Tujuh tahun lalu ketika putera puteri sulungnya yang juga pasangan kembar memerlukan perhatian, Wahidah Azizan 36 sedang sarat mengusung buah cinta kedua. Di saat dia memerlukan sokongan sang suami, perkahwinan yang dibinanya mencapai titik noktah ketika kehamilan keduannya berusia lima purnama.
Dalam pada masa yang sama, anak pertamanya pasangan kembar Harith dan Hana ketika itu baru berusia dua tahun. Tipulah tiada air mata yang tumpah kala gelaran itu dianugerahkan kepadanya. Menurut wanita cekal ini lagi, dia tidak punya ruang waktu yang lama untuk terus menerus melayan emosi dan terus rebah.
Ujian yang mengujinya dihadapi sebaiknya…dan demi tiga permata hati Wahida terus kental membahagiakan cinta hati dunia akhiratnya. Kebetulan ketika dia ditimpa musibah ini, wanita kelahiran Taiping, Perak ini sedang menghabiskan pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi di UiTM Shah Alam, Selangor. Rutinnya selaku pelajar jarak jauh, hamil dan ditinggalkan tidak membuatkan Wahidah ‘jatuh’ selamanya.
“Saya bergelar ibu tunggal pada tahun 2012 sewaktu kandungan kedua berusia lima bulan. Masa itu saya sedang menghabiskan semester akhir PJJ Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi di UiTM Shah Alam. Sebaik selesai membuat pembentangan tesis, tiga hari kemudiannya saya melahirkan Hani yang kini berusia tujuh tahun.
“Ketika itu, Datin Doktor Mimin Tarmini (doktor Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Pantai, Ipoh, Perak) menasihatkan saya supaya membuat penangguhan satu semester merujuk kepada keadaan saya. Beliau benar-benar memahami kesukaran saya dan bimbang saya tidak boleh menangani tekanan memandangkan saya sedang sarat hamil dan bergelut dengan peperiksaan penting serta menghabiskan baki satu semester akhir di UiTM.
“Sejujurnya paling sukar adalah menguruskan emosi sendiri, menyiapkan tugasan akhir serta menjaga anak kembar yang ketika itu berusia dua tahun dan saya sarat mengandung ketika itu,”kongsinya tentang episod lelah yang mengajarnya untuk terus kuat mengharungi hari-hari mendatang.
Ads
Wakeup call
USAI melahirkan Hani, Wahidah kembali menguruskan saki baki tesis dan menduduki peperiksaan. Tidak seperti pelajar lain, dengan memakai pakaian yang sesuai untuk ibu berpantang dan lengkap berstokin Wahidah berjaya menyelesaikan peperiksaan akhirnya dengan jayanya.
“Dalam hidup ini, langsung tidak ada benda yang dicipta secara kebetulan, memang semuanya telah Allah aturkan. Perkara pertama yang saya buat ialah, pujuk diri terima kenyataan. Tanyalah mana-mana orang didunia ini, pasti setiap orang diuji. Jadi, mohon kepada Allah untuk kuat dan menerima kenyataan . Menangis bukan bermakna kita lemah .Menangis ternyata mampu memberi kelegaan . Berulang-ulang kali saya ingatkan diri sendiri akan ada hikmah yang besar atas ujian ini.
“Sayu hati apabila mengenangkan bapa saya terutamanya yang sanggup mengambil cuti dan menghantar saya ke Shah Alam untuk menghadiri kelas. Di usia dia yang tak secergas dahulu, saya bersyukur bapa dan ibu tak pernah membiarkan saya sendirian. Adik-adik juga begitu, masing-masing saling membantu serta tak pernah lokek dengan anak saudara mereka.
“Sejujurnya bukan senang untuk bangkit sekelip mata. Sesiapa pun kalau berada di dalam ‘kasut’ saya baru faham betapa peritnya untuk bangkit. Apabila saya down, kawan-kawan rapat sering menitipkan pesanan keramat ini… “kesian anak-anak, dapat emak lemah dan tak bersemangat macam Wahidah…”. Kata-kata itu umpama wakeup call untuk saya supaya terus kuat,”kongsinya menerusi e-mel.
Membaca rawati luka jiwa
Selepas bercerai Wahidah meneruskan hobi membacanya. Buku-buku berbaur motivasi menjadi makanan jiwanya. Dua naskhah buku yang benar-benar dekat dengan dirinya menjadi suntikan semangat buat puteri sulung daripada enam bersaudara ini.
Ads
“Selepas bercerai, saya gemar membaca. Dalam banyak- banyak buku , ada dua buah buku yang sangat membantu dalam memberi kekuatan kepada saya. Pertama adalah buku Ustaz Pahrol Mohd Juoi bertajuk “Dimana Dia Dihatiku”. Buku ini sangat baik untuk mereka yang dalam keadaan sangat sedih .
“Antara tulisan yang sangat dekat dengan saya terkandung didalam buku ini ialah “Jangan biarkan diri disengat oleh tragedi yang sama dua kali…pertama ketika mengalaminya, kedua ketika hati mengenangnya”. Ustaz Pahrol menulis lagi, “Tidak ada orang yang mampu menanggung beban hari esok, ditambah beban kelmarin untuk dipikul pada hari ini . Dua beban dalam satu masa akan menghantar manusia ke lembah sakit jiwa”.
“Buku Penulis terkenal, Abdul Latip Talib bertajuk “Sultan Muhammad Al Fateh” ternyata sangat memberi inspirasi kepada saya. Kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh menakluki Konstantinople walaupun begitu banyak kepayahan sangat mengagumkan. Maka dengan itu saya mengambil iktibar , tentu sekali saya boleh menempuh kepayahan dan kesulitan selagi saya berusaha dan yakin kepada Allah seperti Sultan Muhammad Al-Fateh,”ceritanya.
Cinta hati 3H
HARITH, Hana dan Hani adalah tiga permata hati kesayangan Wahidah. Demi mereka Wahidah menyerahkan sebulatnya perihal rezeki dalam membesarkan mereka. Benarlah kata-kata mengenai ajaibnya kuasa doa. Ada waktunya rezeki untuk anak-anak hadir dari sumber tak diduga. 3H adalah nyawa dan sumber kekuatan Wahidah.
“Sumber kekuatan tentu sekali anak-anak. Saya mahu menyediakan yang terbaik untuk anak anak saya. Perkara yang paling menakutkan saya adalah apabila ramai yang mengatakan anak-anak yang ibu bapanya bercerai akan bermasalah. Jadi, saya nekad untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak dalam kadar kemampuan saya.
Ads
“Selain menghantar anak-anak ke sekolah rendah agama swasta, saya juga menghantar anak-anak ke program tambahan seperti kem motivasi , kelas renang mingguan dan kelas asas mewarna.
“Saya juga menjadikan aktiviti bercuti bersama anak- anak dan keluarga sebagai waktu untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama. Saya mahu anak- anak gembira dan mereka dapat menimba pengalaman. Sebagai anak sulung sebolehnya tidak mahu menyusahkan mak dan abah walau apa pun masalah yang saya hadapi. Tapi seperti biasa, mak abah pasti akan prihatin jika saya menghadapi apa-apa masalah. Saya nekad untuk berusaha bersungguh-sungguh supaya tidak menyusahkan banyak pihak.
Kuasa doa
Wahidah kreatif mengalihkan kesedihan dengan menceburi dunia niaga baru bagi menambahkan pendapatan.
“Saya mengalihkan kesedihan dengan melakukan perkara-perkara yang saya suka seperti menulis blog, bisnes coaching, ,membaca dan membawa anak-anak bersiar-siar. Jauhi perkara-perkara yang menyedihkan dan mengganggu emosi .
“Satu lagi yang tidak dapat saya nafikan ialah doa anak-anak. Doa kanak-kanak tiada hijab, dan diterima Allah. Adakala saya meminta anak-anak yang membacakan doa , memohon apa yang mereka mahu dan minta mereka doakan saya.
“Apabila diuji begini , saya belajar erti tawakal sebenar. Ini menjadikan saya lebih berserah kepada Allah dan tidak terlalu susah hati atas setiap perkara. Yang penting, Kita buat bahagian kita, Allah akan uruskan yang lain. Jangan buat kerja Tuhan, memikirkan tentang perkara diluar pengetahuan dan kemampuan kita.
“Jangan fikir tentang apa yang kita tak ada. Hargai apa yang kita ada waktu ini. Berikan yang terbaik , buat dengan ikhlas, Insyallah itu akan menambah kegembiraan kita. Kita manusia biasa. Kita pasti akan buat silap . Namun apa yang penting ialah belajar dari kesilapan,”kongsinya semoga mereka yang membaca kisahnya terinspirasi dan terus bangkit dari kesedihan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“7 tahun kerja di Australia, balik sini isteri tuntut cerai.” Hilang keluarga, lesap harta benda. Sedihnya inikah balasan buat jasa yang ditabur oleh seorang suami.
Berat mata memandang, berat lagi bahu suami ini menghadapi kenyataan yang pahit ini. Tidak dapat bayangkan apakah perasaan sang isteri, tiada sekelumit ke rasa bersalah pada suami.
Ikuti perkongsian Puan Farizal Radzali ini dan hadam baik-baik mesej yang cuba disampaikan di sebalik kisah ini.
7 Tahun Kerja Di Australia
Kisah untuk renungan.
Ada klien kami, seorang lelaki yang bergelar suami, bekerja di Australia sebagai pemetik buah. Dia mempunyai isteri dan seorang anak di Malaysia.
Setiap bulan, dia akan masukkan duit ke dalam akaun si isteri.
7 tahun dia bekerja di sana. Duit belanja yang dihantar ke Malaysia memampukan si isteri membeli secara tunai, sebuah rumah yang diletakkan di atas nama isteri. Kerana dia tiada di Malaysia ketika perjanjian ditandatangani.
Akaun bersama dia dan suami ditukar kepada nama isteri seorang, atas alasan suami tiada di Malaysia untuk uruskan akaun tersebut.
Dan setelah 7 tahun, dia pulang ke Malaysia.
Si isteri memohon cerai. Anak langsung tak nak kepada ayahnya.
Anak isteri hilang, harta benda pun lesap.
Akhirnya depression. Bercakap sorang diri. Ketawa sorang diri. Bila normal, dia balik ke rumah isteri tapi dipukul dek isteri. Tak ingat dirinya telah dicerai, telah dibuang.
Hilang Keluarga
Isteri buat laporan polis mengatakan bekas suami ganggu dia dan memudaratkan dirinya dan anak. Lalu dia ditangkap polis.
Sedih sungguh kisahnya.
Akhirnya, kakak kepada lelaki tersebut menuntut keadilan bagi pihak adiknya. Adiknya berjaya dikeluarkan dari lokap atas alasan dia masih makan ubat depression.
Tuntutan pulangan semula 50 peratus dari keseluruhan jumlah wang yang pernah dihantar ke Malaysia. Rumah pun dibahagi sama rata dengan bahagian isteri.
Dan lelaki itu menang.
Namun, dia dah tak betul. Gila. Tak ada guna sudah harta segala.
Sedih, memang sedih.
Moga kita dijauhkan dari sifat tamak dan pentingkan diri sendiri. Sayangilah orang yg bertungkus lumus bekerja untuk menyara kita.
Tak kisahlah dia tak pandai atau tak handsome, atau tak seperti yang kita harapkan.
Farizal Radzali
Mingguan Wanita: Begitulah ujian dalam rumah tangga, tak kiralah di waktu susah atau senang tetap akan diuji. Segalanya bergantung kepada kejujuran dan kesetiaan kita kepada pasangan. Bersyukurlah dengan apa yang Allah kurniakan dan jangan bersikap tamak. Renung-renungkan.
Soal rezeki, perlu yakin dan serahkan kepada Allah. Kerja biasa, tidak berjawatan besar bukanlah penentu hidup susah. Paling penting kita tidak berputus asa berusaha mencari rezeki. Yakin sahaja dengan Allah kerana dia Pemberi Rezeki.
Tidak salah kerja biasa-biasa, asalkan sentiasa ada niat untuk mencari rezeki yang halal. Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan fahami sebaiknya.
“Kau nak bagi anak aku makan apa nanti… Kau sendiri pun cukup-cukup makan”
“Nurul, baik kau cari orang lain yang kerja elok skit dari budak ini, nanti senang dan mewah hidup kau… Susah hidup kau kalau kau nak juga pilih dia ni…”
Sebenarnya Rezeki Siapa Yang Bagi
Sekarang ini sebenarnya, rezeki ini siapa yang bagi? Allah SWT ke, manusia? Kalau kita nampak rezeki ini daripada manusia, maka kita sudah syirik kepada Allah SWT…
Sakit daripada Allah, sihat daripada Allah, miskin daripada Allah. Kaya daripada Allah, susah pun daripada Allah. Senang daripada Allah, derita daripada Allah dan bahagia juga daripada Allah…
Kalau Allah nak bagi sakit, sakit… Kalau Allah nak bagi sihat, sihat… Kalau Allah nak bagi miskin, miskin… Kalau Allah nak bagi kaya, kaya…
Kalau kita letak perkara ini daripada manusia, maka kita sudah pun syirik tanpa sedar…
Kita tak yakin dengan Allah SWT… Bagi kita, jika kerjaya itu biasa-biasa, tak sehebat orang lain, maka hidup nanti akan susah… Hidup nanti akan merana… Sebab kita letak rezeki dia pada jawatan dan pendapatan dia…
Kerja apa pun, kelayakan apa pun, jawatan apa pun, selagi kita berusaha di jalan yang benar, maka selagi itu akan diberikan rezeki ke dalam kehidupan kita… Dan usaha itu pula, kalau boleh, jangan sampai lupa dan jauh dengan Pemberi Rezeki…
Jemput rezeki dengan doa, jemput rezeki dengan solat, jemput rezeki dengan amalan kebaikan…
Selagi Berusaha, Pasti Ada Rezeki
Baik kau despatch, operator kilang, driver lori, buruh kasar, rider makanan, penjual pasar malam, semua akan dapat nikmat dan rezeki dari Allah SWT. Selagi mana dia tidak putus asa berusaha…
Ingat, semua datang dari Allah SWT, bukan manusia…
MW: Jangan sandarkan rezeki pada pangkat dan harta, sebaliknya mak,ayah harus bergantung pada Allah SWT. Paling penting berusaha untuk cari rezeki atas kaki sendiri.
Isu mak mentua dengan menantu seakan satu topik yang tiada kesudahannya. Buat mak-mak yang anaknya sudah kahwin, jangan sampai wujud status menantu pilihan dalam keluarga. Tak semestinya menantu kaya, anak anda bahagia.
Tak semestinya menantu berdarjat, anak anda bahagia. Boleh jadi dia melihat isterinya sebelah mata sahaja. Tak semestinya menantu ada bergelar sarjana agama, anak anda bahagia. Boleh jadi ilmunya cuma di akal sedangkan akhlaknya entah ke mana.
Mak Mentua Jangan Hanya Tayang
Jadi kepada anda yang suka ‘tayang’ menantu siap bagi tahu apa pangkat, di mana kerja, berapa gaji, berapa biji banglo dan kereta mewahnya cubalah beringat, tiada siapa dapat menilai kejayaan manusia itu melainkan Penciptanya. Malangnya apabila para mertua tengah berkumpul sakan bersembang tiada isu lain yang jadi kegemaran melainkan tayang kemewahan anak menantu.
JANGAN MEMBANDING-BANDINGKAN
Dalam keseronokan menjadi ahli kelab pencen banyak perkara yang seharusnya dijadikan panduan dalam berkawan. Jangan sesekali lukai perasaan orang lain dengan cuba membanding-bandingkan anak menantu kita dengan anak menantu mereka.
Jika berkawan sudah seperti saudara kandung memanglah seronok sebab hati kita sentiasa suka apa yang kawan kita suka tetapi jangan sesekali lupa Nabi Yusuf juga didengki saudara kandungnya apatah lagi kita. Anak-anak Nabi saja mendengki adik tirinya bagaimana pula kita yang bukan anak Nabi mestilah lebih jahil dari mereka. Hati manusia susah hendak diduga, seeloknya hindarkan rasa megah diri untuk mengelakkan daripada penyakit hati.
Bangga Menantu Pilihan Sampai Yang Lain Rasa Kecil Hati
Urusan membangga-banggakan anak menantu boleh jadi membawa kesan positif jika mahu memberi pengajaran pada orang lain. Tetapi jangan pula terbakar amal soleh kita disebabkan hasad dengki yang tular akibat tabiat suka tayang hebat.
