Kadang-kadang jadi hairan, mak ayah dirikan solat lima waktu tanpa culas, namun masih terasa kosong dan hati terasa tidak tenang. Terfikir di mana salahnya.
Malahan, mak ayah sudah solat tapi masih lakukan maksiat, itu tandanya kita belum solat dengan sempurna, jadi perlu perbaiki. Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami mesej yang cuba dia sampaikan:
Solat Tapi Tiada Hasil
Pada hari ini, ramai antara kita yang solat tapi hasilnya tiada. Maksud hasil ini ialah kita jadi manusia yang penuh akhlak dan adab. Namun sebaliknya yang banyak berlaku.
Betul kita solat tapi masa kita bersendirian kita berbuat dosa. Layan pornografi. Iya solat 5 waktu tak tinggal tapi kita keluar makan dengan makwe berpegangan tangan.
Kita solat siap ajak kawan-kawan, tapi keluar daripada surau tudung tak pakai.
Jika kita sudah solat tapi kita masih lakukan maksiat tanpa ada rasa bersalah, itu tanda kita belum solat dengan sempurna. Masih banyak kekurangan. Atau boleh jadi kita solat tanpa ilmu yang betul.
Kita Solat Tapi Masih Lakukan Maksiat
Rasulullah s.a.w kata solat ini tiang agama. Maksudnya tertegaknya agama dalam diri kita adalah kerana solat kita. Makanya mudah kita faham kalau kita solat, maka kita adalah manusia yang ada agama. Tapi sebaliknya berlaku, kita ahli maksiat. Allahu.
Antara sebab utama adalah ilmu tentang solat kita masih ditahap rendah. Buktinya makna bacaan dalam solat pun kita tak faham.
Mulut terkumat-kamit baca semua bacaan solat, tapi haram sepatah pun tak faham apa kita sebut. Belum cerita yang baca tak betul. Main ikut hafalan waktu kecil bawa ke besar. Bila periksa rupanya ya ampun banyaknya salah bacaan.
Solat tapi penuh lalai, langsung tak fokus. Pun jadi sebab juga solat kita sia-sia. Ini yang Allah sebut dalam Quran surah Al-Ma’un, ayat 4 dan 5;
“Maka kecelakaan besar bagi mereka yang bersembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada sembahyangnya.”
Ads
Allahu. Sebab lalai sahaja terus solat kita Allah tak terima. Jadi celah mana kita nak berjaya dengan solat kita? Tak ada tuan-tuan, tak ada.
Kena Baiki Solat
Maka atas sebab itu mari kita baiki solat kita bersama. Ini yang perlu kita buat dulu.
1. Pastikan setiap satu bacaan dalam solat kita betul. Cari bahan baca, semak balik. Cari guru juga untuk semak betul ke tidak kita sebut. Iyalah, bacaan dalam solat ini bukan bahasa Melayu. Ini yang pertama.
2. Hafalkan maksud setiap bacaan tadi. Supaya kita jadi hamba yang faham apa yang kita cakap dengan Tuhan dalam solat kita. Kita tak nak kita jadi burung kakak tua depan Tuhan. Bercakap tapi tak tahu apa yang kita sebut.
3. Belajar lahirkan rasa dalam solat kita. Cuba bangkitkan rasa kehambaan. Rasa diri kita hina. Kita cuma hamba yang lemah dan kerdil. Punyalah banyak dosa yang tak putus-putus. Mengaku salah depan Tuhan.
Ads
Seterusnya bangkitkan rasa bertuhan. Rasa kita ada Tuhan yang Maha Baik. Maha Mendengar. Maha Tahu segala-galanya tentang kita. Dia yang menghidupkan dan memberikan kita semua yang kita ada.
4. Belajar adab dalam solat. Ada banyak adab yang kita kena jaga. Antaranya solat dengan pergerakan yang perlahan dan teratur. Bukan terkejar-kejar. Laju macam kena kejar hantu.
Pandangan mata yang dijaga. Sekarang ada handphone, lagi lah. Letak dalam poket, kejap lagi handphone bergetar, kita mula lah terfikir siapa yang telefon.
Ini semua merosakkan adab dalam solat kita. Haa.. hal ini kena teliti juga ya. Moga kita semua jadi hamba yang pandai menyembah Allah.
Tidak sambil lewa. Kerana yang kita harapkan solat kita mampu untuk membentuk diri kita dengan akhlak yang terpuji.
Juga supaya kita kembali ke akhirat nanti, kita tidak kecewa dengan hidup yang Tuhan beri buat kita di dunia ini. Amin.
Firdaus Mokhtar, Masih belajar.
MW: Bukan mudah untuk dirikan solat dengan sempurna, namun mak ayah lakukan langkah pertama sekarang. Jangan bertangguh, insyallah akan dipermudahkan.
Setiap orang diberi ujian hidup yang berbeza-beza. Mungkin rezekinya, hidup senang, kaya raya dan bahagia. Ada pula diberi ujian dengan kehidupan yang susah, kais pagi makan pagi. Tak kurang juga diberi ujian dengan kesihatan yang tidak baik dan sebagainya. Semuanya berbeza dan tidak sama setiap orang.
Namun, tak perlulah menyesal atau sedih sebabnya semua ini adalah daripadaNya untuk melihat ketabahan dan ketenangan dalam menerima ujian ini. Semuanya telah diatur olehNya. Cuma, kita kena terima dengan redha.
Perkongsian daripada Imam Muda Hassan memberi panduan untuk kita dalam menerima ujian yang diberikan Olehnya. Kita kena redha dan anggap ini sebagai satu rahmat daripadaNya.
Waktu umur 20 hingga 29 tahun, waktu ini kita sibuk belajar, sibuk nak cari jodoh, kalau dah berkahwin baru merasa menimang cahaya mata. Waktu usia ni banyak yang enjoy, menikmati kehidupan. Baru nak merasa nak ada rumah, nak ada kereta sendiri.
Bila memasuki usia 30-an, ujian berat mula menerpa, anak makin dewasa macam-macam perangai, gaji semakin besar dah sibuk dengan kerjaya sampai tak ada masa dengan family.
Ada yang dibuang kerja sebab tak perform. Hidup mula tertekan sebab anak nak sekolah, nak bayar duit ansuran rumah dan macam-macam hal:
1. Kereta mula meragam
2. Rumah mula nak bocor sana sini
3. Yuran sekolah anak makin naik
4. Mula banyak orang benci kita
5. Hubungan dengan mertua
6. Isteri mula merungut tak cukup makan
7. Suami stress gaji kena potong
8. Rumah tangga mula goyang
9. Badan mula sakit sana sakit sini
10. Badan dah tak fit
11. Bawa kereta cepat mengantuk
12. Hutang keliling pinggang
13. Ah Long mula kejar
14. Hubungan adik-beradik mula renggang
Cukuplah tu, nak disenaraikan tak habis cerita.
Sebab Apa?
Kenapa sebelum umur 40 macam-macam ujian kena tempuh ya?
Sebenarnya Al-Quran dan Hadith dan menjawab soalan ni. Ini adalah fasa Tarbiah Allah pada hambaNya supaya kuat rohani untuk menempuh hidup pada usia 40 tahun. Ujian tu sebab ALLAH SAYANG, supaya kita menang untuk menempuh usia 40 tahun.
Lihat surah Al-Ahqaf ayat 15. Ayat ini menjelaskan umur 40 tahun iaitu umur yang matang. Ini kemuncak umur keIslamannya. Ini adalah umur di mana Nabi SAW diangkat menjadi Rasul.
Ibn Abbas r.a. meriwayatkan, “Sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka!”
Jadi memang sungguh ALLAH SAYANGKAN kita, Dia tak nak kita kalah dengan ujian supaya kita tak diheret ke Neraka, wal’iyazubillah min zalik.
Pandanglah ujian itu sebagai Rahmat dan Kasih Sayang Allah pada kita, sebab Dia nak bagi kita Syurga.
Bertenanglah wahai jiwa yang diuji!
MW: Redha dan tenang sebab Dia lebih tahu segalanya.
“Bila Kita Diuji Allah. Ingatlah Allah Sayang Kita” begitulah perkongsian pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew yang sememangnya memberikan pedoman buat kita semua.
“Bila Kita Diuji Allah. Ingatlah Allah Sayang Kita”
Ustaz Ebit Lew yang sering memberi pesanan mengingatkan kita agar sentiasa mengingati Yang Maha Esa walaupun pelbagai ujian melanda.
Malah Ebit juga berkongsi pelbagai kisah yang boleh menjadi pedoman buat semua.
“Teringat dulu pernah pujuk seorang adik berumur 14 tahun bawah jambatan pegang baby dah 2 bulan. Abang,saya kecewa dengan hidup saya. Adik tadi ceritakan betapa kecewa dan putus asa dengan Allah. Tak tahu solat. Rasa ahli neraka. Saya ulang kali cakap Allah sayang padanya. Ulang kali. Adik tadi menangis. Betul ke dia sayang saya? Adik tadi nak belajar solat.
“Syukur mula solat dan hidupnya jadi sangat baik. Dia dahaga kasih sayang Allah. Dia ingat dia dah tiada jalan untuk balik. Itulah kasih sayang Allah.
“Saya pernah dakwah di lorong-lorong. Dulu masa 9 tahun mula lari dari rumah jadi pelacur di lorong. Saya kata Allah sayang padanya. Dia berubah dan kini berumur 28 tahun dah balik rumah jumpa mak ayah menangis. Mereka dahagakan kasih sayang Allah.
Berilah Masa Mengajak Manusia Pada Kasih Sayang Allah
“Baru ni bawa ramai anak muda yang nak bunuh diri kecewa dengan hidup. Bersama 3 hari dijalan Allah. Tiba-tiba berubah dan terus bersemangat dalam hidup. Selama ini ingat tiada siapa peduli dan semua orang tinggalkannya. Rupanya dia baru tersedar dia ada Allah yang sayang padanya. Cuma kita tak kenal kasih sayangnya. Berilah masa untuk kenal Allah. Berilah masa mengajak manusia pada kasih sayang Allah.
Cinta Allah Tak Bersyarat
“Cinta Allah tak bersyarat. Dia mencintai hambanya. Dia menanti kita semua. Jangan buat sesiapapun berputus asa dari rahmatnya. Cinta yang sejati. Cinta sebenarnya. Cinta Allah pada kita semua.
“Saat kita diuji. Belajarlah menerima cinta Allah. Demi cintaMu padaku. Terima kasih kerana memilihku untuk diuji olehMu. Aku cinta gembira Redha dengan segala ujianMu. Terima kasih ya Allah atas segala ujian ini. Jika ada pahala untuk semua ini saya hadiahkan buat mak ayah saya,” tulis Ebit.
Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh berpendapat hubungan yang baik dan erat antara ibu bapa dan anak amatlah penting untuk menyempurnakan proses ‘taujih’ (pendidikan), ‘tasbit’ (pengukuhan) dan ‘himayah’ (perlindungan).
“Menurut Imam Al-Ghazali, setiap bentuk pendidikan perlulah melalui 3 fasa utama tersebut. Proses tersebut amat penting supaya ibu bapa tidak melepaskan tanggungjawab sebagai pendidik, penguat dan pelindung anak-anak.
Didik Anak-Anak Menjadi Anak Soleh & Solehah
”Hari ini, ramai ibu bapa yang menuntut hak untuk menghukum anak-anak, termasuk merotan dengan alasan untuk mendidik. Namun tidak ramai yang bermuhasabah sama ada mereka telah menyempurnakan hak anak-anak, iaitu hak untuk dibimbing, diberi pengukuhan dan tempoh masa yang sesuai untuk menjadi anak yang soleh dan solehah sebelum dihukum jika mereka melakukan kesilapan.
“Sebab itulah, jika anak-anak kita mempunyai agama yang hidup, kita tidak perlu bimbang dengan apa jua cabaran dalam dunia hari ini kerana mereka akan dilindungi oleh disiplin agamanya,” katanya.
Ibu Hamil Selalulah Berdoa
Dr. Nik Salida juga menyatakan dari sudut pandang agama, proses pendidikan anak-anak sebenarnya bermula seawal dari mereka berada dalam kandungan ibu.
“Ibu yang hamil mestilah selalu membaca Al-Quran, melakukan ibadah yang fardhu, selalu berdoa dan makan dari rezeki yang halal. Apabila lahir, anak tersebut perlu diperteguhkan akidah (iman) melalui pelbagai teladan dari ibubapa. Setelah mumayyiz, anak perlulah mula diberi pendidikan jasmani dan rohani yang seimbang,” sambungnya.
Suntik Elemen Keimanan Sejak Kecil
Sebagai ibu bapa bagaimana Dr. Nik Salida juga menerangkan penting untuk menyuntik elemen keimanan dalam diri anak-anak sejak dari mereka kecil.
“Untuk menyuntik elemen keimanan dalam diri anak-anak sejak mereka kecil, ibubapa perlulah terlebih dahulu menunjukkan teladan dan qudwah yang baik. Ibubapa perlu saling berkasih sayang dan menghormati antara satu sama lain. Ibubapa perlu menjadikan Al-Quran sebagai asas pembinaan rumahtangga dan tarbiyah. Selain itu, mereka perlu mempunyai ilmu agama asas yang lengkap, iaitu tentang akidah, ibadah, munakahat, jinayat dan tasawuf.
Alihkan Hati Dari Dunia Kepada Akhirat
“Setelah mempunyai ‘bekalan’ tersebut, ibubapa bolehlah memulakan langkah yang seterusnya. Kata Ibnu Qayyim, yang seharusnya dilakukan oleh seorang Muslim untuk menyembuhkan hatinya ialah melalui Al-Quran.
”Cara yang sama sepatutnya dilakukan untuk mendidik iman manusia. Caranya ialah dengan mengalihkan hati dari dunia kepada akhirat.
“Kedua, menghadapkan semua hati kepada pengertian-pengertian Al-Qur’an, memikirkan dan memahami apa yang dimaksudkan dan mengapa ia diturunkan serta mengamati semua ayat-ayat-Nya.
“Al-Quran dan Sunnah banyak sekali mengungkapkan tentang keagungan Allah SWT. Seseorang Muslim jika dihadapkan dengan keagungan Allah, hati mereka akan bergetar dan jiwanya akan tunduk.
“Ketiga, membekalkan sebanyak mungkin ilmu kepada anak-anak. Allah berfirman dalam surah Al-Fathir ayat 28 yang bermaksud: ‘Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya ialah orang-orang yang berilmu’.
“Keempat, membiasakan anak-anak memperbanyakkan ibadah, termasuk ibadah sunat. Ibadah fizikal seperti puasa, ibadah harta seperti zakat, ibadah lisan seperti doa dan zikir dan ibadah yang yang menggabungkan semuanya seperti haji sangat bermanfaat untuk menyembuhkan iman yang lemah.
”Banyak melakukan ibadah bukan hanya menambah keimanan tetapi juga menyediakan banyak pintu untuk ke syurga.” terangnya kepada Mingguan Wanita.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.