Keluarga Asnaf kedua yang mendapat perhatian majalah Mingguan Wanita dan Impiana dalam program CSR Raya adalah keluarga Rosnani binti Aris. Kehidupan wanita berusia 34 tahun ini memang sangat memeritkan setelah Farimzaimi bin Zakaria, suami yang disayangi tidak mampu bergerak sebaik disahkan menghidap penyakit kanser limfoma sejak tiga tahun yang lalu.
Rosnani dan Farimzaimi memiliki dua orang anak. Siti Balkis berusia 11 tahun manakala Mohd Faris berusia 10 tahun. Mereka sekeluarga tinggal menyewa di sebuah rumah kecil di Kg Baru Nelayan, Sungai Besar, Selangor sejak Farimzaimi sakit. Sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Alor Setar, Kedah selama lima tahun.
Keputusan berpindah ke Sungai Besar dibuat kerana inilah kampung halaman Rosnani. Di sini juga tempat tinggal ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain. Berpindah ke Sungai Besar turut memudahkan dia membawa suaminya berulang-alik ke Hospital Ampang, Selangor bagi mendapatkan rawatan penyakit kanser limfomanya.
“Saya dan suami mengambil keputusan menyewa rumah kerana tidak mahu menyusahkan keluarga saya yang juga bukan orang senang. Emak perlu menjaga ayah yang menghidap penyakit Parkinson. Jadi, kami menyewa rumah yang berhampiran dengan keluarga saya. Mudahlah jika saya mahu meminta sebarang bantuan jika terjadi perkara yang tidak diingini,” ceritanya.
Mengimbas semula kisah penyakit kanser yang dihidapi oleh suaminya, Rosnani menjelaskan segala-galanya berlaku secara tiba-tiba.
“Suatu hari, selepas suami balik dari kerja, dia mengadu sakit belakang. Rasa sakit itu kemudiannya turun ke kakinya. Dia pergi ke klinik tetapi doktor tidak dapat mengesyaki sebarang masalah. Dia hanya diberi vitamin, namun, rasa sakit yang dialami tidak juga berkurangan.
“Apabila ayah saya mendapat tahu suami saya sakit, dia meminta saya membawa suami berubat di kampung (Sungai Besar). Saya ikutkan kata ayah dan bawa suami pulang. Selepas berubat kampung tidak ada sebarang kesan, saya kemudiannya membawa suami ke hospital Selayang.
“Doktor tidak dapat mengesan penyakit suami. Saya kemudiannya bawa suami ke Hospital Sungai Buloh. Di sana doktor telah melakukan pembedahan pada bahagian tulang belakang suami. Barulah doktor dapat mengesan suami menghidap kanser Limfoma,” cerita lebih lanjut tentang kesakitan suaminya.
Keluarga ini bergantung sepenuhnya kepada Rosnani
Demi Suami Dan Anak-anak
Betapa terkejutnya Rosnani apabila doktor mengesahkan suaminya menghidap kanser Limfoma. Berikutan dengan pengesahan doktor itu, suaminya kemudian telah dirujuk ke Hospital Ampang. Selama sebulan dia menemani suami menjalani rawatan rehabilitasi di Hospital Ampang.
Sepanjang dia menjaga suami, anak-anaknya dijaga oleh keluarga di Sungai Besar. Selepas suami dibenarkan keluar dari hospital, Rosnani perlu membawa suami melakukan rawatan susulan di hospital.
“Saya masih ingat lagi betapa susahnya kami berulang-alik ke hospital agar suami dapat menjalani rawatan kemoterapi. Suami buat kemoterapi selama enam kali. Selepas habis kemoterapi, saya telah menghantar suami ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani rawatan radioterapi selama sebulan.
” Habis radioterapi, doktor membenarkan suami balik ke rumah. Doktor sahkan suami sudah tidak ada apa. Cuma kaki dia tidak boleh berjalan. Dari tulang T7 sampai paras kaki, memang tidak ada rasa. Kalau cucuk atau apa sahaja, suami tidak dapat rasa.
Ads
“Sedih juga dengan keadaan suami ketika itu. Tetapi rasa sedih itu saya simpan kerana memikirkan tentang dua orang anak kami. Mereka juga perlukan saya dan ayah mereka. Terpaksalah saya mulakan hidup baru.
“Kini hidup saya adalah untuk suami dan anak-anak. Tanggungjawab itu berat kerana perlu membawa suami berulang-alik ke hospital. Pada masa yang sama membawa anak-anak pergi dan balik ke sekolah.
“Saya masih muda dan boleh bekerja tetapi tidak boleh melakukannya kerana jika saya bekerja siapa yang akan membawa dan mengambil anak pergi dan balik sekolah. Siapa pula hendak menjaga suami kerana dia tidak boleh mengawal berak dan kencingnya.
“Dua hari sekali saya akan masuk ubat pada suami agar dia boleh berak. Suami pula akan kencing melalui tiub. Manakala setiap dua minggu sekali jururawat dari Klinik Sungai Besar akan datang ke rumah bagi menukarkan kepada tiub baru,” katanya dengan nada sedih.
Pengorbanan Rosnani yang masih muda menjaga suami berusia 45 tahun ini tidak boleh dipandang remeh. Tidak semua wanita bergelar isteri yang mampu melakukannya. Jelas Rosnani, walaupun suaminya sakit, dia sesekali tidak akan meninggalkan suaminya itu.
“Pernah juga suami meminta supaya saya tinggalkan dia kerana kesakitan yang dia alami. Namun sesekali tidak akan saya tinggalkan dia. Selagi saya mampu, saya boleh jaga suami. Sementara dia masih ada saya akan bela dia. Selagi kudrat saya ada, saya akan jaga dia,” ujar Rosnani dengan penuh bersemangat.
Pesan Rosnani lagi, kepada wanita yang mempunyai suami yang sakit seperti suaminya ini, jagalah suami mereka.
Ads
“Jagalah suami kita kerana itulah syurga kita,” tambahnya.
Anak-anak masih kecil, tetapi mereka faham penderitaan keluarga
Tidak Mampu Balas Pengorbanan Isteri
Farimzaimi rasa bersyukur kerana mendapat isteri sebaik Rosnani. Tatkala dirinya berasa sedih, isterinya banyak memberi kata-kata semangat.
“Saya masih ingat lagi, ketika berada di wad, memang saya mudah ‘down’. Ketika emosi saya tidak stabil, pernah juga saya kata kepada isteri agar tinggalkan saya. Tetapi isteri tidak mengendahkan kata-kata saya itu.
“Sebab itu seringkali juga saya ambil masa ketika berseorangan untuk fikirkan kembali apa yang berlaku pada diri saya. Saya juga jadikan pengalaman, ketika tinggal di wad dan bertemu dengan pakar-pakar motivasi telah membuatkan saya mendapat suntikan moral untuk diri kembali bersemangat.
“Saya berterima kasih kepada isteri kerana sanggup tolong saya walau saya dalam keadaan sebegini. Allah Maha Berkuasa dan Maha Pengampun dan Maha Pemurah. Pengorbanan isteri saya itu tidak dapat saya ungkapkan. Demi menjaga saya, isteri terpaksa meninggalkan anak-anak untuk dijaga oleh keluarganya,” katanya dengan suara tersekat-sekat.
Tiga Tahun Tidak Membeli-belah
Seronok Rosnani dan anak-anak membeli-belah di Econsave Alam Jaya
Rosnani tidak bekerja. Sebab itu dia amat bersyukur kerana mendapat bantuan dari Pusat Zakat Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Pusat Zakat memberi bantuan kewangan sebanyak RM400. Manakala JKM memberi bantuan sebanyak RM350. Dengan wang tersebut saya gunakan untuk membeli barang dapur dan menampung perbelanjaan anak-anak ke sekolah.
Ads
“Kadang-kadang saya terpaksa meminjam wang daripada adik-adik saya untuk duit belanja anak-anak di sekolah. Kadang-kadang timbul rasa malu kerana terpakssa pinjam duit daripada adik beradik. Apabila timbul rasa segan itu, anak-anak saya tidak bersekolah,” luah Rosnani, sebagai ibu dia banyak berkorban untuk anak-anak. Dia sanggup tidak makan asalkan anak-anak dapat makan.
“Saya tidak kisah keperluan saya sendiri. Apa yang penting suami sihat. Walaupun kakinya tidak dapat berjalan, yang penting tangannya masih sihat. Anak-anak juga perlukan saya. Saya pernah rasa terbeban dengan tanggungjawab ini tetapi setelah saya fikir sedalam-dalamnya, saya terima takdir Allah ini. Anak-anak penguat semangat saya. Kegembiraan mereka buat saya hati saya gembira,” luahnya lagi.
Seharian Bersama Rosnani dan anak-anaknya, penulis dapat melihat sedikit perubahan pada wajah mereka apabila dibawa membeli-belah di Econsave sementara menunggu rumah mereka menjalani proses make over oleh majalah Impiana.
Dalam program CSR Raya Mingguan Wanita, Rosnani telah diberi baucar bernilai RM1300 tajaan Econsave Cash and Carry Sdn Bhd. Baucar ini ibarat rezeki terpijak buat keluarga ini. Akui Rosnani, sudah tiga tahun dia tidak mampu menjejakkan kaki ke pasar raya untuk membeli-belah dengan jumlah yang agak besar.
Terima kasih Area Manager Econsave Cash and Carry Sdn Bhd Miss Lim Yoke Foong dan Branch Manager Econcave Alam Jaya Ahmad Subti bin Haji Ashari atas sumbangan baucar bernilai RM1300 yang diberikan kepada asnaf terpilih ini.
“Sejak suami sakit, kami tidak pernah berbelanja sebanyak ini. Syukur sangat dengan rezeki yang diberikan oleh Allah ini. Anak-anak pun seronok kerana mereka tidak perlu melihat tanda harga apabila membeli barang-barang yang mereka berkenan pada hari ini,” katanya dengan gembira dan penuh kesyukuran.
Terima kasih Mamyhome make over ruang tamu rumah Rosnani
Video membeli-belah di Econsave Bersama Mingguan Wanita dan make over rumah oleh Impiana ini pula boleh ditonton di saluran You Tube, laman web, Facebook dan Instagram Mingguan Wanita dan Impiana pada hari raya Aidilfitri ini.
Hulurkan Sumbangan
Jika ada yang mahu menghulurkan sumbangan bolehlah berkunjung ke alamat no 3, Lorong 1, Kg Baru Nelayan, Sg Besar, 43500, Selangor atau menghubungi nombor telefon 0172803572 atau masukkan sumbangan ke nombor akaun BSN 10123-29-00018893-8 Rosnani Binti Aris.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Adik Eusuf Muhammad, 3 tahun disahkan mengalami sindrom Lennox Gestaut (LGS) yang boleh menyebabkan dia diserang sawan kadangkala jumlahnya lebih 40 kali dalam sehari.
Buat masa ini, ibu dan ayahnya gigih mengumpulkan dana untuk pembedahan memasang alat penstabil gelombang otak. Kosnya menelan belanja, RM130 ribu. Allahu..
Tentunya hati lebih sayu sebaik saja anda menghabiskan nukilan Akhtar Syamir yang menceritakan kisah Adik Eusuf ini. Moga impian keluarga ini mahu memenuhkan dana bantuan Adik Eusuf menjadi nyata. Mingguan Wanita panjangkan kisah ini agar anda pembaca sudi membantu.
Assalamualaikum Uncle Dan Aunty
Boleh tak adik kenalkan diri? Nama adik, Eusuf Muhammad. Alhamdulillah mama melahirkan adik dengan sempurna pada 24 April 2015 di Bandar Baru Bangi. Adik seronok sangat dilahirkan di dunia. Ada papa, ada mama dan adik beradik yang lain. Diorang semua sayang kat adik. Adik tak sabar nak membesar dan bermain. Nanti adik nak pergi sekolah jumpa kawan – kawan baru.
Tapi… Masa adik nak sambut hari lahir yang pertama, kepala adik rasa sakit sangat. Mama kata adik diserang Enchepalitis. Adik tak tau ape tu. Nak sebut pun adik tak pandai. Tapi mama kata ada jangkitan kuman kat tisu otak adik. Mama kata lagi, jangkitan tu dah rosakkan otak kiri depan adik. Adik takut sangat bila mama cakap macam tu.
Maafkan adik, mama. Adik tak dapat nak berseronok dan bermanja dengan mama macam dulu. Adik cuba untuk senyum, adik cuba untuk gelak tapi adik tak larat. Kepala adik sakit sangat. Adik tak dapat nak berjalan dengan stabil macam orang lain.
Adik Selalu Diserang Sawan.. Bermacam-macam Jenisnya
Adik kesian tengok mama dengan papa terpaksa tengok adik je sepanjang masa. Selalu adik tak sedar, tapi mama kata adik selalu diserang bermacam – macam jenis sawan. Sampaikan beberapa kali kepala adik benjol sebab adik tak boleh kawal otot adik sampai adik terjatuh. Adik jadi lembik. Mama kata adik kena Head Drop Seizure.
Haritu Doktor bagitau mama, adik disahkan menghidapi Sindrom Lennox Gestaut (LGS). Mama kata sawan adik ade banyak jenis sampaikan satu hari boleh 40 kali adik kena sawan. Adik akan menggeletar satu badan tau.
Adik cuba kawal diri tapi tak boleh. Bila adik demam ke selesema ke lagi banyak sawan tu datang. Kesian kat adik kan? Kalau Aunty dengan Uncle nampak adik macam tu, jangan salah faham tau. Kesian kat mama dengan papa. Bukan adik sengaja.
Tapi mama dengan papa ade bagi adik topi. Cantik sangat, adik suka. Macam pemain ragbi. Pernah sekali tu adik jatuh, nasib baik adik pakai topi. Tak sakit sangat. Terima kasih mama dan papa.
Mama Cakap Kena Pakai Alat Di Kepala Tapi Harganya RM130 Ribu
Setiap bulan adik kena jumpa pakar Neuro kat PPUM. 2 tahun dah mama dengan papa bawa jumpa Doktor. Sekarang adik dah 3 tahun. Macam – macam ubat adik makan untuk kawal sawan adik.
Doktor Pakar ada nasihatkan mama dengan papa pasang satu alat kat kepala adik. Doktor kata ini untuk masa depan adik. Mudah sikit mama dengan papa jaga adik. Doktor cakap lagi, alat ni dapat bantu adik walaupun bila mama dengan papa takde nanti.
Mama cakap, Doktor cadangkan adik pakai alat penstabilan gelombang otak iaitu Vagal Nerve Stimulator (VNS).
Tapi… alat ni mahal sangat. Harga dia RM100,000. Nak implan kat kepala adik pun kos dia RM30,000. Semua sekali kos dia RM130,000 tau. Adik kecik lagi. Adik tak mampu nak tolong mama dengan papa.
Kesian kat mama dengan papa setiap hari berusaha untuk cukupkan duit. Papa ada jual t- shirt untuk bantu adik. Kalau Aunty dengan Uncle nak beli t-shirt, boleh pm papa ye. Nak tengok pun boleh kat wall papa.
Doktor Pakar dah tetapkan 20 September 2018 ni untuk pembedahan implan alat tu.
Adik Cuma Nak Happy, Dapat Senyum Untuk Mama & Papa
Adik mintak tolong sangat Aunty dengan Uncle yang baca kisah adik ni tolong mama dengan papa. Adik nak jadi macam kawan – kawan adik yang lain. Adik nak happy, nak senyum untuk mama dengan papa. Adik tak nak susahkan mereka lagi. Tolong adik ye. Adik hargai semua bantuan Aunty dan Uncle.
Ni nombor akaun mama dengan adik. Boleh pm mama atau email papa di idzfanidris@gmail.com kalau nak tanya apa – apa.
Maybank : 5123 5205 4134 Djasriza Binti Jasin
Bank Muamalat : 1601 0009 3777 28 Eusuf Muhammad Bin Idzfan
Terima kasih Aunty dan Uncle. Adik sayang semua yang sudi bantu dan kongsi post adik ni.
Eusuf Muhammad Bin Idzfan
Nota :
Penulisan ini adalah olahan saya sendiri. Saya terpanggil untuk membantu adik Eusuf. Marilah sama – sama kita bantu adik Eusuf, Puan Djasriza Jasin dan Tuan Idzfan Idris. Mereka berhak menjalani kehidupan bahagia seperti kita.
Zaman penuh mencabar ini, kebanyakkan suami isteri harus bekerja untuk menampung kehidupan.Namun tanpa disedari, cara perhubungan di tempat kerja yang dianggap ‘biasa’ dan ‘tiada apa-apa’ selama ini, sebenarnya mampu menjadi punca kepada berlakunya keretakkan didalam rumahtangga.
Jika dibiarkan berterusan ia boleh menjadi ‘barah’ yang menyebabkan berlakunya penceraian.
Salah satu perkongsian menarik oleh confessor yang menggunakan gelaran ‘The Man With The Golden Gun’ di laman IIUM Confessions ini, wajar dijadikan pengajaran buat suami dan isteri agar membuka mata dan lebih berhati-hati dalam menjaga batas pergaulan ditempat kerja.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Sudah hampir 6 tahun aku berkerja dalam industri. Saja aku tidak nyatakan dalam industri mana, tapi aku akan bagi contoh berdasarkan pemerhatian aku terhadap diri sendiri dan kawan-kawan aku dalam bidang kerjaya.
Mulanya nak guna perkataan “ikhtilat” tapi tak semua akan faham kecuali budak-budak usrah dan mungkin budak-budak UIA. Bergurau, jangan marah. Pergaulan bebas lagi senang orang ramai faham apa maksudnya dan tahu juga macam mana sifatnya.
Sering kita baca berita atau artikel mengenai “Pergaulan bebas di kalangan remaja” atau “budak sekolah” atau “pelajar IPT”. Tapi rasanya jarang kita dengar tentang teguran pergaulan bebas di tempat kerja yang melibatkan suami-suami dan isteri-isteri orang. Baik yang muda 20-an hinggalah yang nak pencen 50-an.
Aku akan ceritakan apa yang aku alami dan nampak selama aku berkerja.
BERGURAU KETERLALUAN ANTARA LELAKI & PEREMPUAN
Benda ni sangat biasa. Bergurau, gelak-gelak dan yang paling aku tak berkenan tepuk tampar sentuh-sentuh. Sebelum tu aku nak bagitau yang aku ni seorang lelaki dan aku normal, haha. Maksudnya aku juga ada nafsu dan bila bergurau memang akan rasa seronok. Tapi nafsu itu kalau dirai dan dan dilayan, memang akan merosakkan.
Aku dah pun berkahwin dan aku tak suka bila ada lelaki yang cuba-cuba bergurau dengan isteri aku. Kalau korang kata aku kolot, jumud atau tak open-minded, aku rasa korang yang ada masalah sebenarnya. Sebagai seorang suami, kau takkan rasa senang bila isteri sendiri dikacau oleh kawan-kawan lelaki apatah lagi orang luar.
Mungkin yang senior-senior ada cara guraunya sendiri. Bertanya tentang anak sihat ke tidak, perihal keluarga masing-masing dan macam-macam semata-mata nak tau dan ambil berat. “Eh, anak puan dah sihat ke? Anak saya yang first pun lebih kurang sama je macam tu… haha (gelak sengih2)”. Yang ni mungkin tak keterlaluan.
Keterlaluan yang aku maksudkan ialah apabila gurauan itu dah melebihi ‘redline’, contohnya bergurau tentang hal-hal dalam bilik dan hal-hal dalam kain. Bergurau tentang malam jumaat antara lelaki dan perempuan. Masing-masing dah jadi suami dan isteri orang. Pandai-pandailah jaga maruah pasangan.
JAMUAN MAKAN, POTLUCK & PICNIC
Antara sebab aku kurang berkenan dengan majlis keramaian (selalu dinner), sebab pergaulan ini lah. Masa inilah ada peluang untuk bergelak ketawa dan bergurau sehabis-habisnya sebab majlis-majlis ini memang dikhaskan untuk bersosial.
