Jangan ingat orang sihat, aktif lagi cergas itu tak boleh kena serangan jantung. Penyakit ini antara pembunuh senyap, jadi segeralah buat pemeriksaan menyeluruh, kalau anda ada tan-tandanya.
Wanita ini, Cik Puan Ammy antara ibu yang aktif, bersukan malah peniaga yang tak kenal erti diam. Bila mana dia tiba-tiba alami serangan jantung, panik seketika keluarganya.
Pengalaman cemas itu dicatatkan agar menjadi panduan buat pembaca Mingguan Wanita
Orang Sihat, Aktif Bersukan Boleh Kena Serangan Jantung?
Sebelum ni aku hairan dan tertanya-tanya bagaimana dan kenapa seorang yang sihat, bersukan dan aktif boleh kena serangan jantung atau heart attack tanpa ada tanda-tanda sebelum ianya menyerang sehingga membawa kepada kematian.
Tetapi selepas aku laluinya sendiri baru aku tahu ianya datang dengan secara tiba-tiba tanpa sebarang ‘hint’.
Tiba-tiba terasa sakit di bahagian belakang bahu (belikat) berdenyut-denyut. Aku minta tolong suami urutkan. Selesai urut aku masuk bilik untuk rehat.
Bila letak kepala di bantal tiba-tiba rasa sesak nafas dan sakit di bahagian dada kiri serta tegang di bahagian leher dan sekitar rahang.
Minta suami urut lagi.
Ads
Cuma Fikir Dah Nak Mati..
Nafas semakin pendek dan dada rasa seperti ditekan-tekan. Suami bawa pergi klinik swasta.
Setelah buat ECG, doktor meminta suami segera bawa aku ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut kerana simptom-simptom menunjukkan aku ada masalah jantung.
Masa dalam kereta, denyutan jantung aku amat laju seolah-olah ianya akan pecah. Hanya kalimah syahadah sahaja yang keluar daripada mulut aku tanpa henti.
“AKU DAH NAK MATI…” Hanya itu saja yang aku fikir.
Entah apa yang berlaku, bila mana aku sedar, aku sudah berada di hospital. Dikelilingi oleh beberapa orang doktor.
Ada yang cucuk tangan pasangkan jarum branula, ada yang tekan-tekan dada aku, ada yang gosok-gosok belakang aku dan ianya berlaku dalam masa yang amat pantas.
Jelas dipendengaranku hanya kata-kata,
Ads
“Puan…terus bernafas jangan tidur…”
“Puan kami nak tolong puan…”
“Puan tarik nafas dalam kiraan 10 kemudian lepas…” Dan pelbagai lagi.
Selepas beberapa jarum ubat dimasukkan. Nafasku yang kencang seolah-olah sedang berlari itu mula reda. Denyutan jantung semakin perlahan dan tenang.
Doktor kata aku hampir mendapat serangan jantung dan ‘lucky’ kerana segera dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan.
Setelah pelbagai ujian dibuat. Alhamdulillah, doktor sahkan aku sihat. Tiada tekanan darah tinggi, kolestrol terkawal dan gula dalam darah juga normal.
Ads
Ada Rahmat Di Sebalik Ujian Tuhan
Kenapa boleh dapat serangan jantung jika semuanya sihat?
Kuasa Allah SWT untuk menguji hambaNya. Tapi yang penting, aku tahu di sebalik ujian itu, ramai yang sayangkan aku.
Buat suami tercinta. Terima kasih kerana bersusah payah mendukung isterimu yang berat ni bawa masuk ke hospital tanpa mengharap bantuan kaki tangan hospital.
Terima kasih juga pada mak mertuaku, abang ipar, kakak ipar dan adik iparku sanggup datang jauh-jauh melawatku walaupun hari dah lewat malam.
Mak, ayah dan adik beradik di kampung yang tak putus berdoa untukku serta anak-anakku yang setia di sisi membantu aku uruskan rutin harian. Sayang kamu semua.
Buat kalian para pembaca, sihat tidak bermakna kita bebas daripada serangan jantung. Ianya datang secara tiba-tiba dan itulah yang paling bahaya.
Kata Doktor, Tekanan Perasaan Dan Emosi Juga Boleh Jadi Punca
Menurut doktor yang merawat aku, selain daripada penyakit darah tinggi atau kolestrol, keletihan yang keterlaluan, tekanan perasaan dan emosi juga boleh mengakibatkan serangan jantung secara tiba-tiba.
Jika ada simptom-simptom yang aku sebutkan di atas. Segeralah mendapatkan rawatan sebelum terlambat…
Mati itu pasti, tetapi selagi kita mampu berjuang untuk hidup, jangan cepat mengalah, teruskan berusaha untuk bernafas demi insan-insan yang masih memerlukan kita.
Suami Enggan Kerjasama Ke JPN Buat Mykid Anak, Bayi Perlu Dibinkan Nasab Abdullah. Sebagai mak ayah yang bertanggungjawab mendaftar kelahiran Mykid anak sangat penting untuk masa depan mereka.Jangan sesekali mengambil mudah keperluan dokumen penting sebegini.
Kasihan sungguh nasib bayi yang baru dilahirkan ini. Meskipun lahir atas ikatan yang sah, namun mungkin terpaksa dibinkan dengan nasab Abdullah. Ia gara-gara sikap tidak bertanggungjawab si ayah yang enggan memberikan kerjasama untuk proses mendaftarkan kelahiran anak.
Kesukaran Daftar Kelahiran Anak
Menerusi perkongsian di TikTok Norsufia Johari atau lebih dikenali Cik Pia sebelum ini, wanita ini pernah mendedahkan suaminya enggan datang mengazankan bayi mereka yang baru lahir. Segala proses bersalin juga hanya diuruskan dan ditemani keluarga sahaja pada November lepas.
Tidak hanya difitnah dan dijaja aib oleh suami, terbaru wanita yang dalam proses perceraian ini berkongsi kesukaran yang dialami dalam mendaftarkan Mykid bayinya, yang diberi nama ‘Khaireel Arrayan Arumi’ di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ini kerana lelaki terbabit dikatakan enggan memberi kerjasama mendaftarkan kelahiran anaknya yang baru lahir. Menurut sumber, mengikut proses yang telah ditetapkan JPN syarat utama untuk daftar kelahiran bayi untuk membuat Mykid adalah si ayah atau kad pengenalan asal miliknya. Ia perlu dibawa sekali ke sana untuk pendaftaran yang sah disamping dokumen penting lain yang lengkap.
Jika gagal berbuat demikian, pendaftaran akan menjadi semakin sukar. Termasuklah bayi terpaksa dibinkan dengan nasab Abdullah atau 99 nama Allah. Pasti hati seorang ibu merasa terkilan mengenangkan nasib anak yang lahir dengan ikatan yang sah ini, mungkin suatu hari nanti akan bertanya mengapa namanya berbinkan nama lain.
Mingguan Wanita: Apa jua pertelingkahan antara suami isteri, jangan sama sekali libatkan masa depan anak. Semoga wanita ini menemui jalan penyelesaian terbaik dan dipermudahkan segala urusannya.
Sebab suami terlalu baik dan rajin buat kerja rumah pun boleh jadi punca isteri minta cerai. Wanita yang bergelar isteri sepatutnya kena banyak bersyukur jika dikurniakan suami ‘terpilih’ macam ni. Disaat, para isteri lain, ‘bergelut’ buat kerja rumah seorang diri dan hadap macam-macam kerenah suami.
Kejadian yang dilaporkan berlaku di Fujairah, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), seorang wanita di sini meminta cerai kerana mendakwa suaminya menunjukkan ‘kasih sayang ekstrem’ yang menyaksikan lelaki itu membantu membuat kerja rumah dan memberikannya hadiah.
Dia memberitahu Mahkamah Syariah di sini bahawa pasangannya tidak pernah bergaduh dan menjerit malah suaminya itu sentiasa melayannya dengan baik.
Isteri Rasa Bosan
Biarpun disayangi, wanita itu mendakwa bahawa hidupnya ibarat ‘berada di dalam ‘neraka’ ekoran merasa bosan dengan layanan baik yang diberikan, demikian menurut akhbar berbahasa Inggeris UAE, Khaleej Times semalam.
Dia dilaporkan mengadu rasa cinta dan belas kasihan yang ditonjolkan oleh lelaki tersebut adalah berlebih-lebihan. Justeru, perbuatan suaminya itu mendorong dia memfailkan penceraian.
Wanita itu berkata, apabila dia mengadu tentang berat badan suaminya, lelaki itu terus menjalani diet yang ketat, termasuk bersenam dan berusaha menguruskan badan demi mendapatkan berat badan sehingga mengalami patah kaki.
Bagaimanapun, ia masih tidak dapat menyenangkan hati wanita tersebut yang terus mengadu mengenai hadiah dan pujian yang diberikan oleh suaminya, lapor media tempatan.
Wanita itu berkata:
“Saya menginginkan hari yang mana saya dapat bertengkar dengan suami tetapi ia kelihatan agak mustahil kerana dia sangat romantik dan sentiasa memaafkan saya serta memberikan saya pelbagai hadiah,”ujarnya.
Tarik Semula Kes Perceraian
Pihak suami meminta mahkamah untuk menasihati isterinya untuk menarik semula kes perceraian yang difailkan.
“Ia tidak adil untuk menilai perkahwinan dari tahun pertama, dan setiap orang belajar daripada ‘kesilapan’,” ujar suami wanita terbabit.
Pihak mahkamah menunda kes tersebut, memberi masa dan peluang pasangan terbabit berdamai.
MW: Macam-macam hal. Perangai macam ni pun ada, cepat rasa bosan bila pasangan terlalu baik. Apa-pun, bila dapat pasangan yang baik, rajin menolong buat kerja rumah.. banyakkanlah bersyukur! Tak semua orang bertuah macam kita.
Kalau betul nak berjaya dalam hidup sebagai anak muda, ada baiknya fokus beberapa target kewangan ini terlebih dulu. Jadi sebagai panduan stabilkan ekonomi, anda boleh rujuk tip Amir Syahir yang mana sangat berguna untuk anak muda yang niat ada simpanan walau sudah berumah tangga kelak.
Usia muda kita sangat berharga. Apa yang kita buat di usia muda akan memberi kesan kepada kita di usia tua kelak. Orang hipster dan urban macam kau cakap,
“Alahh, rilek la, kita muda lagi. Enjoylah puas-puas. Jom travel dulu. Tengok dunia”
Enjoy biar berpada-pada ye. Jangan berhutang sakan. Masuk umur 40 tahun mula la nak menyesal. Baru nak kenal erti penyesalan.
10 perkara di bawah bolehlah dijadikan sebagai panduan matlamat kewangan sebelum kau berusia 30 tahun:
1. Ada Sumber Pendapatan Sendiri
Tak kiralah apa pun pekerjaan kau yang penting kerja yang halal dan sah di sisi undang-undang. Kau sudah ada kerja yang kau suka buat. Kau boleh hadapi tekanan kerja. Kau ada pendapatan yang baik dan tetap.
Apa yang penting usaha. Usaha cari pendapatan dan stabilkan keadaan ekonomi kau. Bukan hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.
2. Menguruskan Kewangan Dengan Baik
Tidak kiralah apa pun kerja kau sama ada kau bekerja sebagai kejuruteraan pam minyak ataupun kejuruteraan cashier, kau mestilah sudah mahir menguruskan hal ehwal kewangan sendiri. Kau dapat bezakan yang mana kehendak dan keperluan. Kau tahu aliran keluar masuk wang kau. Tidaklah bila dapat gaji, duit kau terus pupus tak tahu ke mana.
Buat bajet kewangan. Bila dah dapat gaji, rancang apa yang perlu dibayar, apa yang perlu dibeli dan sebagainya. Barulah kewangan kau akan lebih terurus.
3. Wujudkan Tabung Simpanan
Mempunyai beberapa tabungan. Buatlah tabung simpanan, tabung kecemasan, tabung pelaburan, tabung umrah, tabung percutian dan pelbagai tabung untuk kegunaan kau. Tabung/dana kecemasan ini sangat penting disaat kita menghadapi ujian atau masalah. Sediakan tabung kecemasan sekurang kurangnya 3-6 bulan gaji kau.
Kalau kau tak dapat simpan banyak, cubalah simpan dengan nilai yang sedikit terlebih dahulu. Asalkan menyimpan.
4. Membeli Sekurang-kurangnya Sebuah Rumah Sebagai Aset
Membeli sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai aset. Ya. Rumah. Sudah mula bekerja sila setkan minda membina tabung untuk membeli rumah. Jika kau membeli rumah sebelum umur 30 tahun, ansuran bulanan menjadi rendah disebabkan boleh ambil tempoh pembiayaan yang panjang. Rumah mahal? Tak mampu simpan untuk deposit rumah? Teruskan menggali ilmu hartanah ni. Jangan duk main Facebook je.
5. Pelan Pelaburan
Melaburlah dengan bijak. Jauhi skim cepat kaya, skim yang membawa keuntungan cepat. Realiti kekayaan tiada jalan pintas. Kalau berjaya kaya cepat pun, tak kekal lama. Banyak pelaburan di Malaysia yang dijamin kerajaan contohnya ASB. Simpan di tabung haji pun boleh juga asalkan tetap dan berterusan dan lebih 10% gaji setiap bulan.
Keupayaan melabur sebenarnya bergantung kepada keupayaan kau mengawal kehendak diri sendiri. Jangan cakap tak mampu sebelum mencuba. Tak mampu melabur banyak, melaburlah dalam nilai yang kecil terlebih dahulu. Jangan nak tunggu banyak duit baru kau mula nak melabur.
6. Perlindungan Pelan Takaful
Kesihatan adalah anugerah yang tidak ternilai. Jadi, sediakan tabung untuk membiayai masa kau sakit nanti ataupun ditimpa kemalangan. Ambil takaful masa muda. Takaful itu penting.
7. Memiliki Kenderaan Bersesuaian Dengan Kemampuan Gaji
Beli kereta tak salah. Yang salah adalah membeli kereta tidak sepadan dengan gaji. Gaji ciput tapi beli Honda City susah la. Habis separuh gaji buat bayar ansuran kereta. Nak makan pun duk pinjam kawan. Makan megi takpe, janji kunci kereta ada huruf H.
Ukur baju di badan sendiri. Beli kereta yang bersesuaian dengan pendapatan kau. Ini tidak, tak nak kalah dengan kawan yang pakai Honda City. Tengok la dulu. Gaji dia berapa dan gaji kau pula berapa.
8. Belanja Mengikut Kemampuan
Tak perlu bergaya hidup mewah sekadar nak menunjuk ke kawan-kawan kau. Padahal dalam bank kau simpanan tak sampai empat angka pun. Just be yourself. Belanja dan bergaya ikut kemampuan kau.
9. Bebas Daripada Hutang Jahat
Kau bijak memilih untuk berhutang. Kau tak berhutang demi perkahwinan yang gilang gemilang, kau bijak menolak hutang iPhone 7, kau tak buat hutang sofa dekat Courts. Jauhi hutang peribadi untuk perkara-perkara yang tidak penting.
10. Mula Membina Keluarga
Gua percaya dengan adanya keluarga, kau mampu berubah daripada tak reti uruskan kewangan jadi orang yang reti uruskan kewangan. Sebab kau ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Isteri, anak-anak, mak dan ayah.
Ye la, lagipun ada seseorang yang boleh membantu kau dan memberi kau sokongan. Carilah teman yang membuat kau bahagia. Senyuman dia kebahagiaan kau. Cewah. Sesungguhnya perkahwinan itu membuka banyak pintu rezeki.
Tak cukup 10? Boleh tambah ikut matlamat dan azam korang. Yang penting kau kena ada target dan matlamat yang jelas, barulah kau boleh merancang kau punya pelan tindakan.
Kau tu berapa tahun lagi nak masuk umur 30? Tak sedar-sedar lagi ke? Masih duk konfius nak travel ataupun beli kereta import mewah? Kah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!