Jangan ingat, masa awal perkahwinan suami boleh layan isteri apa yang dia nak. Tapi lama-lama mula rasa bosan dan penat melayan karenah isteri. Jangan begitu.
Dalam hubungan suami isteri, suka duka, bahagia dan gaduh itu perkara biasa. Sementelah bila dah hidup bersama berpuluh tahun, mesti dah tahu peel pasangan. Tak perlulah rasa penat nak layan isteri yang dirasakan tak pernah berubah.
Hakikatnya itulah tabiat isteri yang perlu suami tahu untuk tarik perhatian suami. Kalau sebelum ini, isteri suka membebel, garang dengan anak-anak tiba-tiba esok isteri jadi pendiam dan tak banyak cakap. Jangan pelik, ada sesuatu yang tak kena mungkin mengguris perasaannya.
Jadi, suami jangan penat layan isteri walaupun berkurun hidup bersama. Dialah peneman di kala susah senang bersama.
Kalau sebut pasal sikap isteri banyak benda suami kena lalui. Yelah apa tak nya, kadang boleh jadi manja tiba-tiba mengalahkan baby.
Ads
Kadang boleh jadi garang tiba-tiba mengalahkan harimau. Suami tak ada, tong gas pun isteri boleh angkat. Suami ada di sisi, tiba-tiba jadi manja sampai plastik gula-gula pun diminta suami bukakan.
Perangai isteri, kejap dia berleter, kejap dia mengarah, kejap dia merajuk, kejap minta dipujuk, nanti karang dia meminta itu ini pulak.
Suami mungkin penat nak melayan, tapi ketahuilah itu je cara isteri nak tarik perhatian bahawa dia sedang penat atau mungkin sangat penat.
Tahukah En.Suami, kalau hangpa malas nak layan.. makin lama makin pelik jadi perangainya.. boleh jadi dia akan lebih sensetif.. mungkin makin lama dia boleh memendam rasa dan boleh jadi juga dia pilih untuk menjauh..
Bahaya Bila Diam
Sangat bahaya bila mana dia memilih untuk berahsia dan tak jujur dalam segala hal. Akhir kesudahannya isteri akan berubah kepada diam. Bila isteri memilih untuk diam dalam tempoh yang lama, suami sangat perlu cakna.
Ads
Cek Aien pernah jumpa pasangan yang ada 2 anak lelaki masih kecil dan lasak. Suami tak memahami. Suami tahu tidur dan malas tolong ambil tahu hal rumahtangga. Akhirnya isteri hanya memilih diam sebab dah banyak memendam rasa.
Dalam cerita pasangan lain, ada anak dah 4 orang. Dapat suami panas baran. Sering cari salah dan wujudkan pergaduhan. Akhirnya senyap-senyap isteri ke Klinik “ikat” secara rahsia tanpa pengetahuan suami.
Itu jelas menunjukkan keserasian tidak menjamin walau angka sudah mencecah 5-10 tahun perkahwinan. Semua tu salah satu faktor, sebab tak de komunikasi yang baik dengan pasangan.
Jadi kepada suami ketahuilah.., sangat bahaya bagi wanita bukan ketika mana dia suka
membebel, tetapi ketika dia sudah memilih untuk diam.
Ads
Dari segi luaran memang tampak merekalah yang paling kuat dan tabah, namun hakikatnya dia tetap mengharapkan suaminya menjadi pendokong, pendengar setia untuk kata semangat dan segala luahan tempat bercerita.
Mingguan Wanita : Sebenarnya, isteri bila suami tak ada di sisi, dia boleh saja buat tapi bila suami ada di sisi, inilah masa untuk dia bermanja-manja dan minta perhatian. Suami janganlah pelik sangat. Layan saja.
Betapa besarnya kuasa PANDANGAN dalam kehidupan berumah tangga. Sebab belum tentu, suami isteri yang dah berpuluh tahun berkahwin dapat merasai nikmat pandang wajah pasangannya dengan penuh rasa cinta dan kasih.
Semakin lama hidup bersama, hal pandang memandang ini seakan jauh dari dalam diri suami. “Kenapa nak pandang-pandang. Kan dah duduk serumah, tidur sebantal. Cukuplah itu.”
Jangan kata macam itu.. ego sangat bunyinya tu.
Sebenarnya ada manfaat yang sangat besar dalam bab-bab memandang wajah isteri dengan penuh rasa kasih ini wahai suami. Dan inilah sebabnya kenapa perkara yang ‘simple’ macam ini pun jika diamalkan selalu boleh mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan.
Satu lagi kebaikannya, benda yang tak biasa buat ini.. kalau dibiasa-biasakan maka akan jadi satu kebiasaan. Nanti bila sehari tak pandang wajah isteri, boleh jadi rindu mendalam.
Ha.. tak ke bahagia bila isteri tahu tu.
Bila isteri bahagia, suami pun jadi gembira. Nak makan apa, semua isteri boleh buatkan.
Pandang Wajah Isteri Dapat Pahala
Mana-mana suami yang memandang wajah isteri dengan rasa kasih, sayang dan cinta, itu pun dah dapat pahala. Kemudian, bila isteri pula membalasnya dan memandang wajah suami dengan rasa yang sama lalu Allah akan memandang mereka dengan pandangan rahmat.
Apabila rahmat Allah hadir dalam jiwa pasangan suami isteri ini, maka besar mana pun halangan atau ujian yang tuhan berikan. Pasti Allah akan temukan juga jalan penyelesaiannya.
Sayangnya, ramai pasangan selepas mendirikan rumah tangga selalu terlupa buat perkara simple macam ini.
Rasa malu nak pandang wajah isteri sendiri.
Isteri pun sama tiba-tiba selepas setahun dua hidup bersama mula lupa nak pandang wajah suami berlama-lama.
Cubalah pandang.. pegang.. tengok setiap urat-urat dan kedut wajah yang mulai timbul pada wajah pasangan.
Anda akan rasakan satu perasaan sayang. Merasakan ‘oh isteriku sudah banyak berusaha untuk rumah tangga ini. Ku nampak lelah dan penat di wajahnya.’
Jangan lupa doakan isteri ‘Ya Allah, berilah isteriku kemudahan menguruskan aku dan anak-anakku. Balaslah penat lelahnya ini dengan syurgaMu.’
Isteri juga begitu, pandang wajah suami, pegang dan doakan kebahagiaan dan kemudahan suami. Jangan terlalu ego sampai takkan dah buat semua benda remeh tapi mengeratkan kasih sayang ini.
Kenapa Mesti Malu
Selepas bertahun-tahun menjadi suami isteri kenapa mesti malu? Dialah soulmate kita, dialah racun dialah penawar. Jika itu yang anda tanamkan dalam diri.
Malu itu akan hilang.
Lebih mesra jika anda saling memandang wajah suami ketika mahu tidur malam. Masa ini boleh lakukan sambil berbual-bual dengannya.
Tentang anak-anak, tentang masa depan keluarga, tentang cinta. Tak salah pun kalau nak imbas memori percintaan lama.
Itu juga tips yang buatkan suami sentiasa dekat dengan isteri. Sentiasa ingatkan dia, dulu dia macam mana. Kadangkala suami memang benar-benar terlupa.
Maafkanlah dia.. lelaki itu sifatnya lebih pada logik. Hal-hal yang kita rasa penting, kadang remeh untuk dia. Sebab itu, isteri kena ingatkan selalu. Tapi.. dengan cara yang paling HALUS.
Bukan menerang dengan paksaan atau kasar. Penerangan dengan cara bergurau selalunya lebih menjadi.
Sememangnya syaitan selalu membisikkan hal-hal yang akan mengurangkan rasa kasih dan cinta dengan rumah tangga. Kala isteri kepenatan, dia akan mengungkapkan agar isteri rasa benci dengan suami yang tak ada perasaan mahu membantu.
Astaghfirullah!
Kalaulah ini yang terjadi wahai isteri mahupun suami. Bacalah doa ini, “Ya Allah, jika kepenatanku ini akan menjadi asbab untuk aku masuk ke syurgamu. Aku redha dan kau redhailah aku Ya Allah.. Amin”
Sebutlah banyak-banyak kali. InsyaAllah rasa penat itu akan bertukar menjadi BAHAGIA.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sedih! Hati tertanya-tanya, mengapa dirinya menjadi mangsa fitnah? Bukan orang lain, biras sendiri yang selama ini dianggap umpama adik sendiri. Ikuti perkongsian daripads seorang wanita dan luahan hatinya telah dijawab oleh Hajah Maimunah Mohamad, kaunselor dan kolumnis di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/mingguanwanita/?ref=bookmarks
Miliki Keluarga Bahagia
Assalamualaikum puan. Suami saya mempunyai tiga orang adik beradik yang kesemuanya lelaki. Dia anak yang tengah. Saya bersyukur kerana keluarga suami menerima saya dengan baik.
Ketika saya dan suami berkahwin, abang long sudah pun berkahwin terlebih dahulu dan sudah mempunyai dua orang anak. Manakala adik bongsunya, Zam, berkahwin setahun selepas kami berkahwin. Waktu itu saya sedang mengandungkan anak kembar saya yang kini berusia enam tahun. Di antara dua orang biras saya itu, saya lebih rapat dengan isteri abang Long, kak long.
Mungkin kerana kami sama-sama bekerja sebagai guru, jadi banyak perkara kami kongsikan bersama. Lagi pun kami turut memiliki hobi yang sama iaitu memasak dan sering kali bertukar resipi. Entah kenapa, isteri Zam iaitu Anne, kurang mesra dengan kami. Mungkin kerana dia berasakan gajinya lebih daripada kami, sering bertugas ke luar negara. Setiap kali ke luar negara, macam-macam hadiah akan dibawa untuk ibu dan ayah mentua. Untuk yang lain, diberikan key chain. Kami tak kisah dan tak rasa cemburu langsung. Dapat cenderahati pun kami dah rasa syukur sangat. Ingat juga dia pada kami.
Dingin
Pada Aidilfitri tahun lalu, saya perasan tiba-tiba saja kak long dingin dengan saya. Ketika itu giliran kami beraya di rumah mentua. Manakala Anne beraya di rumah orang tuanya. Kak long tak mesra seperti biasa. Sepatah saya tanya, sepatah dia jawab. Malah sering kali cuba melarikan diri daripada saya. Dek kerana rasa ada sesuatu yang tak kena, saya bersemuka dengan kak long.
Mulanya dia enggan bercerita tapi bila lihat saya bersungguh hendak tahu, dia buka mulut. Katanya dia sedih kerana saya sering mengata dia di belakang dan sering memburukkan dia di depan saudara mara lain. Terkejut saya bukan kepalang. Bila masa pula saya bersikap begitu? Bila saya desak lagi, akhirnya dia mengaku yang Anne memberitahunya. Ya Tuhan, saya rasa sedih, bingung, kecewa dan marah mendengarkan penjelasan kak long.
Sampai Hati Anne, Sedihnya…
Sampai hati Anne tuduh saya begitu sedangkan selama ini saya tak pernah bersikap begitu. Kenapa saya nak burukkan orang lain sedangkan diri saya sendiri pun tak sempurna. Kami umpama satu keluarga, kena terima baik buruk masing-masing dan bukan menjaja keburukan orang lain. Bila saya bersumpah, kak long dapat terima penjelasan saya. Memang dia tidak begitu percayakan Anne kerana dia tahu bukan sikap saya begitu. Tapi biasalah manusia, lama-kelamaan akan termakan juga.
Kata kak long, selama ini macam-macam Anne berkata buruk tentang diri saya tapi dia hanya diamkan saja. Dia minta saya berhati-hati dengan Anne kerana Anne seperti cemburu dengan diri saya. Cemburu kerana sepasang anak kembar saya sering jadi perhatian ramai kerana kecomelan dan kepetahan mereka. Saya tak pernah terfikir begitu. Tak pernah saya anggap anak-anak saya lebih comel dan bijak daripada anaknya yang berusia empat tahun. Mungkin sebab itu juga dia tak pernah layan anak saya dengan baik walau pun saya layan anak dia seperti anak sendiri. Rupanya dia cemburu! Sedihnya…
Suka Bandingkan
Kata kak long lagi, Anne sering membandingkan barang-barang yang saya beli. Katanya saya suka membazir membeli barang yang berjenama saja. Sedangkan saya tengok barang-barang dia jauh lebih berjenama daripada saya. Tapi saya tak pernah ada niat nak berlumba-lumba.
Kalau mampu dan saya suka, saya akan beli. Bukan niat nak menunjuk-nunjuk. Rasanya kehidupannya jauh lebih baik daripada saya. Miliki rumah besar, kereta mewah dan sering melancong ke luar negara. Berbanding diri saya yang serba sederhana. Tapi hidup saya gembira di sisi suami dan anak-anak yang menyayangi saya.
Sedih Sering Diburukkan
Saya kecil hati dan sedih dengan sikap Anne. Walau pun selama ini banyak sikap Anne yang kurang saya suka tapi saya terima saja dan tidak pernah burukkan dia depan orang lain. Tapi mengapa dia sengaja nak fitnah saya? Bila saya ingat, memang ada sepupu-sepupu sebelah suami yang rapat dengan Anne seolah-olah tidak sukakan saya. Apakah Anne telah memburukkan saya di depan mereka? Selama ini saya tak pernah nak bermusuh dengan dia, sering cuba menjaga hubungan baik kami, tapi mengapa dia seolah-olah menganggap saya ini musuhnya? Apa patut saya buat?
Risau juga kalau dibiarkan, Anne boleh memporak-perandakan hubungan saya dengan orang lain pula. Patutkah saya menegurnya secara terus terang? Perlukah saya luahkan pada suami saya? Nasib baik Aidilfitri tahun ini tak boleh rentas sempadan. Tak perlu saya jumpa mereka.
Keliru dan kecewa Perak
SARANAN KAUNSELOR
Bercerita tentang biras dan adik-beradik merupakan satu perbincangan yang menfokuskan kepada tingkah laku yang berbagai. Kelebihan wanita adalah menghuraikan segala-galanya secara terperinci dan menyimpan segala perlakuan dalam bentuk emosi seterusnya dizahirkan dalam bentuk konflik yang berpanjangan. Konflik yang dicipta boleh menyebabkan kedua-dua pihak menjeruk rasa serta mencipta persepsi yang berbagai-bagai hasil daripada tidak berkomunikasi secara terus.
Jika dibiarkan berterusan boleh merosakkan hubungan serta menjarakkan perhubungan kekeluargaan yang terjalin. Kisah yang puan paparkan menunjukkan puan sangat terkesan daripada sikap cemburu biras puan yang membina persekitaran yang dingin dalam hubungannya dengan puan. Hati kecil puan ingin berbicara bersemuka tetapi tidak cukup kuat untuk menghadapi situasi ini. Puan semakin gelisah kerana jika dibiarkan takut puan akan berbalah dengan semua orang dalam keluarga akibat daripada fitnah ini.
Kegagalan Komunikasi
Fitnah terjadi hasil daripada dendam, buruk sangka, benci, tidak suka, dengki, cemburu serta berbagai idea negatif untuk menjatuhkan lawannya. Semua keadaan ini berlaku akibat komunikasi yang gagal serta penuh dengan persepsi sahaja. Gambaran yang sebenar tentang perlakuan dan hubungan tidak berlaku dan hasil daripada berdiam diri, mengasingkan diri atau “avoiding” maka semua keraguan tidak dapat jawapannya yang sebenarnya. Semua terjadi hasil daripada persepsi negatif dan disusuli dengan dendam kesumat yang mendalam.
Landasan kepada semua ini adalah kegagalan komunikasi yang sebenar dan iman yang semakin nipis di dalam hati. Semua ini menjadikan setiap hubungan manusia bermasalah dalam mempertahankan keegoan masing-masing. Penyelesaian kepada semua ini adalah merungkaikan jurang komunikasi dan membawa kepada perbualan atau penjelasan kepada kedudukan sebenar tentang apa yang diragui selama ini.
Mulakan strategi puan untuk mendepani masalah ini dengan bersemuka dengan Anne dan mendapatkan maklumat sebenar serta merungkaikan segala keraguannya.
Jangan Sedih, Bersemukalah!
Hindari bercakap-cakap atau memperbesarkan isu serta cuba sebaik mungkin untuk menanti masa yang sesuai untuk bertemu Anne. Jika puan mampu boleh juga berjumpa secara privasi atau berdua sahaja dengan Anne. Sebenarnya Anne belum mengenali puan dengan lebih rapat dan belum menerima puan sebagai birasnya secara keseluruhan.
Cuba bina “rapport “ dengan Anne dan fahami semuanya dengan hati yang terbuka. Terima kelebihan dan kekurangannya dan berlapang dada dengan segala yang berlaku. Anggap sebagai satu orientasi untuk mengenali biras dengan lebih dekat lagi. Mulakan dengan diri puan dan yakinlah bahawa apabila puan membuka ruang dalam hati puan untuk menerima, mengasihi, memberi kasih sayang, berkongsi dan sebagainya maka biras puan juga akan membuat perkara yang sama.
Beza Dengan Lelaki
Maka, cuba berfikir dan memberi fokus kepada masa kini seperti suami atau ipar puan menangani dan bersaudara sesama mereka. Kaum wanita terlalu memfokuskan kepada emosi dan sangat terasa dengan emosi tetapi kaum lelaki lebih melihat perkara sekarang dan akan datang. Mereka jarang membandingkan atau mengungkit masa lalu, maka hubungan kekeluargaan mereka lebih baik dan lebih realistik.
Oleh itu sesama biras puan cuba bangunkan hubungan sebegitu iaitu fokus kepada perkara sekarang dan akan datang dan kurangkan membanding-bandingkan apa yang ada sebaliknya cuba berpakat untuk kejayaan dan kecemerlangan bersama-sama. Secara tidak sedar puan dan biras membawa amanah mengasuh, membesarkan, mendidik serta memberi kasih sayang kepada generasi daripada keturunan yang sama iaitu keturunan suami puan dan biras-biras puan.
Oleh itu wajar puan dan biras-biras puan bincangkan bagaimana boleh dikongsi serta dipelajari pengalaman dan kasih sayang agar keturunan puan dan suami dibina untuk menjadi contoh kepada generasi yang seterusnya.
Fikirkan Perkara Berfaedah
Puan juga perlu berfikir kepada perkara yang lebih berfaedah dan bermanfaat kepada masa depan puan daripada memikirkan segala kata-kata biras puan. Tingkatkan pengetahuan puan dan bina pekerti mulia dalam diri puan dan anak-anak puan agar menjadi contoh kepada manusia yang lain. Usah bazirkan masa puan memikirkan perkara yang meracuni perhubungan persaudaraan puan dan biras.
Tanpa puan sedari konflik ini akan ditiru oleh anak-anak puan dan boleh menyebabkan anak-anak puan juga akan mempunyai konflik sesama sendiri. Akhirnya puan akan berbalah sesama sendiri dan kehidupan berkeluarga sudah tidak indah lagi. Puan perlu bijaksana dan keluar daripada kemelut emosi puan untuk bertoleransi dalam hubungan sesama biras ini.
Kawal Dan Bentuk
Tingkah laku manusia adalah hasil daripada gaya asuhan serta apa yang difikirkan untuk melahirkan tingkah laku tersebut, oleh itu segala yang puan fikirkan perlu dikawal dan dibentuk agar menjadi contoh teladan kepada orang lain. Yakinlah bahawa jika satu sangkaan buruk dibalas dengan seribu kebaikan maka ia akan jadi penawar kepada perhubungan. Oleh itu puan sewajarnya “stay cool” dan biarkan tingkah laku puan yang baik dan menerima segala-galanya dengan hati terbuka akan mengubah suasana ini.
Sesebuah rumah tangga memerlukan tolak ansur dan kerjasama antara pasangan. Rumah tangga sebenarnya bukan medan suami semakin senang dan isteri pula semakin susah, itu sudah zalim namanya.
Pabila sang isteri merasakan perkahwinan membuatkan dia terbeban dengan terlalu tanggungjawab berbanding, suami perlu check balik. Salah dan zalim seorang suami kepada isterinya bila perkara ini berlaku.
“Serba-serbi saya kena buat sendiri, sampai saya tertanya-tanya, siapa ketua keluarga sebenarnya?”
Saya atau dia… Saya ini isteri, dia itu suami… Tapi bebanan saya lebih daripada bebanan dia… Tanggungjawab saya lebih daripada tanggungjawab dia… Tugas saya lebih daripada tugas saya…
Realiti… Persoalan yang bermain di fikiran kebanyakan isteri… Siapa ketua keluarga sebenarnya?
Bila Isteri Buat Lebih, Suami Yang Zalim
Kalau apa yang isteri perlu buat itu melebihi apa yang suami perlu buat, maka kita zalim pada isteri kita…
Kalau apa yang isteri perlu tanggung itu melebihi apa yang suami perlu tanggung, maka kita zalim pada isteri kita…
Pengertian zalim itu adalah apabila kita meletakkan sesuatu bukan pada tempat yang sepatutnya…
Rumah Tangga Bukan Medan Suami Semakin Senang
Rumah tangga bukan medan suami semakin senang, isteri semakin susah… Bukan ini caranya rumahtangga itu dikendalikan…
Bila kita tidak melaksanakan sesuatu yang diwajibkan ke atas kita untuk kita sendiri lakukan, maka akan berlakunya penganiayaan pada pihak yang satu lagi…
Jangan letak tanggungjawab kita ke bahu isteri… Jangan letak kewajipan kita ke bahu isteri… Isteri bukan tempat untuk kita membuang segala apa yang patut ditanggung kita…
Akan berlaku konflik tanggungjawab jika kita membiarkan perkara ini berlarutan… Isteri lebih layak menjadi ketua keluarga berbanding suami, dan ini satu masalah besar dalam rumah tangga…
MW: Sebagai suami, jangan biarkan isteri terbeban lama-lama bimbang timbul masalah lebih besar dalam rumah tangga jika masalah ini tidak dibendung. Malah, suami jangan pula lepas tangan bila isteri mampu lakukan serba-serbi. Renung-renungkan.
Sumber: Firdaus Shakirin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...