Sedihnya rasa bila ibu yang baru melahirkan anak tidak mampu memberi susu ibu sepenuhnya. Mulalah fikir untuk beri susu tepung yang berkualiti dan tak kisah susu mahal sekalipun, asalkan anak dapat khasiat.
Beruntungnya bila ibu dapat memberikan susu ibu sepenuhnya pada anak-anak. Tapi kalu ditakdirkan tidak mampu memberi susu ibu, susu tepung adalah alternatif untuk anak mendapat khasiatnya.
Peliknya, ada juga mak-mak mula bandingkan susu mahal adalah yang terbaik berbanding susu mudah. Lebih teruk lagi merasakan susu mahal boleh membuatkan anak pandai.
Kalau mak ayah berkemampuan bolehlah beli susu mahal tapi kalau di luar kemampuan, tak salah pun beri susu murah. Paling penting susu itu berkhasiat untuk anak.
Nak bandingkan susu ‘mahal’ dan susu ‘murah’. Inilah yang sebenarnya nak beritahu:
PERTAMA
Bagi setiap susu formula yang ada di pasaran perlu ikut satu guideline yang dinamakan CODEX ALIMENTARIUS yang mengatakan berapa dan apa jenis zat yang boleh diletak dalam susu formula. Kalau langgar guideline ni TIDAK BOLEH DIPASARKAN.
Maka kandungan dari segi kalori, makronutrien (karbohidrat, protin, lemak) dan mikronutrien tertentu (contoh zat besi, kalsium, sodium dan lain lain) ADALAH SAMA untuk hampir semua produk formula bayi di pasaran yang membezakan adalah bahan extra seperti prebiotic, probiotic etc yang dimasukkan dalam formula setiap bayi penerimaan berbeza.
Walaupun mampu beli mahal tapi kalau dah tak sesuai terutamanya dengan bahan extra yang diletak, tetap susu mahal tersebut tak boleh diterima
Ads
KEDUA
Tahu guideline ni berdasarkan apa? SUSU IBU dan dengan semua teknologi yang ada masih tak mampu kita nak samakan kebaikan yang ada dalam susu ibu. Sebenarnya kepada saya…tak kisah kaya, miskin, bandar atau luar bandar, jika anda mampu untuk susukan anak dengan susu ibu itu adalah istilah kaya yang sebenar.
Jika ada masalah/kesukaran jumpalah kaunselor laktasi ataupun kumpulan sokongan laktasi, dekat klinik kesihatan kerajaan pun ada.
KETIGA
Kalau susu mahal sampai 1000 hinggit pun tapi kalau tak ada stimulasi dari persekitaran (asyik bagi tengok gadget, lepas mula makan bagi makanan merapu) anak anak susah nak berkembang.susu mahal bukan indikator anak sihat dan bijak.
Berhenti bandingkan kemampuan diri dan orang lain setiap orang ditakdirkan rezeki yang berlainan. Posting begini bukan menunjukkan anda lebih ‘baik’ atau ‘kaya’ dari orang lain tapi sedihnya lebih ‘miskin’ dari adab.
Ads
Mingguan Wanita : Kena tengok juga anak minum ata utidak. Kalau mahal tapi anak tak minum pun tak boleh juga. Apa pun yang terbaik adalah susu ibu. Bersyukurlah rezeki mak-mak dapat menyusukan anak.
Mak-mak mula berleter ni biasanya sebab dah tak tahan anak ulang kesilapan yang sama. Tetapi yang menyakitkan hati, leteren itu seolah-olah tak ada kesan. Umpama masuk telinga kanan keluar telingan kiri. Agaknya apa yang silap dalam situasi ini sebenarnya?
Haaa… jawapannya ada dalam kupasan Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK), Noor Afidah Abu Bakar kali ini. Jom semak…
MASUK TELINGA KANAN KELUAR TELINGA KIRI.
SOALAN:
“Puan, orang cakap kalau kita mahu sesuatu itu melekat di hati dan ingatan anak, kita perlu ulang banyak kali, barulah anak ingat, barulah anak buat. Saya dah letih berleter, kadang-kadang sampai naik angin hilang sabar tetapi anak tidak buat juga. Tidak disuruh, tidak dibuat.”
KENAPA KITA BERLETER?
*Ada yang berleter kerana kita juga dileteri suatu masa dahulu. Itu sudah menjadi budaya dan amalan keibubapaan dalam keluarga.
*Ada yang berleter sebab tidak tahu cara lain untuk menyampaikan apa yang terbuku di hati.
*Ada yang berleter untuk memberi arahan kepada anak yang tidak mahu patuh.
*Ada yang ingin menunjukkan kuasa dan otoriti walaupun berleter itu seringkalinya masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
*Ada yang berleter sebab rasa panik, kaget dan bersalah dengan diri sendiri. Untuk menutup kegusaran itu maka leteran digunakan.
*Ada yang takut anak mengulangi kesilapan yang pernah kita dilakukan maka cara yang terbaik adalah berleter untuk menutup rasa tidak selamat yang dirasakan.
Kebanyakannya berleter kerana itu adalah cara yang paling cepat dan mudah untuk ‘memaksa’ anak menurut kata tanpa perlu banyak usaha dan perancangan.
Adakah leteran berkesan untuk jangkamasa panjang?
Seperti dalam soalan di atas, selalunya tidak. Ia hanya berkesan ketika saat itu saja.
Perangai yang sama akan diulangi. Anak akan menunggu leteran sekali lagi. Selagi tidak dileteri, selagi itulah perbuatan yang sama diulang.
Perbuatan diulang, berleter lagi. Berleter lagi, perbuatan diulang.
Ia menjadi satu kitaran yang tidak sudah, tidak efektif dan tidak produktif.
Leteran akhirnya menjadi irama dan lagu yang hanya membuai dan mendodoikan tanpa kesan pada anak.
KENAPAKAH LETERAN TIDAK BERKESAN?
Leteran adalah proses mencari silap bukannya proses memperbetulkan kesilapan.
Ia hanya memfokuskan pada apa yang buruk dan apa yang salah pada anak sahaja. Pernahkah dalam leteran itu kita selitkan perkara yang positif yang dilakukan anak?
Tidak bukan? Ataupun jarang-jarang sekali.
Selalunya kita hanya semburkan apa yang negatif sahaja seolah-olah tiada langsung yang baik pada anak. Selalunya kita guna istilah yang ekstrim.
“Kamu tidak pernah….” “Selalu macam ni…” ”Dah berapa kali dah…”
Semua yang ekstrim negatif sahaja dan langsung tidak ada yang positif.
Anak akan berhenti mencuba untuk berubah dan menjadi baik kerana usaha kecil mereka tidak ada nilainya di mata ibubapa di kala berleter.
Kaedah yang lebih efektif untuk membentuk tingkah laku yang baik adalah bukannya mencari silap tetapi mencari kebaikan. Semakin banyak kebaikan yang kita cari, semakin banyaklah kebaikan yang akan kita lihat dalam diri anak.
Ini adalah kitaran positif yang efektif.
Dalam leteran itu juga kita berkemungkinan membuat andaian yang tidak betul dan tuduhan yang melulu tanpa memeriksa terlebih dahulu apa sebenarnya yang menyebabkan sesuatu tingkah laku itu. Ini juga amat mengecewakan anak yang dileteri.
Mungkin harapan kita terlalu tinggi dan anak tidak dapat mencapainya dengan mudah.
Mungkin persekitaran tidak kondusif untuk fizikal anak melakukan apa yang diharapkan.
Mungkin anak tidak faham arahan yang disampaikan kerana cara komunikasi kita tidak kena dengan anak.
Jika inilah sebabnya, maka tidak hairanlah leteran kita masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tuduhan dan andaian tidak akan terkesan di hati. Ia hanya menyakitkan hati.
APA YANG PERLU DIBUAT SELAIN BERLETER?
Jika kita inginkan kerjasama yang berpanjangan, kita perlukan perancangan. Tidak ada penyelesaian segera dalam proses keibubapaan. Semuanya memerlukan usaha, pertimbangan yang teliti dan kesabaran yang tinggi.
Buat perancangan dengan anak. Jemput anak untuk sama-sama menyelesaikan masalah secara diplomasi. Anak-anak harus diajar kesan dan akibat perbuatan mereka ke atas dirinya, keluarga dan orang sekeliling. Tidak perlu tunggu sehingga anak remaja untuk membincangkannya. Anak kecil juga faham jika kita menggunakan bahasa yang mudah mereka fahami.
Adakan peraturan dalam rumah. Sentiasa berbincang tentang peraturan yang ada. Jika anak tidak ikut peraturan ada kesan dan akibatnya. Ini juga harus dibincangkan dari awal bersama-sama dengan anak bukannya dibuat secara rawak apabila anak melakukan kesilapan.
Kita harus berusaha menjadi ibubapa proaktif yang bersedia sebaik mungkin dengan segala kemungkinan dan bukannya menjadi reaktif dengan leteran dan hukuman yang tidak efektif untuk mendidik.
Pastikan sistem pendidikan di rumah adalah yang terbaik untuk anak menjadi seorang manusia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Normal sekiranya terbit rasa cinta di hati antara pasangan dara dan teruna. Anak-anak remaja zaman sekarang, susah nak halang mereka daripada bercinta sebelum nikah. Mereka ingin memilih sendiri pasangan hidup mereka dan tidak mahu mak ayah yang carikan.
Normal Jika Jatuh Cinta
Jika begini keadaannya, mak ayah wajib pantau siapakah jejaka/gadis pilihan hati anak agar hubungan yang terjalin itu patuh syariah.
Namun, ada juga mak ayah yang sangat tegas dalam soal ini. Anak-anak terutamanya anak gadis tak dibenarkan bercinta sebelum nikah dan mereka berhasrat untuk mencarikan jodoh untuk anak gadis mereka kelak. Normal bagi mak ayah yang takut anak-anak terjerumus dalam perkara yang tak elok jika diizinkan bercinta.
Normal Bila Nak Sembunyikan Aib Diri
Berpasangan sebagai kekasih sebelum kahwin itu haram! Bercinta selepas nikah itu sunnah! Betulkah pandangan sebegini?
Bagaimana jika proses berkenalan itu belum sempurna, terburu-buru, tidak selidik betul-betul bakal suami atau isteri? Biasanya disebabkan sangka baik yang terlalu baik akhirnya kecundang jua. Tudung labuh serban besar bukan jaminan yang memakainya memiliki iman sempurna dan akhlak mulia. Tiada siapa tahu rahsia yang disembunyi, aib yang sengaja ditutupi dan kemunafikan yang dihias indah!
Malang sungguh, disebabkan mahu menjaga diri dari berpacaran yang tidak patuh syariah maka seorang anak dara patuh suruhan ayahnya untuk menerima pinangan lelaki yang tidak dikenal. Tak sampai setahun bercerai walaupun lelaki itu berkelulusan agama dan warak kononnya tapi rupa-rupanya menyimpan syaitan dalam jubahnya. Kaki pukul, tak bagi nafkah batin, seorang gay yang sengaja mahu menyembunyikan seksualitinya yang sebenar.
Suami Rupanya Bukan Lelaki Normal
Demi mengaburi mata masyarakat ramai lelaki gay yang sengaja kahwin untuk menutupi identiti asli mereka. Akhirnya yang merana adalah wanita-wanita yang masih dara lagi harus menjadi janda.
Lagi teruk kisah isteri yang terpaksa bersaing dengan lelaki yang ‘diminati’ suami, suami biseksual yang tak nampak kepondanannya tapi mempunyai kelaian seks yang teruk, kenapakah mereka tidak mencium kelainan suami sebelum bernikah lagi? Apakah ini bahana cinta sebelum nikah?
Kita tidak nafikan dalil-dalil dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w tentang haramnya bergaul bebas tetapi ia bukan bermakna langsung tiada pergaulan dalam urusan proses sebelum kahwin. Sehinggakan menutup mata terhadap segala kelemahan dan aib manusia yang mungkin disembunyikan bakal pengantin.
Ikhtiar Tak Salah….
Sangka baik itu dituntut dalam agama tapi selepas ikhtiar meneliti asal usul dan keperibadian sebenar sebagaimana yang diketahui orang-orang rapat kepada bakal pengantin. Bukankah Ummul Mukminin khadijah RA mengutuskan sahabatnya, Nafisah binti Muniyyah untuk menjadi ‘mata dan hatinya’ mencari maklumat yang cukup sempurna tentang Muhammad s.a.w.
Bercinta selepas nikah kadang dicampuri unsur riak, mahu menunjuk suci walaupun ia perbuatan hati yang tiada seorang boleh menilainya selain Allah tetapi perlu diteliti apa niat sebenar orang yang mengabaikan asal usul bakal suami atau isterinya itu. Padahal agama menyuruh seorang lelaki melihat wanita yang akan dinikahinya .
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:“Jika salah seorang di antara kalian melamar seorang wanita, maka jika kamu mampu untuk melihat apa yang bisa membuat tertarik untuk menikahinya maka hendaknya dia lakukan”. Jabir berkata, “Maka sayapun melamar seorang wanita lalu saya melihatnya dengan sembunyi-sembunyi (tanpa sepengetahuannya) sampai akhirnya saya melihat darinya apa yang membuat saya tertarik untuk menikahinya maka sayapun menikahinya”. (Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan)
Pergaulan Patuh Syariah
Tidak bermakna bercinta selepas nikah itu tidak mengikut syariat bahkan jika kedua bakal pengantin telah meneliti latar belakang dan akhlak kemudian menjalani proses pergaulan patuh syariah sebenarnya ia lebih menepati keadaan masyarakat sekarang.
Kita hidup dalam sistem maklumat dan komunikasi paling canggih yang memudahkan pergaulan yang halal ini dilakukan secara tanggungjawab. Selagia tidak berdua-duaan, tidak menyentuh, tidak merayu dengan suara yang memikat, tidak memandang dengan syahwat maka pergaulan cara Islam ini dihalalkan.
Jangan Abaikan Latar Belakang Bakal Pasangan
Pada pokok pangkalnya jangan abaikan latar belakang bakal pasangan, minat dan sikap, sumber pendapatan dan harta bendanya, latar belakang keluarga dan pendidikanya, kawan-kawan karib dan hobinya, sifat dan tabiat negatifnya, semua ini kerja besar yang perlukan pertolongan spy profesional.
Malang jika rasa cinta yang membuak-buak boleh menutupi segala kejahatan yang sudah pun nampak di mata. Hati kata sayang maka mata jadi buta, cinta buat mabuk kepayang! Namun beitu jangan pula terlalu cerewet memilih dan menyusah-nyusahkan proses perkahwinan kerana terlalu fobia, bukankah dalam setiap ikhtiar itu ada satu kewajipan untuk tawakkal kepada Allah SWT?
Mesti Dengan Niat Nak Bernikah
Mengapa gerakan cinta selepas nikah ini menjadi trending? Apakah disebabkan masyarakat sudah marah melihat kemaksiatan yang mengotori pergaulan lelaki dan wanita sehingga mereka yang menyokongnya bersungguh-sungguh mengamalkan proses pernikahan sebegini.
Pergaulan sebelum menikah itu halal, jangan haramkan apa yang tidak diharamkan Allah, ia sama seperti merosakkan kuasa veto Tuhan. Jangan pula mengambil kesempatan dengan melambat-lambatkan proses pernikahan padahal sebenarnya tidak berniat mahu menikah. Pergaulan yang disyariatkan adalah pergaulan yang berakhir dengan matlamat pernikahan bukan untuk main-main cinta.
Tak Semudah Dilafazkan
Cinta selepas nikah memang indah dilafaz tapi terlalu berat dipikul. Bukan mudah untuk memahami orang yang tidak pernah bercakap dan melihat satu sama lain. Apatah lagi jika mereka ada masalah komunikasi, masalah moral yang sebelumnya tidak diketahui, masalah kewangan seperti isteri terpaksa membayar hutang suami sewaktu bujang, masalah penyakit, masalah keluarga mentua dan pelbagai cabaran lainnya.
Wahai wanita, perkahwinan adalah ujian maka eloklah bersedia melihat kejutan yang tak dijangka!
Artikel ini telah dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam dan juga penulis jemputan di dalam majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/juanda.jaya.9
Tidak dapat bayangkan, baru kehilangan bapa, gagal hubungi ibu di ICU, kanak-kanak berusia 12 tahun ini tabah jalani kuarantin seorang diri di rumah.
Sepatutnya kanak-kanak sebayanya diberi perhatian kerana baru saja kehilangan ayah tercinta. Dalam masa yang sama runsing dengan keadaan ibu di ICU yang hilang khabar berita.
Malah diri sendiri juga berdepan dengan masalah kesihatan, namun apa yang dia mampu lakukan. Terpaksa kuarantin seorang tanpa sesiapa di sisi.
Kanak-Kanak Ini Tabah Jalani Kuarantin
Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ini bernama Arshad, kuarantin sendirian di rumahnya, selepas swab test kedua positif Covid-19.
Bapanya berusia 38 tahun baharu sahaja meninggal dunia kerana Covid-19. Tiga adiknya dibawa ke rumah saudara mereka kerana negatif Covid-19, manakala ibu Arshad dan adik bongsunya ditahan di hospital berikutan keadaan level oksigen yang sangat rendah.
Zalifah Ithnin, pengerusi Kluang Community Welfare Association (PETAK) datang memberi sumbangan makanan kepada Arshad selepas mengetahui perkara ini.
Setiap hari saudara-mara Arshad datang menghantar makanan buat kanak-kanak itu. Arshad tiada pilihan kecuali kuarantin sendirian di rumah.
Baru Kehilangan Bapa, Gagal Hubungi Ibu Di ICU
Yang menyedihkan kita, Arshad memaklumkan kepada Zalifah, Arshad gagal menghubungi ibunya yang berada di ICU sejak semalam kerana ibunya tidak lagi menjawab panggilan telefon dan Arshad nampak sedih serta keliru berikutan baharu sahaja kehilangan bapanya.
Keep strong Arshad. Hugs dari jauh.
Sesungguhnya Allah SWT memberikan ujian hebat ini kerana Allah SWT sayang kepada Arshad sekeluarga.
Terima kasih Zalifah Ithnin dan NGO PETAK kerana menyampaikan sumbangan buat adik Arshad.
Dicadangkan kepada kerajaan agar menyediakan tempat kuarantin khas yang selesa dan selamat untuk kanak-kanak positif Covid-19 yang ibu bapanya di ICU.
Supaya kanak-kanak dapat dijaga dengan baik dari segi mendapatkan rawatan, mendapat sokongan emosi dan sebagainya, memandangkan bilangan pesakit Covid-19 kritikal daripada dalam kalangan ibu, bapa muda semakin meningkat.
Kementerian Pendidikan juga kena dapatkan data terkini kanak-kanak yang kehilangan ibubapa di Malaysia. Pasca Covid-19 bakal melukakan hati ramai pihak kerana sudah pasti bilangan anak-anak yatim di sekolah-sekolah meningkat mendadak.
Berilah Sumbangan Kepada Anak Yatim
Andainya kita mahu memberi sumbangan, berilah sumbangan kepada anak-anak yatim kerana setiap sen yang kita belanjakan jika disampaikan kepada insan yang berhak akan menjadi bekalan pahala sedekah yang berpanjangan buat kita di Akhirat nanti.
Bersama-sama kita doakan kesembuhan segera buat Arshad, ibu Arshad dan adiknya, serta semua pesakit Covid19 yang berada di ICU.
This news really broke my heart..
Dr. Kayra,
Putrajaya.
Mingguan Wanita : Sedih kenangkan nasib anak-anak yang kehilangan mak dan ayah kerana Covid-19. Semoga anak-anak ini mendapat bantuan, perhatian dan pembelaan yang sewajarnya daripada pihak berwajib.
Sumber/ Foto : Dr Kayra/ NGO PETAK / New Strait Times