Tiada siapa mampu menilai anak sendiri inikan lagi menantu, hanya kepada Allah kita serahkan urusan mereka. Peliknya jika jumpa menantu dua kali setahun tapi duduk sebumbung. Boleh jadi dalam ketawa anak kita sebenarnya dia sedang menutup aib suaminya. Dalam tangisannya pula boleh jadi dia sedang belajar tentang kehidupan sebenar di bawah penjagaan seorang lelaki yang sebenar.
Sebagai ibu bapa tiada hak untuk mencampuri urusan rumah tangga mereka melainkan mereka meminta kita menjadi pendamai bukan penghasut. Apa yang tersembunyi tak perlu dikorek dan apa yang mereka kongsi seharusnya diraikan. Maka itu tak perlu tayang pada dunia apa yang kita tak nampak. Berpada-padalah dalam urusan membanggakan zuriat. Jangan melampau pujian diberi kerana ia boleh merosakkan hati.
Kalau begitu, berdosakah jika kita suka ‘tayang’ menantu? Tidak, bahkan dianjurkan jika itu merupakan suatu cara mengukuhkan hubungan persaudaraan, tak kenal maka tak cinta. Memperkenalkan menantu kepada kawan-kawan adalah ibadah kerana ia menepati sunnah Rasul s.a.w yang menggesa kita bersilaturahim.
Rasulullah SAW bersabda: “Al-Rahim itu bergantung di Arsy. Dia berkata: Sesiapa yang menyambungku maka Allah akan menyambungnya dan sesiapa yang memutuskanku maka Allah memutuskannya. (Hadis Muttafaq ‘alaih)
PANDUAN PILIH MENANTU
Panduan memilih menantu telah diajarkan melalui wahyu, Allah tunjuk kepada kita bagaimana ciri-ciri menantu semulia Nabi Musa AS. “Wahai bapaku ambillah dia sebagai pekerja kerana sesungguhnya orang yang paling baik adalah yang kuat lagi amanah.”
Dalam tafsir Ibnu Kathir makna ayat ini menurut Umar, Ibnu Abbas, Abu Malik, Qatadah dan selainnya: “Ketika wanita itu berkata begitu kepada bapanya, bapanya bertanya: Apa yang kamu tahu tentang dia? Wanita itu berkata: Dia telah mengangkat batu besar yang tidak dapat diangkat oleh 10 orang lelaki dan ketika aku datang bersamanya berjalan di hadapannya, dia berkata berjalanlah di belakangku. Jika dia berbeza arah denganku maka dia melemparkan batu kerikil agar aku mengetahui ke mana dia berjalan.”
REALITI MENANTU ZAMAN SEKARANG
Ciri-ciri kepemimpinan seorang lelaki jelas terserlah melalui kisah ini dan rasa belas kasihannya kepada wanita membuat dia kelihatan lebih gagah. Malangnya lelaki zaman sekarang ramai yang minta dilayan lebih dan dijaga melebihi raja-raja.
Makan pun isteri yang carikan, kerja-kerja berat semua serah kepada isteri bagaimana pula kita suka memuji menantu-menantu sebegini dengan pujian mencecah awan? Entah-entah solat pun tak buat, agama tak pakai, sibuk saja dengan urusan dunia. Bukankah yang terseksa anak kita juga?
Menantu kebanggaan yang semestinya disyukuri oleh para mertua seharusnya mementingkan kekuatan akal, fizikal dan spiritual sebagai penjaga anak kita. Nafkah zahir dan batinnya hanya boleh dipenuhi dengan 3 kekuatan tersebut.
Kemudian amat menjaga kesucian pergaulan, keikhlasan hati dari syahwat sehingga begitu ketat menundukkan pandangannya. Zaman ini masihkah ada lagi orang yang mencari menantu sebaik Musa atau agama tidak lagi menjadi syarat penting? Oleh itu tak payahlah tayang menantu jika tak cukup syarat lelaki segagah Musa.
Ibu ayah risau keselamatan di sekolah. Susulan kejadian pagi tadi tiada siapa menyangka hari persekolahan biasa itu akan berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa...