Perasaan ingin tahu banyak berpihak pada orang perempuan berbanding lelaki. Itulah fitrahnya. Lebih-lebih lagi bila suami tidak banyak bercerita dan buat hal sendiri. Dalam rumah tangga, jika inginkan hubungan yang lebih tenang dan harmoni, suami isteri kenalah telus dalam berkongsi cerita bagi mengurangkan rasa kendur perasaan ingin tahu isteri dan mengelakkan kurang tanda tanya dalam fikiran isteri.
Fitrah lelaki pula merasakan tiada ada perkara penting untuk dikongsi. Sedangkan isteri merasakan itu semua penting. Bila isteri merasa suami mula berahsia, mulalah tindakan menyiasat di ambil sehingga isteri menjadi FBI. Ikuti kupasan lanjut tentang perkara ini bersama Prof Madya Ts Dr Hj Mohd Nor Mamat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM),
Tanda Isteri FBI
Bagi suami, kita boleh kenalpasti situasi ini berdasarkan beberapa panduan:
1. Isteri kurang teruja untuk mendengar kalau kita bercerita sesuatu.
2. Isteri lebih banyak diam daripada bertanya. Diam suami kerana tiada perkara nak dicakapkan tetapi diam isteri kadangkala disebabkan banyak perkara dalam fikiran dan suami perlu beri lebih perhatian.
3. Kalau pun ada soalan atau komunikasi, isteri lebih banyak guna bahasa sindiran.
4. Handphone suami jadi perhatian dan gerak geri suami sentiasa diikuti dan dalam perhatiannya.
5. Pergerakannya lebih meluas atau perhubungan dgn dengan kawan-kawan dan orang luar lebih kerap daripada kebiasaannya. Ini juga mungkin antara proses siasatan terhadap sesuatu yang mencurigakan. Dalam hubungan yang baik, pasangan adalah orang yang sepatutnya paling dipercayai.
6. Bila tidak diatasi sedari awal, atau pun dibiarkan tanpa penjelasan, akan jadi lebih serius dan kritikal. Mungkin pergerakan kita mulai diekori atau dipersoalkan ke mana kita pergi.
Risiko
Dalam hubungan yang tiada kepercayaan dan penghormatan kepada suami, biasanya akan lebih menjurus kepada ketegangan, silap faham, stres dan akhirnya konflik. Antara kesan lain, sifat percaya dan hormat makin terhakis dan ini secara tak langsung mudah membuka ruang untuk orang ketiga yang lebih dipercayai atau lebih dihormati menyelit dalam hubungan suami isteri.
Hubungan rumah tangga juga tidak harmoni apatah lagi semua tindakan suami dicurigai dan disiasat memungkinkan salah tafsir dan prasangka berleluasa. Akhirnya tindakan yang baik juga dipersoalkan dan timbul situasi segalanya adalah serba salah.
Saling Mempercayai
1. Percayalah dan hormatlah kata-kata atau pun pengakuan pasangan kita.
2. Elakkan percaya cakap orang ketiga untuk menghukum pasangan kita. Pasangan kita adalah terbukti paling menyayangi dan bertanggungjawab kepada kita. Tugas kita bersama adalah menyuburkan kasih sayang tersebut.
3. Jangan tafsirkan sendiri atau elakkan membuat sesuatu yang boleh menimbulkan teka teki dan persoalan.
4. Sentiasalah ada di sisi atau pun manfaatkan seoptimumnya waktu bersama dengan bercerita dan berkongsi kerana hidup kita adalah juga hidup pasangan kita. Elakkan berjauhan lama.
5. Berusahalah untuk membahagiakan pasangan, walaupun kadang kala kita rasa seperti terpaksa berkorban untuknya.
Fitrah manusia yang sedang bahagia, lebih mudah terbuka, menerima dan bertoleransi serta tidak akan mudah prejudis dan curiga. Kita terima sifat kewanitaan isteri kita yang suka ingin tahu serba serbi, tetapi kita boleh elakkan curiga berlebihan sehingga isteri mulai bertukar menjadi FBI!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI