Sesungguhnya soal dikurniakan anak, bukan semudah membeli barang di pasar! Itu tuhan punya kuasa.
Jika semudah itu, tentu saja semua orang bahagia memilih anak, mahu berapa orang anak atau mahu berapa orang anak lelaki dan berapa orang anak perempuan. Beli dan bayar.
Bukan semudah itu, segalanya ketentuan Tuhan dan kita sebagai manusia hanya mampu berusaha dan selebihnya berserah kepada Allah SWT.
Jangan dicela mak ayah yang masih belum dikurniakan anak, atau dikomen orang yang memiliki anak perempuan atau lelaki sederet. Jangan!
Soal Dikurniakan Anak
Ikuti perkongsian Ustaz Hisham ini dan hadam baik-baik apa yang cuba disampaikan.
Anak saya yang pertama lahir, lalu dinamakan Nur Aqilah. Begitu terujanya kami menyambut kelahiran anak ini. Kelahiran anak yang semakin mengeratkan simpulan kasih.
Kemudian, lahir pula anak yang kedua. Dinamakan pula Nur Afiqah.
“Dua-dua perempuan ke anaknya?” soalan yang sering diajukan. Kami mengiyakan. Menjawab dengan senyuman.
Berpindah ke daerah lain dan dikurniakan lagi seorang anak. Kami namakan bayi comel yang baunya lebih harum dari minyak wangi yang kami jual dengan nama Nur Afifah. (Bukankah bau bayi adalah bau yang sangat mengasyikkan?).
“Belum ada anak lelaki ya?” Pertanyaan biasa yang sering kami peroleh.
“Kena usaha lagi tu untuk dapatkan anak lelaki.” Begitu antara kata-kata yang kami terima. Kami anggap sahaja kata-kata itu umpama angin lalu. Tidak perlu dikisahkan.
Kemudian lahir pula anak keempat. Sama seperti kakak-kakaknya bertiga. Kami namakan pula Nur Amirah.
Bukan Semudah Membeli Barang Di Pasar!
Itulah anak-anak kami. Empat puteri yang sangat disayangi. Kelak akan menjadi; empat dara duduk di tepi sungai. Duduk menjerat si ketamlah batu. Manis rupa hai elok perangai. Sukar dipilih yang manalah satu. (Tak perlu nyanyi).
Meski terkadang masih ada lagi yang bertanyakan bila pula hendak menimang anak lelaki.
Ads
Tidak ada salahnya mempunyai kesemua anak perempuan. Tidak ada salahnya juga jika anak kita semuanya lelaki. Seorang atau dua orang anak, juga tidak perlu hendak diberat-beratkan dalam perbualan. Tersalah kata, boleh menghiris hati.
Itu Tuhan Punya Kuasa
Soal dikurniakan anak, bukan seperti membeli barang di pasar. Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Apatah lagi bila berbicara pada kenalan yang masih belum dikurnia cahaya mata.
Kelak dilihat punya hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang. Kata-kata yang boleh menyebabkan kesedihan yang berkocak akan kian mengombak di dalam hati kenalan kita.
“Tak ada anak lelaki ke? Nanti bahagian faraid akan dapat kepada orang lain.” Pernah juga ada yang berkata sedemikian.
Saya hanya memasang wajah tanpa emosi. Tidak sepatutnya kata-kata itu dikeluarkan.
Mari sini saya jelaskan tentang faraid. Andaikata saya meninggal dan waris-warisnya seperti ketika ini. Saya ada; ibu, isteri, 4 anak perempuan, 4 saudara kandung lelaki dan 3 saudara kandung perempuan.
Pembahagiannya adalah begini:
Ibu: 44/264
Isteri: 33/264
Setiap seorang anak perempuan: 44/264
Manakala setiap seorang saudara kandung lelaki: 2/264
Dan setiap seorang saudara kandung perempuan: 1/264
Lalu di manakah masalahnya?
Entah mengapa ada yang terlalu memikirkan supaya harta tidak diperoleh oleh adik-beradik. Bukankah adik-beradik itu berkongsi susu ibu yang sama dahulunya.