Aku bukannya menentang atau ‘anti’ dengan majlis sebegini. Tak jadi masalah pun, malah memang ada tuntutan untuk rapatkan hubungan dan bonding lebih rapat, ataupun ice-breaking supaya tak kekok buat kerja. Yang jadi masalahnya, macam aku cakap tadi la. Tiba-tiba ada yang jadi miang. Baik lelaki mahupun perempuan. Waktu ni kan masing-masing pakai baju cantik-cantik. Jangan nak tipu la kalau mata tak melilau tengok sana sini.
WHATSAPP GROUP
Ha! Benda yang paling biasa di abad ini. Syarikat ada whatsapp group sendiri. Department ada group sendiri. Dalam department, ada whatsapp group untuk team pulak. Kemudian ada group untuk projek-projek yang kita terlibat pulak. Yang belum kerja, nanti korang kerja tau la. 5-6 group itu benda biasa. Malah mungkin lebih dari tu.
Ok itu pasal kerja. Ni aku nak cerita pasal ‘bergurau’ dalam whatsapp group. Tak habis di tempat kerja, dalam whatsapp pun nak bergurau. Share gambar itu, share gambar ini. Share gambar selfie lelaki dan perempuan. Aku punya style, bila dapat gambar yang aku rasa tak patut ada, aku terus delete je. Bayangkan, tak pasal-pasal dalam phone korang ada gambar perempuan (sorang-sorang) tengah selfie buat mulut muncung.
Nampak tak, pergaulan ni tanpa batas melainkan diri sendiri yang mengawalnya. Ada beberapa kawan (perempuan) yang aku kenal, malam-malam dia tak layan whatsapp sebab dia pernah kata yang suaminya tak bagi. Itu satu langkah yang sangat wajar. Layan suami jauh lagi baik dari whatsapp kemudian senyum sorang-sorang.
MATA SEORANG LELAKI
Pernah dengan lagu Jinbara, Patri : “Andai diri ini insani, pasti ada kemahuannya…”
Kepada para wanita sana, jagalah penampilan dan pergaulan. Lelaki pun! Lelaki ni ada segelintir yang memang suka tengok “barang” perempuan. Yang ini mungkin ada lucah, tapi aku bagitau terus terang. Ada yang tengok buah dada, punggung, badan chubby dan sebagainya. Baik perempuan itu bujang, atau pun isteri orang. Ini berlaku ya, bukan buat-buat cerita. Perempuan patut ada rasa untuk lebih secure, dan lelaki kena jaga pandang dan jangan layan nafsu sangat.
Nafsu ni memang takkan puas. Walaupun orang tu dah kahwin beranak-pinak sekali pun. Sama-sama lah jinakkan hawa nafsu yang sentiasa memberontak ni. Ada ganjaran untuk setiap itu.
ISLAM ADA GARIS PANDUAN YANG TEGAS TENTANG PERGAULAN
Benda ni tak semua orang akan senang. Lagi-lagi yang acah-acah berfikiran maju, open-minded. Aku nak highlightkan istilah ‘tegas’ kat sini. Memang islam ada peraturan tentang pergaulan yang sangat tegas. Ini semua bersumber dari Quran dan hadis nabi SAW. Sebagai muslim, kita kena lah berserah bulat-bulat dengan apa yang dah ditetapkan. Sama-samalah kita belajar dan amalkan.
KESIMPULAN
Jagalah maruah anda sebagai suami dan isteri jika sudah berkahwin. Yang belum berkahwin, apatah lagi. Yang dah kahwin ni, balik boleh bersama dengan pasangan. Yang belum, cuba usaha dan jangan putus harapan dengan rahmat Allah.
Ingat ya, banyak juga kes-kes curang di tempat kerja malah ada juga yang sampai berzina. Moga kita sentiasa dalam peliharaan Allah.
Sejak dari sekolah rendah, ibu Rehan Sidik tak pernah gagal menjalankan tanggungjawabnya. Meletakkan dalam hati anak, bahawa guru pertama anak adalah ibunya. Kisah ibu Hajah Norma Abdullah ini dikongsikan sendiri oleh anaknya, Rehan yang kini turut mendidik 4 orang anaknya dengan cara yang sama, tegas penuh kasih sayang.
