Memang bukan mudah untuk menyambung pengajian peringkat tertinggi iaitu PhD dalam pada masa yang sama turut menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu pada anak-anak yang masih kecil. Pastinya memerlukan pengorbanan yang besar dan semangat gigih yang luarbiasa dalam mencapai cita-cita ini.
Membesarkan 8 Orang Anak
Ternyata, wanita berusia 38 tahun ini sungguh memberi inspirasi apabila apabila berjaya menamatkan pengajian PhD dengan cemerlang dalam tempoh 3 tahun setengah dari UiTM pada 10 September lepas.
Dr.Zatilfarihiah Rasdi berjaya menyelesaikan penyelidikan biokimia pergigiannya, pada masa yang sama turut membesarkan lapan orang anak-anaknya yang berusia di antara satu hingga 14 tahun.
“Anak yang sulung masih bersekolah dan yang kecil baru sahaja berusia satu tahun sembilan bulan. Jika diingatkan semula, saya tidak dapat membayangkan bagaimana saya dapat melalui ini semua, ia sangat mencabar, lebih-lebih lagi saya mempunyai anak kecil,” kata Dr.Zatilfarihiah.
Selain menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan pelajar PhD, Dr.Zatilfarihiah juga menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pensyarah pergigian di sebuah kolej tempatan. Katanya, cabaran membesarkan anak-anak menjadikannya lebih berdisiplin dalam bab pengurusan masa.
Pengorbanan yang paling banyak dilakukan oleh Dr.Zatilfarihiah sepanjang tempoh pengajian PhD ialah masa rehat. Selain memastikan tugas dan penyelidikan siap dalam tempoh masa yang ditetapkan, dia juga memberikan tumpuan sebaik-baiknya pada keluarganya.
Daftar Pengajian PhD 2017
Kata Dr.Zatilfarihiah, sebenarnya membesarkan anak sambil belajar bukanlah perkara mudah. Pada April 2017 ketika dia mula-mula mendaftar untuk pengajian PhD, dia sudah mempunyai lima orang anak dan sepanjang pengajiannya, dia melahirkan tiga orang anak lagi.
Mengandung, bersalin sambil belajar adalah cabaran yang harus ditempuhi namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian. Baginya apa yang dilaluinya itu adalah rahmat Tuhan buat dia dan keluarganya.
Hampir setiap hari, Dr.Zatilfarihiah akan bangun untuk menelaah pelajaran dan menyiapkan thesis pada jam 2 pagi. Kemudian pergi ke makmal pada jam 8 pagi hingga 5 petang untuk menyiapkan kertas kajian dan menjalankan eksperimen. Dia mengaku perkara tersebut memenatkannya namun dia bersyukur kerana sebagai seorang pensyarah dia cepat menyesuaikan diri dengan keadaan itu.
Sokongan Suami & Keluarga
Menurut Dr.Zatilfarihiah, suaminya sangat menyokong perjalanannya sebagai pelajar PhD. Ibu bapa kandung dan ibu bapa mertuanya juga turut sama membantu menjaga anak-anaknya ketika dia sibuk menjalankan tugas.
Mesti Baca:Mata Kanan Buta Gigih Guna Kanta Pembesar, Ibu 7 Anak Berjaya Habiskan Phd!
Baca Lagi Di Sini:51 Tahun Menetap Di Terengganu, Wanita Perancis Gigih Siapkan Kajian PhD Kebudayaan Masyarakat!
Artikel Menarik:Sarat Hamil 8 Bulan, Ustazah Dr Oki Setiana Dewi Berjaya Raih PhD
Mingguan Wanita: Syabas dan tahniah diucapkan kepada Dr.Zatilfarihiah yang berjaya menggengam PhD meskipun menggalas tanggungjawab yang besar menguruskan 8 orang anak-anak. Semoga menjadi inspirasi buat wanita yang lain juga supaya tekad untuk berjaya.
Sumber: Sinar Harian, The Star
Komen Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI