Dalam sibuk uruskan rumah tangga dengan memasak, jaga anak-anak, kemas rumah dan sebagainya. Tanpa sedar, suami ucap terima kasih sebagai tanda hargai apa yang telah isteri lakukan. Agak-agak, apa perasan isteri? Rasanya terus hilang penat uruskan semua kerja rumah.
Sebenarnya, sudah menjadi tanggungjawab isteri dalam menguruskan rumah tangga dan suami pula sepatutnya ada rasa ehsan dan ringan tulang dalam membantu apa yang patut. Jangan mengharapkan semua kerja rumah itu di bawah tanggungan isteri semata-mata.
Malah, walau pun tidak membantu, sekadar ucap terima kasih untuk hargai isteri yang telah lakukan itu sudah cukup meringankan apa beban yang ditanggung isteri. Percayalah dengan ucapan ini, hati isteri terus lembut.
Jangan kata, sudah menjadi tugas isteri untuk lakukan semua itu, sedangkan suami hanya goyang kaki di kerusi sambil menonton televisyen. Daripada rasa tanggungjawab yang harus isteri buat, terus rasa bebanan pula.
Suami, kalau tidak dapat membantu sepenuhnya, ucapan itu pun sudah cukup, hargailah apa yang telah isteri korbankan untuk kebahagiaan dan kesenangan keluarga. Ikuti perkongsian daripada Formula Isteri Syurga – Azirah ANIS untuk panduan suami isteri di luar sana.
LAFAZ TERIMA KASIH AKAN MEMBUATKAN MANUSIA RASA BUKAN SAHAJA DIHARGAI MALAH RASA DIHORMATI.
Ads
Salah satu punca kenapa cuaca rumah tangga kita mendung, dingin dan hambar adalah kurangnya lafaz terima kasih pada pasangan.
Suami raikan kebaikan Isteri, isteri raikan kebaikan suami, ibu dan bapa raikan sekecil-kecil pertolongan anak-anak dan anak-anak di didik untuk sentiasa berterima kasih dengan ibu bapa.
Ucapan mudah yang jarang-jarang kita lazimi sebab alasan “dah memang tugas dia”.
Sebagai isteri, sudah tentu kita suka kan suami hargai penat lelah kita siang ke malam uruskan rumah tangga..
Jadi raikan dulu sekecil-kecil pertolongan anak dan suami sebagai cara untuk melembutkan hati mereka agar terus membantu kita dalam setiap perkara.
Ads
Allah Ya Syakur, yang maha menghargai.
Sedar atau tidak setiap ucapan terima kasih terhadap pertolongan anak dan suami itu bukanlah untuk mereka, hakikatnya lafaz terima kasih itu adalah untuk Allah yang telah membuatkan anak dan suami membantu kita.
Terima kasih (Allah) sebab bantu saya sidai baju, bantu jaga anak dan terima kasih (Allah) sebab bantu saya kemas rumah
Sebab itulah syukur paling penting dalam membentuk rumah tangga yang bahagia. Ini kerana syukur kita itu bukanlah terhadap manusia, sebaliknya terhadap Allah.
“Sekiranya kamu bersyukur, aku akan menambahkan lebih banyak (nikmat) kepadamu; tetapi jika kamu menunjukkan rasa tidak bersyukur, sesungguhnya azab-Ku sungguh mengerikan.”
TERIMA KASIH LAH KEPADA PASANGAN KERANA HAKIKATNYA LAFAZ TERIMA KASIH ITU ADALAH KEPADA ALLAH TANDA KESYUKURAN.
#AzirahAnis
FormulaIsteriSyurga.com
MW: Lepas ini, rajin-rajinlah ‘ringan mulut’ untuk ucap terima kasih. Bukan isteri mengharapkan sangat, sekurangnya ia boleh legakan dan kurangkan beban serta tugas di rumah. Percayalah, ucapan ringkas inilah buat hati isteri berbunga-bunga.
Dalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya anaknya. Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak, sama perkembangan pembelajarannya.
Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya…
SETUJUKAH ANDA, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca?
Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.
Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah? Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?
Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak. Dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.
Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri. Matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.
Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.
Apa Yang Saya buat? Antaranya
Saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat
Adakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini
Adakan kelas tambahan membaca
Saya beri latih tubi membaca setiap hari
Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR.
Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik. Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.
Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh baca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai. TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh baca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa. Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.
Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh baca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi. Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.
Saya juga perasan, anak-anak yang tak pandai baca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.
Kredit: rocksfull
Saya Mula Tertanya Mengapa?
Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar akan kesilapan saya. Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.
Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.
Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN. Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.
Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah.
Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak. Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu. Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu mengilap potensi tersebut.
Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat beri galakan,sokongan dan dorongan untuk anak.
Kredit: muzikrbtpsikologi.blogspot.com
Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
Perkembangan kerohanian- terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.
Malah mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.
Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah.
Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja.
Bukankah bermain kerja hakiki anak? Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain. Jadi, biarkan anak-anak bermain.
Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi
Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.
Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan anda marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca. Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah? Mengapa pihak TADIKA perlu stress ajar anak-anak membaca dan beri pula kerja rumah yang banyak.
Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh baca dengan baik sebelum masuk tahun 1.
Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1. Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh baca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.
Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh baca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.
Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun
Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ni, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya. Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah.
Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin. Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.
Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar. Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.
Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.
Kredit: hyunjinmoon.com
Pendidikan Awal Anak Di Jepun
Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.
Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila nak masuk tahun 1 sebolehnya anak mesti dah boleh membaca dengan baik. Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.
Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya. Bukahkah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca. Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan.
Lain orang mungkin lain pandangan. Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.
Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), dia merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya. Bakal menduduki STPM tahun ini dan dia akan membuktikan dia bakal pelajar terbaik STPM di sekolahnya juga. Satu ketika dulu, ketika di sekolah rendah dia tidak pernah dapat nombor 1 dalam kelasnya.
Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka. Tugas kita beri dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja. Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat anak-anak.
Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan juga ibu bapa.
Sumber: Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner – Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hubungan suami isteri apabila semakin hari semakin renggang hanya bertahan ataas dasar tanggungjawab semata-mata. Hakikatnya sama ada salah satu pihak sama ada isteri mahupun suami, atau kedua-duanya lebih banyak makan hati.
Hubungan Jadi Renggang, Perkahwinan Bertahan Atas Dasar Tanggungjawab
Memang ada benarnya usia perkahwinan yang panjang bukanlah jaminan bahagia dalam perhubungan suami isteri. Seharusnya tempoh perkahwinan yang semakin panjang, menjadikan lebih mengenali pasangan, hubungan lebih erat, rapat dan mesra namun ia menjadi sebaliknya.
Ramai sebenarnya pasangan yang tawar hati dalam perkahwinan namun tetap meneruskan hidup sebagai suami isteri. Hubungan menjadi renggang sebab lebih banyak ‘makan hati’ malah terpaksa terus bertahan atas dasar tanggungjawab sahaja.
SEPATUTNYA LAGI LAMA TEMPOH PERKAHWINAN, LAGI RAPAT KITA DENGAN PASANGAN. SEBALIKNYA, LAGI LAMA TEMPOH ITU, LAGI RENGGANG KITA DENGAN PASANGAN.
Tahu tak kenapa..
Perkahwinan Bertahan Atas Dasar Tanggungjawab Sahaja
Ada perkahwinan yang masih bertahan sehingga ke hari ini hanya atas dasar tanggungjawab sahaja, bukan dasar rasa sayang, rasa cinta terhadap pasangan. Semuanya semata-mata tanggungjawab untuk membesarkan anak dalam keadaan ada ibu bapa macam orang lain. Tidak mahu anak itu terjejas ataupun terkesan jika dia ambiL keputusan untuk berpisah dengan pasangan.
Bertumpu Pada Diri Sendiri
Mereka yang berpegang kepada alasan ini, kebiasaannya dia hanya tumpu pada dirinya sendiri. Pasangan nak buat apa, jadi macam mana, terpulanglah pada dia. Dia bahagiakan perasaan sendiri, dia gembirakan hati sendiri.
MAJORITI ORANG MAKIN RENGGANG DALAM HUBUNGAN SEBAB BANYAK MAKAN HATI. MAKAN HATI DENGAN SIKAP, PERANGAI DAN PERBUATAN PASANGAN SENDIRI.
Bukan baru sebulan dua pasangan jadi macam Itu, tapi SUdah bertahun-tahun dan tak nampak perubahan langsung untuk berubah.
Perbuatan yang menyakitkan hati, kata-kata yang melukakan hati dan perangai yang membuatkan hati jadi tawar-setawarnya.
Dia fokus kepada amal ibadatnya, dia perbaiki hubungan dengan Allah, dia cari syurga dan jadi solehah dengan caranya sendiri dan bukan kerana pasangannya.
Sebab Itu ada orang lama SUdah berkahwin, tapi tak rapat dan mesra pun dengan pasangan sendiri. Masing-masing bawa haluan sendiri walaupun tinggal di bawah satu bumbung.
Semoga sama-sama kita teruskan hubungan perkahwinan atas dasar cinta dan kasih sayang pada pasangan. Bukan semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab sahaja.
Sebenarnya memilih setia dengan pasangan adalah lebih mudah dan bahagia. Bayangkan bila curang, hidup jadi tak tenang. Maklumlah takut rahsia kecurangan terbongkar, bukan mudah ya nak sembunyikan kecurangan ini.
24 jam kena bersedia takut isteri atau pasangan dapat kesan kita curang. Pendek kata memang tak tenang lah hidup. Oleh sebab itu setia saja dengan pasangan, hidup pun tak terganggu, tiada perkara yang nak disembunyikan. Betul tak?
Tapi tak ramai yang boleh buat walaupun ianya senang… Curang juga menjadi pilihan walaupun ianya susah…
Sebab apa curang itu susah? Sebab nak kena sembunyi perbuatan, nak kena berhati-hati, nak kena lindungi supaya perkara itu tak terbongkar sehingga diketahui orang tersayang…
Kena cari alasan, kena reka jawapan, kena berdolak dalih dan memastikan kepercayaan terhadap dirinya itu terus ada…
Silence HP (handphone), delete conversations, uninstall apps, letak nama lain dekat contact… HP pun tak boleh tinggal merata…
Fuhh, memang menyusahkan lah… Jantung pun berdegup lain macam bila kena soal itu, ini… Mulut terketar-ketar bagai…
Bila kena tanya lebih-lebih, sudah mula naik angin, marah-marah…
Setia Tak Perlu Sembunyi, Hidup Tenang
Hakikatnya, tujuannya, matlamatnya hanyalah kerana tak nak “kecurangan” itu dihidu pasangan… Bukan senang ya nak menyembunyikan kejahatan dan kemaksiatan… Bukan senang…
Maka, pilihlah jalan hidup yang lebih mudah iaitu dengan setia pada pasangan yang telah ada di depan mata, bersyukur dengan kelebihan dia, berlapang dada dgn kelemahan dia, dan melengkapi kekurangan dia…
Setia lebih senang dari curang kerana setia itu menenangkan…
MW: Kenapa suami nak juga memilih untuk hidup dalam keadaan ketakutan, jika setia itu lebih menenangkan dan membahagiakan. Jadi renung-renungkan ya suami. Hidup jadi tak mudah bila mana anda memilih untuk berlaku curang.
Sumber: Firdaus Shakirin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!