Bagaimana Saya Melihat Dunia Hari Ini
Adalah bagaimana ibu saya memperkenalkan dunia kepada saya 30 tahun yang lalu.
Corak saya berfikir, diasuh dengan begitu kreatif oleh ibu yang sangat kreatif.
Beliau guru pertama saya, menulis dan membaca. Pada usia saya 7 tahun, saya pernah memenangi pertandingan bercerita peringkat negeri Kelantan. Masya Allah, dengan segala ‘props’ dan persiapan pentas, beliau sendiri yang hasilkannya.
Siang malam, saya dilatih untuk membiasakan diri bercakap di khalayak. Pada usia 7 tahun saya mampu berbicara dengan petah, menyanyi dan menari, bermain alat muzik dan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di pentas.
Anak.. Bila ibunya sangat gigih, anak juga akan turut serta. Mula-mula terpaksa, lama kelamaan, akan jadi terbiasa. Dari sekolah rendah, semua tugasan saya ada sentuhan dari mak. Begini dan begitu.
Mak nak hasil kerja saya sempurna. Kami akan buat sama-sama. Kadang-kadang saya mengeluh untuk ubah balik kerja, tapi mak cukup sabar.
“Kita mahu hasilkan sesuatu yang terbaik, sabarlah”.
Masuk Sekolah Menengah, Cara Kerja Makin Teratur
Bila tiba masa saya ke sekolah menengah, saya dah dapat rentak bekerja cara beliau. Semuanya mesti sempurna dan dalam keadaan yang teratur. Mesti cantik dan smart. Dan apabila anak mula berdikari, itu lah masanya mak menunggu hasil-hasil yang lebih baik untuk dikongsi bersama.
Alhamdulillah.
“Hari ini, saya amat menghargai dirinya, sebagai seorang ibu yang sentiasa memberikan doa dan sokongan, seorang sahabat yang sangat memahami, dan seorang pejuang yang tidak pernah luntur semangat juangnya. Kami ke Pesta Buku Bologna Italy bersama. Bergandingan sebagai rakan sekerja.”
Saya mengangkat beliau sebagai penulis.
“Tulislah mak, tentang segala pengalaman, suka dan duka.. moga-moga setiap dari kami dapat mengambil segala iktibar dari kisah hidupnya yang penuh inspirasi.”
Tahun Kejayaan Rehan Sidik
Di sini, di Rome, Italy, kami berdiri. Bersaksikan bangunan Colosseum yang penuh sejarah. Ini juga sejarah buat kami penulis-penulis IDEAS & TINTA MUALIM. Apalagi kami berkesempatan mempromosikan pelbagai cerita yang berkonsepkan budaya Malaysia dengan penuh bangga.
Saya tidak pernah lupa, di mana saya bermula.
Pada tahun 2015, saya menyertai Program Pengkarya Guru di bawah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, seliaan Lynn Rahman.
Sokongan tanpa henti diberikan sehingga saya bersama 12 Pengkarya Guru yang lain berjaya menghasilkan buku ilustrasi kanak-kanak kami Kids Book by IDEAS yang pertama dan dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun 2016.
Seterusnya pada tahun 2017, saya menyiapkan 100 guru Kelantan yang juga mempunyai harapan yang tinggi untuk menjadi penulis, juga tercapai. Terhasillah 3 Antalogi Cerpen Tinta Mualim. Syukur. Berkat doa dari semua.
2018 adalah langkah saya untuk mengantarabangsakan penulis-penulis. Langkah ini bukan mudah. Dan semua pengalaman-pengalaman berurusan dengan pelbagai ragam manusia ini, membuka mata hati, akal dan iman saya agar terus kuat dengan segala ujian yang Allah berikan.
Terima kasih sahabat-sahabat yang sentiasa bersama.
Terima kasih Kak Lynn kerana terus memberikan kata-kata nasihat dari hati ke hati.
Rehan Sidik juga merupakan pengasas Tadika Permata Raudhah yang mempraktikkan Quranic Early Childhood Practitioner.
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...