Suka nampak salah orang, sedangkan salah sendiri tak sedar! Biar siapa pun kita, setinggi mana pun kedudukan kita, sehebat mana pun kelulusan kita, kita tetap seorang insan yang tidak akan pernah sempurna.
Biarpun kita bersungguh untuk mendapat kesempurnaan dalam setiap tindakan tetapi tidak semuanya sempurna. Ketidaksempurnaan itu pasti sahaja boleh kita baiki dari masa ke semasa asalkan kita sedar akan kewujudannya. Dalam sehari pasti banyak kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan.
Manusia Serba Kekurangan
Mungkin sahaja pagi tadi kita tersalah memilih jalan hingga tersangkut dalam kesesakan atau boleh jadi kita tersalah dalam memilih makanan. Pada saya, tiada apa yang kurangnya sebagai manusia apabila kita tersilap dan terkurang.
Namun ada orang yang suka benar melihat kesalahan dan kekurangan orang lain. Mereka ini sangat cenderung untuk memberi kritikan terhadap apa juga tindakan atau kerja-kerja yang dilakukan oleh orang lain. Ada sahaja yang tidak sempurna di mata mereka. Anehnya mereka tidak juga mengaku yang mereka sempurna.
Dalam bahasa mudahnya mereka ini kuat ‘komplen’. Apabila kita duduk berbual dengan mereka, mereka pasti akan membetulkan kita. Mereka pasti akan memberi saranan tanpa diminta. Mereka ini pada awalnya disukai kerana kelihatan bijak. Tetapi lama-kelamaan mereka akan mula dijauhi.
Baca artikel ini juga
Niat Kita IKHLAS Nak Tolong, Tapi Jangan Sampai Diri Dikelentong!
Manfaat Kerap Amalkan Niat Sedekah Al-Fatihah Untuk DIRI SENDIRI
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Cerminan Diri Sendiri
Apabila seseorang itu suka melihat akan kesalahan dan kesilapan orang lain maka ia sebenarnya mencerminkan nilai hidup mereka sendiri. Mereka sebenarnya menutupi ruang kelemahan mereka dengan menunjuk kesilapan orang lain.
Mereka akan cuba membuktikan yang mereka berkebolehan dan berpengalaman dalam sesuatu perkara biarpun kadangkala apa yang mereka katakan itu hanyalah satu perkara biasa. Satu kelebihan yang mereka ada adalah mereka gemar untuk menilik hasil kerja orang lain dan kemudian cuba untuk mengikutinya.
Namun setelah mereka tahu, mereka mula melihat kesilapan yang dilakukan oleh mereka yang tidak tahu. Membetulkan perkara yang silap adalah terpuji. Tetapi jika setiap perkara sentiasa ada sahaja salahnya maka ianya bukanlah satu terpuji tetapi boleh jadi dibenci.
Dikelilingi Perasaan Negatif
Seseorang yang sentiasa nampak kesalahan orang lain dari setiap pandangnya adalah orang yang sentiasa dilingkungi dengan perasan negatif. Jiwanya tidak tenteram dan fikirannya kacau. Pada saya mereka ini perlu dirawat. Jika tidak, kehidupan mereka akan lebih celaru serta mengganggu mereka yang berada di sekelilingnya.
Biarpun mereka tegas mengatakan yang mereka tidak negatif dan sentiasa melihat sesuatu yang positif namun hal yang sebenarnya adalah mereka penuh dengan negativiti dan lebih tertarik ke hal-hal yang boleh membuahkan emosi. Hasilnya, setiap keputusan yang mereka ambil sering berakhir dengan kesilapan dan kekecewaan.
Mereka ini sukar untuk dinasihati kerana pada mereka orang memberi nasihat itu mestilah sempurna di mata mereka. Malangnya tiada yang sempurna di mata mereka.
Suka Tak Suka Kena Ubah
Justeru, seandainya kita tergolong dari kumpulan ini, kita perlu segera berubah. Kita perlu belajar untuk melihat sesuatu perkara sambil mengunci mulut. Kita perlu melatih diri untuk menerima kritikan dari orang lain.
Seorang sufi pernah melatih dirinya untuk menerima kritikan dengan memakai pakaian compang camping di pasar dan membiarkan orang lain memperkatakan perihal pakaiannya tanpa membalas apa pun. Setelah beberapa hari melakukan hal tersebut, maka dia sudah terbiasa untuk mendengar kritikan dilontarkan tanpa membalasnya. Mungkin tidak praktikal untuk kita melakukan hal yang sama pada hari ini. Tetapi kita masih boleh melakukan sesuatu untuk melatih diri kita agar menerima pandangan orang lain daripada sibuk memberi pandangan.
Suka Tak Suka, Kena Belajar Terima Teguran
Apa kata setiap malam sebelum tidur, kita bertanyakan dengan orang yang rapat dengan kita tentang perangai kita hari ini. Seandainya mereka memberi jawapan yang mengecewakan, kita perlu bertahan dan menerimanya. Seandainya jawapan yang diberikan adalah jawapan acuh tidak acuh, kita tidak perlu meminta jawapan yang seperti kita mahukan.
Kita perlu belajar menerima teguran, pandangan serta cara seseorang. Kita perlu melatih diri untuk diam tanpa kata yang perlu selama tiga hari. Sepanjang latihan diam itu, kita isikan dengan hanya zikir dan bacaan Al-Quran. Insya-Allah ia akan menghilangkan sedikit demi sedikit sikap suka melihat salah orang lebih daripada salah sendiri.
Perubahan perlukan tindakan dan keazaman. Namun keazaman yang tidak disertai dengan tindakan hanyalah cerita dongeng yang hanya menyenangkan tetapi tidak memajukan. Mari kita berhenti dari melihat salah orang dalam setiap tindakan. Mari kita menilai setiap tutur kata dan tindakan kita agar semakin kurang kesilapan dan kesalahan.
Sumber artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Surip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP USA), juga penulis jemputan dalam Majalah Mingguan Wanita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI