanding anak lelaki. Sebab tu, anak perempuan dikongkong berbanding anak lelaki.
Zaman ini, rasanya perumpamaan tu dah tak boleh pakai. Mak ayah sekarang rasai sendiri. Jaga anak perempuan dan anak lelaki sama hebat cabarannya. Cuma anak perempuan lain yang kita risau, anak lelaki pula ada benda lain yang kita gusarkan. Generasi Millenia sekarang memang lain macam!
Pengaruh Internet dan Media Sosial Zaman Sekarang
Sebagaimana ia mempunyai banyak kelebihan, begitu banyak juga kemudaratan yang boleh berpunca daripadanya.
Sekarang ramai ibu bapa yang memberikan anak-anak dengan telefon pintar, lengkap dengan data internet. Dengan mengakses internet, anak-anak terdedah dengan pelbagai maklumat, termasuk yang ‘tak sepatut’nya. Sebab itu, mak ayah tolong pantau apa anak-anak tengok. Jangan ingat anak terperap di rumah dengan telefon, anak-anak anda tak terdedah dengan pelbagai gejala negatif.
Berapa banyak kes melihatkan anak-anak akibat pengaruh internet. Pernah terjadi kes anak berusia 12 tahun ditahan setelah disyaki merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang diasuh ibunya (akhbar Sinar Harian 2019). Anak itu terpengaruh gara-gara melihat satu video di handphone.
Itu belum lagi kes berapa ramai anak gadis yang hilang kesucian dan yang lari dari rumah ikut teman lelaki yang hanya dikenali di laman sembang online! Aduh, menakutkan bukan? Jadi mak ayah, TOLONG PANTAU anak-anak bila handphone mereka ada akses internet!
Jangan Percaya Anak Seratus Peratus!
Itu bab internet. Sikap anak-anak hari ini juga perlu diberi perhatian terutama ketika mereka sedang meningkat remaja. Jangan terlalu berikan kebebasan pada mereka tanpa pemantauan. Tak kira anak lelaki atau anak perempuan.
Apa saja yang anak beritahu, TOLONG simpan sikit rasa curiga. Bukan bermakna kita tak percayakan mereka, tapi kita kena ada rasa sangsi agar kita akan sentiasa pantau mereka. Kalau anak cakap nak habiskan masa di dalam bilik seharian sebab belajar, cuba intip. Betul ke dia belajar? Atau sedang bersembang di alam maya?
Jadi Orang Paling Rapat Dengan Anak
Jadi mak ayah bukan tugas mudah lebih-lebih lagi zaman sekarang. Kalau dulu, mak ayah pukul, anak tak berani nak lari dari rumah. Paling tidak lari rumah kawan sekampung. Tapi sekarang, salah marah sikit pun dah lari berdesup!
Sebagai mak ayah, anda yang paling ‘kenal’ sikap anak masing-masing. Tak semestinya guna pendekatan kekerasan. Kadangkala pendekatan lembut lebih terkesan di hati mereka.
Di usia remaja, anak memang kuat memberontak dan sering anggap mereka betul. Kalau mak ayah tegur, dikatakan tak faham mereka. Itulah cabaran mak ayah kena hadap.
Tak Salah Sporting Sikit…
Apa pun, bila anak meningkat remaja, terutama ketika usia belasan tahun, jangan biarkan mereka jauh dari kita. Sentiasa bertanya tentang kehidupan seharian mereka, kenal kawan-kawan mereka.
Bersikap sporting dengan anak-anak, jangan terlalu mengongkong. Misalnya, ada masa kalau mereka nak keluar dengan kawan, jangan bantah. Boleh izinkan tapi anda tahu dengan siapa, ke mana mereka pergi dan apa aktiviti mereka. Seeloknya, anda hantar dan jemput mereka. Tapi, tak boleh selalu.
Ada mak ayah tak suka anak-anak bawa kawan-kawan ke rumah. Tapi sebenarnya itu paling elok. Sekurangnya mereka ada depan mata kita. Lepak pun di rumah. Bayangkan kalau anak-anak keluar lepak di luar. Macam-macam boleh jadi. Lagi pula, bolehlah kita berkenalan dengan kawan-kawan dia tu.
Zaman Sekarang Agama Benteng Paling Utuh!
Dalam hidup, jangan pinggirkan agama dalam kehidupan kita. Begitu juga dalam mendidik anak-anak. Bila kita sudah tanamkan agama dalam hati mereka, insya-Allah…apa juga mereka lakukan, mereka takkan terpesong jauh.
Sebelum ini, saya ada ceritakan tentang anak kedua yang mengikut saya masuk ke tandas di pusat membeli belah, sehingga suami mengingatkan anak kami hilang. Terus lapor pada pengawal keselamatan. Sambungan saya ingin ceritakan tentang seorang kanak-kanak lelaki yang saya jumpa di satu pasar raya sedang menangis-nangis mencari keluarga mereka yang turut sama dalam pasar raya tersebut.
Kisahnya, semasa saya sedang leka meninjau-ninjau makanan di bahagian basah, terlihat seorang kanak-kanak lelaki yang menangis sambil mata melilau mencari seseorang. Perasaan seorang ibu mestilah kasihan melihat dia menangis sambil berjalan tidak tentu arah.
Lebih-lebih lagi takut bila mendengar macam-macam cerita yang menyedihkan tentang anak hilang. Saya mengekori sambil datang dekat untuk bertanyakan mana keluarga dia.
Tak tahulah berapa lama dia meninjau mencari keluarganya di dalam pasar raya itu. Fikiran saya, nak bawa kanak-kanak ini ke tempat perkhidmatan pelanggan. Manalah tahu, keluarganya mesti bersedih mencari anaknya yang hilang dari pandangan mata.
Pertengahan jalan, saya nampak ada anak perempuan mendekati kanak-kanak tersebut dan terus mengheret ke satu tempat. Saya memerhati dan lihat ada satu keluarga yang leka meninjau barangan di rak makanan.
Lain Mak, Lain Didikannya
Kanak-kanak lelaki itu berhenti menangis, mungkin sudah berjumpa dengan keluarganya.
Yang peliknya, ibu kanak-kanak itu boleh tidak menghiraukan anaknya yang hilang tadi. Sebaliknya membebel sambil memarahi anaknya supaya jangan berlari-lari tidak tentu hala.
Entahlah, lain emak lain cara didiknya. Mungkin pada pandangan saya, ibunya ingin mengajar anaknya supaya tidak lasak dan merayau tidak tentu arah. Untuk beri pengajaran pada anaknya.
Janganlah dengan niat nak mengajar anak, ibu sanggup biarkan begitu. Ingat, dengan kesilapan satu saat sahaja macam-macam boleh berlaku. Walaupun, pada waktu itu, orang tidak terlalu ramai di pasar raya tetapi kita tidak tahu penjenayah sentiasa memerhati.
Anak adalah anugerah terindah untuk ibu dan bapa. Lasak, nakal dan bergaduh, itu adalah sikap kanak-kanak dalam tempoh membesar.
Mungkin ibu-ibu pun blur macam mana cara terbaik nak pujuk anak, jadi saya selitkan cara terbaik yang mungkin ibu boleh guna…
5 Cara Pujuk Anak Agar Duduk Diam Dengar Kata
1. Cuba Berlembut Dengan Anak
Dua orang anak bergaduh berebut main, masing-masing tak nak mengalah. Caranya, biarkan diorang seketika. Selepas reda, pujuk abang supaya mengalah, beri mainan pada adik dan berikan kata-kata pujian kat abang. Mesti abang akan mengalah.
2. Dengar Anak Cakap Dulu
Anak-anak ni suka mengadu, kadang-kadang mak ayah malas nak dengar. Jangan biarkan anak cakap sorang-sorang sekurangnya layan la apa yang anak cakap. Sebut ‘ya’ sahaja pun dah cukup… nampaklah kita layan dia.
3. Minta Maaf, Salam & Peluk
Kalau boleh jadikan rutin buat anak-anak. Bila gaduh dan nampak mereka berbaik, suruh mereka bersalam dan peluk. Untuk bagi mood baik waktu pagi, sebelum tidur bagi anak-anak salam dan peluk dengan ibu, ayah dan adik-beradik yang lain.
4. Peluk & panggil ‘sayang’
Kadang-kadang anak boleh tanya ‘kenapa panggil dia sayang?’. Sebabnya kita nak dia jadi yang terbaik dan biasakan cara ini, supaya dapat beri gambaran bahawa kita sayang pada dia.
5. Jangan Kedekut Nak Puji
Liatnya nak minta tolong anak ambilkan sesuatu atau kita nak minta tolong dia. Caranya senang aje, berikan kata pujian, dia rajin, pandai dan suka tolong. Gerenti dia akan tolong. Tapi jangan pula minta tolong dengan menjanjikan beli hadiah. Itu salah.
Ingat, nak sayang dan ‘back up’ anak biar pada tempatnya!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bingkaikan masa depan anak-anak agar kejayaan jadi milik mereka. Tugas itu adalah tugas mak ayah. Saya percaya semua ibu bapa inginkan masa depan yang baik untuk anak-anak. Tiada seorang pun daripada kita yang ingin melihat anaknya menjadi orang yang merana atau tidak memiliki masa depan yang cerah.
Oleh sebab itulah, ramai ibu bapa yang sanggup membelanjakan ribuan ringgit demi memastikan pembelajaran anak pada tahap yang terbaik. Tidak cukup dengan sekolah, kelas-kelas tambahan juga turut menjadi tumpuan. Tujuannya satu, agar anak-anak mendapat pembelajaran yang terbaik dan menjadi orang yang berjaya.
Letakkan prioriti
Hakikatnya, berjaya dalam konteks seorang muslim duduknya di akhirat. Walau bagaimanapun, kejayaan mengurus kehidupan di dunia inilah yang menjamin kebahagiaan di akhirat sana. Bagaimana yang dikatakan berjaya mengurus adalah berjaya meletakkan prioriti sebenar dalam kehidupan sebagaimana yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Inilah bingkai kejayaan yang harus kita bina dalam pemikiran anak-anak kita. Ini kerana, hasrat kita bukan sahaja ingin melihat kejayaannya di dunia malah yang terlebih penting adalah kebahagiaannya yang abadi di akhirat kelak.
Justeru, untuk itu, pembelajaran ilmu agama harus ditekankan ke akar umbi. Anak harus hidup berdasarkan agama dan untuk agama. Iman harus dipasakkan dalam jiwa-jiwa mereka. Terutama dalam era globalisasi yang meluas ini.
Kebenaran amat sukar untuk dikenal pasti hanya dengan iman dan taufiq daripada-Nya kita dapat memilih kebenaran. Jadi, perkara ini harus dititikberatkan dalam membesarkan anak-anak dan mendidik amereka. Islam tidak pernah mengasingkan ilmu yang kita panggil sebagai ilmu profesional dengan agama.
Hakikatnya apabila kita benar-benar memahami hakikat ilmu menurut Islam ia adalah merangkumi ilmu dunia dan akhirat. Jadi biarlah anak-anak ingin menjadi profesion apa sekalipun namun dalam masa yang sama dia adalah mukmin yang soleh di dalam pandangan Allah.
Jadi, sebagai persekitaran anak-anak yang paling hampir, kita juga seharusnya tidak silap meletakkan prioriti dalam pembelajaran anak-anak. Ia harus seimbang dan adil dalam erti kata yang sebenar. Anak-anak harus diberikan pendedahan dalam ilmu agama sebagaimana subjek-subjek lain juga malah mungkin lebih lagi kerana ilmu agama adalah keutamaan dalam membentuk tasawur diri anak-anak tentang kehidupan dan membentuk jati dirinya sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya.
Awasi kata-kata
Selain daripada itu, persekitaran yang dibentuk di rumah juga memainkan peranan. Bagaimana ibu dan ayah melayan anak-anak dan perkataan yang digunakan. Semua ini merupakan antara faktor pendorong kepada tercapai atau tidak hasrat yang cuba dibingkaikan tadi. Maksudnya di sini, anak-anak akan banyak belajar daripada input-input yang diperoleh daripada persekitarannya dan pengalaman-pengalaman lepas.
Jika ibu dan ayah selalu menyatakan “jadi anak ibu yang soleh”, namun penekanan terhadap solat amat kurang di rumah malah ketika bermusafir, galakan baca Al-Quran juga amat minimal jadi perkara ini akan amat sukar untuk menjadi kenyataan.
Ini kerana kata-kata tadi akan hanya tersimpan dalam minda bawah sedarnya tanpa mendapat stimulasi yang betul mengenai perlaksanaan yang seharusnya sebagai seorang anak yang soleh.
Keadaan ini juga mungkin menyebabkan mindanya melakukan “pairing” yang tidak tepat antara menjadi anak soleh dengan perbuatan yang lain dan tidak termasuk sebagai kategori anak soleh malah sebaliknya. Nauzubillahiminzalik. Oleh yang demikian, apa yang kita bingkaikan harus diikuti dengan perbuatan yang menyokong kata-kata itu tadi.
Gurauan Negatif Boleh Pengaruhi Emosi
Selaku suri teladan kepada anak-anak. Maka peranan kita juga amat besar dalam membentuk keperibadian anak-anak. Selain apa yang dilakukan, perkataan yang digunakan semasa berkomunikasi dengan anak-anak juga harus ditekuni. Elakkan daripada memerihalkan anak dengan perkataan-perkataan yang negatif.
Walaupun hanya sekadar gurauan atau panggilan manja. Hakikatnya perkataan yang kita gunakan tadi memberikan pengaruh terhadap persepsinya terhadap diri dan kehidupan. Terutama bagi mereka yang sudah memahami. Apabila persepsi tersebut acap kali diterima ia akan membentuk sebuah kepercayaan dan mempengaruhi keperibadian dan tingkah laku mereka. Contohnya, jika kita kerap melabel anak kita sebagai “tidak faham Bahasa” atau “pemalas”, maka label itu akan membentu kpersepsi anak tentang dirinya sebagai seorang yang tidak faham bahasa dan pemalas. Dua perkataan inilah kelak yang akan mempengaruhi keperibadian dan tingkah lakunya.
Untuk akhirnya, bingkaikanlah masa depan anak-anak kita dengan rapi mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Insya-Allah kehidupan mereka lebih terjamin dan bahagia di dunia dan di akhirat, insya-Allah. Wallahualam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!