Tak salah bila isteri nak bantu suami, tapi kena tahu sempadannya. Saya masih menerima aduan kes tentang para isteri yang tak tahu bahawa mereka berhak dibiayai segala keperluan oleh si suami disebabkan mereka sendiri bekerja dan berkerjaya.
Malah ada para suami yang bertegang urat menegaskan mereka tidak perlu membiayai keperluan si isteri kerana suami telah memberikan izin untuk isterinya itu bekerja. Sama ada gagal memahami hak sendiri atau keliru sebab semua orang yang ingin berkahwin perlu hadiri kursus pra perkahwinan dan setahu saya, perkara mengenai tanggungjawab nafkah ini, memang ada dinyatakan sepanjang kursus.
Tak Dinafikan, Lelaki Adalah Pemimpin
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” – surah al-Nisa’ ayat 34.
Islam menetapkan bahawa suami adalah sebagai ketua keluarga. Apabila disebut sebagai ketua maka jelas sudah bahawa seorang suami bertanggungjawab atas segalanya. Makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan segala yang terangkum sebagai satu keperluan bagi isteri dan juga satu perkara sampingan tetapi menjadi perkara utama apabila dilakukan demi suami tercinta seperti rawatan kecantikan dan solekan.
Hak Mutlak Isteri
Malahan, sekiranya suami seorang yang mampu tetapi masih mengizinkan isterinya bekerja, suami sewajarnya menanggung segala kos ulang alik si isteri ketika bekerja. Segala pendapatan isteri pula adalah hak mutlak si isteri dan suami, sekiranya berkehendakkan hasil pendapatan isteri bagi membantunya menanggung perbelanjaan rumah tangga, adalah dikira sebagai berhutang dengan si isteri.
Cuma, demi kerukunan rumah tangga malahan di dalam era globalisasi dan ketamadunan yang kian mencabar ini, memang satu bonus dan satu keperluan bagi sesetengah individu untuk si isteri bekerja bagi membantu meringankan tanggungan suami. Membantu meringankan bebanan dan tanggungan suami bukan bererti suami terlepas daripada tanggungjawab.
Baca sini juga:
Suami Tidak Tunaikan Nafkah Kepada Isteri & Anak, Umpama Zalimi Diri Sendiri
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Tak Dapat Sangkal, Isteri Bukan Tunggak Utama!
Membantu juga bermaksud bukan isteri sebagai tunggak utama sebaliknya si suami. Hanya bila pendapatan suami tidak mencukupi selepas suami telah peruntukkan untuk keperluan, bukan untuk hobi atau perkara tak perlu dahulu, maka si isteri wajar membantu dengan menambah kadar yang tidak mencukupi sahaja.
Membantu bukan bermaksud segala perbelanjaan keperluan rumah tangga dibahagi sama banyak dan isteri diarah membiayai sebahagian daripadanya. Itu prinsip bantuan dan perkongsian yang salah.
Bagi seorang lelaki yang betul-betul ada harga diri, dia akan berusaha dengan sedaya upaya bagi memenuhi segala keperluan isteri, anak-anak dan keperluan rumah tangga tanpa mengharapkan hasil pendapatan isteri.
Jangan ‘Biasakan’ Bantu Suami Sewenangnya
Menyebut tentang hasil pendapatan isteri, saya ingin mengingatkan para isteri yang bekerja, memang tak salah kita membantu meringankan beban suami tetapi jangan terlalu membiasakan suami kita dibantu sewenangnya. Hasil pendapatan kita adalah hak kita yang mutlak. Kita bebas membelanjakannya sewenangnya hatta nak beli barang kemas selori pun adalah tidak salah. Cuma, secara logiknya, sudah tentulah kita ingin membantu suami kerana suami adalah insan yang kita cintai.
Seperti saya tegaskan, tidak salah membantu tetapi ada batasan. Walaupun tidak semua tetapi kebanyakannya para suami yang sentiasa ditolong ini akan mudah lupa diri. Rasa bebas bernafas sikit, terus segala tugas yang patutnya dipikul oleh suami telah diserah bulat-bulat kepada isteri. Suami pula, mula pasang strategi nak tubuh ‘cawangan’ terkini.
Satu perkara lagi, ingin saya ingatkan kepada para isteri, jangan sekali-kali menyerahkan segala hasil pendapatan anda kepada suami.
Hak Isteri Sepenuhnya
Pendapatan anda itu adalah hak anda sepenuhnya. Sekiranya ingin membantu, berikan sekadar yang perlu sahaja. Biasakan juga menyimpan segala resit perbelanjaan yang anda keluarkan bagi membantu suami menguruskan rumah tangga. Sebabnya, kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di belakang hari.
Bukan meminta atau mendoakan tetapi tidak salah jika bersedia menghadapi segala kemungkinan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Mungkin kita yakin kasih suami sepanjang hayat tetapi dalam sesaat, segalanya boleh berubah.
Tak Sangka, Kebahagiaan 25 Tahun Berkecai
Kebahagiaan dua puluh lima tahun hidup bersama boleh musnah sekelip mata hanya apabila wujud insan ketiga. Ini yang terjadi kepada seorang klien saya. Setelah dua puluh lima tahun berkongsi dan berkorban segala akhirnya beliau ditinggalkan sendiri bersama hati yang lara. Hanya anak-anak pengubat duka. Sesal dah tak berguna.
Berbanding seorang klien lagi yang telah beringat-ingat sejak awal, hampir segala lelahnya dibayar apabila segala bukti pengorbanannya yang tidak dihargai suami dikemukakan kepada pihak mahkamah. Lantas, beringatlah, jangan dah terhantuk baru nak terngadah.
Artikel: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI