Dalam perkahwinan, nak rumah tangga sentiasa bahagia dan rezeki lekat, baik isteri atau suami kena sama-sama jaga.
Isteri jangan harapkan pasangan menjadi seorang suami yang bertanggungjawab dan membahagiakan, jika isteri tidak pula melakukan perkara sama. Tak kisah menjaga makan pakai suami dan anak-anak, uruskan rumah dan sebagainya.
Begitu juga suami, tak boleh mengharapkan isteri seorang diri melakukan semua itu. Sepatutnya, kenalah sama-sama supaya rezeki lekat dan secara tak langgung Allah jaga rezeki suami isteri dalam rumahtangga.
Orang cakap, suami jangan berkira dengan isteri, barulah rezeki lekat. Tapi, isteri pun kena main peranan juga dalam mendapat redha suami. Tak bolehlah mengharapkan hanya satu pihak saja.
Dalam rumahtangga, baik suami atau isteri kena tahu peranan. Inilah yang dikongsikan oleh Noor Fathin Azlan, moga memberi manfaat untuk semua.
Kejayaan seorang isteri datang dari redha seorang suami. Dulu aku pernah buat beberapa perkara yang tidak mendapat redha suami dan apa yang aku buat ada saja halangan.
Kalau menjadi sekali pun, kejayaan tak bertahan lama, tiba-tiba punah.
Kemudian aku muhasabah diri kenapa aku tidak mendapat redha suami. Kalau aku jadi dia, jadi suami pun aku takkan redha (dibaca: tak gembira) bila tiba-tiba isteri mula kurang beri perhatian.
Semua benda nak “Iya kejap awak, saya tengah reply whatsapp pelanggan ni”. “Kejap awak, kejap awak, saya tengah nak close sale ni, sikit lagi, sikit lagi”
Ish kalau aku pun marah bila isteri utamakan orang lain dari suami sendiri. Bukan tak boleh bertolak ansur, tapi kalau setiap kali diseru, setiap kali itu juga asyik nak sekejap-sekejap sape tak angin kan?
Ads
Paling Atas
Bermula dari itulah, aku meletakkan suami yang paling teratas selepas Allah. Sesibuk macam mana pun aku cuba untuk jadi pendengar dia yang setia sebab dia suka bercerita. Apa saja yang dia buat setiap hari, siapa dia berjumpa, dia suka ceritakan kembali pada aku.
Walaupun kadang-kadang aku rasa kisah tu dia dah cerita lebih dari 10 kali, aku tetap kena buat seolah-olah yang aku masih berminat untuk dengar.
“Saya pernah cerita tak pasal ni dekat awak?”, dan aku kena jawab, “Tak pernah cerita lagi awak, eh cerita lah”, walaupun aku tahu endingnya kawan dia jatuh motor.
Itulah usaha keras yang aku perlu buat supaya dia tidak terasa ‘kehilangan’ isteri tercinta dengan kesibukan kerja. Makanya aku kena pandai bahagikan masa untuk keluarga dan kerjaya. Layanan dan perhatian pada suami tidak boleh kurang.
Redha Suami
Orang selalu kata, suami yang tidak berkira dengan isteri, rezeki si suami akan digandakan. Begitu juga dengan isteri, isteri jaga hati suami, dapat menenangkan hati suami ketika merasa gelisah, Allah jaga rezeki kita.
Ingatlah kejayaan isteri adalah atas redha dan restu suaminya. Isteri yang dapat membawa rezeki dalam perkahwinan adalah wanita yang sentiasa meminta redha suami ke atasnya.
MW: Baik suami atau isteri kena faham. Rezeki dalam perkahwinan ini kerana suami isteri saling membahagiakan.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Tujuh Pilihan Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Nak maju jangan tunggu. Peluang pun datang bukan selalu apatah lagi sekarang ini kita sedang lalui kehidupan sukar berbanding dahulu. Daripada asyik termenung dan meratap pilu, elok mengorak langkah mulakan bisnes baru. Sampai bila nak tengok orang lain maju dan kita masih lagi kaku?
Tiada idea, tak ada kemahiran dan arah nak tuju? Mingguan Wanita (MW) sebagai teman setia wanita sedia membantu dan tahu apa yang anda perlu.
Terkini, selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral.
Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Ads
Apa yang menarik, kursus-kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini.
Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Antara kursus-kursus asas yang dijangka mampu melahirkan peserta yang berkemahiran dan boleh terus dipraktik dalam perniagaan ialah:
JOM PANDAI BAKERI. BUAT DUIT JUAL KEK DAN ROTI. Dibuka dalam dua pilihan tarikh iaitu pada 12 Jun dan 26 Jun 2021. Peserta akan mengadun dan membakar sendiri adunan agar dapat kenal pasti formula menghasilkan satu adunan sempurna bagi kek dan roti.
Cookies Viral Legend. Jual cookies Paling Masyuk! Orang Malaysia meang suka makan. Cookies atau biskut tidak lagi laris hanya menjelang hari raya. Permintaan cookies memang tinggi dan belajar membuat cookies popular atau sedang trending ketika ini merupakan langkah bijak. Kursus diadakan pada dua pilihan tarikh iaitu 10 Julai dan 24 Julai 2021.
Setelah sepuluh, dua puluh atau tiga puluh tahun menjadi seorang isteri dan ibu, apakah banyak perubahan positif berlaku dalam hidup mak-mak atau tiada apa peningkatan yang ketara?
Dulu hidup miskin kena jimat belanja, sekarang tak tahan iklan online, ramai pula jadi kaki shopping. Akhirnya bertambah miskin akibat hutang.
Dulu tak berilmu, dapat jugalah bersabar sekarang semakin tua semakin jahil, degil, kurang sabar.
Dulu kasar perangai sekarang berjaya mendapat anak yang kurang ajar.
Dulu tak hormat suami, sekarang kongkong dera mentalnya biar dia terencat sekali.
Dulu solat tak sempurna, sekarang langsung tak buat lagi. Tambah dosa dengan tak puasa juga.
Dulu pakai baju kurung, sekarang baju seksi.
Dulu ada masanya menangis ingat mati. Sekarang tak sempat nak ingat mati sebab sibuk kejar kehidupan duniawi.
Dulu dan kini, ada apa dengan kita sekarang?
Usah Lupa.. Takkan Terlepas Dari Penilaian Allah
Pada awal tahun kita cuba berazam baru, mencari semangat dan motivasi lebih segar daripada tahun-tahun yang lepas. Ramai orang beranggapan jika mahu berjaya, mereka tidak perlu menoleh ke belakang.
Tapi kenapa orang-orang hebat, menulis kembali perjalanan hidupnya dan diabadikan dalam buku-buku biografi mereka?
Mengapakah kita pula takut mengorek kenangan lalu? Janganlah korek sampai luka kembali berdarah. Pandang saja bekas luka itu.
Dan sapu dengan keinsafan sambil beringat ke dalam diri bahawa kita pernah melakukan kesilapan dan luka itu menjadi bukti bahawa kita memiliki kecacatan yang perlu diperbaiki.
Bagaimana perasaan kita jika menerima buku itu nanti di akhirat, apakah seperti seorang tokoh yang sedang membaca biografinya sendiri?
Atau tersenyum menikmati jutaan pujian dan tahniah atas kejayaannya yang ditumpahkan tinta-tinta bermakna dalam muka surat-muka surat yang dibayar mahal?
Tokoh yang tersenyum menikmati kisah yang baik-baik saja sehingga hampir tiada cacat, pengarangnya menjadi seolah-olah Tuhan Yang Maha Tahu tentang nilai diri tokoh itu.
Padahal aibnya sengaja tidak ditulis, cacat karakternya di’mekap’ secantik mungkin dan kejahatannya dilupakan begitu saja.
Tidak mungkin kita boleh terlepas daripada Sang Penilai yang Maha Halus perhitungannya. Yang tidak pernah mengantuk dan tidak pernah tidur sentiasa memerhati diri kita 24 jam sehari tanpa kurang sedetikpun.
“Allah Tiada Tuhan selainnya, Yang Maha hidup lagi Maha Mengatur urusan makhluk, MilikNya segala yang di langit dan di bumi, tiada siapapun yang mampu memberi pertolongan melainkan dengan izinNya, Dia Maha Mengetahui apa yang di hadapan dan di belakang mereka dan tiada yang mengetahui ilmuNya melainkan atas kehendakNya. (Ayatul kursi)
Telah tertutup tirai tahun kelmarin, berganti dengan hari-hari di tahun baru, tapi Tuhan kita tetap memerhati, mencatat dan mengabadikannya dalam kitab amalan.
Sedar tak sedar berpuluh tahun sudah usia kehidupan, sebelum kitab kita dipenuhi dosa eloklah beringat betapa sempitnya masa yang kita ada. Kisah benar paling tragik haraplah tidak terjadi pada diri, pada hari manusia akan ternganga:
“Dan diletakkan kitab lalu kamu akan melihat orang-orang berdosa ketakutan dengan apa yang tertulis di dalamnya dan mereka berkata: aduhai celakanya kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula yang besar melainkan ia mencatat semuanya. Dan mereka dapati apa yang mereka kerjakan ada tertulis. Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang jua pun.” (Surah al-Kahfi ayat: 49)
Buku Catatan Amalan
Bagaimana keadaan orang yang menerima kitabnya di akhirat nanti? Apakah gembira seperti tokoh politik membaca buku biografinya atau amat seronok seperti kita membaca surat cinta? Tidak!
Bahkan semua insan akan berdiri di atas lutut, pucat ketakutan sambil menangisi apa yang telah disesalkan.
Allah SWT berfirman: “Dan pada hari itu kamu lihat tiap-tiap umat berlutut. Tiap-tiap umat dipanggil untuk melihat buku catatan amalannya. Pada hari itu kamu diberi balasan terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Jaathiyat ayat: 28)
Buku itu berisi kisah malam-malam yang kita lalui, apakah kita isi dengan tangisan dalam sujud yang panjang tika bertahajud atau leka berhibur sampai ke pagi?
Ia juga berkisah tentang suara hati kita, apakah sentiasa berbaik sangka dengan Allah ataukah membenci takdirNya?
Tak terkecuali rentetan-rentetan pengalaman kita hidup bersama orang-orang di sekeliling, ayah dan ibu. Apakah mereka gembira memiliki diri kita atau bahkan mereka menahan sakit hati kerana kederhakaan anaknya?
Begitu juga manusia lain yang mengenali, apakah mereka telah dizalimi atau disantuni? Bagaimana dengan amanah harta dan ilmu, amanah anak-anak dan kerjaya, amanah menjadi isteri atau suami, sudahkah kita menunaikan hak-hak mereka?
Allah tidak pernah meninggalkan secebis pun kenangan yang pernah kita buat sedangkan sehelai daun yang gugur pun Dia mencatat! Ya Allah tolonglah kami mengisi kisah panjang bernama kehidupan dengan amal soleh semata-mata mengharap Engkau kasihan!
Penulis : Dato Dr Haji Juanda Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly, Perunding Undang-undang Keluarga Islam merupakan kolumnis ruangan Keluarga Sakinah majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tidak dinafikan dalam bahagian ruang rumah, meja makan memainkan peranan penting dalam membentuk sesebuah keluarga yang harmoni dan berjaya. Jangan pandang remeh, ia hanya sekadar tempat menikmati makanan & minuman, malahan fungsinya sebenarnya lebih daripada itu. Ada sebabnya meja makan ini layak dijadikan ‘pusat pentadbiran’ dalam setiap rumah.
Jemput baca perkongsian ilmu yang bermanfaat daripadaDr. Kamarul Ariffin Nor Sadan ini, semoga menjadi panduan buat mak ayah dalam membina keluarga.
Berikut antara perkongsiannya;
MEJA MAKAN
Ni meja makan di rumah saya. Anda lihat susun atur atas meja tu. Pinggan plastik dan cawan plastik itu anak saya yang berumur 2 tahun yang susun.
Dulu, Ibubapa saya latih kami adik-beradik beberapa perkara.
1. Tempat Wajib Berkumpul
Bila tiba masa makan, tak kiralah kami lapar atau tidak, dah makan atau belum, kami kena berkumpul di meja makan di dapur. Pada hari minggu, minum petang dan makan malam adalah waktu wajib berkumpul. Pada hujung minggu, semua waktu makan adalah waktu wajib berkumpul.
2. Laporan Harian
Masa makan, adalah masa beri laporan harian. Belajar apa di sekolah, makan apa di sekolah, tonton kartun apa petang tadi, keputusan peperiksaan, dan sebagainya. Masa itu jugalah nak sampaikan pesan apa-apa. Cikgu suruh bawa kertas warna, tarikh mesyuarat PIBG, dan lain-lain.
3. Makan Apa Yang Dihidangkan
Apa sahaja yang dihidangkan, kami kena makan. Tak ada istilah, kalau lauk tu saya tak suka, saya akan dapat lauk gantian (contoh:telur goreng). Jangan berangan. Kalau kami keluar makan pula, kami selalunya akan order makan hidang, jarang ala-carte. Jika order ala carte, kami order makanan lain-lain, tapi pasti kami kongsi supaya semua orang dapat rasa.
Nampak macam ibubapa saya rigid, tapi sebenarnya ada banyak kebaikan dalam amalan yang mereka budayakan ini.
Kebaikan Amalan Ini;
[0] Adik beradik saya, semuanya jadi doktor(seorang masih pelajar perubatan).
[1] Jimat masa dan tenaga. Semua orang makan serentak, jadi perlu makanan hidang sekali dan cuci pinggan mangkuk juga sekali harung.
Di samping itu, waktu makan juga jadi teratur. Ini baik untuk kesihatan tubuh badan.
[2] Ada masa bersosial yang tetap. Aktiviti dan peristiwa harian dilaporkan kepada ibubapa setiap hari. Kerana laporan-laporan ini, ibubapa saya kenal hampir semua kawan-kawan saya dan adik-adik saya. Kami juga sentiasa sepakat dalam membuat keputusan.
[3] Adik-beradik saya tiada yang cerewet bab makan. Kami makan semua aneka lauk-pauk, kuih-muih, buah-buahan, sayur-sayuran, asalkan halal. Ketika anak saya berumur 6 bulan, ibubapa saya dah ajar anak saya rasa(bukan makan) makanan harian yang kami makan. Hasilnya, kini anak saya tak cerewet sangat bab makan. Peria pun dia makan.
Selain itu,
[4] Anak saya membesar lihat atok nenek dia, pakcik makcik dia, ibubapa dia makan pakai tangan dan pakai sudu garfu, jadi pada umur dia 1 tahun, dia dah mula belajar gunakan peralatan. Kawalan motor halus mula dilatih pada usia itu.
Umur dia 2 tahun, dia dah pandai pegang pensel dengan cara yang betul(macam orang dewasa pegang). Saya tak ajar bagaimana nak pegang, saya cuma perlihat macam mana saya pegang pensel.
[5] Pada umur 2 tahun setengah, anak saya dah tahu meja makan adalah tempat untuk berkumpul. Dia tahu bagaimana nak susun atur pinggan dan cawan di atas meja. Setiap hari, jam 10 pm, bila saya balik dari pada kerja. Anak saya akan teman aku makan malam. Tak kiralah dia dah makan ke belum, dia akan makan bersama, atau teman saya makan.
[6] Saya ada pembantu rumah. Selepas makan, pembantu rumah akan kemas meja. Jadi, selepas makan, anak saya akan ambil tisu dan lap meja. Kalau makan di luar pun, selepas makan, dia nak lap meja. Dia lap tak bersih pun. Yang penting dia faham konsepnya.
Pada saya, dalam setiap rumah, meja makan adalah pusat pentadbirannya. Di situlah, rezeki dinikmati. Disitulah diskusi dan perbincangan di lakukan. Disitu jugalah, budaya, disiplin dan sahsiah dibentuk.
Oleh itu, pastikan meja makan di rumah anda sentiasa kemas, bersih dan teratur. Semoga kita semua sukses!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Aktivis Meja Makan
Nota: Jika tiada meja makan, gantikan dengan tikar. Sama sahaja mujarabnya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan mak ayah dapat jadikan ia satu amalan serta mempraktikkan perkara yang sama didalam rumah.
Inilah istimewanya seorang wanita, sebaik bergelar isteri. Hidupnya bukan lagi untuk dirinya semata-mata, malah diserahkan kepada suami dan anak-anaknya. Sebab itulah isteri boleh ingat segala benda yang ada di rumahnya.
On the very first day dia jadi seorang isteri kepada suaminya, dia telah melakukan kehebatan demi kehebatan, satu persatu sehingga ke akhir hayatnya.
Dia serahkan diri dan seluruh kehidupannya kepada seorang lelaki yang asing. Dia sendiri pun tidak pasti adakah pilihannya itu tepat. Harapannya tinggi agar lelaki itu menjaganya sepenuh hati sehingga ke helaan nafas yang terakhir.
Dia sanggup menjadi suri di dalam rumah suaminya. Segala makan pakai dan urusan suaminya perlu diatur dengan sebaik mungkin. Segala perkara yang asalnya dia tak perlu ingat dan ambil tahu, pun dia akan ambil tahu. Semuanya dilakukan atas dasar sayang dan tanggungjawab.
Dia akan terjun sepenuhnya dalam keluarga besar suaminya. Dia kena ambil tahu bukan saja tentang siapa ipar duai dan biras-birasnya, tapi juga saudara-mara jauh dan dekat sebelah suaminya. Dan dia tidak pernah failed untuk mengingat siapa mereka semuanya.
Dia akan mengandungkan anak-anak suaminya satu persatu. 9 bulan 10 hari dengan segala penat, lelah dan alahan akan ditempuh dengan kesabaran. Tak pernah walau sedetik pun dia berenggang dengan perutnya. Sabar sungguh dia meniti hari demi hari menanti saat bayi akan dilahirkan.
Dia akan bertarung nyawa ketika melahirkan anak-anak suaminya. Antara hidup dan mati saat di bilik bersalin. Koyak kulit dan putus urat bermandi darah tak pernah dia kesahkan. Semuanya akan hilang saat mendengar tangisan bayi yang sekian lama didambakan.
Dia akan berikan sepenuh masa membesarkan anak-anak suaminya. Bermula dari tempoh menyusu sehinggalah si anak mampu berjalan dan berlari. Tak pernah satu pun permintaan anak-anak yang dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa dipenuhi. Ketika ini dunianya adalah anak-anak yang membesar di depan matanya.
Dia akan berjaga sepanjang malam bila anak-anak sakit. Kadang-kadang akan ambil cuti kerja untuk bawa anak-anak ke klinik. Sebab itu para ibu tidak boleh sakit. Kerana ada orang sakit lain yang mesti dijaganya sepenuh hati iaitu suami dan anak-anak.
Dia akan ambil tahu segala urusan anak-anak. Apa yang mereka belajar, siapa yang mereka berkawan, kerja rumah apa yang mereka dah pandai lakukan… dan macam-macam lagi. Pendek kata, takde wanita yang bergelar isteri dan ibu, maka tak teruruslah seluruh isi rumah.
Dia akan uruskan segala keperluan anak-anak bila suami tiada di rumah. Kalau terpaksa drive kereta, dia akan drive. Masuk kedai sini, panjat pejabat sana. Walau takut dan bimbang, tetap juga dia usahakan demi keperluan anak-anak.
Dia akan pastikan rumah sentiasa kemas, bersih dan teratur. Kalau takde orang nak tolong sekali pun, dia pasti akan buat sorang-sorang. Menyapu sampah, vacuum, mop lantai, basuh baju, jemur kain, lipat pakaian, basuh pinggan dan lain-lain. Penat dia, ditelan seorang. Nyenyak tidurnya kerana keletihan.
Dia akan masak untuk suami dan anak-anak pagi, tengahari dan petang. Walaupun kadang-kadang ada pembantu rumah, ada si suami yang tetap nak rasa hasil air tangan isterinya. Digagahkan juga walau penat macamana sekalipun.
Kalau dia seorang yang berkerjaya, dia akan melakukan banyak perkara dalam satu-satu masa. Kerja hakiki dibereskan dengan senang hati. Kerja rumah diselesaikan tanpa banyak bunyi. Inilah kehebatan tahap dewa yang tidak ternafikan oleh sesiapa sekalipun.
Dia mampu bertahan di saat cintanya diuji oleh suami yang nakal. Dia mampu bersabar di saat hatinya disakiti oleh anak-anak yang kurang ajar. Pedihnya dia tanggung seorang diri. Lagaknya seperti biasa seakan-akan menyembunyikan segala kepedihan.
Isteri Boleh Ingat Segalanya
Ini paling best. Dia akan ingat benda-benda kecil macam nombor, tarikh lahir dan tarikh special. Dia akan jumpa barang yang suami dan anak-anak terkial-kial mencarinya tak jumpa-jumpa. Dia akan ingat peristiwa lepas dengan baik.
Cumanya yang dia lemah sikit nak ingat ialah jalan nak pergi ke mana-mana. Yang tu memang dia perlukan seorang lelaki bergelar suami. Ngeh ngeh ngeh.
Sebab itu kita katakan isteri memang wanita hebat.
Hebat dunia hebat akhirat.
Wahai seorang wanita, darjatmu diangkat tinggi oleh Allah kerana kehebatanmu. Sehingga Allah meletakkan syurga hanya di tapak kakimu.
Syurga suamimu di telapak kaki ibunya. Syurga anak-anakmu di telapak kakimu. Kedua-duanya adalah kaki seorang wanita.
Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf seorang ibu 3 kali ganda lebih tinggi dari seorang ayah. Anak-anak mesti taat kepada ibu terlebih dahulu sebelum daripada taat kepada ayah.
Rasulullah SAW juga memberi tawaran yang tidak diberinya kepada orang lelaki.
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ
“Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”.
[Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith (4163), 471/9]
Ya Allah… jadikan isteri kami wanita yang solehah. Mereka menjaga solat 5 waktu. Mereka berpuasa pada bulan Ramadhan. Mereka menjaga maruah. Mereka taat kepada kami.
Ya Allah… masukkan isteri kami ke dalam syurgaMu yang paling tinggi dari mana-mana pintu yang mereka kehendaki.
Amin.
#KAB
Mingguan Wanita : Betul tu, bila suami atau anak-anak lupa. Isteri boleh ingat segalanya termasuk keperluan suami dan anak-anak.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...