Menjalani kehidupan susah senang. Mereka bukan orang asing bagi kita. Dengan ihsan yang ada, boleh jadi mereka menarik diri daripada menerima bahagian mereka. Jika mereka hendak menerima, itu adalah hak mereka.
Fahami Ilmu Faraid
Fahami ilmu faraid, pasti kita akan nampak keindahan hikmah yang tersirat. Betapa perlunya hubungan kekeluargaan yang erat. Tahu siapa kaum kerabat. Menjadikan mesyuarat untuk membentuk muafakat.
Sebelum terlanjur bercerita lebih panjang tentang faraid, saya kembali pulang ke cerita asal. Agar tidak teraba-raba mencari titik muasal.
Kepada anak-anak saya, pernah saya berpesan.
Ads
“Kalau ayah meninggal dan belum sempat menjadi wali bagi pernikahan, bapa-bapa saudaralah walinya. Adik-beradik lelaki ayah. Itu kalau memang ditakdirkan ayah tak ada anak lelaki.”
Ia bukan sekadar pesanan biasa. Tetapi saya mahu mengingatkan betapa pentingnya hubungan kekeluargaan. Kita bukan hidup sekadar dalam keluarga yang kecil tetapi ada hubungkaitnya dengan saudara-mara yang lain.
Serahkan Pada Allah
Hari demi hari dan anak-anak semakin membesar. Dalam tidak sedar, ada yang ketinggiannya sudah hendak mencapai ketinggian saya. Yang dahulunya didodoi, kini sudah berlari ke sana sini.
Kesemuanya dengan sifat yang tersendiri. Tanggungjawab kita bukan lagi hal remeh temeh. Bukan lagi tentang susu dan lampin.
Tidak selamanya anak-anak akan kekal sebagai kanak-kanak. Keperluan emosi, rohani, jasmani perlu difikirkan bersama sebagai suami isteri.
Anak-anak dipantau dan diperhati. Ditegur jika ada yang perlu diperbaiki, jika ada tingkah laku yang tidak sesuai agar tidak menjadi sebati.
Kita mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak kita, dan dalam masa yang sama kepada Allah kita serahkan segalanya. Kerana Allahlah tempat sebaik-baik diletakkan pengharapan.
Terima kasih sudi baca.
Mingguan Wanita : Sebelum mencela orang, letakkan diri dalam kasut mereka. Cuba fahami apa yang mereka rasa, selami perasaan mereka. Anak adalah anugerah dan amanah Allah. Hadirnya anak bersama tanggungjawab. Renung-renungkan.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan https://t.me/bangkitwanitaMW
Anak-anak adalah permata keluarga. Bagi memastikan dirinya terus bersinar, pendidikan yang baik harus diberikan. Ini kerana pendidikan atau ilmu adalah hak bagi seorang anak demi mengisi akalnya dengan baik.
Hanya dengan ilmu akal dan hatinya dapat menemukan makna yang terbaik buat diri dan lanjutan daripada itu akan lahirlah sebuah peribadi yang baik dan sejajar dengan nilai-nilai yang ditetapkan dalam Islam. Ia bermula dengan ilmu. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia.
Penyerapan Maklumat
Apabila bercakap soal ilmu, ia amat berkait dengan platform pendidikan bagi anak-anak. Tidak kira dalam konteks sekolah mahupun di rumah seharusnya dikotomi pendidikan tidak berlaku. Pembelajaran bukan hanya bertempat di sekolah. Ia harus bermula sejak anak mula mengenal alam kehidupan sehinggalah dia kembali ke liang lahad. Inilah hakikat pendidikan.
Bagi menentukan ilmu yang baik dapat disematkan, kita harus faham dan bijak meletakan keutamaan dalam pendidikan mereka. Sebagaimana yang kita ketahui, anak-anak ini pada awal usianya mudah menyerap apa sahaja maklumat yang terdapat dalam persekitarannya. Malangnya, dia belum mampu menyaring maklumat tersebut. Semua maklumat tersebut akan diserap secara “lump sum”.
Didik Anak tentang Sang Pencipta
Oleh sebab kehebatan mindanya ketika ini mampu menyerap segala jenis maklumat maka maklumat yang diberikan haruslah yang berbentuk asas dan penting dalam kehidupan sebagai seorang manusia iaitu yang memiliki tugas sebagai hamba dan khalifah Allah.
Pendidikan ini adalah pendidikan tentang tauhid dan iman yang memberikan anak pengetahuan dan makna bahawa dirinya adalah hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab yang harus ditunaikan demi untuk mendapat reda dan cinta Allah seperti bersyukur, mengenali Allah sebagai pencipta dan Tuhan Yang Esa.
Di samping itu, tetap berperanan sebagai khalifatullah yang bertanggungjawab mengelola urusan keduniaan sebaik mungkin kerana Allah. Di sini, anak-anak harus dididik tanggungjawab ibadah seperti tatacara bersolat, membaca Al-Quran dan pendedahan terhadap amalan-amalan beragama yang lain.
Saring Maklumat
Dalam pada itu, kekurangan mindanya yang masih belum mampu menyaring maklumat pula harus di pandu dengan menyaring terlebih dahulu maklumat yang ada dalam persekitarannya dan memberikan panduan berkala tentang apa sahaja maklumat yang sampai ke dalam persekitarannya. Di sini, ibu bapa harus berperanan sebagai contoh teladan yang terbaik untuk anak-anak. Kita harus berkorban dan berusaha sedaya mungkin untuk melakukan hijrah kepada yang lebih baik.
Prestasi dan akhlak diri harus dipertingkatkan, sunah-sunah Rasulullah s.a.w harus dijadikan panduan hidup bagi mencapai keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Perubahan ini akan membentuk persekitaran keluarga yang lebih positif dan membantu persekitaran tumbesaran anak-anak yang jauh lebih baik.
Pendidikan Tauhid
Oleh yang demikian, pendidikan yang harus menjadi keutamaan dalam mendidik anak-anak adalah pendidikan tauhid agar kehidupan anak dipasak kuat dengan pengenalan dan penggantungan yang tinggi kepada al-Khaliq yang Maha Besar. Pendidikan tauhid ini adalah hak anak-anak untuk kita penuhi.
Jika kita rasa tidak mampu menyediakan perkara tersebut dengan baik maka kita harus berusaha menambahkan ilmu berkaitan dengannya, melakukan perubahan diri dan persekitaran dalaman keluarga dan melakukan peneguhan dengan menghantarkan anak ke persekitaran sekolah yang memiliki hal tersebut agar anak-anak tidak terlepas daripada memilikinya.
Tetap Penting
Apabila menceritakan soal prioriti atau keutamaan, ia bukanlah menolak terus-menerus pendidikan berbentuk akademik seperti Matematik, Sains dan sebagainya. Malah kesemua ini amat penting untuk diketahui bagi melengkapkan dirinya selaku manusia yang memegang jawatan sebagai khalifatullah dan bertanggungjawab untuk mengelolakan alam.
Oleh yang demikian, pendidikan harus diberikan dengan baik kepada diri anak, dengan mengutamakan pendidikan tauhid, ibadah dan akhlak kemudian ilmu pengurusan diri dan persekitaran menerusi subjek-subjek akademik yang lainnya. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dalam bab mengurus keluarga ini kenalah ada timbang taranya. Suami isteri kena buat tanggungjawab sama-sama. Kerana perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua hati, ia lebih pada menunaikan amanah dan tanggungjawab. Tidaklah nanti anak-anak terabai dek keegoaan mak ayah ini.
Hadamkan perkongsian Puan Intan Dzulkefli, pentingkan suami isteri faham akan peranan setiap mereka dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia.
Suami Isteri, Masing-masing Tak Nak Beralah
Ada orang kata, kalau suami jenis sibuk dengan hobi. Eh… awak janganlah beralah je, carilah hobi juga. Dia boleh berhari-hari tak balik sebab pergi trip motor, pergi memancing. Awak pun joinlah aktiviti hiking ke, cycling ke tak payah balik juga berhari-hari. Puaskan hati tu.
Kalau suami jenis asyik main game, ehhh… Apa duk tepi je, install game jugak, ha lawan, lawan! Tak payah masak, tak payah kemas rumah. Gasak!
Kalau dia asyik jenis menghadap telefon je usha awek cantik, seksi dekat Instagram. Haaa awak pun melawa lepas tu post la selfie dekat medsoc, jangan ingat kita ni buruk sangat.
Sudahnya Siapa Yang Jadi Mangsa
Cubalah fikir, kalau suami dan isteri cuma sibuk fikirkan diri sendiri, siapa yang jadi mangsanya?
Ibubapa sibuk dengan telefon, lihatlah siapa yang terpinga-pinga dan terabai?
Ya. Anak-anak.
Mereka memerhatikan.
Suami ego membawa ke haluan A. Isteri ego membawa diri ke haluan B. Bertentangan masing-masing membesarkan ego.
Siapa yang terabai?
Ya. Anak-anak.
Mak Ayah ‘Claim’ Nak Ber ‘Me Time’
Ayah pergi memancing berhari-hari. Emak pergi trip dengan besties pun berhari-hari. Yelah, nak ME-TIME.
Anak-anak ditinggalkan dengan atuk nenek, atau pengasuh atau jiran, atau saudara-mara.
Memang mereka hidup juga, makan juga, mandi macam biasa. Namun, percayalah ada RUANG KOSONG dalam hati mereka kerana ruang itu sepatutnya diisi oleh ibubapa mereka.
Jangan salahkan anak-anak. Mereka tak salah.
Mereka tak lahir dengan tiba-tiba atas muka bumi ini melainkan atas natijah perbuatan dan perhubungan ibubapanya jugalah kan.
Samada ‘semua’ itu berlaku dengan suka, terpaksa, waras atau emosi, itu belakang cerita kerana akhirnya anak-anak itu telah pun lahir dan meminta pertanggungjawaban ibubapanya.
Tanggung amanah di dunia, menjawab depan Allah di akhirat.
Begitulah beratnya makna ‘amanah’.
Jangan Jadi Mak Ayah Yang Lalai Dan Penting Diri
Rumahtangga islam yang bersifat memimpin, melindungi, serta ada fokus yang jelas tentang aqidah, ibadah dan akhlak tentunya bukan lahir dari suami isteri – ibubapa yang lalai dan mementingkan diri.
Sebab itu, perhalusilah semula niat kita semasa bersetuju untuk bernikah. Apakah cuma tentang diri kita sahaja?
Ada orang sayang aku.
Ada orang yang hargai aku.
Ada orang yang serve aku.
Ada orang sediakan makan minum, pakai.
Ada orang yang belanja aku.
Ada orang yang uruskan hal aku, rumah aku, anak-anak aku.
Ada orang yang jaga aku.
Apakah semuanya tentang diri kita sahaja?
Maka apabila pasangan gagal mencapai expectations kita, lalu kita pun rasa dia useless dan tekad menghulur salam perpisahan?
Takpa… Yang penting, diri sendiri! Begitu?
Apabila ibubapa berpisah dan gagal menjadi ibubapa yang baik, tetap juga anak-anak yang menjadi mangsa.
Ya, anak-anak!
Perhalusi Tujuan Bernikah
Oleh itu, wahai suami, wahai isteri… tambahan yang sudah menjadi ibu dan bapa, perhalusi semula tujuan kita bernikah.
Tak apa, 3 tahun atau 5 tahun terbazir kerana kekhilafan kita… Berani mengaku salah serta ubahlah.
Bila mana seseorang mengambil keputusan untuk berumahtangga, ingatlah, ia bukanlah lagi tentang diri sendiri semata-mata.
Lihatlah pasangan, lihatlah anak-anak. Lihat mata mereka.
Merekalah selamanya amanah kita. Allah akan tanya kelak di akhirat sana. Ingat tu..
MW :Jangan jadikan anak mangsa disebabkan keegoan hati masing-masing.
Sumber/Foto : Intan Dzulkefli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Nama Kak Girl ni dah viral di media sosial. Semua gara-gara video parodi lagu Hindustan Chamiyya.. Chamiyya tu. Aksi lip sync dengan gelagat lucunya boleh buat anda tak kering gusi. Lagi-lagi perati gaya ‘stone’ suami Kak Girl di sebelah. Selamba.. macam tak ada apa-apa.
Siap boleh gosok-gosok mata tanpa perasaan. Bila dah satu dunia tonton, tentu-tentu ada saja suara-suara berbunyi macam ini; ‘Tak malu ke suaminya?’ ‘Kenapa sanggup buat macam ni?’ ‘Tak ada Kerja Lain ke?’ Dan macam-macam lagilah kata-kata kecaman yang menakutkan.
Sebenarnya, kalau anda tahu di sebalik kisah hidup Kak Girl, pasti anda akan buka mata dan berlapang dada. Sebabnya inilah jiwa Kak Girl. Dia buat semua ini pun dengan restu suami dan mamanya.
Bila ditanya reaksi suami yang relaks semacam tu. Ini jawapan Kak Girl ketika di temu bual Web Mingguan Wanita.
“He’s my biggest fan. Tiada apa yang nak dimalukan. Yes. He’s the best! Dia tahu gila-gila saya macam mana. Bak katanya, sebab itu dia suka saya dulu. Tak fake. Alhamdulillah, husband saya seorang yang sporting.” Kata Kak Girl lagi, suaminya itu positif orangnya.
“Dia tahu minat saya, sebab itu dia support apa saya nak buat. Asalkan saya tak melampaui batas. Dia juga tahu saya minat berlakon malah dia sanggup hantar saya ke KL untuk casting. Like he always said, hidup ini sekali je. Why don’t you just try? Do whatever you love to do as long as you always remember me.” Sweetkan suami Kak Girl. Kalau tak rasa terharu tak tahulah.
Perkenalan Kak Girl dengan suaminya berlaku di Singapura sekitar tahun 2013. Mereka sama-sama bekerja di sana. Lepas setahun, mereka bertunang. Dan bernikah setahun kemudian iaitu pada Februari 2015. Sampai sekarang mereka belum dikurniakan cahaya mata.
“Dia terpesona dengan sikap saya yang easy going, full of humor dan tahu macam mana nak survive. Itu kata-kata dia pada saya masa saya tanya dia kenapa nak kahwin dengan saya. Kalau ditanya pada saya pula, saya suka sikap suami yang tak mudah melenting, soft spoken dan tidak judgemental. Dia seorang yang relaks.”
Hah! Nampak…sebab itulah tuhan marah kalau kita kecam orang tak hengat. Kerana belum tentu hidup kita lebih sempurna dari orang yang kita kecam. Sebab itulah, tuhan memberikan kita ujian setimpal dengan kekuatan kita itu.
Nama sebenar kak Girl, Nur Amira Maslan, 30 Dia yang berasal dari Kg. Melayu Majidee Johor Bahru ini juga dikenali dengan nama Meera James. Suaminya, Mohd Hafizi Marzuki, 26 berasal dari Pancho Muar, Johor.
Macam mana Kak Girl dapat nama? Nama Kak Girl tu sebenarnya gelaran yang diberikan sepupunya yang suka memanggilnya dengan nama Kak Girl. “Saya suka berbual, gelak-gelak sambil dia panggil saya Kak Girl. Sebabnya saya suka bercakap dan tiru gaya ‘adik-adik’. Kawan-kawan saya pun ramai dari golongan itu. Dan saya sangat senang dengan mereka.”
Kalau di rumah, Kak Girl di panggil Kak Long. Kawan-kawan yang rapat menggelarnya Makyam.
“Gelaran je tau. Bukan makyam betul..” pannnndai Kak Girl bergurau.
Asal Video Lip Sync Kak Girl
Sejak kecil, Kak Girl minat betul dengan drama Hindustan. Dari situlah, Kak Girl mula hafal lagu-lagu mereka. Itu rahsianya dan sebab itulah bila Kak Girl buat lip sync lagu Hindustan, aksi Kak Girl nampak tepat.
Awal-awal dulu, Kak Girl buat video untuk suka-suka. Koleksi videonya pun tak banyak. Sebaik tahu Sinar FM buat contest lip sync, Kak Girl dah mula buat video banyak-banyak. Semata-mata nak masuk contest.
“Tak ada niat lain.” akuinya.
Hasilnya, Kak Girl menang tempat pertama. Dia juga mendapat gelaran Jaguh Lip Sync (2016). Kalau tengok videonya mesti dalam kereta. Kata Kak Girl itu memang trademarknya. Alasannya, senang.. sebab lagu-lagu banyak dalam pendrive kereta. Itu je..
“Idea mostly spontan. Saya boleh menari lagu Hindustan dengan baik tau. Tapi sebab dalam kereta, saya goyang sikit-sikitlah.”
Sebenarnya nak buat rakaman video ini ikut mood Kak Girl. Bila dengar lagu yang dia suka dan rasa macam nak menari atau lip sync, Kak Girl terus record. “Tapi taklah hari-hari. Ada waktu tertentu.”
Jangan Tak Tahu, Rezeki Kak Girl Makin Lebat
Waktu mula-mula memang contest, ramai yang suka dan pm inbox Kak Girl. Siap ada yang request lagu untuk di lip sync dan mention nama mereka. Kak girl juga dijemput bersiaran di TV3 dan bila Ally Iskandar request Kak Girl buat lip sync lagu Beyonce dan tag IG, Kak Girl pun buatkan.
Pssst: Jangan tak tahu Siti Sarah Raissuddin pun MINTA LAGU dengan Kak Girl!
Dari situ, rezeki Kak Girl makin bertambah. Dia juga dijemput membuat review product. Katanya paling mencabar nak buat video sebegini. Sebab idea kena bersesuaian dengan produk dalam masa sama kena selitkan unsur humor. Seminggu jugalah nak hasilkan video yang memuaskan hati kliennya.
“Saya minat seni lakon. Dari kecil saya dah terdedah dengan aktiviti seni. Contohnya tarian, nyanyian dan teater. Saya pernah berlakon beberapa teater sebelum ni, in fact this July in shaa Allah ada tawaran berlakon teater baru.
“Tahun 2014 saya terlibat dalam pembikinan iklan Raya di bawah online TV, TV Selatan. 2015 saya dapat tawaran berlakon Iklan untuk sebuah Pasaraya di Johor Bahru. Tahun 2016 saya menang Jaguh lip sync, dan baru-baru ni saya baru habis penggambaran filem seram sebagai supporting cast. In shaa Allah filem tu keluar awal tahun depan.
“Saya pernah muncul di kaca TV, siaran TV1 Selamat pagi Malaysia, TV3 Malaysia Hari ini dan siaran Astro Ria Motif Viral.
“Alhamdulillah ada yang cam saya. Suruh berenti dan ambil gambar. It was fun. Saya malu juga sebab saya bukanlah artis, tapi saya berhenti dan sama-sama ambil gambar sebab saya hargai sokongan mereka yang sukakan dan support saya. Mostly yang menegur semua orang positif. Syukur.”
Kenal Dunia Seni Sebab Mama
Keluarganya menerima minatnya itu. Mereka sangat memahaminya. Malah Kak Girl kenal dunia seni pun kerana mamanya.
“Mama tahu anaknya berbakat dan dia terus sokong minat saya. Mama dan suami antara tulang belakang saya. Ayah mulanya tak berapa suka sebab ayah tak minat seni. Tapi lama-lama dia faham dan okay. Dia tahu saya cuma melawak.” Tambah anak sulung dari lima beradik ini lagi.
“Adik-adik saya semua okay. In fact, adik saya yang kedua, Amir Asyraf terlibat dengan teater dan adik bongsu saya, Aria terlibat dengan nyanyian profesional. Kami saling menyokong.”Akhirinya yang juga seorang blogger.