Kos hidup yang tinggi di bandar membuatkan pasangan berkeluarga terpaksa ‘menyekat’ keinginan yang diperlukan. Ada juga dikatakan perbelanjaan melebihi pendapatan sehingga pasangan suami isteri ini sanggup berhutang.
Dalam mengulas lebih lanjut tentang topik ini, Dr Hj Mohd Nor Mamat mengatakan hukum berhutang asalnya adalah harus terutama apabila ada keperluan yang memerlukan modal ataupun harta untuk digunakan dalam kehidupan kita.
“Malah Islam menggalakkan kita supaya bantu- membantu dan salah satunya adalah memberi hutang kepada mereka yang memerlukan. Walau bagaimanapun, berhutang untuk tujuan memenuhi keinginan tambahan seperti perhiasan atau semata-mata untuk bermewah-mewah, ia tidaklah digalakkan dan boleh menjadikan diri kita terbiasa dengan sikap berhutang. Akhirnya membebankan untuk kita membayar balik,” terangnya.
Tahu Tujuan Keperluan
Ada sesetengah perbelanjaan diharuskan untuk berhutang. Contohnya, dengan tujuan menjaga keselamatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda kita. Inilah dinamakan tujuan-tujuan keperluan dalam kehidupan kita ataupun maqasid syariah.
Ia juga tertakluk kepada pertimbangan tahap keperluan sesuatu yang diinginkan dengan berhutang tersebut, iaitu perkara keperluan asasi sahaja (dharuriyyat) seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, kenderaan dan pendidikan asas.
Manakala keperluan berbentuk bermewah-mewah dan tujuan menambah keselesaan (hajiyyat), sepatutnya kita elakkan daripada berhutang. Apatah lagi, sekiranya untuk sekadar penambahan yang tidak diperlukan ataupun untuk perhiasan semata-mata (tahsiniyyat).
Pertimbangan keutamaan yang perlu didahulukan adalah untuk menentukan keperluan berhutang. Contohnya, dalam menyediakan makanan 3 kali sehari, tempat tinggal untuk keluarga sama ada sewa mahupun beli, pakaian untuk dipakai seharian (tidak termasuk untuk berhias-hias ke majlis tertentu). Kita dibenarkan berhutang sekiranya kita tidak mampu menyediakan perkara asas begini.
Namun tidak dinafikan, wujud keadaan yang boleh tukar terma pendapatan berkala ataupun gaji bulanan kita dalam bentuk pendahuluan sebagai hutang. Contohnya, membuat pinjaman tunai dengan terma pembayaran ansuran bulanan secara potongan gaji secara tetap. Ini termasuk dalam hutang yang tidak membebankan atau yang disuruh segerakan pembayarannya seperti hutang biasa. Walau bagaimanapun, ia perlulah secara terancang dan ikut kemampuan.
Apa Patut Suami Isteri Lakukan?
Pada sudut psikologi, isteri mencadangkan pembelian manakala suami membuat keputusan. Ia lebih seimbang kerana fitrah isteri mudah cenderung kepada keperluan perhiasan manakala suami pula lebih cenderung kepada keperluan asas.
Sebagai isteri:
Elakkan daripada suka meminta-minta kerana ini disebut dalam kitab Muhimmah sebagai sikap wanita yang buruk dan tidak disukai oleh suami. Malah Rasulullah s.a.w juga berpesan tentang larangan supaya isteri jangan suka meminta-minta sesuatu apatah lagi di luar kemampuan suami.
Sebagai suami:
Haruslah diutamakan harta yang da untuk mencukupkan keperluan keluarga terlebih dahulu sebelum menggunakannya bagi tujuan lain, sehingga keperluan keluarga pula yang terbeban dengan hutang. Rasulullah s.a.w pernah menyebut tentang pemberian yang paling baik oleh seorang lelaki adalah kepada isterinya.
Sebagai isteri:
Sarankan harta untuk membantu suami kurangkan bebanan hutang, bukannya menambah hutang dengan keinginan dan permintaan keperluan anda.
Sebagai suami:
Kadang kala anda tidak tersedar yang anda memikirkan logik keperluan semata-mata sehingga menafikan fitrah keinginan isteri anda yang Allah SWT ciptakan dengan kecenderungan kepada perhiasan. Inilah hikmah ketentuan Allah dalam Al Quran bahawa perhiasan itu hanya untuk wanita sahaja.
Usah Terjerumus Dengan Masalah Hutang
- Biasakan diri dengan kehidupan berpada-pada dan bersederhana (wasatiyyah) agar tidak terikut tabiat hidup bermewah-mewah.
- Jangan biarkan hidup anda terikut-ikut atau meniru gaya hidup orang lain yang lebih kaya kerana ia menjadikan anda sentiasa tidak cukup dan keluh kesah.
- Dalam hal ibadat, pandanglah mereka yang lebih banyak beribadat agar kita cemburu untuk memperbanyakkan ibadat tetapi dalam hal harta, pandanglah mereka yang lebih miskin agar kita lebih berpada dan bersyukur.
Tip Belanja Berhemah
- Biasakan beli secara tunai dan tepat dengan kemampuan semasa.
- Merancanglah untuk membeli agar dapat dipertimbangkan keutamaan berdasarkan kepada kemampuan kewangan.
- Berbincang sekiranya membabitkan pembelian perkara besar ataupun dalam hal keperluan berhutang, supaya ada pro dan kontra.
- Belilah sesuatu dalam kemampuan untuk membayarnya dan berhutanglah pada kadar yang mampu dibayar dalam tempoh terancang.
- Elakkan berhutang dengan mengharapkan tuah masa depan untuk membayar balik, ataupun dengan mengharapkan perubahan keadaan ekonomi yang lebih baik. Islam tidak membenarkan kita bergantung kepada tuah, nasib ataupun kemungkinan semata.
Saranan Buat Suami Isteri
- Mahirkan diri dengan skil pengurusan kewangan mengikut keutamaan (fiqh awlawiyyat), perkara dharuriyyat(sangat perlu), perkara hajiyyat (memudahkan) dan perkara tahsiniyyat (aksesori).
- Jadikan amalan yang berterusan dengan berdoa setiap selepas solat agar dimurahkan rezeki, diberi keberkatan hidup dan dihindari daripada bebanan hutang.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI