Kredit foto: myMetro

Setelah berjimat dan mengumpul duit untuk menyenangkan keluarga dengan membeli sebuah motosikal, namun akhirnya sedih apabila motosikal yang disayangi hangus di depan mata.

Setengah tahun kumpul duit beli motor, akhirnya rosak dalam perjalanan dapatkan bantuan susu anak. Sedih memang sedih, tetapi Amran Rongi bersyukur dia dan anaknya selamat.

 Setengah Tahun Kumpul Duit Beli Motor

“Saya hanya fikir mahu selamatkan anak saya,” kata Amran Rongi, 29, menceritakan kembali detik cemas motosikal yang ditunggang bersama dua anak lelakinya rosak lalu terbakar di laluan motosikal Plaza Tol Senai, di Johor Bahru, Isnin lalu.

Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dipadam atas tindakan pantas seorang anggota polis dari Balai Polis Senai yang pada ketika itu sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Senai.

Menurutnya, motosikal terpakai yang dibeli pada Ogos lalu adalah hasil duit kumpul kerjanya sebagai nelayan.

“Lebih setengah tahun saya mengumpul duit bagi membeli sebuah motosikal untuk memudahkan pergerakan kami sekeluarga. Selama ini saya bekerja turun ke laut menumpang sampan atau bot ahli keluarga lain, apabila dapat hasil, saya akan dapat upah.

 “Apabila dapat membeli motosikal terpakai, saya bercadang untuk mendaftarkan tiga anak saya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, kerana dokumen seperti itu diperlukan bagi memudahkan saya untuk membuat permohonan bantuan daripada Baitulmal Johor,” katanya yang cacat tangan kiri sejak daripada lahir.

Ads

Baca Juga Di sini:

Abby Abadi Akui Tak Terkejar Nak Bantu Semua, Janganlah Mendesak

Kerana KASIHAN Jadikan KELUARGA Angkat, ORANG Lain Boleh BANTU Tapi JANGAN Ambil

Untuk info lebih menarik, klik saja di sini. 

Motor Rosak Dalam Perjalanan Dapatkan Bantuan Susu

Dia yang mempunyai isteri dan empat anak berusia dua minggu hingga 10 tahun berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Orang Asli Kuala Masai, dekat sini, hari ini.

Ads

“Upah saya sekitar RM30 bergantung kepada hasil laut harian. Saya perlu menyara keluarga dan mencari ikhtiar untuk teruskan kehidupan.

 “Maafkan saya kerana saya tiada niat mahu susahkan sesiapa. Saya buta huruf. Nak tengok arah jalan pun saya tidak tahu, mana angin bawa, saya pergi, tau-tau sampai,” katanya.

Amran berkata niatnya mahu pergi ke Baitulmal Johor kerana mahu meminta bantuan susu bagi dua anaknya.

Hajat Tidak Kesampaian Motor Rosak Teruk

“Saya mahu pergi ke Baitulmal Johor bagi meminta susu untuk bayi dan anak ketiga saya berusia setahun, tetapi hajat saya tidak sampai kerana saya sudah jauh dari rumah malah motosikal juga rosak teruk sehingga tidak boleh digunakan lagi.

Ads

“Niat saya untuk ubah kehidupan keluarga saya, namun mungkin belum sampai rezekinya. Saya harus kembali dengan rutin harian turun ke laut dan mengumpul simpanan semula supaya pada masa sama anak-anak saya dapat makan,” katanya.

Sementara itu, keluarga malang itu mendapat perhatian daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Johor menerusi program Foodbank YaPEIM.

Pengurus YaPEIM Johor, Tajul Ariffin Harun, berkata pihaknya menyumbang barangan keperluan asas sebagai inisiatif meringankan beban keluarga berkenaan terutama dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

MW: Setiap kali kita mengeluh susah, rupanya masih ramai di luar sana yang susah. Yang hidupnya hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Maka bersyukurlah dengan hidup kita seadanya.

 Sumber: myMetro

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI