Hanya kerana kali kedua melahirkan anak perempuan seorang wanita mengalami kecederaan teruk apabila disimbah asid ke wajahnya ketika tidur oleh suami yang terdesak mahukan zuriat lelaki.
Jantina anak tak kiralah lelaki atau perempuan, bukannya boleh ditentukan sendiri. Semuanya atas kurniaan tuhan.Bersyukurlah memiliki anak, dikala masih ramai lagi pasangan suami isteri yang menantikan kelahiran cahaya mata sebagai penyeri didalam rumahtangga.
Kejadian yang dilaporkan berlaku di New Delhi, India ini Farah Biwi, 25, mengalami lecuran teruk pada wajah, tangan dan perut akibat serangan suaminya Siraj Biwi, 32, yang melarikan diri selepas kejadian 7 Mac lalu itu yang secara ironinya, juga merupakan Hari Wanita Sedunia.
Ads
Insiden berpunca daripada rasa tidak puas hati Siraj apabila Farah gagal melahirkan anak lelaki untuknya. Farah yang mengalami luka terbakar pada muka, tangan serta perut berkata dia sering didera suami sejak melahirkan anak pertama yang juga perempuan.Pasangan ini telah berkahwin selama lapan tahun.
Ads
Keluarga Mertua Tuntut Bayaran ‘Dowry’
Farah yang masih menerima rawatan berkata, suaminya menyerangnya kerana dia gagal melahirkan anak perempuan selain masih belum membayar sepenuhnya wang hantaran perkahwinannya.Keluarga mertua wanita malang itu turut juga menuntut bayaran ‘dowry’ dengan memaksa Farah meminta wang daripada ibu bapanya.
“Suami dan mentua bencikan saya seolah-olah sengaja cuma mahu melahirkan anak perempuan. Sejak setahun lalu keadaan lebih teruk dan saya sering didera.
“Suami juga kerap memaksa saya meminta wang daripada keluarga dan memukul saya jika enggan. Selepas melahirkan anak perempuan, saya didera jauh lebih teruk. Saya cuba bertahan dan bersabar selama ini kerana kerana memikirkan nasib anak-anak. Jika berpisah dengan suami, siapa akan menjaga kami bertiga?
“Namun sekarang tidak lagi. Saya tidak pernah menyangka dia sanggup menyimbah asid pada wajah saya. Saya tidak akan memaafkannya sampai bila-bila,” kata Farah.
Lelaki itu kini diburu polis kerana sengaja mendatangkan kecederaan dengan mencurah asid, lapor media tempatan.
Menjadi seorang guru tugasnya bukan hanya sekadar mengajar. Bersikap prihatin dan ambil berat terhadap anak-anak murid juga salah satu tugasan yang harus digalas oleh mereka yang bergelar cikgu.Hatta, jika ada anak murid yang tak pandai memakai tudung mahupun berbaju comot ketika disekolah juga mampu terselit kisah yang menceritakan punca sebenar.
Perkongsian kisah menarik ini dikongsikan oleh cikgu yang prihatin, Mohd Fadli Salleh. Semoga mak ayah memperoleh manfaat daripada kisah ini.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Tahun lepas, ada seorang murid tahun satu yang sangat pendiam. Perempuan. Aku perasan tudung dia selalu tutup dahi. Macam tak pandai pakai tudung. Baju pun selalu comot.
Tahun ini, dia masih tidak pandai pakai tudung. Masih begitu, bajunya juga masih comot-comot. Banyak kali aku bertanya tentang keluarga, tapi dia mendiamkan diri sahaja.
Tahun ini dia tidak keseorangan. Dia berteman. Ada adik lelaki di tahun satu. Adik dia ini sangat aktif. Hyperaktif aku rasa. Memang langsung tak boleh duduk diam dalam kelas, dewan atau perhimpunan.
Pakaian adik dia pun sama juga. Tidak terurus dan selalu comot.
Dua hari lepas, adik dia dengan sengaja pecahkan bangku kantin. Bangku buah-buahan yang aku beli dengan duit kiriman sahabat-sahabat aku yang baik hati.
Maka unit disiplin, guru kelas dan pentadbir berbincang. Perlu panggil ibu bapanya untuk bincang kelakuan anaknya yang hyperaktif ini. Mencari jalan terbaik bagi murid ini agak tidak ternafi haknya untuk belajar dengan sempurna.
Kerja Buruh
Hari ini, selepas habis kelas pertama ada pengawas datang menjemputku ke pejabat. Katanya pentadbir panggil. Aku dah agak, pasti si ayah murid itu telah datang.
Dengan tenang aku terus ke pejabat. Diluar pintu pejabat, ada sepasang kasut lusuh. Nampak comot dengan selut dan kotoran.
‘Ini kasut orang kerja buruh,’ getus hati aku.
Sebaik masuk, kelihatan lelaki lewat 40an duduk bersama barisan pentadbir. Mukanya kelihatan penat, malah peluh pun tidak sempat kering dari baju.
Kulitnya gelap. Nampak jelas kerjanya pasti dibawah terik mentari. Tangannya kasar dan kotor tanda kerja berat.
Aku bersalaman dan menegur dia dengan mesra. Duduk betul-betul disebelah dia dan sesekali aku bergurau mencuit paha dan memegang bahunya. Tidak sesekali aku merasa geli atau membuat muka tidak selesa walau bau badannya tidak sewangi orang kerja pejabat.
Aku tidak mahu dia resah dan rasa bersalah. Aku nak dia tahu, kami bukan hendak menyalahkannya. Sikap budak, memang begitu. Namun kami ada minta dia bawa anaknya ke Hospital Selayang unit Mekar untuk pemeriksaan.
Anak Kategori Istimewa ADHD
Pada pengamatan mata kasar aku dan guru-guru lain, anak dia ini kategori istimewa. ADHD mungkin. Sangat aktif hingga sukar dikawal.
Aku susun ayat sebaik mungkin, memberitahu dia dengan lembut. Dia terima dengan tenang, dan dia pun tahu anak dia memang tidak terkawal. Dia berjanji akan bawa anak lelakinya itu ke hospital secepat mungkin.
Bila disahkan, anak dia boleh masuk kelas pemulihan. Kelas yang layak dan sepatutnya anak itu duduk dan belajar. Lagi pun, murid pendidikan khas ini ada elaun.
Tunggu Dapat Gaji
Sebelum dia beredar, kami bagitahu kerosakan yang dibuat anaknya perlu diganti. Dengan serba salah dia cakap,
“Cikgu. Boleh. Tapi tunggu saya dapat gaji ya.”
Jantung aku seakan berhenti mendengar jawapan pendek itu. Gugur seketika. Nilai bangku itu yang tidaklah besar di zaman ini. Tapi masih ada yang perlu tunggu gaji.
Terus aku pegang bahu dan mengajaknya pergi. Aku bukakan pintu pejabat, aku tunggu dia sarung kasut buruk itu.
Aku iringi setiap langkah dia ke motor buruknya sambil bertanya tentang kehidupannya.
“Abang kerja kat mana?”
“Saya kerja kat Kuang. Kerja ukur jalan. Ni dari Kuang dapat telefon dari sekolah terus saya datang.”
Allah. Kuang ke Gombak bukan dekat. Dengan motor tengah panas terik pula tu. Terus tinggal kerja bila tahu anak buat angkara.
“Rumah abang kat mana? Isteri kerja apa? Anak berapa orang?” soalku bertalu-talu.
“Rumah saya di Batu 5. Anak saya empat. Yang paling kecil, kembar dua orang duduk dengan isteri saya. Yang sulung tahun dua dan tahun satu ini tinggal dengan saya. Dah tiga tahun kami berpisah,” balasnya tenang.
Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja. Aku minta dia hubungi aku terus kalau ada apa-apa. Nombor telefon aku tinggalkan, dan dia berlalu pergi.
Berlalu pergi dibawah teriknya sinar mentari untuk mencari sesuap rezeki.
Dijaga Oleh Ayah
Patutlah. Patutlah anak perempuannya tidak pandai pakai tudung. Rupanya dijaga oleh ayah sejak sekian lama.
Ayah yang kerja buruh mana pandai hendak pakaikan anak perempuan tudung. Asal tersarung, asal tertutup rambut baginya dah cukup elok.
Pakaian patutlah selalu nampak comot. Tidak terjaga seperti orang lain yang punya keluarga. Rupanya tinggal bersama ayah.
Kelu. Aku kelu sebenarnya.
Terharu. Aku sangat terharu melihat pengorbanan seorang bapa. Jika aku ditempat dia, aku pun tidak tahu apa aku mampu menjaga anak aku sebaik dia.
Makan minum, sakit demam, duit belanja, basuh pakaian dan segala urusan rumah tangga seorang diri. Menguruskan anak bukan mudah. Tambah-tambah bagi kaum lelaki.
Sebaik dia jawab hendak ganti kerusi itu bila dapat gaji, terus aku niatkan dalam hati,
‘Bangku yang perlu diganti itu aku yang akan ganti. Bahkan apa keperluan anak-anaknya yang mampu aku bantu, aku cuba bantu.’
Esok aku akan settlekan hal bangku diam-diam. Esok juga aku nak jumpa ustazah guru kelas anak sulungnya, minta ustazah tolong ajar murid ini pakai tudung dengan betul.
Semoga anak-anak ini rajin belajar seterusnya menjadi insan yang berguna dan berjasa.
Kerana bangku pecah semuanya terdedah. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah.
#MFS
– Kasih seorang bapa.
Semoga kisah ini bermanfaat! Benar, jaga anak tidak mudah. Selepas berlaku penceraian tidak mudah menguruskan anak-anak seorang diri, lebih-lebih lagi jika peranan tersebut digalas seorang lelaki yang bergelar bapa.
Kisah ‘Emas untuk Palestin’ ini dikongsikan oleh Mohd Lutfi Abdul Khalid (Mohd Luttfi), Gabungan Peguam-Peguam Ikatan Muslimin Malaysia (i-Peguam). Betapa seorang wanita Muslim yang cintakan pembebasan Masjid Al-Aqsa ini sanggup memberikan barangan kemas mereka berupa emas, asalkan bumi palestin tidak lagi dijajah tentera zinonis yang kejam.
Pembebasan Palestin ini bukan isu umat Islam semata, ia isu sejagat. Malah, dalam Al Quran pun ada menyebut tentang tanggungjawab khalifah terhadap mempertahankan bumi Palestin ini. Dan kisah kesedaran yang dititipkan satu persatu ini diharapkan dapat membuka mata hati mak ayah untuk sama-sama faham akan maksudnya.
Tangan-tangan Yang Akan Membebaskan Bumi Palestin Yang Dijajah
Kisah 1 – Ku Serah Semua Barang Kemasku Demi Palestin
Seorang wanita pernah bertemu Syeikh Raed Solah (seorang pemimpin dan pejuang Islam hebat di bumi Palestin)) dan memberikan semua barang kemasnya kepada syeikh.
Kemudian beliau berkata kepada syeikh, “Aku tidak sanggup lagi memakai barang kemas ini sedangkan rakyat Palestin terseksa. Aku serahkan semuanya barang kemas aku ini untuk perjuangan rakyat Palestin.”
Kisah 2 – Gelang Pertama Ku Beli Ku Serah Untuk Palestin
Surat dari seorang Muslimah yang melampirkan seutas rantai tangan untuk Palestin:
Mohon sampaikan pemberian saya yang tak seberapa ini pada saudara-saudara di palestin. Moga kenyang perut mereka. Moga musnah musuh-musuh Allah.
Beberapa hari lalu … saya cuba transfer duit ke Aman Palestin, tetapi beberapa kali gagal dan saya hairan…
Sehingga Allah mengilhamkan teguran untuk saya …
“Kamu sekali-kai tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai.”
Ini adalah gelang yang pertama saya beli sendiri menggunakan duit bonus saya dan menjadi kesayangan saya.
Moga Allah terima dan redha…
Tolong beritahu saudara di Palestin. Saya sayang mereka. Moga saya dapat bersama mereka di Akhirat … Amiin …
Kisah 3 – Jual Rumah Untuk Palestin
Pasangan suami isteri Indonesia menafkahkan rumah mereka untuk dijual oleh Aman Palestin Indonesia bagi tujuan membebaskan Masjid Al Aqsa dan membantu rakyat Palestin.
Pengorbanan Umat Islam Demi Pembebasan Masjid Al-Aqsa
Di atas merupakan beberapa contoh bagaimana umat Islam berkorban untuk meneruskan perjuangan membebaskan tanah suci umat Islam.
Kalau segelintir rakyat Malaysia boleh melancarkan Tabung Harapan untuk “membina semula negara”, sudah tentu umat Islam lebih layak untuk melancarkan Tabung Pembebasan Masjid Al Aqsa” iaitu sumbangan yang akan mendatangkan keuntungan pelaburannya di Akhirat.
Marilah bersama Aman Palestin memulakan langkah membebaskan Masjid Al Aqsa!
Jiwa mak-mak memang mudah koyak kalau tengok anak-anak mula kelaparan. Merengek, menangis.. lagi buat hati mak-mak rabak. Lagi-lagi bila dah duduk dalam kedai makan dan pesanan yang diorder tak sampai-sampai. Kalau pergi kedai makan lain mahu ambil masa juga.
Bila mana dekat sejam lebih menanti makanan yang dipesan di kedai tomyam, isteri ustaz ini, Norsyahira Binti Samin mula ‘singsing lengan’ masuk dapur kedai tomyam itu dan masakkan makanan untuk anak-anak dan suaminya. Lebih hebat lagi, dia siap masakkan untuk pelanggan-pelanggan kedai yang masih belum dapat pesanan mereka.
Kisah ini dikongsikan oleh suaminya, Ustaz Mujahidin Al Banjari dari Pusat Perubatan Islam Al-Mujahidin pada awal Syawal yang lalu.
“Berhenti makan di kedao tomyam di Manjung Perak. Dah sejam lebih tak dapat-dapat makan lagi. Ramai customer menunggu. Lagi-lagi time raya ni. Banyak kedai tak buka lagi. Rupanya tukang masak dia sorang.
“Anak-anak dah nangis-nangis sebab lapar. Sekali isteri saya terus masuk dapur tolong masak.” Maklum suaminya yang turut sama membantu mengambil pesanan pelanggan.”
Apa Pun Tauke ‘Sporting’
Menurut pasangan ini lagi, sebelum mereka masuk ke dapur itu mereka dah minta izin dengan tuan punya kedai. Mujurlah tauke kedai ‘sporting’ dan benarkan isteri ustaz masuk ke dapur membantu.
“Sebenarnya kami tak pernah singgah langsung kedai itu. Biasa kalau balik Bagan Serai, kami lalu highway. Konon nak elak jem ikut jalan dalam. Tapi sangkut jem kat Bota. Biasalah budak budak. Dah lapar, menangis, merengek. Kita yang tua ni pun tak keruan.
“Nak angkat kaki takut tak jumpa kedai lain dah. Apa pun tokey sporting. Rupanya pekerja asal semua tak naik kerja lagi. Yang masuk kerja pun dia main tangkap muat. Jadi kelam kabut la.”
“Ramai gak yang balik, sebab lambat, laki den tolong ambil order. Den tolong masak. Nasib mak dan ayah mentua serta adik ipar, Intan Farah ada.. tolong tengokkan anak-anak. So dapat lah makan.”
Isteri Ustaz Berpengalaman 14 Tahun Jadi Tukang Masak
Menurut Ustaz lagi, orang rumahnya dulu tukang masak di kedai makan. Berpengalaman membantu ayahnya memasak di kedai makan dekat 14 tahun lamanya. Masakan panas dan sebagainya semua dia mahir.
Kebaikan isteri ustaz ini dalam bab menghidangkan makanan untuk orang lain bukan saja ditunjukkan di kedai makan ini. Rupanya, ada pesakitnya berkongsi ketika mereka membuat rawatan di rumah ustaz ini pun, isteri ustaz menjamu mereka dengan mi goreng dan air sirap selasih.
“Tauke belanja tapi kami tetap bayar juga. Kasihan diaorang nak berniaga.” Ujar Ustaz Mujahidin yang turut berkongsi video isterinya ‘bersilat’ di dapur kedai tomyam yang disinggahi mereka.