Menantu, orang luar yang tidak ada pertalian darah. Namun, kerana kasih dan cinta salah seorang anak, ia menjadi sebahagian daripada keluarga. Tanpa tahu gaya hidup keluarganya, kita menerimanya sebagai ahli keluarga.
Untungnya bila menantu atau ipar duai boleh dijadikan ‘satu kepala’ dan menerima kekurang serta kelebihan bukan hanya pasangan sehidup semati tetapi ahli keluarga barunya. Namun, ada juga yang berkahwin bertahun-tahun sehingga sekarang masih menganggap seperti orang asing bila bersama keluarga mentua.
Memang betul, menantu atau ipar duai adalah orang luar yang bukan sedarah sedaging, dibesarkan dengan cara hidup yang berbeza. Namun, hormatilah caranya kerana kita hidup dengan orang yang pernah dia besarkan.
Itulah yang dikongsikan oleh Ezatul Marini tentang cabaran dalam rumah tangga bila melibatkan mentua dan ipar duai.
Apa Pun Kita Tetap Orang Luar
Ramai masih berpegang pada prinsip “menantu itu orang luar” dan “mentua serta ipar duai itu bukan saudara sedarah”. Dek berpegang pada kenyataan begini ramai menghadapi cabaran menangani ujian berumahtangga.
Bekerja sebagai pendidik, waktu paling seronok adalah tika kita dapat berkumpul beramai-ramai sambil menghadap bekalan selepas selesai kelas jam 10.00 pagi.
Macam-macam cerita yang kami bualkan. Hal anak- anak, cerita dalam kelas dan adakalanya berkongsi masalah pengurusan pelajar dan silibus.
Baru-baru ini, keluar kisah hubungan mentua – menantu dan sesama ipar duai. Kisah ini bermula apabila saya sendiri menceritakan keadaan diri saya setiap kali balik ke rumah mak kandung saya (baca: saya anak yang dari lahir dan tidak tinggal bersama ibu bapa kandung. Saya dipelihara oleh Arwah Aki dan Uwan).
“Akak kan, setiap kali balik rumah mak, akak ni macam tetamu. Bukan tak mahu buat apa-apa kerja tapi kekok. Rasa serba tak kena.”
“Eh, kak! Saya sekarang ni tiap kali balik rumah mak mentua, saya memang buat macam tetamu. Dah lama sangat jadi menantu dia kan, saya pilih untuk elakkan saya sakit hati kalau dia komen apa-apa bila saya usik barang di dalam rumah dia. Jadi, lebih baik saya terus tak buat apa,” seorang adik pula membalas.
“Kakak pun sekarang ni kalau balik rumah mentua pun dah tak berapa nak sangat cakap lebih-lebih. Maklumlah, adik-adik ipar pun ramai dah besar, dah ada keluarga. Cakap pun dah makin lantang, makin tak jaga, jadi akak pilih untuk tak mahu cakap lebih-lebih.” Sampuk pula seorang kakak.
“Ye lah kan, apa- apa pun kita ni tetap orang luar.” Bak dirancang, ramai yang sepakat komen begini.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Bila Sudah Berkahwin, Pandai-Pandailah Bawa Diri Bukan Senang Jadi MENANTU
Kena Pandai ‘Beli’ Jiwa Ibu Mentua Kalau Diri Bukan Menantu Pilihan
Dapat Mak Mentua Baik Pun Rezeki, Bukan Semua Menantu Dapat Rasa
Info Lebih Menarik DI SINI
Syukuri Nikmat
Saya sebetulnya punya pandangan hampir serupa, cuma barangkali rezeki saya lebih baik kerana dikurniakan arwah ibu mentua yang menganggap tiga menantunya sama seperti dia menerima tiga anak baru. Jadi, sejak awal perkahwinan saya, kami tiada jurang. Kami bergaul baik dan mesra.
Bohonglah kalau saya katakan sepanjang tempoh itu tiada berkecil hati, terguris rasa sesama kami. Tetapi, kami ambil pendekatan selesaikan dengan cara perbincangan dan saya harus syukuri nikmat dihadirkan kakak-kakak ipar yang mahu menganggap saya sebagai ganti adik mereka yang telah lebih dulu dipanggil pulang ke sisi Allah SWT.
Sungguh, sebaik menerima mesej kakak ipar kedua yang mengatakan saya bukan lagi dianggap sebagai adik ipar tetapi mereka mahu saya terima mereka sebagai kakak kandung, hati saya jadi lapang. Diri terasa bebas dan tenang.
Menantu, Keluarga Berbeza
Rata-rata, tidak dinafikan ramai daripada kita masih mempunyai mentaliti “menantu itu adalah orang luar”. Entah mengapa, saya kurang bersetuju dengan kenyataan itu.
Ya, menantu itu datang daripada keluarga berbeza, dibesarkan dengan cara yang tidak sama, mempunyai kebiasaan tidak sekata dengan kebiasaan keluarga kita tetapi berhentilah menganggap mereka bukan sebahagian ahli keluarga kita.
Saya tidak selayaknya memberi hujah panjang lebar tentang perkara ini. Tidak adil barangkali kerana saya tidak teruji dengan keadaan seperti yang sesetengah kita terpaksa harungi, namun saya perlu siapkan diri untuk menghadapi keadaan serupa bila tiba masanya untuk anak-anak saya sendiri berkeluarga. Semoga saya mampu didik diri untuk berlapang dada menerima lebih dan kurangnya pembawakan diri seorang menantu itu dalam keluarga saya.
Para menantu juga seeloknya belajarlah sesuaikan diri apabila memasuki alam berumah tangga. Samalah juga bila kita mahu mentua dan ipar duai menerima banyak perbezaan kita berbanding cara hidup mereka, maka kita juga harus siapkan diri untuk biasakan diri dengan gaya hidup mereka.
Banyakkan toleransi dan cuba amalkan konsep faham-memahami dalam melayari alam rumah tangga. Sedih sebenarnya setelah berumah tangga sekian lama, masih ramai antara kita belum dapat mencari titik sefahaman dalam hubungan mentua- menantu- ipar duai ini.
Kembali kepada Allah, fahami konsep berkeluarga dan berukhuwah. Insya-Allah semuanya akan baik- baik sahaja. Allah pasti akan selalu menjaga kita terutamanya apabila kita tidak jemu meminta.
MW: Tetap orang luar tapi kenalah hormati cara keluarga mentua kerana kita hidup dengan pasangan yang pernah dia jaga dan didik sebelum ini.
Sumber: Ezatul Marini Mohd Ghazali
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI