Selalunya suami isteri kerap bergaduh bila melibatkan duit. Mulalah suami anggap isteri sebagai beban. Tanpa kita sedar, rezeki dalam hidup berumahtangga bukan hanya duit semata-mata.
Jangan anggap isteri beban sebab kita tak tahu, mungkin isteri menjadi asbab rezeki mencurah-curah. Percayalah, rezeki datang dalam pelbagai bentuk.
Malah, mungkin kita tak tahu bahawa isteri sangat berperanan dalam membuatkan suami bertambah rezeki. Ada rezeki yang datang itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi boleh jadi dilihat melalui kesihatan yang baik, cahaya mata, rumahtangga yang bahagia dan sebagainya.
Sebab itulah jangan anggap isteri beban mahu pun kedekut dengan isteri. Bila suami anggap isteri ini sebagai sumber asbab rezeki, percayalah ia akan jadi magnet rezeki untuk suami. Seperti apa yang dikongsikan oleh Ju Wan ini.
Memilih isteri itu ibarat memilih akhirat kamu. Jadi pilih yang sebaik nya. Baik untuk dunia dan akhirat.
“Kalau awak rasa isteri itu beban, maka ia akan jadi beban dalam hidup. Tapi kalau awak anggap isteri sumber asbab rezeki, ia akan jadi ‘magnet rezeki’.”
Nak rezeki sentiasa datang, dahulukan isteri lebih dari orang lain. Sebab bidadari kita tak pernah berhenti mendoakan dan dia adalah punca rezeki dalam rumahtangga.
Ads
Jantung sebuah rumah adalah seorang isteri. Jika hatinya tak bahagia, maka seisi rumah akan kena tempias nampak tak bermaya.
Maka, para suami, sayangi isterimu agar dia sentiasa gembira dan berdoa untuk kita.
“Syukur pada Allah pemberi rezeki. Tiada yang boleh beri sesuatu melainkan Allah. Terima kasih Allah.”
Sahabat-sahabat sekalian,
Belanja atas isteri dan keluarga sedekah paling besar nilainya. Nafkah wajib. Apa yang kita suka untuk diri, itu juga yang kita kongsikan dengan isteri.
Buat isteri gembira, rezeki datang. Buatkan isteri rasa dihargai, rezeki melimpah. Sentiasa buat isteri seronok, rezeki datang tak disangka.
Ads
Jika terasa rezeki sempit, usah risau. Perbaiki hubungan dengan isteri dulu. Periksa mana yang terkurang. Gembirakan hatinya. insya Allah, awak akan lihat rezeki datang dalam bermacam bentuk rupa.
“A successful marriage requires falling in love many times, always with the same person.”
Begitulah.
Mingguan Wanita : Inilah yang selalu ditekankan dalam rumahtangga. Gembirakan hati isteri, insya Allah rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Percayalah.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Ads
https://t.me/bangkitwanitaMW
Antara kursus-kursus asas yang dijangka mampu melahirkan peserta yang berkemahiran dan boleh terus dipraktik dalam perniagaan ialah:
JOM PANDAI BAKERI. BUAT DUIT JUAL KEK DAN ROTI. Peserta akan mengadun dan membakar sendiri adunan agar dapat kenal pasti formula menghasilkan satu adunan sempurna bagi kek dan roti.
Cookies Viral Legend. Jual cookies Paling Masyuk! Orang Malaysia meang suka makan. Cookies atau biskut tidak lagi laris hanya menjelang hari raya. Permintaan cookies memang tinggi dan belajar membuat cookies popular atau sedang trending ketika ini merupakan langkah bijak.
Bila dua-dua bekerja, ramai suami terlepas pandang untuk tunaikan hak isteri. Bukan tak mampu tetapi pandang remeh sebab isteri sudah ada pendapatan sendiri.
Inilah yang menjadi masalah bila isteri bekerja, niat awal isteri cuma nak cari duit tepi untuk beli kehendak sendiri akhirnya bertukar menjadi pelengkap beli barang dapur. Diam-diam suami mula lepas tangan dan langsung tak bagi duit pada isteri.
Agak-agak cara ini adil tak dan isteri redha? Haa… kalau isteri itu redha alhamdulillah, tetapi kalau sebaliknya, suami kena betulkan. Nah, sebelum terlambat dan terpesong lebih jauh, jemput hadam perkongsian saudara Firdaus Shakirin.
Tak Tunaikan Hak Isteri
Dulu mula-mula kahwin, gaji RM1800 ja…
Cukup ke tidak ni nak bela anak orang, perbelanjaan dan komitmen berumahtangga tak sama macam hidup bujang.
Masa bujang, tengah-tengah bulan atau time sengkek, balun megi dengan roti je. Tak kan nak bagi anak orang pun makan megi, makan roti je? Hmmm… banyak yang difikirkan sebelum nak berkahwin dulu. Mental dan fizikal dah bersedia, cuma takut poket ja tak mampu nak tanggung isteri.
Kahwin juga, kemudian dalam 2,3 bulan pertama tu, masih ada duit baki kenduri dan ada sedikit duit saving. So boleh survive macam biasa. Masuk bulan keempat, kelima, rasa macam ngam-ngam je ni. Tengok dompet, boleh tahan sampai gaji ke tidak ni?
Yelah, gaji banyak tu je, plus ot dalam 2, 3 hari, tolak pula duit sewa umah, ansuran kereta, minyak kereta, beli barang dapur, bayar bil, bakinya berapa je yang tiggal. Lepas itu kena bagi duit belanja kat isteri lagi. Isteri bekerja juga time ni.
“Ayang, duit abang tinggal RM100 je lagi.”
Saya berterus terang dengan wife, baki duit tiggal banyak tu saja. 2 minggu lagi gaji… wife kata, tak apa, duit dia ada lagi, guna duit dia. Terus dia hulur 300.
”Kalau tak cukup, bagitau la ayang.”
Malu nak ambik, sebab itu duit bini, tapi dah nak kena guna, ambil juga la.
“Nanti abang bayar balik.”
Saya cakap kat wife, dia tak kata apa pun, guna la duit yang dia bagi tu smpai gaji.
Dapat saja gaji, saya nak bagi balik duit dia, dia kata tak apa, tak payah bagi. Dia bagi kad bank dia, dia cakap “abg manage kewangan keluarga kita, guna apa yang ada dalam kad tu.”
Pendapatan Isteri Lebih Tinggi
Gaji dia masa tu dalam RM2k lebih, tinggi dari saya, saya dah dia bagi kebenaran macam tu. Dan saya fikir-fikir kalau guna gaji seorang sahaja memang tak lepas nak bayar komitmen/hutang-hutang, so saya combine gaji kami berdua, setel bayar hutang-hutang.
Contoh total = 3.5k, tolak sewa umah, duit kereta, duit minyak, duit bil utility, belanja barang dapur, topup semua, tinggal la baki dalam 1.2k. Saya bagi dia 1k, saya ambik 200.
“Kenapa saya 1k, abang 200?”
“Abang guna 200 ni dulu, kalau tak cukup, abang mintak lagi…”
Awal-awal kahwin, agak struggle juga bab kewangan ni. Mana-mana pasangan pun mungkin akan hadapi perkara yang sama sementara nak terbiasa.
Nasihat saya, sebagai suami, usahakan dulu bayar apa yang menjadi kewajipan kita, tunaikan dulu hak-hak isteri. Hak yang sepatutnya dia dapat. Cukup, tak cukup duit kita tu, belakang kira dulu janji kewajipan kita dah tunaikan.
Akhirnya Makin Stabil
Kini, setelah melalui semua kesusahan dan kepayahan tu, boleh saya katakan, saya dah mampu bagi balik apa yang isteri bagi pada saya dahulu. Dengan anak 3, dengan dirinya yang dah tak perlu bekerja, suri rumah sepenuh masa, hidup pun dah berubah, ekonomi dan kewangan keluarga pun dah makin stabil, saya rasa, saya dah berjaya dalam menjadi seorang suami. Saya dah mampu untuk tanggung dan menyara keluarga kecil kami dengan apa yang ada.
Kepada suami di luar sana, laksanakan dulu kewajipan-kewajipan kita seboleh-bolehnya dan semampunya, kemudian InsyaAllah kita akan memperoleh ganjaran daripada setiap apa yang kita dah lakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bercinta bagai nak ‘rak’ tetapi akhirnya berpisah. Jawapan paling mudah ‘tiada jodoh antara kita’. Berpisah tanpa ada anak, tidak menimbulkan sebarang masalah sebab mereka boleh membawa haluan masing-masing dan mungkin dapat membina hidup yang baru.
Tetapi bagaimana pula berpisah dengan mempunyai anak, bukan seorang tapi dua atau tiga orang anak. Keliru dan bingung. Anak-anak pula tidak tahu mana satu ingin diikut, ayah atau ibu. Akhirnya, berpisah, seorang ikut ayah dan seorang ikut ibu. Sedih bila memikirkan perkara ini, Anak-anak yang menjadi mangsa.
Ada kebanyakan bapa faham, orang yang selayaknya untuk menjaga anak-anak, tentunya ibu. Tetapi, tidak kurang juga sesetengah kes yang berebut jagaan anak. Kupasan lanjut tentang topik ini bersama Tn Khairul Fahmi Ramli, Peguam Syarie Penang, Kedah, Perlis dan Perak.
Faktor Anak-anak Terpisah
Antara faktor-faktor yang menyebabkan anak-anak terpisah dan perlu diputuskan di mahkamah ialah:
Keegoan Ibu Bapa
Bila ibu dan bapa berpisah, anak-anak itu akan jadi ‘subject matter’ untuk melepaskan nafsu marah antara satu sama lain. Secara tidak langsung, anak-anaklah yang menjadi mangsa atas keegoan ibu bapa. Lebih teruk lagi, sukar untuk mereka berjumpa antara satu sama lain.
Umur Mukallaf
Dalam undang-undang, anak yang sudah mukallaf iaitu bagi lelaki berumur tujuh tahun ke atas dan perempuan berumur sembilan tahun ke atas, boleh menentukan pilihan masing-masing untuk tinggal bersama ibu atau bapa. Walaupun itu bukan keutamaan sebelum mahkamah benarkan pilihan dilakukan, tetapi selalunya, memang ada yang memilih untuk tinggal bersama bapa dan ada yang memilih untuk tinggal bersama ibu.
Diculik Sebelum Perintah Keluar
Apabila berlaku perceraian, tidak akan ada sebarang perintah jagaan dikeluarkan di mahkamah sehinggalah timbul isu dan salah satu fail kes jagaan anak di mahkamah. Namun begitu, masalah yang sering berlaku apabila kes ini mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Jadi, inilah yang menyebabkan salah satu pihak yang tidak bertanggungjawab akan ‘menculik’ anak mereka daripada pihak satu lagi. Akhirnya, anak-anak pula yang menjadi mangsa.
Hasutan Keluarga
Masalah ibu bapa bercerai tidak menjadi persoalan tetapi keadaan lebih rumit apabila ia melibatkan ahli keluarga yang lain. Biasanya, ibu bapa mentua turut menjadi isu kerana tidak sanggup berpisah dengan cucu kesayangan.
Ibu Bapa Berkahwin Lain
Selain itu, faktor ibu bapa terpisah disebabkan ibu atau bapa mereka sudah berkahwin dengan pasangan lain. Lebih merisaukan lagi, bila pasangan yang dikahwini itu mempunyai anak tiri bersama. Ada sesetengah pula, bapa akan mengambil anak lelaki dan membiarkan anak perempuan bersama ibu.
TINDAKAN TERBAIK
Jangan kerana perpisahan ibu bapa, anak-nak jadi mangsa. Cuba fikir sejenak dan lakukan perkara ini:
Kurangkan Ego
Nafsu marah dan ego setiap pasangan yang berpisah hendaklah buang jauh-jauh. Jangan kerana angkuh, anak-anak menjadi mangsa. Kasihankan perasaan anak-anak. Kesihatan mental dan fizikal mereka mampu terjejas apabia ada perpisahan dengan adik beradik. Jangan sampai ego ibu bapa, masa depan anak hancur.
Bincang Secara Baik
Walaupun mungkin perlu turun naik mahkamah, penyelesaian secara baik itu adalah paling utama. Hitam putih itu adalah sekadar panduan dan paling penting hitam putih itu dapat diterjemahkan dalam bentuk rundingan damai. Anak-anak juga tidak akan berpisah kerana perintah mahkamah.
Sabar Tunggu Keputusan
Meski pun kita tahu, proses undang-undang ini ada prosedur yang perlu diikut dan dituruti, yang paling penting adalah kesabaran. Sabarlah dalam berjuang untuk keadilan di mahkamah. Tidak perlu sampai untuk ‘menculik’ perasaan anak-anak sehingga memisahkan adik-beradik.
Sokongan Keluarga
Sebagai ibu bapa mertua, sepatutnya perceraian anak-anak itu tidaklah melibatkan kepada perpisahan cucu-cucu. Bagi peluang dan ruang kepada anak yang bercerai itu untuk mereka kendalikan masalah mereka.
Sokongan moral yang baik kepada anak-anak supaya cucu kita sentiasa terbela kebajikannya meski pun bercerai. Keluarga ini sifatnya perlu membantu, maka bantulah sekadar yang mampu.
Kesimpulan
Kita perlu ingat, dalam menentukan jagaan anak, mahkamah akan pertimbangkan tentang kebajikan anak-anak daripada pelbagai sudut. Salah satu daripadanya adalah, terjejas atau tidak jika anak-anak itu berpisah.
Fikirkanlah kebajikan anak-anak walaupun bercerai. Jangan sebab ibu bapa yang bercerai, anak-anak jadi mangsa. Anak-anak juga ada perasaan sayang.
Assalamualaikum Puan. Saya berusia 34 tahun dan sudah lapan tahun berkahwin. Terus terang, wanita mana yang tak nak bergelar ibu, mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun, rezeki belum memihak pada saya. Tapi saya paling sedih bila suami sendiri menuduh saya mandul!
Berusaha Untuk Dapatkan Zuriat
Pelbagai usaha dah saya buat. Pergi berurut, makan jamu itu ini, bahkan jumpa doktor pun sudah. Itu semua saya lakukan selepas dua tahun berkahwin. Mengikut perubatan moden, doktor cakap saya tak ada apa-apa masalah, bermakna saya tak mandul. Jadi, saya anggap Allah belum nak bagi rezeki pada saya.
Dalam masa yang sama, suami tak pernah ikut saya menjalani apa-apa perubatan sama ada tradisional atau moden. Katanya, saya yang patut pergi berubat kerana saya yang akan mengandung, bukan dia. Lagi pula katanya, dia yakin dirinya subur kerana adik beradiknya ramai, lapan orang. Bahkan adik beradiknya yang dah berkahwin juga anak ramai. Hanya dia yang belum ada anak. Walau pun terkilan, tapi saya tak boleh buat apa.
Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati terkilan masih menebal kerana suami tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu. Jadi, apa lagi yang saya patut buat? Kenalah reda.
Keluarga Mentua Pandang Serong
Masuk tahun kelima, saya makin tertekan, bukan sebab suami saja, malah keluarganya juga. Mak mentua saya terutamanya, sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, mandul. Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tak ada masalah. Siapa kita nak menidakkan takdir?
Saya mula kurang balik ke rumah keluarga suami kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.
Berubah Sikap
Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal yang memiliki dua orang anak. Orangnya memang peramah dan sekejap saja kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
Saya tak tahu sebenarnya macam mana ia bermula. Tapi saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Memang saya pun melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka teramat baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Malah dia yang meminta dirinya dipanggil ‘papa’.
Mulanya saya tak kisah kerana memikirkan mungkin suami ingin rasa seperti memiliki anak sendiri. Tapi saya dapat ‘mengesan’ sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua.
Berpindah
Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Hairan juga kerana hubungan saya dan Z rapat juga, takkan soal pindah pun tak diberitahu? Saya cuba telefon pun tak dijawab oleh Z.
Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Biasanya saya tak ambil peduli tapi entah mengapa saya terlintas hati nak tengok? Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami. Walau pun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Puan, Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih – macam-macam berbaur di hati.
Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z. Kata-kata terakhirnya mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikan dia zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.
Minta Cerai
Puan, saya tak dapat terima dan minta cerai. Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu, saya sangat sedih. Betul ke saya mandul atau dia yang mandul? Saya sudah pun membuat permohonan cerai dan akan naik mahkamah tak lama lagi. Suami masih memujuk saya untuk menarik balik permohonan. Puan, walau pun saya tekad cerai tapi saya masih sayangkan suami. Namun, hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang saya anggap rakan di belakang saya.
Ida, KL
Jawapan:
Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh kongsikan kesemua aspek dalam kehidupan, seperti kewangan, minda, perasaan dan emosi, kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima kekurangan pasangan, menghargai kelebihan pasangan dan sebagainya.
Onak Dan Duri
Jika ini tercapai, ia merupakan tahap kebahagiaan yang ideal yang didambakan oleh pasangan, khusus buat isteri. Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah yang diimpikan. Onak duri, ombak badai mainan harian. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi dan sukar menerima pasangan seadanya.
Puan yang dirahmati Allah. Saya memahami perasaan puan tentang keinginan memiliki anak sendiri, namun Allah belum kurniakan. Ada pasangan yang saya lihat, telah berkahwin hampir 15 tahun, namun tidak dikurniakan anak. Suaminya ada wanita lain yang ingin dikahwini. Isterinya mohon untuk dilepaskan. Dia bersetuju untuk menceraikannya. Setelah idah, isterinya berkahwin lain dan setahun lepas itu dia dikurniakan anak dalam usia 35 tahun. Manakala bekas suaminya setelah usia kini hampir empat tahun berkahwin lain tetapi masih belum dikurniakan anak.
Perancangan Allah Yang Terbaik
Kadang-kadang perancangan Allah kita tidak tahu, yang mana perancangannya adalah lebih baik daripada yang kita rancang. Memang sukar untuk puan menerima tuduhan suami setelah pemeriksaan dijalankan bahawa puan adalah sempurna.
Saya kurang pasti adakah puan dan suami mahu mengambil anak angkat. Dalam keadaan suami telah ada wanita lain untuk dikahwini, mungkinkah puan tidak berhasrat ke arah itu? Tahukah puan ramai dalam kalangan pasangan yang tidak dikurniakan zuriat mengambil anak angkat sebagai penghubung kasih antara suami isteri.
Kini, puan telah pun mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami. Jika puan sudah bertekad, adakah puan telah bersedia ke arah itu? Pun begitu, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
Ego Lelaki
Apa yang suami lakukan tidak mustahil dilakukan oleh lelaki lain. Alasan itu boleh pelbagai. Keegoan suami juga adalah sesuatu yang normal kepada seorang lelaki yang bergelar suami. Sukarnya seorang lelaki menerima kenyataan bahawa dia adalah mandul, samalah seperti wanita tidak dapat menerima hakikat berpoligami, mungkin lebih lagi kerana keegoan seorang lelaki sememangnya begitu.
Sebab itulah jarang suami yang mahu membuat pemeriksaan sama ada dia normal atau tidak. Justeru, tidak perlu kita mempertikaikan siapa yang normal atau tidak. Reda dengan ketentuan Allah. Jika ditakdirkan puan berpisah dengannya, dan dia dikurniakan zuriat dengan wanita lain, Alhamdulillah, doakan yang terbaik untuk suami.
Jika ditakdirkan dia tidak mahu menceraikan puan dan dia memiliki anak dengan wanita lain, puan berdoalah agar puan juga dikurniakan anak seperti madu puan. Jika puan berjaya dalam proses tuntutan cerai, maka jalanilah kehidupan dengan lebih bermakna. Masa bercerai mungkin masing-masing boleh memikirkan apakah masing-masing mampu untuk hidup berasingan? Dan puan pula bersendirian?
Kahwin Lain
Pada masa ini tidak dinafikan puan mahu berpisah dengan suami kerana dia telah ada wanita lain dan suami pula menganggap puan yang tidak mampu melahirkan anak. Namun apabila bercerai belum tentu puan dapat meneruskan kehidupan tanpa suami, melainkan puan bertemu dengan lelaki lain dan berkahwin serta mempunyai anak.
Masing-masing boleh membina kehidupan sendiri. Yang penting bersangka baik dan positif terhadap ketentuan Tuhan. Puan tidak tahu dalam keadaan mana yang terbaik kan? Kerana ia belum berlaku dan tidak pasti adakah ianya bakal berlaku, melainkan hasrat suami yang mahu berkahwin lagi yang jelas akan berlaku.
Pandang Hikmah
Justeru, pertama sekali, berlapang dada. Jika puan teruskan hasrat itu, puan tetap berlapang dada dan berbaik sangka dengan suami. Sama jua berbaik sangka dengan keluarga suami. Anak hanya anugerah Allah yang merupakan amanah, perantara hubungan suami isteri untuk lebih bermakna. Namun, jika Allah tidak anugerah pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.
Walau apapun yang bakal berlaku, sentiasalah berlapang dada, reda dan berbaik sangka. Untuk mendapatkan ini pastinya hubungan puan dengan Allah perlu rapat. Solatlah malam, berdoa, solat awal waktu, solat sunat, solat hajat agar Allah makbulkan hajat puan dan jika Allah tidak makbul pun, ada hikmah yang kita sendiri tidak tahu. Pelbagai aktiviti dalam kehidupan, kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki. Saya mendoakan agar puan diberi kekuatan menghadapi ujian ini.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor dan penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...